- 874Share sekarang!
- Email17
- Facebook857
- Share
UPDATE 22/12/2018: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu mengingatkan kerajaan Terangganu yang diketuai PAS supaya tak guna duit royalti minyak untuk kepentingan parti. PPBM akan pantau ke mana duit tu pergi dan kalau ada benda tak betul, mereka akan bertindak.
Apa yang peliknya, pembayaran royalti minyak untuk negeri Kelantan masih ditangguhkan. Namun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali dah berjanji akan selesaikan sebelum akhir tahun ni. Ini dah mengingatkan kita betapa panjangnya sejarah royalti minyak di Terengganu dan juga Kelantan. Jom, kita baca balik sejarah royalti minyak Petronas di Pantai Timur ni.
Pada tahun 2010, pihak kerajaan negeri Kelantan telah mengambil tindakan menyaman Petronas dengan dakwaan syarikat tu gagal membayar tunggakan royalti minyak. Saman tu difailkan sendiri oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz selaku Menteri Besar Kelantan masa itu.
Bagaimanapun, setelah hampir 6 tahun saman tu dibawa ke mahkamah, nampaknya ia masih lagi belum ada keputusan. Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan kerajaan Malaysia dan Petronas merayu untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Kelantan memasukkan 14 persoalan dan isu undang-undang dalam perbicaraan saman terbabit.
Dalam saman ini, Kelantan juga menuntut Petronas membayar pampasan kepada negeri itu (jumlah pampasan itu tak dinyatakan). Sebenarnya, mula-mula kerajaan Kelantan menamakan Petronas sebagai satu-satunya defenden, tapi lepas tu kerajaan Persekutuan memohon menjadi pencelah dan berjaya menjadi defenden kedua.
Isu pasal royalti minyak ni memang dah lama dibangkitkan, bukan kat Kelantan je tapi isu ni pun pernah timbul di Terengganu. Semuanya bermula apabila…
Terbentuknya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948
Apabila pihak British nak membentuk Malayan Union dan menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah jajahan mutlak British, ia dibantah keras oleh orang Melayu. Lepas tu, British tarik balik cadangan Malayan Union dan memperkenalkan Persekutuan Tanah Melayu dengan persetujuan raja-raja Melayu. Dalam perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, antara perkara yang ditentukan adalah persempadanan antara negeri-negeri di Tanah Melayu.
Mungkin ramai tak sangka, perjanjian ini memberikan kesan kepada apa yang kita hadapi sekarang. Ini kerana, perjanjian ni menetapkan bidang kuasa negeri berada dalam lingkungan tiga batu nautika dari persisir pantai negeri. Manakala, kawasan yang melebihi tiga batu nautika dari persisir pantai diletakkan di bawah penguasaan kerajaan pusat (kerajaan Persekutuan). Hal ni juga disebut dalam Seksyen 4 Ordinan Darurat 1969.
Jadinya, perkara inilah yang menjadi hujah pihak kerajaan supaya tak payah bayar royalti minyak kepada mana-mana kerajaan negeri. Ini kerana, selepas tiga batu nautika dari persisir pantai bukan lagi dalam bidang kuasa negeri tetapi pusat. Seperti yang berlaku di Kelantan, apabila dua telaga minyaknya terletak 150 batu nautika dari perairan negeri itu.
Jadi, betullah tindakan kerajaan pusat yang tak nak bagi royalti minyak? Tak…belum lagi, sebabnya kita kena tahu juga yang pada tahun 1974 Petronas ditubuhkan.
Tertubuhnya Petronas dan perjanjian Akta Peroleum 1974
Lepas merdeka, minyak di negara kita masih lagi diuruskan oleh pihak asing yang buat perjanjian dengan British. Jadinya, Tun Razak yang masa tu menjadi Perdana Menteri mencadangkan agar ditubuhkan satu syarikat petroleum negara. Ye la, nak cari minyak ni bukan macam cari buah rambutan belakang rumah.
Jadinya, pada tahun 1974, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) ditubuhkan dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menjadi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertamanya. Kerajaan juga perkenalkan Akta Kemajuan Petroleum 1974. Tapi sebelum tu, bila Petronas nak ditubuhkan telah berlaku pertikaian di antara kerajaan pusat dan kerajaan Sarawak.
“Tun Razak minta saya selesaikan benda ni. Saya pun pergi jumpa Tun Abdul Rahman (Ketua Menteri Sarawak masa tu). Runding itu ini, hampir berminggu-minggu juga nak pujuk dia ni. Rupanya Tun Rahman ni orang yang berfikiran jauh. Dia kata baiklah,
tapi dicadangkan formula yang mungkin mengejutkan orang ramai. Dia kata biar Sarawak ambil 5 peratus dari hasil minyak yang ditemui di kawasan perairan Sarawak. Biar juga kerajaan pusat ambil 5 peratus, yang selebihnya tu biarlah Petronas guna untuk cari gali minyak di seluruh dunia.” – Tengku Razaleigh Hamzah, Bekas Pengerusi Petronas.
Maka dengan itu, cadangan ini mendapat persetujuan dari Tun Razak dan kabinetnya. Ku Li juga masa tu ditugaskan untuk berunding dengan setiap kerajaan negeri di Malaysia. Hasilnya persetujuan berjaya dicapai mengikut syarat berikut iaitu bayaran tunai 5 peratus kepada negeri yang ada minyak sama ada di darat atau di dasar laut yang berdekatan dengan negeri tersebut.
Hal inilah yang dituntut oleh kerajaan negeri Kelantan. Malah, Terengganu juga pernah menuntut hak yang sama sebelum ini.
Setelah sekian lama Terengganu dapat royalti minyak, tiba-tiba ia dihentikan
Minyak kali pertama ditemui kat persisiran pantai Terengganu adalah pada tahun 1973. Sejak tu, Terengganu dapat royalti sebanyak RM 7.13 bilion dari Petronas. Setelah lebih 20 tahun dapat hasil royalti minyak, tiba-tiba pada tahun 2000 pembayaran royalti dihentikan.
Masa tu, kerajaan negeri Terengganu berada di bawah PAS. Kerajaan pusat masa tu bagitahu yang perjanjian antara Petronas dengan mana-mana negeri kat Semenanjung Malaysia adalah pasal pembayaran ehsan dan bukannya pembayaran royalti. Kerajaan juga masa tu jelaskan apa yang selama ni Terengganu dapat adalah wang ehsan dan bukannya royalti.
“Oleh yang demikian, apa-apa perjanjian yang dibuat di antara Petronas dengan mana-mana negeri di Semenanjung adalah perjanjian ihsan semata mata, bukan perjanjian yang berasas kepada hak negeri terbabit.” – Datuk Dr Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dipetik dari Berita Harian (09/09/2000).
Kerajaan bagi alasan yang diorang dulu bagi duit pada Terengganu sebab masa dulu negeri Terengganu ni miskin, tapi keadaan dah mula berbeza sekarang. Alasan yang sama juga diguna oleh kerajaan dengan kata minyak yang ditemui itu berada kat luar persisir dan mengikut undang-undang ia adalah milik kerajaan pusat.
Malah kenyataan tu dapat sokongan dari bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, dengan kata apa yang Terengganu dapat selama ni adalah wang ehsan dan bukannya royalti.
Bagaimanapun, bila Barisan Nasional (BN) pegang balik Terengganu, kerajaan pusat bagi balik bayaran kepada Terengganu. Eh, apasal pulak? Apa yang lebih pelik, bayaran dibuat walaupun kawasan minyak tu terletak lebih dari 3 batu nautika. Kerajaan juga nampaknya tukar kenyataan dengan kata bayaran tu adalah royalti minyak dan bukannya wang ehsan.
“Tahun depan (2010) tengok rezeki, jika harga minyak naik royalti juga akan bertambah. Bayangkan rezeki yang Tuhan bagi ini. Negeri lain tidak ada rezeki sebanyak ini.
Saya sudah beritahu Menteri Besar supaya gunakan wang ini untuk kesejahteraan rakyat. Buatlah apa saja dan kita tidak akan persoalkan asalkan ia untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat daripada rezeki tambahan ini.” – Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri. Dipetik dari Utusan Malaysia (14/01/2009).
Hal inilah yang menjadi persoalan tentang pendirian kerajaan berkenaan isu royalti minyak. Perkara ini jugalah yang berlaku di Kelantan apabila kerajaan negeri itu menuntut Petronas membayar wang royalti dan bukannya wang ehsan.
Kelantan siap saman Petronas sebab nak tuntut royalti minyak
Pada tahun 1975, telah berlaku Perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 di antara Pengerusi Petronas (Tengku Razaleigh) dan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Nasir. Seperti biasa, dalam perjanjian tu menyebut yang Kelantan akan dapat 5% dari hasil minyak yang ditemui di persisir pantai negeri itu.
Pada tahun 1990-an, minyak mula dijumpai di persisir pantai Kelantan yang ketika tu di bawah pimpinan PAS. Penemuan tu pulak terletak di 150 batu nautika dari Kelantan dan juga berada di kawasan bebas ekonomi yang mana kerajaan pusat dah buat perjanjian dengan Thailand dan Vietnam.
Hasil dari perjanjian di kawasan minyak dan gas ini, kerajaan pusat menerima RM4.59 bilion (sehingga tahun 2013). Tapi nampaknya, kerajaan negeri Kelantan tak dapat apa-apa dari keuntungan minyak ini. Dalam hal ini, sekali lagi kerajaan pusat bagi alasan yang minyak dan gas itu ditemui di luar kawasan bidang kuasa Kelantan (melebihi 3 batu nautika).
Tapi persoalan pun muncul, kenapa kriteria 3 batu nautika digunakan di Kelantan dan tak di negeri-negeri lain? Kalau kita tengok dekat Terengganu, kerajaan pusat kata yang negeri tu dapat royalti dan Pahang juga dijangka akan dapat royalti. Walaupun, jarak minyak yang ditemui di kedua-dua negeri tu adalah melebihi 3 batu nautika.
Atas desakan kerajaan negeri, kerajaan pusat akhirnya bersetuju bagi wang ehsan kepada negeri itu. Bagaimanapun, tindakan tu dibantah oleh Kelantan dan mempertahankan hak mereka untuk mendapat 5% dari keuntungan minyak yang ditemui di persisir pantai negeri berkenaan.
Bertitik tolak dari perkara ini, kerajaan Kelantan akhirnya mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Petronas. Kerajaan pusat pula menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji bayaran tunai kepada negeri di Pantai Timur.
Istilah ‘tiga batu nautika’ dah tak terpakai lagi – Ku Li
Pasal tiga batu nautika inilah yang menjadikan pertikaian buat selama ini. Menurut Tengku Razaleigh, istilah tiga batu nautika dah tak boleh dipakai lagi. Ini kerana, apa yang berlaku selepas Akta Kemajuan Petroleum 1974, meletakkan segala urusan berkaitan petroleum di negara ini di bawah Petronas.
“Kerajaan Persekutuan telah meletakkan hak minyak kepada Petronas untuk selama-lamanya, begitu juga negeri-negeri telah meletakkan hak minyak kepada Petronas buat selama-lamanya. Dengan janji bahawa sekiranya ada minyak di kawasan yang berhampiran dengan mereka walaupun di dasar laut, di atas bumi atau di bawah bumi,
maka Petronas berjanji untuk membayar 5% kepada negeri berkenaan ataupun kerajaan pusat. Itu saja yang dijanjikan oleh Petronas.” – Tengku Razaleigh Hamzah, Bekas Pengerusi Petronas.
“…Mengenai tiga batu nautika, ia berada di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (1948), tak ada kena mengena dengan minyak. Ini hanya bidang kuasa negeri dan bidang kuasa pusat dari segi sempadan.” – Tengku Razaleigh Hamzah, Bekas Pengerusi Petronas.
Tentang 3 batu nautika, Pakar Undang-Undang Laut, Dr Hazmi Rusli juga bersetuju yang ianya sekadar untuk sempadan negeri dan bukannya pemilikan minyak. Menurutnya lagi, undang-undang tentang perlombongan petroleum dah wujud kat Malaysia sejak Perlembagaan Persekutuan Malaysia diwujudkan pada 1957, yang mengatakan perlombongan minyak adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan (Perkara 8(j), Senarai Pertama Perlembagaan Persekutuan).
“Di bawah Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS 1982), minyak akan ada di dua zon maritim, iaitu zon laut wilayah (dalam 12 nautika batu dari garis dasar) dan sekiranya melebihi 12 nautika batu,
ianya termasuk di dalam zon pelantar benua (continental shelf) dan sesebuah negara boleh menuntut sehingga 200 nautika batu zon pelantar benua – Artikel 76 (1) dan 77(1).” – Dr Hazmi Rusli, Fakulti Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, katanya kepada SOSCILI.
Walaupun begitu, Malaysia sebenarnya dah ada undang-undang pasal pelantar benua sebelum UNCLOS 1982, iaitu Akta Pelantar Benua 1966 yang mengatakan hak untuk mengeksploitasi kekayaan alam adalah hak kerajaan Persekutuan. Manakala, bila Akta Kemajuan Petroleum 1974 diperkenalkan, semua hak petroleum adalah milik Petronas.
“…Dan bila Malaysia menandatangani dan menjadi negara yang meratifikasi (menerima) UNCLOS 1982 yang berkuatkuasa di Malaysia pada tahun 1996,
undang-undang sedia ada ini (Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974) tidak bercanggah pun dengan UNCLOS 1982 dan kekal berkuatkuasa di Malaysia.” – Dr Hazmi Rusli, Fakulti Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, katanya kepada SOSCILI.
Jadinya, apa yang kita boleh kata adalah, isu pasal royalti minyak ni sebenarnya lebih kepada isu politik. Ini kerana, kerajaan pusat juga masih berdolak dalih dalam hal ini. Terutamanya apabila Terengganu yang pernah dihentikan royalti minyaknya masa PAS memerintah dan kemudiannya dibayar balik masa BN memerintah.
Maka ada juga kemungkinan yang sebenarnya istilah ‘royalti’ tu tak ada. Apatah lagi, pada dasarnya perlombongan minyak tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan Persekutuan (Perkara 8(j) Senarai Pertama Perlembagaan Persekutuan).
Keikhlasan kerajaan pusat sangat diperlukan dalam hal ini
Walau apa pun, penerangan kerajaan pusat dalam isu ini nampaknya masih lagi kabur dan masih belum dapat diyakini. Ini kerana, apa yang terjadi kepada Terengganu dan Kelantan yang dikecualikan dari pembayaran 5% ketika pembangkang memerintah negeri berkenaan? Tapi Sabah dan Sarawak pula dapat bayaran 5% sehingga hari ini.
“Sabah masa mula-mulanya tak nak sain perjanjian ni dengan pihak Petronas. Akhirnya apabila parti BERJAYA (Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah) berkuasa di Sabah. Parti BERJAYA bersetuju mengadakan perjanjian dengan Petronas atas dasar yang sama. Itulah perjanjian yang saya sain dengan Datuk Mohd Nasir di Kelantan. Kalau Sarawak boleh terima 5 peratus, Kelantan pasti boleh terima 5 peratus.” – Tengku Razaleigh Hamzah, Bekas Pengerusi Petronas.
Oleh itu, keikhlasan kerajaan pusat sangat diperlukan dalam hal ini. Satu penerangan yang terang dan jelas perlu dilakukan. Jika tidak, isu ini tidak akan pernah selesai dan semakin banyak spekulasi akan timbul. Tindakan kerajaan Kelantan yang membawa perkara ini ke mahkamah juga perlu diterima dengan positif.
Ini kerana, hanya badan kehakiman yang berkuasa dalam mentafsirkan undang-undang. Kita juga kena ingat, masa negeri-negeri ini menandatangani perjanjian dengan Petronas, adakah mereka tak dibagi kepercayaan oleh kerajaan pusat yang mereka akan mendapat manfaat dari perjanjian ini atau hanya sekarang bagi semata-mata?
- 874Share sekarang!
- Email17
- Facebook857
- Share