5 benda yang berubah dan yang masih sama selepas 100 hari kerajaan PH

Setiap kali acara atau peristiwa besar yang nak dekat, kebanyakan kita akan buat kiraan hari. Contohnya, lebih kurang 1550 hari untuk Piala Dunia 2022 kat Qatar, lagi 14 hari nak Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-61 dan 5 hari lagi korang nak kahwin. Itulah contoh betapa pentingnya satu-satu peristiwa tu berlaku sampai kena dikira-kira.

Semestinya ini adalah peristiwa penting untuk menyara anak bini. Imej dari Brilio.

Untuk kita rakyat Malaysia sekarang, semestinya tengah bising-bising lepas kira 100 hari. Sebab ianya terkait dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dah menjanjikan beberapa perkara kalau dah sampai 100 hari. Mana yang mengundi hari tu (kecuali PRK Sungai Kandis), dakwat hitam kat jari pun dah hilang entah ke mana. Tapi, apa yang berubah dan tak berubah selama 100 hari pemerintahan PH? Jom kita semak satu persatu.

1. Penyusunan semula kementerian-kementerian kabinet Pakatan Harapan

Apa yang berubah?: Kementerian baru diwujudkan, kementerian lama digabungkan

Seperti yang ramai antara korang tau, beberapa perubahan telah dilakukan kepada kementerian-kementerian kerajaan oleh Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir sejak diorang mengambilalih kuasa tiga bulan lalu. Antara terbesar daripadanya adalah pemisahan Kementerian Kewangan daripada naungan Perdana Menteri seperti yang dijanji oleh PH sebelum PRU ke-14 itu dan lantikan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan baru.

Biar betul ni… Tangkapan skrin dari Astro Awani.

Selain daripada tu, berita terbesar yang korang patut tau melibatkan perwujudan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dengan Azmin Ali sebagai Menteri Ekonomi pertama. Menurut laporan-laporan berita, ia didakwa bahawa skop kuasa Azmin telah diluaskan dengan pengalihan syarikat-syarikat terbesar milik kerajaan yang bernilai lebih RM1 TRILION kepada kementeriannya itu bagi tujuan mencekapkan pengurusan syarikat-syarikat tersebut.

Satu lagi perubahan yang juga telah dilakukan adalah pergabungan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah bekas ahli akademik UIA dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik. Pada mulanya, Tun M telah mengumumkan pengambilan portfolio tersebut untuk dirinya sendiri tetapi kemudian melepaskannya pula agar tidak memungkiri janji PH agar Perdana Menteri tidak memegang lebih daripada satu jawatan.

Asalkan jangan lupa sudahhh… GIF dari Tenor.

Nampaknya, banyak juga perubahan yang telah dilakukan ke atas kementerian-kementerian kerajaan sejak PH menjadi kerajaan. Tapi antara benda yang tak berubah adalah…

Apa yang masih sama?: Kementerian yang sepatutnya dimansuhkan dilanjutkan

Agaknya PH ingat ke tidak apa diorang pernah cakap ni? Tangkapan skrin dari Sinar Online.

Salah satu langkah reformasi yang pernah dituntut oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan ketika mereka masih pembangkang adalah pemansuhan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan kementerian dibawahnya itu. Antara ahli parlimen yang pernah bersuara tentang isu ini adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah, yang mendakwa bahawa pentadbiran WP oleh kerajaan persekutuan telah menyebabkan warga kota diketepikan.

Selain daripadanya, beberapa ahli parlimen DAP juga telah menggesa bekas kerajaan BN membubarkan Kementerian WP. Antaranya termasuk Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, yang berkata bahawa peruntukan RM1.16 bilion kementerian itu lebih wajar dibelanjakan untuk projek perumahan mampu milik, dan juga Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, yang mencadangkan bahawa kementerian itu diserap oleh Jabatan PM atas sebab kewujudannya yang bercanggah dengan pelan pembangunan Dewan Bandaraya KL.

Malah, tuntutan ini pernah dihalakan kepada bekas kerajaan BN dalam kenyataan rasmi PH yang ditandatangani oleh wakil parti-parti PH. Bagi pihak PKR, kenyataan itu telah ditandatangani oleh Datuk Saifuddin Nasution, manakala pihak DAP pula telah diwakili oleh bekas Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong. Bagi Parti Amanah Negara pula, kenyataan itu ditandatangani oleh… Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam yang juga merupakan Menteri WP terbaharu. ?

Kalau korang tak tau, abang Khalid Samad, Shahrir, pun pernah dilantik Menteri WP pada tahun 1987! Imej dari FMT.

Sejak perlantikan Khalid Samad sebagai Menteri WP, dia telah mempertahankan kepentingan kementerian itu serta juga berjanji untuk mencekapkan pengurusannya. Walaupun begitu, perubahan kedudukan PH atas isu ini telah dianggap sebagai suatu “u-turn” dan kini telah dipersoal oleh ahli MCA serta lain-lain lagi.

2. Perjanjian pemansuhan akta-akta kerajaan lama oleh kerajaan baru

Apa yang berubah?: Undang-undang zalim yang dijanji akan dimansuhkan

Akta zalim, akta disanggah? Imej dari Aliran.

Antara janji-janji utama yang diberi oleh PH dalam manifestonya adalah pemansuhan undang-undang zalim yang didakwa pernah disalah gunakan untuk kepentingan politik. Antaranya termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 dan juga hukuman gantung mandatori.

Selain itu, PH juga telah menegaskan bahawa ia akan memansuhkan Akta AntiBerita Tidak Benar 2018 dan membawa rang undang-undang pemansuhan akta tersebut untuk dibentang di Parlimen. Semalam juga, RUU itu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Akta tersebut dimansuhkan. Langkah ini telah dikritik oleh bekas Menteri di Jabatan PM Barisan Nasional, Azalina Othman, yang berkata akta itu tidak sewajarnya dimansuhkan tetapi hanya dipinda sekiranya tidak bersesuaian.

Weih, weih, asal tergesa sangat ni? Imej dari Watan Online.

Namun, masih terdapat beberapa lagi perkara yang belum berubah, termasuknya…

Apa yang masih sama?: Akta-akta zalim yang masih digunakan

Walaupun pemansuhan akta-akta itu telah dijanji dalam manifesto PH, kerajaan baru itu kini dilihat sudah berubah nadanya terhadap hal tersebut. Tak lama selepas keputusan PRU ke-14 yang lalu itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata bahawa kementeriannya akan mengkaji terlebih dahulu semua akta yang dijanji akan dimansuhkan dan mengganti balik akta-akta tersebut jika diperlu.

Baru-baru ni lagi, beberapa aktivis telahpun disiasat di bawah akta-akta yang disebut. Antaranya termasuk aktivis sosial, Hishamuddin Rais, yang masih lagi ditahan di bawah Akta Hasutan dan juga Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; peguam hak asasi manusia, Fadiah Nadwa Fikri, yang disiasat atas penulisan yang didakwa menyoal institusi diraja; dan aktivis pelajar, Asheeq Ali, yang juga dipanggil polis atas ucapan yang dibuatnya sebagai solidariti terhadap Fadiah.

Fadiah memberitahu Twitter bahawa Asheeq telah dipanggil polis. Tangkapan skrin dari Twitter.

Kini, beberapa pihak telah menggesa kerajaan PH agar menghapuskan undang-undang zalim ini seperti yang telah dijanjikan. Antaranya adalah peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen dan anggota jawatankuasa PSM S Arutchelvan, yang berdua berkata bahawa siasatan-siasatan di bawah akta ini adalah tidak konsisten dengan manifesto PH. Selain tu, kumpulan hak asasi manusia Suaram juga telah meminta penjelasan mengapa kerajaan masih mengguna Akta Hasutan walaupun berjanji akan memansuhkan undang-undang tersebut.

3. Pelantikan-pelantikan jawatan penting di bawah kerajaan

Apa yang berubah?: Lantikan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Majlis Penasihat Kerajaan

Sebelum ni, tradisi lantikan Peguam Negara adalah dari kalangan orang Melayu dan Islam. Namun, Tun Mahathir dah mencadangkan Tommy Thomas untuk dilantik sebagai peguam negara. Di sinilah isu bangsa dan agama menjadi perdebatan ramai pihak. Sampaikan ada berita bahawa Yang di-Pertuan Agong tak setuju nama Tommy Thomas dicadangkan. Apa pun yang berlaku, Tommy Thomas secara rasminya atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dah pun dilantik. Selain tu, dia didakwa tak pandai cakap dalam Bahasa Melayu sepatah haram, tapi…

Satu lagi lantikan yang luar dari kebiasaan adalah Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara. Macam Peguam Negara, posisi Ketua Hakim Negara dalam sejarah biasanya dari kalangan orang Melayu dan Islam kecuali di awal-awal kemerdekaan. Lantikan ini tak dipersetujui oleh beberapa pihak macam Majlis Perundingan Melayu (MPM). Mereka berpendapat rekod kehakiman Richard Malanjum tak memihak kepada Islam seperti kes murtad Lina Joy. Tapi, ada yang setuju sebab dia paling senior waktu ni.

Contoh lantikan kedua-dua atas ni adalah untuk jawatan yang memang dah ada dari dulu. Tapi ada juga jawatan baru diperkenalkan yang sebelum ni tak ada. Ianya adalah pelantikan lima orang individu sebagai Majlis Penasihat Negara (Council of Elders). Kalau nak diikutkan memang tak ada dalam manifesto. Cumanya, fungsi majlis ni dibentuk untuk memberi nasihat kepada kerajaan bagi 100 hari pertama berkaitan ekonomi. Namun, dilaporkan majlis ni tak nak dibubarkan lagi sebab banyak lagi masalah negara perlu bantuan mereka.

Apa yang masih sama?: Speaker bukan ahli politik dan ahli lembaga pengarah Khazanah adalah PM

Dalam janji ke-16 PH, Speaker Dewan Rakyat yang dipilih mestilah berhenti daripada politik kepartian sebaik sahaja menerima jawatan tu supaya tugas dijalankan dengan adil. Inilah yang dah dilakukan oleh Speaker Dewan Rakyat, Mohammad Ariff Md. Yusof apabila melepaskan jawatan Pengerusi Lembaga Disiplin dan Tatatertib serta Majlis Penasihat Pakar AMANAH. Sebenarnya, benda ni sama macam Speaker Dewan Rakyat sebelum ni iaitu Pandikar Amin Mulia yang melepaskan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu bila dilantik.

Kalau sebut pelantikan Speaker, mesti ingat kata-kata keramat ni. Imej dari The Malay Mail.

Dalam janji ke-22 PH, mereka nak pastikan pelantikan ahli lembaga pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) nasional dan negeri adalah daripada kalangan profesional dan bukan kaitan politik. Namun, isu mula timbul apabila nama Tun Mahathir dan Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) tersenarai sebagai ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional. yang baru. Tindakan ni macam sama waktu kerajaan BN dulu menjadikan Najib Razak, Johari Abdul Ghani (Menteri Kewangan) & Irwan Serigar (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) sebagai ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan tu.

4. Reformasi cukai dan subsidi bertujuan mengurangkan kos sara hidup

Apa yang berubah?: GST dikurangkan dari 6% kepada 0% 

Kita semua rasa terbeban masa GST mula-mula diperkenalkan pada tahun 2015, dan ia kemudiannya dilaksanakan pada April tahun yang sama. Mana taknya, cukai GST tu nampaknya dah menekan rakyat sebab ia perlu dibayar oleh semua pihak – tak kisahlah yang berpendapatan tinggi, sederhana atau rendah.

Atas sebab inilah, kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto 100 harinya berjanji yang mereka akan menghapuskan GST sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya.

Hampir sebulan selepas menang, PH nampaknya cuba menunaikan janji mereka. GST bagaimanapun tak dihapuskan serta-merta, tapi dikurangkan daripada 6% kepada 0% bermula 1 Jun 2018. Sambil itu pula, harga petrol yang diapungkan sebelum pilihanraya juga dikatakan akan diberi subsidi supaya ia dapat distabilkan.

Imej dari FB Pakatan Harapan

Apa yang masih sama?: Harga barangan kebanyakannya kekal sama

Walaupun GST dah dikurangkan sehingga ke 0% (yang bermaksud GST dah tak dikira), tapi nampaknya harga barangan tak banyak yang turun. Malah, ada peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan asal daripada yang sepatutnya sampaikan lebih mahal daripada masa ada GST. 

Ni baru satu kedai, kalau 10 kedai macam mana? Imej dari The Star

Perkara ni tak sepatutnya jadi kerana antara sebab utama kerajaan Pakatan Harapan nak hapuskan GST ni adalah untuk turunkan harga barang yang menyusahkan rakyat Malaysia. Jadi bila harga barangan tak banyak yang turun seperti yang dikatakan kerajaan- sebanyak 30-50%. Nampaknya apa yang cuba dilakukan kerajaan ni tak begitu berjaya (atau mungkin cuma buat masa ni?)

Nak nak pula dengan SST 10% campur 6% yang akan diperkenalkan ni, adakah kita akan nampak pengurangan harga barangan?

Bagi petrol bersubdisi pulak, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga RON95 dan diesel pada harga RM2.20 dan RM2.18 seliter setakat Julai lepas. RON97 pula diapungkan setiap minggu berdasarkan trend harga minyak mentah global, katanya, kerana ia dianggap sebagai produk premium. Kerajaan juga nampaknya dah memperuntukkan RM3 bilion untuk subsidi harga petrol untuk tahun ini.

5. Program dan Projek kerajaan: apa yang dimansuhkan?

Apa yang berubah?: BTN dan PLKN dimansuhkan serta-merta!

Okeh, lepas ni korang boleh balik dah. Imej dari Says.

Baru-baru ni Mesyuarat Kabinet telah memutuskan bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) akan dihapuskan serta-merta. Syed Saddiq memberitahu media bahawa ini disebabkan kedua-dua program ni disalah gunakan oleh kerajaan BN bagi indoktrinasi. Habis apa akan jadi dekat pusat latihan PLKN yang berlambak sekitar Malaysia ni? Tapi nasib baik staf tetap dan kontrak dari program ini akan diserap masuk ke dalam KBS.

Untuk projek mega pula, projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3) dah dibatalkan atas dasar untuk menjimatkan kos. Projek itu menelan belanja lebih RM45 billion, di mana 75% daripada laluan sepanjang 40km adalah merupakan laluan bawah tanah. Laluan MRT3 juga dipanggil Circle Line (macam kat London) sebab dia macam pusing satu bulatan besar sekitar Ampang dan Petaling Jaya.

Dia yang kuning tu. Imej dari SAYS.

Pasal High Speed Rail (HSR) ni pula, kami pun macam pening-pening sikit. Mula-mula Tun kata nak mansuhkan terus projek ni dan membayar RM473 juta sebagai pampasan kepada Singapura. Tapi sekarang pula diumumkan bahawa projek HSR ni sedang postponed pending reviewSingapura pula telah menetapkan bahawa 31 Julai adalah tarikh bagi Malaysia bagi keputusan sama ada on tak on dengan HSR ni. Korang rasa bagus tak HSR ni?

Begitu juga dengan East Coast Rail Link (ECRL), di mana kerajaan masih berbincang dengan stakeholder. Kebimbangan kerajaan sekarang adalah bukan sahaja kos pembinaan yang tinggi (RM81 billion), tapi kos penyelenggaraan yang boleh mencecah RM600 juta ke RM1 billion setahun!

Apa yang masih sama?: BR1M tukar jadi BAHAM, Felo Perdana diteruskan

Sebut saja Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), mesti ingat muka Pak Jibby kita dan takut ia akan dimansuhkan bila kerajaan PH ambil alih. Tapi nasib baik Pak Lim kita teruskan BR1M ni dengan mula memberinya semasa Aidilfitri lepas. Dia juga kata nak tukar nama tapi sampai sekarang kami tak dengar lagi. Mula-mula ingat jadi Bantuan Harapan 1Malaysia (BAHAM) tapi rupanya berita palsu!

Ish sape punya kerja la ni? Imej dari Maukerja.my

Bagi pelajar kat universiti tu, mesti korang pernah dengar pasal Felo Perdana. Ini merupakan program intern di mana korang boleh bekerja di bawah menteri itu sendiri dalam kementeriannya! Untuk 2018, patutnya program ni dimulakan pada Jun tapi maklumlah masa tu tengah sibuk tukar kerajaan jadi dia macam ditangguhkan. Tapi Syed Saddiq umumkan bahawa Felo Perdana ni akan diteruskan. Korang tahu tak dia sendiri alumni (kerja ngan Nancy Syukri)?

Selain Felo Perdana, Sijil Latihan 1 Malaysia (SL1M) juga diteruskan. Ia merupakan sejenis paid internshiptapi kerjanya adalah di syarikat-syarikat seperti Petronas dan Lembaga Tabung Haji. Elaun pun banyak tau RM2,000! Program ni dah disokong oleh Syed Saddiq yang mahu memperbanyakkan program paid internship ni.

Imej dari Twitter.

Adakah manifesto suatu senarai janji atau hanya pernyataan niat?

Kalau korang tanya orang lain-lain, lain-lain lah jawapan yang korang akan dapat. Ada sesetengah yang akan berkata bahawa diorang puas dengan pemerintahan Pakatan Harapan setakat ni sebab manifesto tu pun hanya pernyataan matlamat je. Dan ada yang sesetengah lagi tu yang akan berkata bahawa diorang amat kecewa dengan PH atas sebab tidak menunaikan janji diorang #KerajaanBaru #SemuaSamaJe

Tapi sekarang ni, apa pendapat korang tentang 100 hari pertama kerajaan baru Pakatan Harapan? Jawab la poll kami atau tinggalkan komen di bawah untuk kitorang tau!