- 274Share sekarang!
- Email2
- Facebook272
- Share
(Artikel ini asalnya dalam versi Bahasa Inggeris, CILISOS)
Semua orang sedih Malaysia kalah semalam dengan Thailand untuk menentukan ibu segala pingat dalam Sukan SEA 2017. Apa yang menyedihkan lagi, gol yang dijaringkan pada minit ke-38 tu adalah kesilapan penjaga gol Malaysia yang menumbuk bola masuk ke gawang sendiri. Walaupun dah banyak peluang dicipta, Malaysia tetap tak berjaya untuk menjaringkan sebarang gol. Akhirnya pingat emas menjadi milik Thailand.
Itu kesedihan selepas perlawanan. Tapi korang tahu kan, kesedihan dah pun terjadi sebelum perlawanan kepada para penyokong. Ramai orang yang tak berjaya nak beli tiket setelah pengurusan Sukan SEA Kuala Lumpur mengumumkan yang tiket perlawanan akhir tak akan dijual secara online.
Pengumuman ni memang akan jadi masalah untuk sebahagian orang sebab tiket tu betul-betul dijual pagi esoknya di stadium. Orang yang duduk jauh dari Shah Alam takkan dapat beratur pada masa seawal tu untuk membeli tiket. Kita tengok gambar-gambar pun, memang panjang gila dia punya queue.
Dilaporkan orang ramai dah mula beratur sejak tengah malam, dan semua yang beratur tu dapat tiket. Ada banyak laporan mengenai jumlah tiket yang dijual, ada yang cakap 60,000, ada juga 50,000 dan sebahagian lagi cakap 40,000. Semua tiket ni habis dijual dalam masa dua jam je.
Ada penyokong kita yang mula rasa bengang dengan pengumuman mengejut pasal pembelian tiket ni. Walau macam mana pun, kalau dilihat pada kepadatan penonton di stadium, boleh dikatakan ramai juga yang dapat tiket. Sama ada secara pembelian sah, tiket tajaan, atau guna runner. Atau mungkin juga yang dibeli dari ulat tiket.
Harga tiket boleh cecah RM 1,700 sekeping
Sebelum-sebelum ni, tiket perlawanan semua boleh beli online. Jadi bila jadi benda ni, semua orang mengamuk. Khairy Jamaluddin (Menteri Belia & Sukan) cakap punca tak dijual online sebab kapasiti tiket yang banyak untuk dijual, jadi takut-takut ada proses pembelian online ni tak menjadi. Apa yang kementerian risaukan juga adalah kalau ada kes dimana orang beli online tapi lepas dah bayar tak boleh nak dapatkan tiket tu.
“Saya perlu membuat keputusan setelah menerima maklumat yang diberi. Tanpa kestabilan sistem bayaran online, keputusan dibuat untuk menjual semuanya di Stadium Shah Alam. ” – Khairy Jamaluddin, dalam Twitternya.
Kekecohan yang berlaku ni nampaknya telah membuat sebahagian orang kita buat perniagaan pulak. Diorang telah membeli tiket pada harga RM21.20 dan dinaikkan harga ketika dijual kepada orang lain sampai mencecah RM1,700 untuk satu ticket. Diorang jual mahal ni atas alasan yang diorang dah beratur berjam-berjam untuk dapatkan tiket.
Khabar angin juga tersebar di media sosial yang mana hanya 50,000 tiket sahaja yang sebenarnya dijual ketika orang ramai beratur. Ini menyebabkan ada diantara mereka yang tak dapat nak beli. Sebahagian jumlah tiket telah dikhaskan sebagai tiket tajaan, untuk dijual kepada penyokong Thailand dan sebahagiannya lagi untuk organisasi tertentu. Sampai sekarang masih tak ada lagi kenyataan rasmi pasal ulat tiket ni.
“Kami telah mengehadkan penjualan lima tiket sahaja bagi setiap individu tetapi mungkin ada yang cuba menjualnya semula dengan harga tinggi selepas membeli tiket menerusi orang lain. Kami akan lihat apa tindakan yang boleh diambil. Kita lihat apa yang akan berlaku,”– Khairy Jamaluddin, petikan dari Stadium Astro.
Adakah penjualan tiket oleh ulat tiket ni tak bersalah?
Ulat tiket dengarnya macam dibenarkan tapi sebenarnya secara teknikal tak dibenarkan. Mengikut Kanun Keseksaan memang tak ada apa-apa kesalahan berkaitan pembelian tiket secara pukal (banyak-banyak) dan menjualnya semula dengan harga yang lain. Tapi mengikut kawan kami di Asklegal, benda ni dianggap kesalahan kalau ikut terma dan syarat di belakang tiket tu.
Secara mudahnya, bila seseorang tu beli sama ada tiket kapal terbang ke, konsert atau pertandingan sukan, korang dah mengikat kontrak dengan organisasi yang menjual tiket tu. Jadi korang jugak sebenarnya dah terikat dengan terma dan syarat yang tertulis dibelakang tiket. Sebab tu bila dah dibeli korang dah tak boleh refund balik walaupun acara tu tiba-tiba batal.
Untuk tiket perlawanan akhir bola Sukan SEA ni, antara terma dan syarat yang tertulis adalah:
“Tiket yang diperolehi atau dibeli melalui individu selain daripada sumber yang diberi kuasa oleh KL2017 adalah tidak sah dan boleh dibatalkan tanpa bayaran balik atau kemasukan ke Sesi Perlawanan. Tiket yang digunakan untuk tujuan pengiklanan, promosi, pengutipan dana atau pemasaran tanpa kebenaran KL2017 atau MOM, adalah tidak sah dan boleh dirampas atau dibatalkan tanpa bayaran balik atau kemasukan ke Sesi Perlawanan. Kes tersebut adalah dianggap menyalahi undang-undang.” – Tertulis dibelakang tiket atau korang boleh baca kat sini.
Maknanya kalau korang beli tiket bukan dari penjual yang disahkan oleh KL2017, kontrak tu tak sah dan tiket dikira tak boleh digunakan. Walaupun kita tak ada hukuman atau denda untuk ulat tiket, tapi kita ada Akta Kontrak 1950 bawah Seksyen 74(1) untuk menghukum mereka.
“Bila sesuatu kontrak telah dipecahkan, pihak yang mengalami kerugian akibat dari pemecahan itu adalah berhak mendapat, daripada pihak yang telah memecahkan kontrak itu, pampasan kerana kerugian atau kerosakan yang dialaminya oleh sebab demikian, yang sendirinya timbul dalam keadaan biasa daripada pemecahan sedemikian itu, atau yang diketahui oleh pihak-pihaknya, bila mereka membuat kontrak itu, bahawa mungkin akan berakibat daripada pemecahan itu.” – Akta Kontrak 1954, Seksyen 74(1).
Kod bar yang tertera pada tiket serta terma yang tetulis dibelakangnya adalah cara nak kesan orang yang beli tiket melalui ulat tiket. Tapi waktu nak masuk tu mesti kena daftarkan kod bar tu sekali dengan kad pengenalan. Walau macam mana pun, orang ramai yang beratur disitu mengatakan yang tak berlaku sebarang proses pendaftaran termasuk menunjukkan IC sewaktu pembelian. Jadi susah nak tentukan mana satu pelanggan yang beli secara sah atapun tak.
Para penyokong juga yang terpaksa berkorban wang ringgit dan tenaga
Ketiadaan penjualan tiket online, tambah pulak dengan kekurangan tiket dan jualan melambung-lambung mahal oleh ulat tiket telah menyebabkan peminat bola sepak Malaysia sangat marah. Ianya terbukti apabila penyokong dan pasukan sorak tegar macam Ultras Malaya mengeluarkan kenyataan yang diorang takkan datang dan memberi sorakan semasa perlawanan tu. Ini sebagai satu bentuk protes terhadap sistem penjualan tiket yang kurang baik sampai ada yang pulang dengan tangan kosong walaupun berjam-jam beratur panjang.
Ada beberapa cadangan telah diberikan oleh pakar penjualan tiket online. Antaranya cadangan dari Faisal Karim, CEO StubApp yang merupakan sebuah aplikasi online pembelian tiket Liga Malaysia.
“Buat pelaburan dengan menubuhkan Ticketing Department kerana penjualan tiket merupakan sumber pendapatan penting (20~30% average revenue for football club). Kalau tak mampu, lantik pegawai ticketing yang mempunyai kebebasan untuk menguruskan penjualan dengan berkesan dan kreatif.” – Petikan dari Semuanyabola.com.
Walaupun Malaysia tak menang pada perlawanan malam tu, sokongan rakyat Malaysia tetap tak boleh disangkal lagi kepada skuad Harimau Malaya (Harimau Malaysia). Ianya memang dah terbukti dengan kesanggupan diorang beratur panjang. Belum kira lagi yang terpaksa membeli dari ulat tiket dengan harga yang berganda-ganda. Akhirnya, stadium tetap penuh dengan para penyokong tanah air. Pihak atasan harapnya dapatlah mengenang balik pengorbanan diorang ni dengan tak ulang benda yang sama pada masa akan datang.
- 274Share sekarang!
- Email2
- Facebook272
- Share