7 cara rakyat Malaysia boleh kurangkan cukai pada tahun 2022!

Sebijak-bijak Albert Einstein, beliau pernah berkata;

“Perkara paling sukar difahami di dunia ialah cukai pendapatan“. – dipetik daripada akauntan Einstein.

Tu lelaki genius. Kalau lelaki biasa mungkin akan jawab ‘hati perempuan’. Imej daripada Forbes

Tapi kitorang nak pastikan artikel ni mudah dihadam, jadi sebelum tu, kitorang kena jelaskan dulu beberapa istilah yang akan digunakan dalam artikel ni:

  • Tahun taksiran: Tahun kalendar (1 Jan – 31 Dis) korang membayar cukai
  • Tempoh pemfailan cukai: Tempoh untuk korang memfailkan cukai, iaitu sehingga 31 April SELEPAS tahun taksiran.
  • Contoh: Pada April 2022, Soscili memfailkan cukai untuk apa yang diorang peroleh dalam tahun taksiran 2021.

Dalam artikel ni, kitorang akan ceritakan tentang pelepasan cukai daripada Bajet 2022; ini bermakna ia hanya boleh digunakan untuk tahun taksiran 2022, a.k.a. bila korang failkan pada April 2023. Tapi untuk bagi gambaran yang lebih lengkap, kitorang juga masukkan sekali pelepasan cukai yang dilanjutkan daripada inisiatif sedia ada, yang bermaksud ia boleh digunakan untuk tahun semasa apabila korang failkan cukai pada April 2022.

Keliru eh? Jangan risau, nanti kitorang tandakan dengan font biru tebal supaya korang lebih senang faham. Jadi, ni antara pelepasan cukai yang boleh korang manfaatkan:

Potongan KWSP 9% dilanjutkan, pelepasan cukai PERKESO dinaikkan

Imej tak diedit daripada Faihan Ghani via The Star.

Bagi pekerja tetap, kerajaan dah melanjutkan pilihan kadar caruman minimum 9% KWSP sehingga Jun 2022. Ini bermakna korang boleh minta syarikat carumkan 9% je, berbanding kebiasaannya 11% daripada gaji korang setiap bulan. Jadi, korang akan ada duit gaji lebih untuk dibawa balik, tapi kurang sikitlah untuk simpanan persaraan (tapi syarikat korang masih perlu menyumbangkan jumlah yang sama, iaitu minimum 12%).

Bergantung kepada gaji korang, ini juga boleh menjejaskan jumlah pelepasan cukai yang korang akan dapat; iaitu maksimum RM4,000 bagi caruman KWSP. Selain tu, ada sedikit peningkatan dalam pelepasan cukai untuk caruman PERKESO daripada RM250 kepada RM350, yang juga termasuk caruman kepada Skim Insurans Pekerjaan (EIS).

Manfaat pelepasan cukai ni bukan untuk pekerja tetap je, sebab…

Freelancer pun dapat pelepasan cukai KWSP sehingga RM4k

Sama ada korang freelance (pekerja bebas), bekerja sendiri atau pekerja gig, kebiasaannya korang takde kena mengena sangat dengan KWSP sebab tiada keperluan atau insentif untuk korang buat caruman KWSP secara tetap.

Tapi mulai tahun 2022, korang juga akan dapat manfaat yang sama seperti pekerja tetap, di mana korang akan dapat pelepasan cukai sehingga RM4,000 kalau korang membuat caruman ke akaun KWSP.

Nak tahu macam mana? Korang boleh tengok kat halaman caruman diri KWSP. Oh, ini juga boleh digunakan untuk penjawat awam yang menggunakan skim pencen.

Bukan tu saja, ada manfaat lain untuk ibu bapa, di mana adanya…

Pelepasan cukai untuk pendidikan di semua peringkat umur

Imej tak diedit daripada The Malaysian Reserve

1. Yuran tadika dan taska

Ibu bapa yang menghantar anak mereka ke taska dan tadika berdaftar boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM3,000 untuk yuran tersebut. Ia akan digunakan untuk tahun semasa – bermakna korang boleh menuntut jumlah tersebut apabila korang memfailkan cukai pada 2022 – dan telah dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2023 (yang akan korang failkan dan bayar selewat-lewatnya pada April 2024).

Bila korang boleh failkan: 2022, 2023 dan 2024

2. Skim Simpanan Pendidikan Nasional

Kalau korang adalah ibu bapa yang tengah merancang masa depan anak-anak, korang juga boleh mula menabung untuk pengajian tinggi mereka melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (dulu dikenali sebagai Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia). Hampir sama macam KWSP, tapi fungsinya ialah untuk menyimpan wang untuk yuran pengajian diorang. Ada banyak lagi manfaat lain, tapi tentang cukai pula, korang boleh tuntut pelepasan sehingga RM8,000 untuk tahun ni dan pada tahun 2022.

Bila korang boleh failkan: 2022 and 2023

3. Kursus pendidikan dan peningkatan kemahiran untuk diri sendiri

Kalau korang rasa nak sambung belajar dan gunakan duit sendiri, korang juga boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM7,000 untuk yuran kursus, asalkan korang belajar di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf (iaitu kolej atau universiti). Benda ni sebenarnya memang dah wujud, tapi apa yang baharu ialah pelepasan ni sekarang termasuk yuran daripada badan profesional berkelulusan untuk kursus dalam Perakaunan, Kewangan, dan juga Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG)

Bagi yang nak ambil kursus untuk tingkatkan kemahiran (upskilling), pelepasan cukai untuk kos kursus peningkatan kemahiran akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 sehingga tahun taksiran 2023. Tapi untuk tahun ni, ia masih lagi RM1,000.

Bila korang boleh failkan untuk kursus peningkatan kemahiran:

    • RM1,000 pada 2022
    • RM2,000 pada 2023 dan 2024

Memandangkan pembelajaran kita banyak tertumpu dalam talian, jangan tak tahu yang kita juga boleh dapat…

Tambahan pelepasan cukai sehingga RM2,500 untuk gajet elektronik

Imej tak diedit daripada Crystal Cox via Business Insider

Kalau ikutkan, memang dah ada RM2,500 potongan cukai gaya hidup yang meliputi pembelian bahan bacaan pendidikan (elektronik atau bercetak), peranti elektronik dan langganan internet.

Bagaimanapun pada tahun 2020, kerajaan memperkenalkan pelepasan cukai khas tambahan sehingga RM2,500 kalau korang beli komputer, telefon pintar atau tablet, yang telah dilanjutkan hingga 31 Disember 2022. Dan ya, korang boleh gunakan untuk tahun semasa juga.

Bila korang boleh failkan: 2022 dan 2023

Tahun 2022 adalah masa terbaik untuk menjadi juara Esukan

Imej tak diedit daripada Business Insider

Kalau korang perasan, kerajaan dah tumpukan perhatian untuk membangunkan industri Esukan kita sejak beberapa tahun lepas. Tapi kali ni diorang nampaknya bagi extra sikit dengan peruntukan RM20 juta di bawah Bajet 2022.

Namun apa yang menarik ialah terdapat pengecualian cukai ke atas mana-mana hadiah dari segi duit yang mungkin korang menangi daripada kejohanan antarabangsa terpilih pada tahun 2022. Ini bermakna, duit hadiah korang dapat tu takkan dikira sebagai pendapatan yang boleh dicukaikan pada tahun tu.

Pelepasan cukai untuk perbelanjaan perubatan, kini termasuk kesihatan mental & ujian C-19!

Pada tahun 2021, pelepasan cukai maksimum bagi rawatan penyakit kronik dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000; dan ini termasuk kos untuk diri sendiri serta anak dan/atau pasangan.

Daripada jumlah ni, korang boleh tuntut sehingga RM1,000 untuk pemeriksaan perubatan. Tapi pada tahun 2022 (dan mungkin seterusnya), ia dah diperluaskan untuk merangkumi pemeriksaan kesihatan mental dan perundingan daripada pakar psikiatri, ahli psikologi dan kaunselor berdaftar; serta ujian pengesanan C-19. Malah, korang juga akan dapat pelepasan untuk suntikan penggalak C-19 (booster), kalau korang bayar sendiri.

Dah dapat vaksin penggalak, mungkin korang teringin nak bercuti. Jadi korang jangan lupa tuntut…

Pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk penginapan hotel di Malaysia

Imej tak diedit daripada Sarawak Tourism

Masa tahun 2020, kerajaan mengumumkan pelepasan cukai khas sehingga RM1,000 untuk penginapan hotel di Malaysia. Ini merangkumi tahun semasa dan telah dilanjutkan sehingga penghujung tahun 2022.

Tapi… ia cuma merangkumi penginapan di hotel yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan. Jangan risau, ada ribuan hotel yang berdaftar. Korang boleh tengok senarai hotel yang terlibat dalam laman web ni.

Bila korang boleh failkan: 2022 dan 2023

Jangan lupa simpan resit!

Sebenarnya ada beberapa lagi pelepasan cukai tambahan yang kitorang tak masukkan, sebab ia terlalu spesifik. Contohnya macam RM2,500 untuk kemudahan caj Kenderaan Elektrik, dan lanjutan pelepasan RM3,000 untuk caruman kepada Skim Persaraan Swasta (PRS). Jadi kalau korang nak cari lebih info untuk pelepasan cukai lebih spesifik berserta manfaat lain yang takde kaitan cukai pendapatan, korang boleh lawati laman web Manfaat Bajet 2022.

Akhir kata, tiada apa yang lebih membahagiakan selain melihat cukai korang dikurangkan, lebih-lebih lagi bila LHDN bagi bayaran balik cukai! Jadi, mohonlah semua pelepasan cukai yang korang layak ye. Tapi jangan lupa, simpanlah resit korang sebaik-baiknya. Manalah tahu kalau LHDN nak audit dan perlukan bukti, segalanya dah ada dalam genggaman korang.

Imej tak diedit daripada memegenerator