Alam Sekitar

Tambakan Pulau Tekong: Bila Malaysia CABAR Singapura di mahkamah antarabangsa

Semenjak dua menjak ni, hubungan politik Malaysia dan Singapura semakin cabar mencabar. Bermula dengan pembatalan HSR, penarikan diri Malaysia dari kes Pulau Batu Puteh, Malaysia nak ambil balik ruang udara dari negara tu dan bot-bot kecil Malaysia masuk ke sempadan perairan Singapura.

Memang lain macam hubungan kedua-dua negara ni. Kita sebagai rakyat biasa ni kalau sebut Singapura je, mesti terfikir pasal negara kecil-tapi-kaya ni yang suka sangat tambak tanah. Sampaikan pada tahun 2007 ada kerisauan dari penduduk di Johor berdekatan dengan penambakan Pulau Tekong, Singapura yang didakwa menjadikan paras air sekitar sungai semakin cetek, susah nelayan nak tangkap ikan.

Kita masih ada Pulau Batuan Tengah. Imej dari Astro Awani

Sedar atau tak, isu penambakan tanah di kawasan pulau din Singapura pernah dicabar oleh Malaysia di peringkat antarabangsa. Sebelum sembang jauh, kita kena tahu dulu kenapa negara jiran kita suka sangat tambak tanah?

(Nota kaki: Artikel ini banyak merujuk jurnal kajian tulisan Akmalhisham Jasni, Sharifah Munirah & Sharifah Mastura dari UKM)

Sejarah penambakan tanah Singapura, beli tanah dari Indonesia sampai rakyat sana bengang

Aktiviti penambakan tanah wilayah Singapura ni bukanlah benda baru, ia bermula sejak zaman penjajahan British lagi. Pada tahun 1820-an, Stamford Raffles mengarahkan supaya bukit berdekatan dengan Kuala Sungai Singapura diratakan untuk membina satu pelabuhan bagi kapal-kapal perdagangan. Ini penting untuk strategi ekonomi dan ketenteraan British.

Ingatkan berhentilah sampai situ, rupanya tak. Lama lepas tu, dibawah kepimpinan Lee Kuan Yew, projek penambakan ni wujud semula. Contohnya, pada tahun 1960-an, penambakan Sungai Kallang untuk tujuan perumahan dan industri. Pada tahun 1970-an, tambakan tanah Marine Parade untuk perumahan dan tambakan tanah untuk Lapangan Terbang Changi pada tahun 1980-an.

Imej dari Business Insider

Ada satu projek tu, tujuh pulau digabungkan jadi satu yang dinamakan sebagai Pulau Jurong pada tahun 1990-an. Sampai sekarang, aktiviti penambakan tanah masih berlaku macam di kawasan Tuas dan Pulau Tekong.

Agaknya, dari manalah Singapura dapat pasir ni ye? Seronok nampak. Pada tahun 1960-an, Singapura guna pasir dari bukit–bukit yang ada di kepulauan diorang. Lepas habis, Singapura terpaksa beli pasir dari Malaysia dan Indonesia yang dijual di antara S$7 hingga S$10 per kubik yard. Tapi kena ingat, lebih kurang 80% sumber pasir untuk projek penambakan tanah Singapura datangnya dari Indonesia iaitu Kepulauan Riau.

Tanah Kepulauan Riau, akan berenang jadi tanah Singapura. Imej dari Faktadaerah

Ini dah menimbulkan rasa tak puas hari rakyat Indonesia yang melakukan bantahan berterusan hinggalah kerajaan Indonesia menamatkan urusniaga pasir dengan Singapura pada Februari 2003.

Sebenarnya, Singapura tambak tanah beriya-iya nak jadi besar mana?

Menurut pandangan Penolong Profesor Alan Chong dari National University Of Singapore, penambakan wilayah ni satu formula yang digunakan negara-negara kecil untuk membesarkan saiz negara mereka. Kerajaan Singapura pula memang memerlukan tanah-tanah baru ni untuk memenuhi jangkaan pertumbuhan penduduk dan penambahan sektor ekonomi. Kiranya, bukan semata-mata nak tambah saiz negara, tapi untuk masa depan Singapura juga.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Untuk pengetahuan korang, projek penambakan laut di Singapura ni ada dua peringkat pelan perancangan.

  1. Pelan Konsep: Pelan umum guna tanah dan pengangkutan untuk jangka masa panjang yang disediakan setiap 10 tahun.
  2. Pelan Utama: Pelan ni adalah perincian bagi Pelan Konsep yang melibatkan perancangan pembangunan yang tak mencemarkan alam sekitar.

Nampak bagus kan? Ini gambar peta penuh.

Sikit-sikit, lama-lama jadi besar Singapura ni. Imej dari jurnal UKM

Masa awal-awal, Malaysia tak risau sebab penambakan Singapura hanya tertumpu ke arah selatan negara diorang. Tapi, pada tahun 1980-an, Singapura dah mula luaskan kawasan penambakan ke sekitar Selat Johor yang terlalu hampir dengan garis sempadan laut negara. Itu yang kita mula risau.

Penambakan tanah di Tuas dan Pulau Tekong makin menganggu Malaysia

Dua kawasan penambakan yang buat Malaysia panas

Pada tahun 2002, projek penambakan di Tuas dan Pulau Tekong mendapat bantahan dari Malaysia. Sebabnya Malaysia mendakwa penambakan di Tuas dah melangkaui titik sempadan negara, manakala penambakan Pulau Tekong dah menyebabkan kemusnahan kepada persekitaran marin, memusnahkan jeti dan mengurangkan hasil tangkapan para nelayan Malaysia.

Singapura pun panas telinga dan minta laporan terperinci banyak kali setiap kali Malaysia buat bantahan sebab diorang nak buat siasatan. Kerajaan Malaysia janji nak bagi laporan, tapi laporan tu diberi lewat lebih setahun.

“Laporan tersebut yang antaranya mengandungi hasil kajian pakar-pakar penyelidik Malaysia yang berkaitan dengan bidang biomarin, geomorfologi dan oseanografi telah diserahkan oleh kerajaan Malaysia kepada kerajaan Singapura pada 4 Julai 2003 supaya tindakan mitigasi segera dapat dilakukan.”

Maka berlakulah pertemuan wakil kerajaan Malaysia dan Singapura pada 13 hingga 14 Ogos tahun 2003.  Malaysia nakkan satu sistem perundingan yang lengkap dengan Singapura untuk tujuan bertukar-tukar pendapat dan maklumat dari kedua-dua belah pihak. Singapura pula membentangkan secara lengkap pasal projek penambakan di Tuas dan Pulau Tekong serta menegaskan bahawa ia terhad kepada sempadan perairan Singapura sahaja.

Nampak tenang ditiang bendera, tapi…Imej dari Expat Go

Pertemuan tu berjalan dengan baik dan kedua-dua negara bersedia untuk mengadakan pertemuan kali kedua. Sementara menunggu berlangsungnya pertemuan kedua, kerajaan Malaysia meminta Singapura untuk menangguhkan serta menghentikan serta-merta dulu kerja-kerja penambakan. Tapi, Singapura tak nak sebab diorang dah tunjuk laporan serta bertegas yang ia tak bagi kesan negatif kepada Malaysia.

Malaysia tak mengalah dan buat permohonan penangguhan lagi ke Singapura terutamanya berkaitan Pulau Tekong. Singapura nampaknya melewatkan maklum balas sehingga lebih seminggu dan dalam masa sama dikesan mempergiatkan kerja-kerja pembalakan di Pulau Tekong.

Dah lebih seminggu, jawapan yang diberikan Singapura adalah dalam bentuk nota diplomatik bertarikh 2 September 2003. Dalam nota tu bagi jaminan projek penambakan melibatkan Pualau Tekong tak ganggu hak laluan laut Malaysia dan kalau ada yang tak betul mereka akan berhentikan serta-merta.

Tak ada lagi rundingan, terus ke mahkamah antarabangsa, Singapura rasa kena game!

Dua hari lepas dapat nota diplomatik, 4 September 2003 menyaksikan kerajaan Malaysia memfailkan kes permohonan provisional measures (langkah sementara) di Tribunal Antarabangsa untuk Undang-Undang Laut (ITLOS) atau mahkamah ITLOS. Antara perkara-perkara yang ada dalam permohonan tu adalah:

  1. Tuntutan kepada Singapura supaya tangguhkan aktiviti penambakan di laut yang terletak di kawasan sempadan kedua-dua negara atau kawasan yang dituntut sebagai sempadan laut Malaysia. (terutamanya sekitar Pulau Tekong dan Tuas)
  2. Singapura diminta untuk menyediakan maklumat lengkap yang mengandungi cadangan-cadangan pembesaran penambakan yang digunakan dan rancangan pemeliharaan dan pemuliharaan pinggir pantai yang menerima kesan langsung dari penambakan
  3. Membenarkan Malaysia memberi maklum balas di atas kerja-kerja penambakan dan impak yang mungkin berlaku, termasuklah ke atas maklumat yang disediakan
  4. Bersetuju merunding sebarang isu yang belum diselesaikan bersama Malaysia

Jom Singapura! Imej dari Slida Share Net At Work.

Apa respon Singapura? Pada pandangan Singapura, Malaysia memang dah game mereka. Rundingan awal-awal dulu hanyalah strategi taktikal Malaysia untuk membawa Singapura ke mahkamah ITLOS. Kalau korang nak tahu, syarat nak bawa sesuatu pertelingkahan ke mahkamah ITLOS mestilah terlebih dahulu kedua-dua negara ada buat perundingan. Macam yang kami tulis dulu, Malaysia dah pun buat pertemuan dengan Singapura pada 13 hingga 14 Ogos 2003.

Singapura memang tak puas hati gila. Mereka buat permohonan agar tuntutan Malaysia ni digugurkan. Dan mengarahkan kerajaan Malaysia membiayai segala kos yang ditanggung oleh kerajaan Singapura di dalam prosiding kes tersebut di mahkamah ITLOS.

Kau nak kena ni Malaysia woi!!!!

Malaysia vs Singapura di mahkamah ITLOS, kita tengok siapa menang

Tujuan Malaysia bawa isu ni ke mahkamah ITLOS adalah desakan agar kerajaan Singapura bagi maklumat lengkap berkaitan perancangan penambakan wilayahnya. Sebabnya Malaysia minta Singapura jelaskan perancangan pembinaan terowong atau jambatan yang menghubungkan Singapura dengan Pulau Tekong. Tapi, Singapura hanya hantar nota diplomatik je. Maka bertemulah kedua-dua negara di mahkamah ITLOS.

Sewaktu perbicaraan di mahkamah, peguam kerajaan Singapura membangkitkan bahawa Malaysia dah tahu sejak peringkat awal lagi mengenai projek penambakan di Pulau Tekong dan Tuas. Kenapa tak buat bantahan waktu awal-awal dulu?

Para peguam Malaysia dah membalas hujah itu dengan mengatakan bahawa kerajaan Singapura yang patutnya bagi maklumat lengkap kepada kerajaan Malaysia pasal projek ni. Kerajaan Malaysia tak boleh paksa buat rundingan tanpa ada maklumat lengkap dari Singapura.

Mai aku tunjuk cara lawan dalam court…

Tapi sebaliknya berlaku apabila Malaysia sendiri yang buat kajian impak projek ni tanpa mendapat kerjasama Singapura. Lagi pun, kerajaan Singapura sendiri tak buat Penilaian Alam Sekitar Terperinci (Detailed EIA) yang sepatunya menjadi sebahagian daripada standard untuk sesuatu projek penambakan.

Lagi satu, sebelum ni Malaysia tak pernah bantah sebab projek penambakan Pulau Tekong yang ada dalam Pelan Konsep 1991 tak gambarkan secara terperinci wilayah-wilayah yang hendak ditambak dari tahun 1991 hingga 2001. Sekali lagi kerajaan Singapura gagal memberikan petunjuk yang tepat pasal rancangan penambakan yang dilaksanakan sepanjang tempoh 2001 hingga 2011.

Selain tu, peguam Malaysia juga ada senaraikan beberapa pelanggaran Singapura di bawah Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS):

  1. Tak memelihara dan memulihara hidupan marin dan menjejaskan hak-hak kerajaan Malaysia
  2. Kegagalan kerajaan Singapura untuk bagi kerjasama atau merunding projek penambakan wilayah mereka bersama Singapura
  3. Penambakan wilayah Singapura yang melampaui had batas sempadan laut Malaysia di titik 20

Wah. Dah lebih tu. Imej dari jurnal UKM

Setelah selesai semua perbicaraan pada 25,26 dan 27 September 2003, akhirnya…pada 8 Oktober 2003 keputusan keluar.

Singapura kena bayar pampasan kepada nelayan Malaysia

Kerajaan Malaysia dan Singapura perlu bekerjasama menubuhkan Kumpulan Pakar Bebas (GOE) untuk buat kajian dan menentukan kesan-kesan penambakan wilayah Singapura (terutamanya Pulau Tekong), serta mencadangkan tindakan yang sesuai untuk menghadapi kesan-kesan tu. Kerajaan Singapura juga diperintahkan untuk ambil kira laporan GOE dan tak laksanakan penambakan wilayah di dalam apa cara yang menimbulkan prasangka terhadap hak-hak kerajaan Malaysia.

Untuk GOE, kerajaan Malaysia lantik Prof. Roger Falconer dan Prof. Christopher Fleming dari UK manakala Singapura melantik professor dari Belanda dan Kanada. Kedua-dua kerajaan dah lantik firma dari Denmark iaitu DHI Water and Environment untuk bantu GOE buat kerja lapangan. Akhirnya, laporan lengkap GOE mengenai projek penambakan tanah Singapura diserahkan kepada mahakmah ITLOS pada 5 November 2004.

Suasana mahkamah ITLOS. Imej dari Aprecon

Antara hasil kajian GOE menunjukkan bahawa aktivit-aktiviti penambakan di Tuas dan Pulau Tekong dah mengakibatkan beberapa impak kepada kawasan kajian. Walau macam mana pun, tiada impak besar (major) yang direkodkan. Namun, hakisan pinggir pantai disahkan berlaku di jeti PULAREK dan jeti Belungkor di Johor.

Setelah jemaah hakim di ITLOS berbincang, pada 10 Januari 2005, mahkamah memutuskan agar kerajaan Singapura mengubah rekabentuk akhir garis pantai di Pulau Tekong dan Changi macam kat bawah ni.

Bite tu berfungsi untuk melebarkan kawasan Calder Harbour Channel supaya dapat mengurangkan kelajuan arus dan menjadikan aliran arus bertindak kembali normal. Kerajaan Singapura kena pastikan tahap kedalaman laut di Bite kekal -12 meter dari dasar laut. Manakala nose tu pulak, akan melancarkan aliran arus masuk dan keluar di sepanjang Calder Harbour Channel dan Kuala Johor Channel.

Selain tu, kerajaan Singapura perlu menanggung kes kerja-kerja pemulihan jeti Belungkor dengan nilai S$300,000. Manakala Malaysia pula di jeti PULAREK. Kerajaan Singapura juga perlu membayar pampasan kepada setiap orang nelayan yang terjejas sebanyak RM5,200 seorang berjumlah RM374,000. Seterusnya, kerajaan Singapura mesti bagi jaminan kepada kerajaan Malaysia bahawa laluan kapal laut untuk melalui Kuala Johor dan Calder Harbour tak terjejas akibat projek penambakan di Pulau Tekong.

Setiap negara ada hak mereka masing-masing, tapi jangan ganggu hak negara lain

Setiap negara ada hak masing-masing untuk buat apa je kat wilayah mereka. Tapi kalau menganggu hak negara orang lain macam kita, pastinya negara kita boleh ambil tindakan. Keputusan mahkamah ITLOS ni dah menunjukkan bahawa Malaysia boleh mendesak negara lain dalam isu sempadan laut.

Malaysia pun warga PBB juga. Imej dari Malaysia Kini.

Ini juga membuktikan, kita mempunyai ramai pakar yang boleh membantu negara untuk menghalang apa-apa benda buruk yang berlaku kepada negara kita sendiri. Dalam isu ni kita boleh lihat bagaimana pakar biomarin, geomorfologi dan oseanografi serta peguam-peguam yang mewakili negara dalam membantu negara untuk mendapatkan keadilan. Seperti kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh!

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend