Selalu main tipu? Kali ni SPR lantik 6 organisasi pemantau di PRK Sungai Kandis

Selepas Tun Mahathir berjaya menjadi hokage Malaysia yang ketujuh, kita akan menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pertama di Sungai Kandis. Bagi korang yang tak tahu, Mat Shuhaimi Shafiei merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Sungai Kandis setelah menang kat PRU14. Pada awal bulan Julai, dia telah meninggal dunia akibat kanser limfoma.

Pemergian Mat Shuhaimi bermakna berlaku kekosongan ADUN kat Sungai Kandis. Maknanya diorang kena adakan pemilihan semula ADUN melalui PRK. Kalau korang ada cita-cita nak bertanding kat DUN Sungai Kandis ni, bolehlah lupakan niat tu – sebabnya PH dah pun menang dengan majoriti 5,842 undi, tapi bilangan yang turun mengundi tak macam PRU hari tu. Untuk PRK kali ni ada tiga orang nak bertanding, masing-masing mewakili Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Bebas. Eh PAS mana?!

Biru muda, biru tua, atau yang tengah-tengah? Yang mana satu pilihan hati? Imej dari AWANI

Tentang calon-calon ni, bolehlah korang korek maklumat diorang kat google. Hari ni kami nak cerita benda-benda baru yang akan berlaku kat PRK Sungai Kandis. Beberapa hari lepas ada kes PKR nak bagi penduduk Sungai Kandis makan durian free, ni kes baru ni – kami pun nak makan!

1. PAS back up UMNO dalam PRK Sungai Kandis

Hahh…kadang-kadang dari gambar pun orang dah boleh faham. Imej dari MalaysiaKini

Kalau korang tak tahu tentang peperangan kartun diantara penyokong PAS dan seorang pelukis bernama Amin Landak, korang dah terlepas satu perlawanan yang melucukan. Penyokong PAS punyalah marah apabila tengok kartun yang dilukis oleh Amin Landak ni, diorang kata kartun ni hina ulama PAS. Amin Landak relaks je jawab;

“Kebanyakan mereka cakap kartun tu menghina agama, tapi saya tertanya juga apa yang menghina agama itu? Di mana kartun itu menghina agama? Lagi pun saya kritik atas kapasiti dia sebagai orang politik bukan seorang ustaz/ ulama/ ahli agama.” – Amin Landak, dipetik dari MalaysiaKini

Lukis elok-elok ye dik, jangan hina ulamak. Imej dari Giphy

Jarang berlaku PAS beri laluan kepada Barisan Nasional. Ingat tak masa PRU14? PAS jadi parti politik yang paling berfikiran positif bila diorang letak calon yang banyak. Akhirnya kalah teruk. Benda ni buat ramai kecam PAS – diorang dah terang-terang beri laluan pada BN tapi masih lagi nak acah-acah kata diorang tak lobi BN. Kalau korang kata kami kencing – Ustaz Nasaruddin Tontowi sendiri sebut benda ni kat media sosial.

Dia kata, tujuan PAS tak letak calon PRK Sungai Kandis ni supaya Pakatan Harapan (PH) lebih mudah dikalahkan. Biar kekalahan PH ni jadi signal kemarahan rakyat sebab PH tak tunaikan janji pilihan raya seperti menghapuskan tol, menurunkan harga minyak dan menghapuskan hutang peneroka Felda.

Benda Baru: PAS beri laluan kepada BN supaya PH lebih mudah dikalahkan, demi Melayu dan Islam gitu!

2. Calon BN tak dibantu MCA dan MIC! Gaduh ke?!

Bagi yang takde asas politik kat Malaysia ni, ada dua gabungan politik terkuat di Malaysia – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Kalau PH, mesti korang dah tahu apa parti komponen yang lepak dalam geng tu. Untuk BN pulak – dua parti komponen terpenting diorang adalah Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC). Lebih kurang macam BN, dua parti politik ni tak biasa jadi pembangkang.

Macam dua kekasih yang tengah bercinta – begitulah selalunya UMNO, MIC dan MCA setiap kali ada pilihan raya. Berbeza kali ni, mungkin MCA dan MIC bengang dengan UMNO sebab kalah PRU14, diorang mungkin tak akan terlibat dengan PRK Sungai Kandis. Nampaknya UMNO kena lawan seoranglah, walaupun diorang guna logo BN.

“Dua parti komponen BN disarankan supaya “tutup kedai” kerana gagal menyatakan pendirian masing-masing terhadap pencalonan Datuk Lokman Noor Adam bagi mewakili mereka dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.” – Lim Kiat Siang, dipetik dari MalaysiaKini

Tutup macam ni eh Lim Kiat Siang? Imej dari Giphy

Bekas Perdana Menteri kesayangan rakyat Malaysia pun ada komen benda ni. Kata Najib Razak – MCA dan MIC bukanlah takde bantu langsung, diorang masih dalam proses muhasabah diri. Teringat pulak kitaorang masa kat sekolah ada kem muhasabah diri, siap nangis-nangis. Jangan-jangan tulah yang tengah dilakukan MCA yang menang 1 kerusi dan MIC yang menang 2 kerusi pada PRU14 lepas.

Tapi apa-apa pun, benda ni benda baru beb. Biasanya kalau BN pergi berkempen, semua bangsa ada membantu – prinsip 1 Malaysia kan? Walaupun ada wakil BN kata – ada je MIC dan MCA tolong diorang, tapi dari video kempen BN, kita dapat nampak macam muka Melayu jeee banyak.

Benda Baru: UMNO kena berkempen seorang-seorang, sebab MIC dan MCA tengah bermuhasabah!

3. Dulu selalu anjur demo kat jalan raya, kali ni BERSIH jadi pemantau PRK Sungai Kandis!

Korang ingat tak kes SUHAKAM pernah dihalang daripada jadi pemantau PRU14? Isu ni memang popular masa tu – sebab kalau diorang tak main tipu, buat apa nak takut kena pantaukan? Sebelum ni, kalau ada je pilihan raya, mesti ada isu ada pemantau yang tak dapat kerjasama daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kali ni, punyalah SPR garang sampai diorang lantik 6 organisasi sebagai pemantau.

Kitaorang ada teka-teki, apa NGO yang paling banyak kritik SPR kat Malaysia? Kalau korang jawab PERKASA, korang kurang tidur kot. Jawapan dia adalah – BERSIH. Punyalah power BERSIH ni kritik sistem pilihan raya kat Malaysia sampai diorang berjaya anjurkan 5 siri demonstrasi yang libatkan puluhan ribu orang.

Ini barulah 1 Malaysia! Imej dari asiancorrespondent

Walaupun BERSIH selalu kritik pilihan raya zaman BN, kali ni diorang diundang untuk jadi pemantau. Kalau korang tak pernah guna baju kuning dan jerit-jerit kat demonstrasi BERSIH, mungkin korang takkan rasa dah pengalaman tu. Al-maklumlah, BERSIH dah diberikan ruang untuk jadi pemantau kat pilihan raya, rasa-rasanya diorang akan turun tak kat jalan raya lagi?

“Ini kali pertama sejak 2010 BERSIH boleh duduk semeja berbincang (dengan SPR) secara terbuka mengenai proses pemantauan NGO.” – Yap Swee Seng, dipetik dari MalaysiaKini

Mari tengok kalau ada siapa-siapa yang main tipu. Imej dari Giphy

Selain daripada BERSIH, SPR benarkan 5 badan yang lain untuk memantau PRK. Mesti susah kalau ada orang nak main tipu kali ni, banyak betul orang yang memerhati diorang. Alaaa, macam god eye dalam filem Fast and Furious – anda sedang diperhatikan! 5 kumpulan lain yang memantau adalah SUHAKAM, Kelab Pemikir Politik Nasional, ENGAGE, UKM dan Persatuan Orang Kota Bahru.

Benda Baru: BERSIH dan 5 kumpulan lain dijemput jadi pemantau kat pilihan raya dengan rasminya! Biasanya BERSIH pantau tanpa izin SPR.

4. PRK awal sangat, dakwat hitam pun masih tak hilang lagi!

Masa korang tengah baca tajuk ni, mesti korang tengok jarikan. Masih ada lagi ke dakwat hitam kat tangan korang? Kalau masih ada, agak-agaknya macam manalah diorang nak pergi mengundikan? Kalau korang nak tahu – dakwat kekal di Malaysia ni mula digunakan pada PRU13. Tujuan dakwat kekal ni digunakan supaya takde orang boleh mengundi lebih dari sekali.

Kat Malaysia ni bila tiba pilihan raya, mesti ada isu pengundi hantu atau warga asing pergi mengundi. Oleh kerana PRU14 baru je berakhir beberapa bulan lepas, masih ada pengundi yang ada kesan dakwat kekal kat jari diorang. Kalau tanya kat kita orang, senang je – gunalah dakwat colour lain, warna pink pun lawa jugakkan?

Hmmm…sudahkah kau berpunya? Fokus kat jari ehh. Itulah contoh dakwat kekal. Imej dari MG

Isu ni dapat perhatian Timbalan Pengerusi SPR – dia kata para pengundi Sungai Kandis buat relaks jer. Jari diorang akan disemak oleh petugas SPR, kalau diyakini kesan dakwat yang ada kat jari tu dari PRU14, diorang akan dibenarkan mengundi. Tapi kitaorang terfikir jugak, macam mana diorang dapat bezakan eh? Mungkin dakwat PRU14 dah lusuh kot, bila lusuh bertukar warna lah kot.

“Bagi PRK ini, sekiranya dibuktikan bahawa kesan dakwat itu adalah bekas kesan lama yang digunakan pada PRU-14 dan bukannya kesan dakwat yang baharu, maka petugas pilihan raya akan membenarkan pengundi terbabit mengundi selagi nama mereka dalam senarai daftar pemilih belum dibuat penandaan.” – Tan Sri Othman Mahmood, dipetik dari UTUSAN

Hmmm…okay. Kalau dakwat kekal PRK ni nampak macam dakwat PRU14, bolehlah kita mengundi dua kalikan? Imej dari Giphy
Benda Baru: PRU14 dan PRK Sungai Kandis ni berlaku dekat sangat, dakwat hitam pun tak hilang lagi. Perempuan yang bercerai masa PRU14 pun tak habis tempoh iddah lagi.

5. PRK Sungai Kandis ni berlaku masa Azmin Ali nak lawan Anwar Ibrahim

Kalau korang nak tahu, calon PH untuk PRK Sungai Kandis ni calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). PKR akan mengadakan pemilihan pada hujung Ogos ni. Kalau korang tak tahu pemilihan PKR tu binatang apa – pemilihan tu macam Annual Grand Meeting (AGM) kelab kat sekolah tu. Korang akan mulalah pilih pengerusi kelab, timbalan dan bla bla bla.

Bagi yang dah biasa dengan drama kat PKR ni – korang akan tahu dalam PKR ada dua blok yang power dan selalu gaduh manja. Blok pertama diketuai oleh Azmin Ali dan blok kedua dipimpin oleh Rafizi Ramli. Pemilihan PKR kali ni menarik sebab PKR dah jadi kerajaan, mesti ramai nak jawatan penting kat PKR. Siap ada khabar kata Azmin nak bertanding jawatan Presiden PKR, lawan Anwar!

Nak lawan Anwar?! Power betul Azmin! Imej dari Giphy

Untuk pengetahuan korang, Rafizi Ramli dah siap umumkan pasukan dia. Kalau korang tengok orang-orang yang ada pada team dia, bukan calang-calang oh! Anak Anwar – Nurul Izzah pun ada sekali dalam tu. Kali ni Rafizi akan bertanding jawatan Timbalan Presiden yang sekarang dipegang Azmin.

Azmin masih lagi tenang. Dia belum umumkan apa-apa. Katanya dia nak biarkan PRK Sungai Kandis ni habis dulu barulah dia akan umumkan nak bertanding jawatan apa. Kalau dia nak bertanding jawatan Presiden PKR, mesti epik kan? Jangan je kalau kalah jadi macam Muktamar PAS tempoh hari dah lah. Tiba-tiba pulak kita akan ada parti barukan?

Hmmm…gaduh! gaduh! Teringat pulak zaman budak-budak dulu. Imej dari NST

Kehangatan pemilihan PKR ni bermakna geng-geng PKR ni datang ke Sungai Kandis dalam keadaan yang tak berapa stabil. Mestilah diorang sedang fikir nak ikut mana masa pemilihan PKR nanti. Nak team Rafizi ke, team Azmin? ke neutral? Korang rasa apa akan jadi dengan PKR lepas pemilihan ni?

Anwar pulak ada je kempen kat Sungai Kandis. Dia pun tak kata apa-apa pasal pemilihan PKR hujung Ogos ni. Anwar cuma tegur pemimpin Pakatan Harapan jangan cuai dan celupar.

“Saya akui PH (Pakatan Harapan) adalah kerajaan baru yang kadang-kala cuai dan celupar sehingga saya terkejut dengan kenyataan dikeluarkan.” – Anwar Ibrahim, dipetik dari MalaysiaKini

Abang Trumph dah pesan, jangan banyak cakap je, kena ada aksi. Imej dari Giphy
Benda Baru: PRK Sungai Kandis berlaku masa orang-orang kat PKR tengah sibuk fikir tentang pemilihan parti hujung bulan ni.

Sejak PRU14, 3 ADUN dah meninggal dunia

Macam yang kami dah cerita kat atas, bekas ADUN Sungai Kandis meninggal sebab kanser limfoma. ADUN Balakong pulak meninggal sebab kemalangan jalan raya. Lepas tu ADUN Seri Setia baru je meninggal beberapa hari lepas.. Maksudnya lepas ni sekurang-kurangnya dua lagi kita akan hadapi PRK. Bila dengar dua orang ADUN ni ada kanser, kitaorang harap korang pandai-pandailah jaga kesihatan eh.

Sepatutnya parti-parti politik ni kalau nak hantar seseorang tu bertanding, diorang kenalah pastikan calon-calon tu ada kesihatan yang baik. Kasihan kat diorang kalau ada masalah kesihatan, jadi wakil rakyat ni tak mudah dan perlukan tahap kesihatan yang baik. Mungkin dah tiba masanya SPR adakan pemeriksaan kesihatan untuk calon yang nak bertandingkan?

 

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka