Sejarah & Politik

6 orang Kelantan dan Terengganu bagitahu macam mana PAS boleh menang PRU14

Nampaknya bahang PRU 14 ni masih belum berakhir lagi setakat artikel ni ditulis. In case ada antara korang yang baru je keluar daripada pertapaan, kitorang nak bagitahu ni yang Pakatan Harapan dah ambil alih kerajaan dari Barisan Nasional yang memerintah sejak 61 tahun yang lepas. Safe to say, korang yang sokong PH dah jadi pro-government, dan korang yang sokong BN pulak nampaknya dah jadi pembangkang.

Berdasarkan janji PH juga, dua hari kita bercuti bagi meraikan kemenangan tu. Dan dua hari tu jugalah pokok bunga ros dalam office kitorang tak bersiram.

Bila kawan malas layan lawak PM kau

Dalam kejayaan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan dan juga beberapa negeri di Malaysia, kita juga tak boleh nafikan yang PH tak berjaya, malah tak memenangi mana-mana kerusi pun di negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu. Supaya korang yang kurang tahu pasal politik di negeri Cik Siti Wan Kembang ni, Kelantan ditadbir oleh kerajaan PAS sejak tahun 1990, iaitu 28 tahun yang lalu dan tak pernah berubah lagi setakat tahun ni. Malah, PAS akan mentadbir negeri Kelantan selama 5 tahun lagi.

Bagi negeri Terengganu pula, kerajaan diorang memang selalu bertukar antara PAS dan BN sejak PRU tahun 1999 lagi. Tapi pada PRU kali ni pulak PAS berjaya merampas Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti mudah selepas memenangi lebih separuh daripada kerusi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi kita tanya lima orang rakyat Kelantan dan Terengganu yang mengundi di negeri masing-masing:

1. Kebanyakan pengundi menolak Parti Amanah yang ada dalam Pakatan Harapan

Antara perlawanan tiga penjuru BN, PAS dan PH, kenapa pula PH dilihat tak dapat menang langsung di Kelantan dan Terengganu ni? Rata-rata antara diorang ni berpendapat semuanya berpunca dari parti Amanah.

Parti Amanah Negara yang ada dalam PH. Siapa sangka Mat Sabu yang pandai buat lawak tu dah jadi Menteri Pertahanan sekarang? Imej dari tv14.my

Bagi korang yang tak follow sangat politik ni, penubuhan Amanah ni bermula bila Majlis Syura PAS mengesahkan hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan yang telah mengakibatkan Pakatan Rakyat berkubur. 

Keputusan tu yang menyebabkan wujudnya dua kumpulan pemimpin dalam PAS dengan satu kumpulan dipelopori ulama muda yang nakkan PAS bersendirian, dan satu lagi kumpulan dipelopori sebahagian besarnya oleh golongan profesional dan progresif, mahukan hubungan dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat dikekalkan.

 

Tuan Guru Hadi Awang juga pernah kata yang Amanah ni memecah belahkan Islam. Imej dari FMT

Perkara ni diakui oleh beberapa orang Terengganu,

“Actually bukan tak kuat PH ni, firstly maybe PH ni still baru kat sini. Then orang prefer PAS maybe sebab dah lama bertapak kat sini then PAS pun pernah pegang Terengganu before this dengan pengaruh ulamak lagi. Tapi apa yang paling penting bagi penyokong PAS pula, diorang ni takkan sekali-kali menyokong Parti Amanah yang merupakan pecahan dari PAS.” – Aieman, dari Terengganu.


 

“Saya ada juga dengar cerita-cerita orang terdekat yang mengatakan mereka ni tak suka parti pecahan atau serpihan, contohnya Amanah yang merupakan serpihan daripada PAS. Sebabnya, pecahan ni ada kemungkinan untuk lompat-lompat parti walaupun calon-calon ni kebanyakannya adalah figure yang hebat semasa berada bersama kepimpinan parti lama” – Iman, pelajar di Terengganu.

Jangan tersalah cara lompat dah la. Imej dari giphy

“Kat Terengganu PAS dengan UMNO boleh kata sama kuat, jadi orang akan pilih salah satu. Sebab kenapa PH tak berjaya masuk dua negeri ni sebab Amanah adalah pecahan dari PAS. Dan orang PAS pula memang tak suka Amanah sebab buat parti baru, walaupun Amanah termasuk dalam Pakatan Harapan.”- Hanis, dari Terengganu

Malah, antara sebab lain yang kawan kitorang bagitau adalah golongan PAS di Terengganu terdiri daripada golongan teknokrat, dan bukan sebab ilmu agama semata-mata.

“Satu lagi sebab calon di Terengganu ni ada golongan teknokrat dan bukan. Calon kali ni pula banyak golongan teknokrat. Biasanya kita tengok Amanah yang banyak golongan teknokrat tapi dalam PAS pun ada. Salah satunya ia menarik minat orang muda. Sebab BN kalah pula sebab nampak sangat corruptnya. PAS pula lebih dipercayai sebab rekod bersih. Calon Amanah kebanyakannya calon luar, atau mungkin tak dikenali sangat di tempat tu.” – Athirah, Terengganu.

“Cesss, mari kita bangunnn!” yang jadi trending.

2. Pengaruh Ulama, Melayu dan Islam di kedua-dua negeri ni

Punca kedua ni tak mengejutkan sangat, sebab punca ni lah yang selalu disebut-sebut orang Kelantan dan Terengganu pasal negeri diorang, iaitu pengaruh ulama di negeri-negeri tersebut. Perkara ni diakui oleh rakyat Terengganu, Aieman Izzat yang bekerja sendiri.

“Pada saya ia disebabkan pengaruh Arwah Tuan Guru Nik Aziz dengan Haji Hadi Awang memang kuat kat Terengganu dan Kelantan ni.”

Nik Aziz yang sangat dihormati dan dimuliakan rakyat Kelantan, mengiringi jenazahnya. Imej dari Astro Awani

Malah, pelaksanaan undang-undang Islam lebih ketat di Kelantan berbanding Terengganu. Contohnya macam ditegur dan diberi amaran, serta saman yang dikeluarkan kepada perempuan yang tak menutup aurat atau berpakaian ketat,

Imej dari trendsmap.com

Dan lelaki pun tak terkecuali kalau berseluar pendek.

Imej dari malaysiannews.com

“Maybe lepas PAS pegang Terengganu ni, baguslah untuk perbanyakkan lagi aktiviti keagamaan atau penguatkuasaan undang-undang macam yang Kelantan buat” – Aieman Izzat.
Kitorang juga dapat pendapat yang sama daripada seorang doktor yang berasal, dan bekerja di Kelantan,
“Sebabnya rakyat Kelantan sudah merasai pemerintahan bawah pemerintahan Islam dan melihat macam mana cara kerajaan Islam memerintah. Kami rakyat Kelantan dah selesa dan terbiasa dengan suasana tanpa kelab malam, rumah judi dan lain-lain. Bukan tu je, kami sangat suka dan dah terbiasa dengan kuliah-kuliah majlis agama yang dijalankan kerajaan PAS,” – Doktor Tengku, anak jati Kelantan.
Bagi rakyat Kelantan, diorang memang biasa ke ceramah agama yang selalunya dilakukan pada Jumaat pagi, sebab hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari dalam Islam.

Majlis ilmu kuliah pagi Jumaat MPKB yang disampaikan oleh Allahyarham Nik Aziz sendiri. Imej dari ajijoi.blogspot.my

Selain tu juga, faktor Melayu-Islam juga merupakan salah satu sebabnya. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan orang Melayu di Kelantan dan Terengganu ni adalah negeri yang didominasi orang Melayu, iaitu lebih dari 90%, berbanding bangsa-bangsa lain di negeri-negeri tu.

“Malah majoriti kedua-dua negeri ni adalah Melayu, iaitu sebanyak 80-90%. Jadi kebanyakan daripada penduduk kedua-dua negeri ni lebih prefer calon Melayu Islam untuk mentadbir negeri-negeri ni” – Aieman Izzat.

3. Terengganu nampaknya nakkan perubahan kali ni

Kalau nak dibandingkan politik antara kedua-dua negeri ni, Kelantan lebih setia bersama PAS selama 28 tahun, manakala politik di negeri Terengganu lebih sengit. Malah tampuk pimpinan negeri Terengganu juga selalu bertukar juga dikatakan berpunca daripada penemuan minyak di pesisiran pantainya pada akhir tahun 1976 yang diberi royalti setiap tahun, menjadikan negeri tu lebih kaya.

Kita pernah tulis pasal royalti minyak di kedua-dua buah negeri ni dengan lebih lanjut. Imej dari Soscili

“Masa BN pegang, keistimewaan untuk anak Terengganu memang banyak. Tapi masing-masing sebenarnya ada kekuatan dana kelemahan masing-masing yang boleh dilihat orang Terengganu sebab kedua-dua parti pernah jadi kerajaan negeri. Jadi, Terengganu sebenarnya lebih nakkan kepada perubahan yang diorang boleh bagi pada negeri. Tak suka, kita tukar” – Aieman Izzat.

Apa yang paling penting, Terengganu memang pentingkan agama dan pendidikan. Contohnya macam  Idris Jusoh yang jadi MB Terengganu pada tahun 2004. Banyak peruntukan yang dia bagi pada kedua-dua parti ni walaupun dia dari BN” – Athirah, eksekutif pemasaran.

Disebabkan beberapa kali juga diorang tukar kerajaan, ada beberapa buah buku khas yang ditulis tentang perjalanan politik Terengganu. Ada yang back up PAS dan kata PAS patut  pegang Terengganu, dan ada juga buku yang ditulis mengatakan BN patut menang negeri tu.

Malah, ada sebuah buku menerangkan tentang pemikiran para pemimpin PAS Terengganu, menceritakan tentang keyakinan penulis yang PAS akan memerintah Malaysia dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum 2004.

Salah satu buku analisa tentang politik Terengganu. Imej dari padredeumares.blogspot

4. Faktor calon lebih penting daripada mana-mana parti politik

Kalau Kelantan dikatakan memang kubu kuat PAS dan Terengganu pula selalu bertukar kerajaan negeri, apa yang paling penting bagi rakyat kedua-dua negeri ni adalah calon yang bertanding berbanding parti politik,

“Kalau untuk setempat (tempat mengundi) sebab dah kenal wakil rakyat tu. Nampak apa yang dia buat, prihatin, jenis buat kerja, tak sombong, jenis penduduk boleh dekati.” – Husna Hamid, pelajar UIA dari Kelantan

Calon-calon di Kelantan biasanya penduduk setempat juga, dan di tempat Husna, calonnya lebih mesra disapa sebagai Cikgu Nan. Imej dari FB

Tapi kalau kita tengok politik di Terengganu, negeri ni nampaknya lebih kerap bertukar kerajaan berbanding Kelantan yang masih setia dengan PAS. Malah kita boleh nampak masalah-masalah projek dan penukaran Menteri Besar beberapa kali atas pelbagai sebab.

“Saya rasa antara sebab Terengganu lebih selalu bertukar kerajaan negeri adalah sebab orang Terengganu mengundi berdasarkan keperibadian calon, dan bukannya parti. Mana-mana calon yang convincing akan diundi. Calon BN kat DUN saya ada track rekod yang buruk, jadi saya tak undi dia walaupun sebelum ni saya undi BN” – Hanis, pekerja swasta.

Malah, calon yang bijak pandai pun sebenarnya diambil kira bagi memajukan negeri-negeri ni,

“Kita nak golongan teknokrat yang faham Islam. Benda ni yang lagi menarik minat golongan muda untuk undi PAS. Contoh yang saya boleh bagi adalah calon PAS di Besut yang merupakan engineer yang pernah berkhidmat di Arab Saudi, dan Menteri Besar Terengganu sekarang adalah Penganalisa Kejuruteraan Aeroangkasa, yang boleh menjadi contoh kepada anak muda negeri ni” – Athirah, eksekutif pemasaran.

Kalau nak tahu, Menteri Besar Terengganu yang baru dilantik merupakan berasal dari Jertih, Besut merupakan bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom. Dia juga merupakan Penganalisa Kejuruteraan Aeroangkasa, dan terlibat dalam menganalisis Tragedi MH370 dan MH17 yang pernah disiarkan di beberapa akhbar dan media.

Imej dari rosibrahim.com

5. Politik yang diterapkan dalam diri sejak kecil, dan pengundi nak kekalkan perasaan yang sama

Kalau ditanya pasal sejak bila pegangan politik ni diamalkan pula, Iman kata keluarga dia dan kebanyakan keluarga di Terengganu, dan terutamanya di Kelantan terdedah dengan politik sejak kecil lagi,

“Pada pendapat saya (cuma pendapat saya dan mungkin bukan semua keluarga di sini), kalau nak diikutkan, kita kat sini membesar dengan politik. Satu lagi sebab kuatnya sistem pondok dan ulamak di Kelantan dan Terengganu. Kami membesar macam ni, jadi kami tak rasa nak ubah” – Iman, pelajar.

Bekerja di bandaraya Kuala Lumpur sebagai eksekutif pemasaran di Subang Jaya, Athirah menyuarakan pendapatnya tentang negeri asalnya, Besut yang merupakan sempadan antara Kelantan dan Terengganu,

“Sebagai pengundi luar, kita kalau boleh nak balik ke negeri kita dengan perasaan yang sama macam kita membesar, dan tak sama dengan negeri-negeri lain atau tempat permastautinan kita.” – Athirah.

Belia Kelantan nampaknya memang sanggup tunggu tepi jalan dan tunjukkan solidariti untuk parti PAS di Tumpat, Kelantan. Video diambil sehari sebelum PRU14.

Kubu kuat PAS yang tak perlu dipersoalkan lagi

Sebelum PRU14 bermula, Ilham Centre, sebuah badan penyelidikan dari sudut ekonomi, politik dan sosial sendiri pernah membuat ramalan berdasarkan kajian dengan menyatakan PAS akan memenangi 7 buah kerusi. Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh pula percaya yang PAS boleh menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen, dan memerintah lima negeri pada PRU14 ni. Manakala Invoke Malaysia pula meramalkan yang PAS langsung takkan memenangi mana-mana kerusi bagi Parlimen dan Negeri.

Tak logik sangat ni kalau PAS tak menang langsung. Imej dari ramalan Invoke Malaysia

Tapi nampaknya analisis bagi ketiga-tiga ramalan ni adalah kurang tepat. PAS yang sebelum ni berhasrat menjadi ‘king-maker’ nampaknya memperolehi 18 kerusi dengan kembali merampas Terengganu dan berjaya mempertahankan kubu kuatnya, Kelantan. Not bad, ah?

Sapo kabo PAS dok menang lasung tu maghi sini ambo bedil *rifle clicks*. Imej dari gajahmenta.blogspot.my

Kita tak boleh nafikan yang walaupun PAS banyak dikritik, PAS masih berbisa, dan mempunyai ramai penyokong kuat yang tersendiri, terutama di kawasan majoriti Melayu di Kelantan dan Terengganu yang merupakan kubu kuat PAS, macam apa yang diramal Ilham Centre.

Walaupun sekarang ni Pakatan Harapan dah mendominasi kebanyakan negeri yang ada di Malaysia, tapi kita perlu juga ada negeri-negeri pembangkang supaya ada “checks and balances”, macam apa yang Pakatan Harapan buat sebelum menang. Lagipun tak dinafikan yang BN dah sumbang macam-macam untuk negara ni, tu pun mungkin kesan dari pengawasan dan perhatian pembangkang selama ni, dan semua ni adalah untuk perubahan dan kejayaan Malaysia akan datang.

Popular

To Top

Send this to a friend