5 perkara malang yang telah merugikan sektor pelaburan Malaysia

Sebenarnya kami pun tak tahu macam mana nak mulakan artikel ni, sebab pelbagai idea yang masuk dalam kepala otak kami sampai tak tahu nak mula macam mana. Kalau nak mulakan artikel dengan ayat “Ramai yang terkesan akibat pandemik ini, termasuk jugalah sektor ekonomi” agak common sebab semua artikel kami, mula dengan ayat macam ni.

Takpelah, sebenarnya tujuan kami nak tulis artikel ni nak bagi tahu mengenai lima perkara malang atau buruk yang telah merugikan sektor ekonomi Malaysia.

Mesti korang tertanya-tanya en? GIF dari Imgflip.

Perkara yang kami maksudkan tu adalah berita-berita atau info-info buruk mengenai sektor ekonomi kita. Contohnya, ada negara luar tak nak bekerjasama dengan kita, ada kilang luar negara yang bertapak di Malaysia ingin hentikan operasinya dan sebagainya.

Cakap banyak tak guna mari kita pergi pada perkara yang pertama…

1. IBM hentikan operasi Pusat Penghantaran Global di Cyberjaya

Inilah IBM kat Cyberjaya tu, apahal pulak nak ditutup? Imej dari iTnews Asia.

Pada 31 Mei yang lalu, IBM telah menutup Pusat Penghantaran Globalnya di Cyberjaya, Selangor di mana ia telah beroperasi sejak tujuh tahun yang lalu (Februari 2014). Mereka juga berpindah operasi di Singapura.

Antara punca utama berpindah kerana dua perkara iaitu penerimaan produk dan perkhidmatan mereka. Namun, ia tidak memberikan kesan kepada IBM lain di Malaysia la.

“IBM kekal komited kepada Malaysia dan akan terus memberi tumpuan kepada membina kapasiti dan keupayaannya untuk membantu pelanggan kami dalam perjalanan awan hibrid dan AI (kecerdasan buatan) mereka; dan negara dalam usahanya untuk menjadi masyarakat berasaskan pengetahuan seperti yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital…” – jurucakap IBM, dipetik dari The Edge Markets.

Hal ini telah menjejaskan sektor pekerjaan. Jurucakap IBM enggan mendedahkan berapa banyak pekerjaan yang akan hilang akibat penutupan pusat Cyberjaya.

Lu hai wa bai bai. Imej dari Imgflip.

Sebenarnya, prestasi IBM di Cyberjaya sangat memberangsangkan. Nak tahu kenapa?

Pada 2014, Pusat Penghantaran Global IBM di Cyberjaya memberikan perkhidmatan bernilai tinggi kepada pelanggan dalam bidang pengurusan platform perisian, operasi sistem pelayan, pengurusan keselamatan dan risiko, dan pengurusan projek. (diambil dari artikel The Edge Markets).

2. Hyundai memindahkan pusat latihan di Indonesia

Hyundai Training Academy di Mutiara Damansara. Imej dari Hyundai Malaysia.

Ye benar awal tahun 2021 kita dah dengar berita mengenai Hyundai Training Academy bakal ditutup akhir tahun ni dan dipindahkan ke Indonesia. Majoriti kakitangan Malaysia yang bekerja di sana telah pun diberhentikan. Kakitangan lain akan meletakkan jawatan selepas penyerahan kepada pasukan Indonesia selesai.

Kalau nak tahu ia menjadi berita buruk kepada Malaysia memandangkan kita ingin menjadi pusat automotif seantero untuk Asia Tenggara.

Syarikat Hyundai mengesahkan bahawa mereka akan melabur RM 4.02 billion (USD 1.55 billion) di Indonesia hingga tahun 2030. Ia merangkumi kilang yang boleh hasilkan 150,000 kereta setahun di Bekasi, Jakarta.

Nampak kosong je kan? Imej dari Wapcar.

Trivia

Hyundai Training Academy dibuka pada 12 November 2015, seluas 17,965 kaki persegi dan menjadi tumpuan dalam aktiviti latihan jualan dan selepas jualan di serantau Asia Pasifik. Bukan tu je, ia juga berfungsi sebagai ibu pejabat Hyundai Motor di rantau itu.

3. Syarikat T-Systems keluar dari Malaysia

Kalau korang layan Bundesliga mesti tahu syarikat T-Systems ni pernah taja pasukan bola mana? Cuba teka, kami kasi clue la ye:

GIF dari giphy.

Ye betul, syarikat T-Systems ni pernah menaja pasukan bola Bayern Munich dari dulu sehingga sekarang. Namun, ada berita buruk bagi negara kita.

Mereka telah menjual bisnesnya di Malaysia kepada syarikat firma pegangan pelaburan swasta Quintephi Sdn Bhd pada akhir November 2020.

Menurut jurucakapnya, perjanjian itu, untuk jumlah yang tidak didedahkan, datang sebagai sebahagian daripada pembelian pengurusan. Peralihan itu dijangka selesai pada pertengahan tahun 2021, di mana T-Systems tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan di Malaysia.

Keputusan untuk keluar dari pasaran Malaysia datang selepas pelanggan dan rakan kongsi global utama T-Systems, Shell memindahkan operasi IT dari Cyberjava, Malaysia ke Bangalore, India, sebagai sebahagian daripada projek bertahun-tahun untuk menyatukan sumber IT.

T-Systems di Cyberjaya. Imej dari Foursquare.

T-Systems Malaysia ditubuhkan pada tahun 2008 untuk berkhidmat dengan Shell. Syarikat minyak itu telah menjadi pelanggan penting sejak sekurang-kurangnya 2008.

Lepas tu, hubungan dua syarikat tu diperbaharui pada tahun 2012 dengan kontrak lima tahun yang memberi tumpuan kepada penyatuan sistem pusat data dan penghijrahan pengkomputeran awan. Fakta menarik, T-Systems mempunyai lebih daripada 800 pekerja di Cyberjava, Malaysia pada tahun 2019.

4. Negara jiran kita lebih maju dari kita

Sabar semua…jangan marah dengan tajuk di atas, bagi kami huraikan dulu…

Mohon bersabar ini ujian, mohon bersabar. GIF dari giphy.

Kita tengok negara Singapura dulu, seperti yang korang tahu negara itu sangat maju dalam pelbagai aspek serta banyak syarikat dari luar negara yang bertapak di situ.

Pertama, Facebook berkata mereka merancang untuk mengukuhkan kehadirannya di Asia Tenggara dan seterusnya dengan melabur AS$1 bilion (bersamaan dengan RM4.2 billion) di pusat data baharu di Singapura (pertama di Asia) yang dijangka dibuka pada 2022. Pusat tersebut akan merangkumi 170,000 meter persegi.m dengan 11 tingkat.

“Memutuskan di mana untuk mencari kemudahan seperti ini adalah proses yang rumit dan makan tahun yang melibatkan mengimbangi berpuluh-puluh kriteria yang berbeza.” – jurucakap Facebook, dipetik dari EDB Singapore.

Inilah bangunannya, besarkan? Imej dari EDB Singapore.

Ia akan dibina di Tanjong Kling, kawasan yang dikenali sebagaiTaman Pusat Data Singapura‘ (kalau bahasa Inggerisnya ‘Singapore Data Centre Park’). Mereka juga berkata bakal membuka banyak peluang pekerjaan…jadi boleh la try apply ke?

Kedua, negara Indonesia menjadi sebuah pasaran digital terbesar di Asia Tenggara. Hal ini kerana banyak syarikat digital besar ingin melabur di negara itu seperti Google, Microsoft, Facebook dan PayPal.

5. Malaysia tak termasuk dalam senarai projek dasar laut Google

Bulan Ogos yang lalu, syarikat gergasi teknologi Facebook dan Google mengumumkan Apricot — kabel bawah laut baru yang akan meningkatkan sambungan di rantau Asia Pasifik. Kabel dasar laut sepanjang 12,000km akan menghubungkan Jepun, Taiwan, Guam, Filipina, Indonesia dan Singapura, dan malangnya, Malaysia tidak berada dalam senarai.

Nampak tak peta Malaysia tak terlibat pun? Imej dari Malaymail.

Ia dilihat sebagai satu lagi peluang terelepas bagi Malaysia yang menyasarkan pendaratan kabel kapal selam paling banyak di Asia Tenggara menjelang 2025 di bawah MyDigital.

Hal ini tumbulnya satu kontroversi di mana ada pihak yang mengatakan dasar kabotaj Malaysia antara punca utama kita tidak ada dalam projek bawah laut itu.

Walau bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong menafikannya. Dia berkata ia tiada kaitan langsung dengan dasar kabotaj Kerajaan PN.

Untuk info lebih lanjut, korang juga boleh baca artikel dari Cilisos (tekan sini).

Apa akan jadi kepada Malaysia?

Nak bincang pasal Malaysia ni, sebenarnya kita pernah dinobatkan sebagai negara yang terbaik untuk pelaburan dan menjalankan perniagaan oleh Ceoworld Magazine.

Menurut mereka, terdapat beberapa faktor kenapa negara kita adalah terbaik untuk sektor tersebut, antaranya:

  1. Korupsi.
  2. Kebebasan (peribadi, perdagangan, dan kewangan).
  3. Tenaga kerja.
  4. Perlindungan pelabur.
  5. Infrastruktur.
  6. Cukai.
  7. Kualiti hidup.
  8. Red tape (maksud: Birokrasi yang berlebihan atau pematuhan kepada peraturan dan formaliti rasmi).
  9. Kesediaan teknologi.

Dalam ranking Ceoworld Magazine pada tahun 2020 pun, Malaysia masih menduduki carta top 10.

Kalau nak tengok carta penuh, boleh pergi ke Ceoworld Magazine.

Adakah ranking Malaysia dalam Ceoworld Magazine akan naik pada suatu hari nanti?