- 99Share sekarang!
- Email1
- Facebook98
- Share
Ada tak dalam kalangan korang yang rindukan Government Service Tax (GST)? Kalau korang perasan, kebanyakan rakyat Malaysia memang bencikan tiga huruf ni – GST. Ada jugak orang yang cakap kekalahan BN masa PRU14 ni sebab BN perkenalkan GST. Punyalah power bab cukai ni sampai kerajaan pun jatuh weh.
Kalau ikut kerajaan kita sekarang, hutang negara dah cecah 1 trillion. So untuk cover hutang yang ditinggalkan kerajaan lama, kerajaan mungkin akan perkenalkan cukai-cukai baru. Kalau korang tak tahu cukai ni untuk apa – diorang akan gunakan pendapatan daripada cukai ni untuk perbelanjaan negara.
So sekarang ni kami akan beritahu korang cukai-cukai yang mungkin akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk cover perbelanjaan negara…
1. Cukai kalau mak bapak korang kaya bagi harta warisan…
Kat Malaysia ni, kalau korang dapat harta pusaka daripada keluarga yang dah meninggal dunia, korang takkan dikenakan apa-apa cukai. Kalau ahli keluarga tu wariskan satu bilion ringgit, korang akan dapatlah satu bilion tu. Di sesetengah tempat macam United Kingdom dan Amerika Syarikat – harta warisan akan dikenakan cukai. Jumlah cukai untuk harta warisan tu bergantung dengan harta apa yang diwariskan.
Sebenarnya, kat negara kita pernah je ada cukai warisan ni. Cukai yang kadang-kadang dipanggil Cukai Kematian pernah wujud di Malaysia dibawah Enakmen Duti Ladang 1941. Kalau korang nak tahu, cukai ni dah dihapuskan pada tahun 1991. Masa tu cukai hartanah bergantung pada nilai hartanah, dan hartanah dibawah 2 juta ringgit tak dikenakan cukai.
Cukai ni dihapuskan oleh kerajaan sebab jumlah kutipan cukai ni tak banyak. Al-maklum lerr, tak semua harta yang diwariskan akan dikenakan cukai. Selalunya kalau harta tu ada nilai yang gempak-gempak, memang kena cukailah. So kalau korang cadang nak wariskan gigi palsu biasa, tak yah risau.
Cukai ni biasanya dilaksanakan kat negara-negara yang dah membangun, setakat ni cukai warisan yang paling tinggi ada kat Jepun (55%) dan yang paling rendah pulak kat Itali (45%). Korang rasa kalau Malaysia perkenalkan cukai ni, berapa kadar cukai yang patut dikenakan? Cukai warisan ni bukan benda baru, sebelum ni ahli politik popular Ahmad Maslan pernah beri komen tentang cukai ni.
“Mereka ini, semasa hidupnya sudah dikenakan cukai dan bukan kita (kerajaan) tidak kaji dan mengambil kira mengenai cukai ini, tapi kita lihat perkara ini tidak sesuai diamalkan di sini,” – Ahmad Maslan, dipetik dari BH
Walaupun cukai ni nampak macam power, United Kingdom tengah hadapi masalah sebab nilai hartanah kat UK dah meningkat. Macam ni – kat UK diorang akan kenakan cukai warisan pada hartanah yang ada nilai £325,000 (RM 1,787,887) sebanyak 40%. Oleh sebab nilai hartanah kat UK dah meningkat, orang-orang yang kelas pertengahan pun terkena tempias cukai ni.
Korang kena ingat – cukai warisan ni asalnya untuk kenakan cukai pada golongan yang kaya yer, bukan golongan kelas pertengahan. Diorang pun settlekan isu ni dengan beri tambahan nilai £100K pada nilai sedia ada, so geng kelas pertengahan tak kena. Memang patutlah benda ni dilakukan, sebab nilai hartanah makin tinggi, kalau tak percaya korang tengoklah harga rumah kat Malaysia.
So cukai warisan ni adalah salah satu bentuk cukai yang kerajaan boleh buat kalau diorang nak perkenalkan cukai baru…
2. Tak ada harta nak diwariskan? Kerajaan boleh gunakan cukai karbon
Cukai karbon ni katanya bukan setakat dapat tingkatkan pendapatan negara je, cukai ni jugak mampu selamatkan bumi yang tengah demam panas ni. Cukai ni katanya akan kurangkan pengeluaran gas rumah hijau dan rumah merah. Rumah hijau tu betul, rumah merah tu kitaorang gurau. Bagi yang tak tahu karbon – karbon adalah elemen yang ada pada bahan bakar kat arang batu, minyak dan gas.
Tujuan cukai karbon ni simple je – bila cukai karbon ni dilaksanakan, pengeluar atau kilang yang hasilkan gas rumah hijau ni akan kurangkan pengeluaran. Sebab makin banyak diorang keluarkan produk yang hasilkan gas rumah hijau, makin banyaklah cukai yang akan dikenakan. Kalau korang nak tahu, Singapura akan perkenalkan cukai karbon tahun depan.
Sebelum ni, seorang pakar ekonomi Prof Madya Dr Budy Resosudarmo dari Australian National University (ANU) percaya cukai karbon sesuai dilaksanakan di Malaysia dan Indonesia. Dr Budy percaya melaksanaan cukai karbon kat negara kita akan kurangkan pencemaran dan akan membantu golongan berpendapatan rendah.
“Dr Budy mencadangkan 50% daripada hasil cukai karbon hendaklah digunakan untuk memberi subsidi kepada golongan miskin tegar, sementara pelepasan cukai boleh diberi kepada industri yang membayar cukai karbon. Kesan regresif cukai karbon boleh ditangani dengan menggunakan hasil cukai untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah.” – Dipetik dari UKM
Selain daripada kurangkan kesan gas rumah hijau, cukai karbon ni boleh mendorong lebih banyak industri dibuka. Kalau kos karbon dah bapak mahal, mesti tauke-tauke besar ni akan cuba buka industri baru – contohnya kereta elektrik atau business panel solar. Bila industri baru dah wujud, dah tentu-tentulah peluang pekerjaan akan bertambah.
Tapi ada gak benda yang boleh datangkan kesan yang buruk, secara logiknya kalau kos penghasilan produk yang dikenakan cukai karbon ni meningkat, mestilah harga produk tu pun akan ikut naik tangga untuk naik sekali. So, teruk kesan dia akan dirasai oleh kumpulan masyarakat yang dapat gaji kecil.
3. Tak nak cukai karbon? Gunalah cukai kalau korang beli barang secara online
Korang ada Facebook tak? Tak pun, pernah tak korang gunakan Google untuk cari something? Kalau korang nak tahu – Facebook dan Google dikatakan kawal 70% daripada iklan digital yang wujud kat Malaysia. Diorang ni terlepas daripada cukai sebab transaksi perniagaan tak berlaku kat premis, tapi kat internet. Walaupun beberapa syarikat gergasi katanya dah bayar cukai, syarikat yang beroperasi di internet lebih mudah untuk elakkan cukai.
Cukai ni termasuk jugak kalau korang beli barang secara online. Buat masa ni – kalau korang jual barang kat internet, cukai SST je lah korang kena bayar. Baru-baru ni, Timbalan Menteri Kewangan kata pelaksanaan ni masih dalam kajian.
“Bagaimanapun, kerajaan masih dalam proses mengkaji dan saya tidak pasti sama ada kita dapat memasukkannya dengan kadar segera dalam pembentangan Bajet 2019 pada 2 November akan datang.” – Datuk Ir. Amiruddin Hamzah, dipetik dari KOSMO
Sebenarnya isu cukai digital ni dah muncul tahun lepas lagi – masa tu ramai yang risau sebab diorang kaki beli barang kat platform e-dagang. Kalau korang masih ingat – masa tu kita masih ada GST. So ramai yang risau kalau harga barang naik gila babs sebab cukai digital ni. Dah namanya cukaikan? Harga barang memang akan naik kalau ada cukai baru diperkenalkan, melainkan penjual tu baik hati nak tanggung cukai sorang-sorang.
“Daripada perspektif pengguna, perkhidmatan digital akan tertakluk kepada cukai apabila undang-undang itu dikuatkuasa dan jika penyedia perkhidmatan memutuskan untuk melepaskan cukai itu dengan memasukkan kepada harga sedia ada, sudah pasti harganya akan meningkat.” – Senthuran Elalingam, Asia Pacific Financial Services Indirect Tax Leader, dipetik dari BH
Kerajaan kena hati-hatilah kalau diorang nak perkenalkan cukai digital ni, bukan diorang tak tahu kuasa pengguna internet power. Kerana netizen, kerajaan pun boleh tumbang ohhh…
4. Kalau takut kena hentam pengguna internet, gunalah cukai Capital Gain Tax (CGT)
Kalau baca sekali imbas, CGT ni macam adik-beradik GST lah pulak. Tapi Capital Gain Tax (CGT) ni beza dengan GST. Kalau GST semua orang kena bayar melalui pembelian produk atau servis, CGT tak macam tu. Untuk bagi korang mudah faham – CGT ni akan cukaikan keuntungan daripada jualan aset. Tak kiralah aset tu saham, rumah, unit trust dan lain-lain aset.
Benda ni mungkin korang tak tahu melainkan korang kaya – kat Malaysia sebenarnya kita dah ada cukai yang lebih kurang macam CGT. Nama cukai tu Real Property Gains Tax (RPGT). Cukai tu pulak akan bergantung dengan usia aset tu. Nilai cukai RPGT ni – 30% dalam masa 3 tahun, 20% pada tahun keempat, 15% pada tahun kelima. Kalau dah lima tahun, free – takde cukai.
Setiap negara akan ada kaedah sendiri untuk laksanakan CGT, selalunya CGT ni dikaitkan dengan pasaran saham. Korang ada saham tak? Kalau takde pun, kena ambik tahu jugak. Nak bagi simple – kalau korang dapat duit daripada jual beli saham tu, korang akan dikenakan cukai. Tapi, selalunya dia akan kira hasil untung setahun.
Contohnyalah korang main saham, korang buat dua penjualan saham. Satu korang rugi, satu lagi korang untung, dan kebetulan jumlah rugi dan untung tu sama. Maksudnya tahun tu korang takde dapat apa-apalah, tak untung dan tak rugi. Dalam kes ni, korang tak akan kena cukai. Sebab cukai ni diorang kenakan pada keuntungan jer.
Macam bagus je cukai ni, apasal kerajaan dulu tak laksanakan eh? Najib Razak ada bagi penjelasan tentang CGT ni. Dia kata, saham ni lain sikit – pemain saham boleh bawak saham diorang keluar Malaysia kalau diorang tak puas hati. Pelabur saham yang belum daftar di Malaysia pulak akan ragu-ragu nak melabur kalau cukai kat negara kita tinggi.
“Di zaman globalisasi ini, mudah bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk memilih disenaraikan di bursa saham negara lain manakala yang belum disenaraikan tidak akan memilih Bursa Malaysia. Jual beli saham tidak seperti jual beli hartanah fizikal yang tidak boleh dipindahkan ke luar negara. Sebab tu kerajaan terdahulu naikkan cukai RPGT dan tidak untuk jual beli saham.” – Najib Razak, dipetik dari UTUSAN
Tak kisahlah cukai apa, cukai tu kena dikembalikan pada rakyat
Sebut je pasal cukai, mestilah ramai yang tak sukakan? Kitaorang harap cukai yang bakal diperkenalkan nanti takdelah terlalu membebankan rakyat, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah. Kitaorang faham je kalau kerajaan nak tingkatkan pendapatan sebab cukai GST yag beri pulangan besar pada kerajaan dah takde.
Sebenarnya ada lagi beberapa cukai yang kerajaan boleh kaji kalau diorang betul-betul nak perkenalkan cukai baru. Apa yang paling penting tentang bab cukai ni – kutipan cukai dipulangkan kepada rakyat. So, korang rasa cukai apa yang bakal kerajaan perkenalkan untuk bajet 2019 ni? Cuba beritahu kitaorang…
- 99Share sekarang!
- Email1
- Facebook98
- Share