- 365Share sekarang!
- Email6
- Facebook359
- Share
Di saat kita semua rakyat Malaysia tengah menghitung hari dan detik bila nak sambut Aidilfitri, masih ada penduduk Islam kat luar negara menghitung detik bila mereka akan menikmati ketenangan dan kebebasan.
Macam yang kita tahu sebelum ni, pada awal Ramadhan hari tu, sekali lagi penduduk Gaza dibom oleh tentera zionis Israel atas dasar perebutan kuasa negara. Dan baru-baru ni, ada berita yang menyatakan sekatan air kat Gaza dah dilakukan.
Memandangkan korang pun dah sedia maklum berkenaan perkara tu, ni ada satu lagi cerita tentang sahabat muslim kita di China yang ditahan di sebuah kem dan diberikan sekatan terhadap hak asasi mereka sendiri. Jadi kali ni Soscili nak bercerita mengenai situasi tu.
Sampai Xinjiang je tiba-tiba dah ada orang tunggu…
Waktu berlangsungnya sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) dalam Majlis Hak Asasi Manusia, kebanyakan negara kat seluruh dunia menyuarakan kebimbangan terhadap nasib masyarakat minoriti muslim Uighur. Di mana mereka terpaksa berdepan dengan konflik ketegangan politik dan tindakan diskriminasi daripada kerajaan China. Semuanya berlaku disebabkan sejarah lampau yang berlaku kat China.
Baru-baru ni, ada beberapa penggerak media yang terdiri daripada penulis dari CNN ada berhasrat nak melawat kem tersebut. Dengan tujuan nak tahu lebih lanjut apa yang betul-betul berlaku kat kem tersebut.
Tapi sebelum tu mesti korang tertanya, siapa yang tergolong dalam etnik Uighur ni. Okay, secara umumnya etnik Uighur ni merupakan etnik muslim yang berketurunan Turki ataupun Kazakhstan. Etnik Uighur ni merupakan etnik muslim minoriti di China yang menetap di daerah Xinjiang iaitu wilayah Barat Laut China. Kalau korang nak tahu lebih lanjut pasal masyarakat dan etnik Uighur dengan kerajaan China ni boleh klik sini.
Kem indoktrinasi di Xinjiang tu dah menempatkan lebih sejuta etnik Uighur ni dekat Xinjiang. Hasil daripada laporan dan pemerhatian media antarabangsa yang dah melawat ke kawasan Xinjiang tu bagitahu yang diaorang sentiasa dikawal ketat oleh penguatkuasa kerajaan China.
Diaorang sampai je kat stesen kereta api, terus kena ikut dengan pegawai-pegawai tu. Dan apa yang lebih menakjubkan, kerajaan China akan dapat tahu orang luar yang akan datang ke Xinjiang menerusi sistem canggih diaorang. Daripada situ, orang tersebut akan terus dikawal sampailah hari terakhir dia ada kat Xinjiang. Alasannya sebab diaorang nak pastikan keselamatan pengunjung yang datang.
Kat kawasan Xinjiang ni didapati banyak bangunan yang menyerupai penjara dekat kawasan tu dan tu merupakan kem. Bangunan tersebut dikawal dengan ketat, siap ada pagar elektrik dan ada tembok besar macam kubu pun ye jugak sebab tertutup. Memang orang daripada luar takkan tahu apa aktiviti orang kat dalam bangunan tu buat.
Menurut laporan tersebut, wartawan tu jugak dikejutkan pada pukul 1 pagi hanya sebab penguatkuasa kerajaan nak cek dokumen dia. Selain tu, kat kawasan Xinjiang ni dah dipenuhi dengan kamera pemerhati dan sekatan jalanraya selalu diadakan. Ia dilakukan bila penguatkuasa dapat kesan ada etnik minoriti dan orang luar berada kat kawasan Xinjiang.
“Walaupun dibenarkan masuk ke bandar, team CNN dikawal oleh pihak polis ke kawasan pelancongan kecil dan dipaksa menghadiri jamuan yang telah diatur secara tergesa-gesa di dalam sebuah khemah sementara.” – Matt Rivers, wartawan CNN, sumber dari CNN.
Penguatkuasa kat sana memang tak boleh berkompromi dengan orang luar. Laporan media antarabangsa bagitahu yang Xinjiang merupakan kawasan kawalan paling ekstrem berdasarkan kawalan yang telah dikenakan kat diaorang. Banyak sekatan yang kerajaan sana buat hanya sebab nak pastikan orang luar dan media tak dapat kesan apa-apa dan tak nampak benda yang orang luar nak sangat tahu.
Tapi, Menteri Luar Negeri China bagitahu yang diaorang tak tahu apa-apa pasal kawalan dan sekatan yang dikenakan ke atas orang luar mahupun media antarabangsa. Dia bagitahu yang Xinjiang merupakan kawasan yang terbuka dan senang menerima kehadiran tetamu luar. Tapi, realitinya tidak…
Apa yang ada dalam kem tu sebenarnya?
Walaupun macam tu, kerajaan China menafikan sekeras-kerasnya tentang kem tersebut bukanlah penjara atau kem seksaan, tapi ia cuma kem khas untuk ‘pendidikan vokasional’. Sebelum ni, pihak berkuasa dengan kerajaan China ada nafikan tentang kewujudan kem tu, tapi bila orang ramai dah mula ragu-ragu dan tersebarnya gambar kem tersebut menerusi satelit, diaorang pun dah mengaku pasal kewujudan kem tersebut. Kerajaan China menyifatkan kem tersebut sebagai kem pendidikan semula dan bukanlah kem tahanan dan penjara untuk etnik Uighur.
Tapi diaorang tak mengaku pun apa sebenarnya yang terjadi dalam kem tersebut walaupun ramai bekas tahanan kem bagitahu yang diaorang didera dalam kem tu. Etnik minoriti Islam Uighur kebanyakan ditahan sebab menyimpan janggut panjang, memakai penutup muka ataupun berkongsi ucapan perayaan Islam di media sosial.
Kerajaan China jugak ada bagitahu yang kem tersebut diwujudkan sebagai salah satu pendekatan untuk berikan pendidikan semula. Pendidikan semula yang ditekankan dalam kem tersebut adalah tertumpu kepada aspek untuk menangani isu ‘keganasan’ etnik Uighur daripada berleluasa kat wilayah Xinjiang dan sekitar China.
Pada asalnya, wilayah Xinjiang ni merupakan Turkistan Timur yang kaya dengan hasil minyak. Disebabkan Xinjiang ni termasuk dalam negara China, etnik Han yang beragama Buddha pun ramai-ramai berhijrah kat situ dan nak hapuskan etnik Uighur disebabkan nak bolot semua kekayaan hasil bumi.
Memandangkan penghijrahan besar-besaran etnik Han kat kawasan tu, ia dah mengubah struktur demografik kawasan tersebut. Jadinya, berlakulah ketegangan etnik. Waktu tahun 2009 dulu ada kumpulan ekstremis agama yang beretnik Uighur dah buat kecoh kat kawasan Xinjiang yang menyebabkan 200 nyawa terkorban. Disebabkan itulah, kebanyakan etnik Uighur diperhatikan dan ditahan di kem tahanan tersebut untuk mengawal daripada isu dan fahaman ekstremisme ni.
“Menerusi latihan vokasional, kebanyakan pelatih menyedari kesilapan dan jelas mengenai bahawa keganasan serta pelampau agama,”
“Kemudian ini bertujuan meningkatkan skil pekerjaan dan kemampuan bertutur dalam bahasa Mandarin di kalangan minoriti yang kurang fasih berbahasa rasmi negara dan tidak banyak mengetahui undang-undang.” – Shohrat Zakir, Pengerusi Kerajaan Xinjiang, sumber dari BH Online.
Tapi sekarang ni keadaan dah jadi semakin teruk, baru-baru ni pihak berkuasa China gunakan sistem dan teknologi pengesan wajah untuk mengesan masyarakat Uighur ni kat wilayah Xinjiang. Teknologi pengesan wajah tersebut dihubungkan dengan kamera pemantau meluas di China hanya untuk mengesan jejak dan pergerakan masyarakat Uighur ni.
Mungkin perkara tu nampak remeh, tapi ia membimbangkan komuniti antarabangsa sebab berkemungkinan teknologi tersebut akan digunakan sebagai medium keganasan ekoran ketegangan etnik yang berlaku kat situ.
‘Latihan vokasional dan pendidikan semula’ diberikan menerusi nyanyian lagu Komunis?
Walaubagaimanapun, kem tahanan tersebut bukanlah memberikan pendidikan dan latihan vokasional yang dikatakan oleh kerajaan China, tapi ia memberikan pendidikan menerusi seksaan. Macam mana tu ye?
“Kami ditahan oleh pemerintah kononnya untuk memberi pendidikan semula. Hakikatnya, kami dipaksa makan daging babi dan minum alkohol.
Tekanan psikologi sangat dahsyat apabila anda dipaksa melakukan kemungkaran di sisi agama. Pengalaman buruk itu menjadi mimpi ngeri kepada saya,”- Omir Bekali, bekas tahanan di kem Xinjiang, sumber dari Kosmo Online.
Dalam kem tersebut jugak, hukuman berat akan dikenakan jika tahanan etnik Uighur tak taat dan tak patuh pada permintaan pengawal kem tersebut. Tahanan jugak dipaksa untuk mengaku yang diaorang ni berbangsa China bukannya daripada etnik Uighur dan dipaksa murtad. Diaorang dipaksa untuk bertutur dalam bahasa Mandarin serta dipaksa untuk menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu komunis.
“(Banduan) tertakluk kepada kejutan elektrik yang teruk. Sesetengah tongkat elektrik sudah haus, jadi para pengawal menggunakan sarung tangan elektrik untuk mengejutkan mereka.
Kesakitan daripada sarung tangan ini lebih buruk daripada baton elektrik. Penggunaan baton memberikan kejutan pada kulit, tetapi sarung tangan elektrik memberikan kejutan langsung ke saraf.” – Pegawai Polis kem tahanan Xinjiang, sumber dari Utusan Online.
Bukan sahaja penderaan yang dijalankan dalam kem tersebut, dasar diskriminasi dan pencabulan hak asasi manusia minoriti muslim Uighur pun dilakukan. Mereka yang berada di kem tahanan tersebut juga dipaksa murtad, dilarang beribadah dan tidak diberikan makanan kalau tidak menghormati arahan pihak berkuasa. Al-Quran diaorang pulak digantikan dengan buku mengenai China.
‘Latihan vokasional dan pendidikan semula’ yang dijalankan dalam kem tersebut bertujan untuk mengubah pemikiran politik tahanan dan menghapuskan kepercayaan Islam dalam kalangan etnik minoriti muslim Uighur. Selain tu, ia jugak bertujuan dan berperanan untuk membentuk semula identiti baharu etnik tersebut dalam membendung gejala ekstremism serta untuk menjaga rahsia ‘wilayah baru China’ tersebut.
Selain tu, aktiviti yang dilakukan dalam kem tersebut sebagai salah satu cara bagi kerajaan China untuk melakukan proses penghapusan etnik. Bila masyarakat etnik Uighur ni ditahan, secara tak langsung kerajaan China dapat mengasingkan minoriti Uighur ni dari kampung mereka.
Ditambah pulak dengan penyeksaan yang dilakukan bertujuan untuk memesongkan pegangan Islam dalam diri mereka ekoran kebencian China terhadap umat Islam Uighur yang dilabel sebagai pengganas dan kaum ekstremis.
Komuniti luar boikot dan naikkan harga barangan eksport ke China
Sebagai salah satu cara untuk hentikan kes tersebut, komuniti luar banyak mengkritik tindakan kerajaan China terhadap etnik minoriti muslim Uighur ni. Macam-macam tindakan dan krtitikan yang telah agensi luar jalankan. Antaranya pihak Amerika Syarikat (AS) telah menyeru syarikat-syarikat di sekitar AS untuk menghentikan pengeksportan barang-barang berbentuk penindasan serta berteknologi tinggi ke China. Selain tu, diaorang jugak naikkan kos barangan eksport ke China untuk menghentikan kes kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia tu daripada terus berlaku.
“Kami dengan jelas tahu perkara dahsyat yang berlaku di sana terutama penindasan etnik Uighur. Di mana-mana sahaja terdapat pelanggaran hak asasi. Penindasan ini sangat kejam dan menyedihkan,” – Marco Rubio, Ahli Politik AS, sumber dari Kosmo Online.
- 365Share sekarang!
- Email6
- Facebook359
- Share