- 47Share sekarang!
- Email3
- Facebook44
- Share
Malaysia sekali lagi berdepan dengan krisis politik selepas sekian lama kita ‘berehat’ daripada kekecohan politik yang agak besar, yang pasti semua rakyat sebenarnya penat dengan perkara ni. Siapa je tak penat kalau tampuk pimpinan asyik bertukar je kan, disebabkan dorang bergaduh tu kita pula yang terkena tempias.
Daripada Langkah Sheraton sehingga lah ke pelantikan Datuk Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, kita ingat semuanya akan berakhir. Namun, sekali lagi krisis politik terjadi iaitu di Melaka. Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terpaksa dibubarkan apabila empat ahli DUN Melaka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka pada awal bulan Okt lalu.
Sekaligus, ia memaksa untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilangsungkan secepat yang mungkin untuk memilih wakil rakyat yang baharu di DUN Melaka. Semua tu orang dah cakna dah, yang mengejutkan sekarang adalah tentang penarikan diri parti Malaysian United Democracy Alliance (MUDA) daripada PRN Melaka, mari kita tanya pendapat pemerhati politik.
MUDA menarik diri kerana integriti?
Langkah MUDA untuk menarik diri daripada PRN Melaka ni agak mengejutkan kerana mereka dikatakan mampu menggegar arena politik negara, salah satunya dengan mengubah budaya politik ‘tua’ itu sendiri. Namun, selepas selangkah menapak untuk bertanding, mereka membuat keputusan untuk menarik diri disebabkan integriti.
Integriti yang dimaksudkan tu adalah mereka tidak mahu untuk bekerjasama dengan ‘katak’ iaitu dua bekas ahli DUN Melaka yang juga bekas ahli UMNO. Mereka juga antara orang yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka sehinggalah mencetuskan PRN Melaka ini, Syed Saddiq menegaskan yang mereka tidak akan menyokong budaya politik ‘katak’.
Namun, pemerhati politik kita ada pendapat yang berlainan berkaitan keputusan yang diambil oleh MUDA…
“Jika mereka mempunyai pendirian macam tu, itu keputusan mereka. MUDA juga parti yang baru, mereka juga mengharapkan golongan belia menyokong mereka. Tetapi calon-calon lain dari parti komponen Pakatan Harapan (PH) pun dah menyenaraikan orang yang cukup muda ketika ini, jadi di mana mereka nak duduk sekarang?” kata Ismail Hashim, pensyarah Komunikasi Media di Universiti Selangor kepada SOSCILI
Ismail menambah yang tindakan menarik diri seperti ini juga boleh dikira satu langkah yang tak berapa bagus, takkan lah nanti kalau terjadi lagi kes ‘katak’ ni masa Pilihan Raya Umum (PRU) mereka akan buat macam ni juga kan. Namun, apabila MUDA mengambil tindakan sebegini, ia seakan-akan nak ‘tunjuk besar’ dengan PH.
“MUDA bukan parti komponen dalam PH pun. PH sudah pun mengagihkan kerusi kepada semua parti komponen dengan adil, mungkin terdapat kurang perbincangan daripada MUDA dengan PH sehingga menyebabkan tiada pengagihan kerusi kepada mereka,” kata Syazmir Hariz Noorazalan, AJK Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional kepada SOSCILI
Tambah Syazmir lagi…
“Kenapa selepas PH tidak memberikan satu kerusi kepada mereka (MUDA) baru timbulnya soal ‘katak’? Kenyataan MUDA ni dilihat sebagai satu langkah bela diri atas kegagalan untuk berunding (untuk mendapatkan kerusi) dengan PH,”
Oleh itu, MUDA kena mula merancang dari sekarang tentang bagaimana mereka nak bersaing dengan gergasi-gergasi politik yang ada pada PRU akan datang nanti. Kerana jika mereka nak terikat dalam coalition, mereka kena terima juga kelemahan mereka. Tapi susah juga kalau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pun susah nak luluskan MUDA ni.
Tak apa lah, kita tunggu dan lihat apa yang akan jadi. Oh ye, ada juga kisah ‘muda’ lain yang agak panas tau…
Calon paling muda dan masih lagi seorang mahasiswa
Kita dikejutkan dengan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berani untuk menyenaraikan seorang mahasiswa yang berumur 21 tahun sebagai calon di DUN Sungai Rambai (N28). Nama diberi adalah Farzana Hayani Mohd Nasir, dia merupakan seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara (UITM) dan lulusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media di tempat sama.
Menyenaraikan seorang mahasiswa dalam pilihanraya merupakan benda yang sangat baru, tak pernah dibuat orang kot. Adakah PKR sendiri sudah bersedia untuk menghadap segala keputusan selepas ini? Namun, perkara ini sekaligus menjadi penanda aras yang skop politik kita sudah mula berubah sedikit demi sedikit. Tak ada lah yang tua je berada di atas kan.
“Itu satu perkara yang menarik untuk dilihat, ini boleh dilihat sebagai gelombang baru kerana mereka berani meletakkan calon yang berumur 21 tahun dan juga masih lagi belajar. Saya rasa sekarang, kita kena tampilkan lebih ramai orang muda (sebagai calon) supaya akan ada perpekstif baru, pandangan baru, kita taknak terlalu ‘hegemoni’ seperti politik-politik lama yang menampilkan gaya lama dan cara-cara lama,” kata Ismail Hashim
Nada yang sama disuarakan oleh encik Syazmir apabila dia juga merasakan perkara ini memberi impak positif jangka masa panjang terhadap arena politik negara. Mungkin lepas ni ramai lagi ahli politik muda muncul untuk mendominasi era baharu ni.
“Gergasi politik yang ada sekarang sudah terlalu lama berada dalam arena politik negara, ada yang mula berpolitik dari 70-an lagi dan masih lagi bertanding sehingga sekarang. Kita harus bersikap terbuka dengan proses transisi diantara golongan lama dalam politik kepada golongan muda,” kata Syazmir Hariz
Pemilihan orang muda dalam politik ni, khususnya mahasiswa adalah satu tindakan yang bijak dalam menarik undi-undi orang muda itu sendiri. Jadi boleh dikatakan apa yang dilakukan PKR merupakan strategi yang bagus, cuma mereka harus bersedia lah dengan kritikan orang ramai jika ia tidak berhasil.
PRN Melaka rancak, ramai pemain baru sedia menggegar
Kalau ikut apa yang kita dah lihat setakat ini, semua pihak yang bertanding telah meletakkan calon yang berkredibiliti tinggi. Mereka bukan sahaja dilihat mampu memberi saingan hebat di DUN Melaka, diharap juga mereka mampu membawa budaya politik yang matang sepanjang pilihanraya nanti.
Mungkin ini adalah penanda aras baharu dalam arena politik, PRN Melaka ini pasti akan dijadikan blueprint kepada pilihanraya yang akan datang. Jadi kepada rakyat Melaka, pilih lah seelok-eloknya, selamat mengundi!
- 47Share sekarang!
- Email3
- Facebook44
- Share