- 782Share sekarang!
- Email7
- Facebook775
- Share
Sebelum PRU ke-14 diumumkan lagi, kerajaan Malaysia bawah pimpinan Najib Razak dah memperkenalkan satu akta yang dipanggil Fake News Act, atau Akta Berita Palsu yang berkuat kuasa pada 11 April 2018. Akta ni dalam masa yang sama menjadikan Malaysia sebagai negara pertama yang mempunyai akta untuk berita palsu. Setakat akta ni dilancarkan, nampaknya seorang lelaki warga Denmark merupakan individu pertama yang ditahan bawah akta ni.
Disebabkan akta ni juga la, nampaknya banyak surat khabar dan portal berita yang semakin berhati-hati apabila menulis pasal sesuatu cerita tu. Tapi asalkan ada sumber yang sahih, tak perlu takut la kan?
Tapi, Akta Berita Palsu ni tak menjejaskan media luar. Diorang nampaknya lebih bebas untuk luahkan persepsi dan tanggapan diorang terhadap negara kita. Nak-nak lagi musim PRU ni, ada pelbagai pandangan media luar yang kebanyakannya tak disiarkan oleh media tempatan pasal pilihan raya di negara kita. Contohnya apabila…
1. Bangkok Post melaporkan tentang penipuan undi di negara ni
Dengan tajuk akhbarnya, “From dead voters to blackouts: Malaysia braces for ‘filthy’ poll”, Bangkok Post dalam kenyataan pertamanya menyebut,
“Pengundi hantu, gangguan pendaftaran pemilihan, ‘black out’ yang terjadi secara misteri semasa proses pengiraan – aktivis Malaysia sedang bersiap sedia untuk menentang penipuan yang berleluasa disebabkan ketakutan mereka, dan bakal menjadi pilihan raya paling kotor dalam sejarah negara.” – dipetik dari Bangkok Post, 29 April 2018
Bila bercakap pasal pengundi hantu, ni la antara hantu paling menakutkan, yang datang 5 tahun sekali (klik kat sini kalau korang suka baca pasal hantu yang lain juga). Pengundi hantu yang disebutkan merujuk kepada orang yang dah meninggal, tapi nama-nama si mati ni masih ada dalam senarai pengundi.
Lagi satu ialah beberapa nama yang tiba-tiba je muncul walaupun tak pernah mendaftar. Jadi kalau korang rasa tak pernah berdaftar tapi nama korang ada dalam sistem, korang pergi je la mengundi. Sebabnya dah ada macam-macam kes orang buat report polis pasal nama ahli keluarga diorang yang sama ada dah meninggal atau belum daftar mengundi, tapi ada dalam sistem.
Ada juga kes di mana pengundi tu tak dapat mengundi sebab SPR sahkan dia dah meninggal dunia. Macam-macam hal. Jadi mana-mana pengundi yang nama ada dalam sistem tu, pergi je la mengundi. Jalankan je la kewajipan korang tu ye.
Dan satu lagi, bila korang nampak ada orang yang meragukan masa beratur mengundi tu, korang boleh la laporkan terus kepada pegawai yang bertugas serta-merta.
Selain isu pengundi hantu tu, akhbar ni juga menyebut tentang macam mana PM Najib Razak akan mengalami kesukaran untuk menang pada PRU 9 Mei ni disebabkan skandal 1MDB, kenaikan harga barangan, ketidakpuasan terhadap peningkatan kos hidup, dan apabila dia dicabar bekas pemimpin veteran, iaitu Mahathir Mohamad.
Malah, perkara ni diakui oleh Bridget Welsh, iaitu seorang pakar Malaysia dari John Cabot University,
“Pilihan raya ni bukan setakat kotor, ia sangat teruk. Ketakutan Najib dah mengancam proses pilihan raya” – dipetik dari Bangkok Post.
Welsh menambah lagi; pemanipulasian, atau penipuan pilihan raya jadi semakin serius di bawah Najib,
“Pilihan raya sepatutnya menjadi sebuah pertandingan – Najib mahu ia dijadikan satu pukulan” – dipetik dari Bangkok Post.
2. Bila Twitter Bot pun masuk campur dalam hal politik Malaysia
Kalau korang buka Twitter sekarang, mesti korang nampak bermacam-macam post pasal politik, dan tak kurang juga yang buat poll untuk tengok parti mana yang paling popular. Salah satu contoh poll yang kitorang jumpa:
Dalam laporan Reuters beberapa minggu lepas, ada banyak akaun automatik yang dipanggil bot, ni tiba-tiba wujud dan membanjiri Twitter. Bot ni muncul dengan puluhan ribu mesej pro-kerajaan dan anti-pembangkang, menurut semakan tweet oleh Reuters dan institut penyelidikan media digital AS.
DFR, iaitu sebuah badan pemikir Washington yang menyelidik perkara ni kemudiannya terangkan, sejak 12 hingga 20 April, ada lebih daripada 17,000 bot tweet yang berkaitan dengan pilihan raya Malaysia. Sembilan daripada 10 akaun bot paling aktif tu mempunyai nama-nama Rusia dan menggunakan skrip Cyrillic, iaitu abjad dan huruf yang digunakan Rusia.
Kebanyakan post tu juga mengandungi hashtag anti-pembangkang dan mesej pro-kerajaan, antaranya adalah ‘#SayNoToPH’ dan ‘#KalahkanPakatan’, iaitu sekitar 44,100 kali oleh 17,600 pengguna pada 12-20 April dan 98% daripada pengguna kelihatan seperti bot. Kalau nak tahu macam mana bot tu, ni lah salah satunya:
Walaupun Twitter bots ni bukanlah satu kesalahan undang-undang kat Malaysia, tapi benda ni sebenarnya masih berada di bawah pemerhatian global. Perkara ni jadi apabila ada campur tangan Rusia masa Pilihan Raya Amerika Syarikat pada 2016 dengan penggunaan platform media sosial yang dikatakan dah memberikan kemenangan kepada Presiden Donald Trump.
Perkara yang sama jadi masa Brexit dua tahun yang lepas, Twitter dibanjiri dengan 45,000 mesej yang sebut pasal Brexit dalam masa 48 jam je, dan kebanyakannya datang dari akaun Twitter Rusia. Tapi macam biasa la, Rusia kata diorang takde campur tangan pun dalam hal tu.
3. Bila kerajaan Malaysia akhirnya mengumumkan PRU14 sebagai cuti umum
Masa kecoh rakyat Malaysia marah pasal hari pengundian yang jatuh pada hari Rabu tu, kerajaan sendiri kata majikan tak mewajibkan untuk bagi cuti kepada mana-mana pekerja yang keluar mengundi. Tapi ada juga sesetengah majikan yang bukan saja bagi cuti, siap bagi elaun lagi untuk pekerja diorang yang mengundi, macam syarikat ni. Masa ni la semua orang offer diri nak kerja kat syarikat tu.
Tapi lepas tu cuma beberapa syarikat je yang ambik inisiatif untuk bagi cuti pada hari tu. Perkara ni la yang timbulkan kemarahan orang lain yang mengundi luar dari tempat diorang sekarang ni.
Last-last lepas ramai yang mendesak, barulah kerajaan Malaysia jatuhkan hari Rabu 9 Mei ni sebagai cuti umum. Okaylah, berita Malaysia pun ada tulis pasal cerita ni. Tapi bagi korang yang baca berita luar, nampaknya berita luar lagi berani untuk menyatakan,
“Hari Pilihan Raya Umum Malaysia (Rabu) bulan depan akan menjadi cuti umum, kata pejabat perdana menteri itu, selepas keputusan buang undi pada hari minggu telah menimbulkan skandal tuduhan yang kerajaan cuba untuk mencondongkan pengundian itu memihak kepadanya.
Langkah itu, bersama-sama dengan tempoh berkempen yang pendek, mencetuskan kemarahan di media sosial dan tuduhan dari pihak pembangkang bahawa kerajaan mahukan bilangan pengundi yang rendah, kerana takutkan jumlah pengundi besar yang akan menentang mereka.” – dipetik dari Jakarta Post.
Malah, kenyataan akhbar tu juga menyatakan yang PM Najib Razak menang pun sebab institusi yang lemah di Malaysia, dan memetik kata-kata pengkritik pasal kerajaan cuba mengubah pengundi melalui gerrymandering dan pelbagai lagi bentuk penipuan.
4. Bila kata-kata Mahathir dipetik, mengatakan PRU kali ni memang berunsur peribadi
Dipetik daripada kata-kata penulis dari The Guardian sendiri,
“Mahathir memerintah Malaysia secara kuku besi sejak 1981 sehingga 2003, tapi sekarang ni nak berjuang kembali disebabkan kesalahannya yang lalu”.
Kenyataan Mahathir yang sekarang ni jadi ketua pembangkang kemudiannya dipetik,
“PRU kali ni memang berunsur peribadi. Saya rasa dikhianati olehnya, dan saya tak boleh tahan. Najib tak boleh memisahkan hal-hal peribadi daripada kerja-kerja politiknya.” – Mahathir Mohamad
Hal ni merujuk kepada PM Najib yang mengharamkan mana-mana orang dalam kerajaan berhubung dengan Mahathir, apabila Mahathir menegur Najib pasal kes 1MDB. Menurut Mahathir, skandal tu lah yang menyedarkannya yang PM Najib bukanlah seperti yang dia sangka sebelum ni, yang sebelum tu juga merupakan protegenya.
Disebabkan marah dengan protegenya tu juga, Tun Mahathir yang dah lama bersara dari bidang politik nampaknya bangkit semula.
“Selepas bertahun-tahun membenci pembangkang politik Malaysia, Tun yang berasal dari gabungan kerajaan mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan parti bekas musuhnya” – dipetik dari NY Times.
5. Dan bila NY Times bongkarkan janji PM Najib yang tak relevan
Kalau korang ingat, PM Najib Razak dalam satu ucapannya menyatakan yang Barisan Nasional bukan saja dah menunaikan 99.4% janji daripada manifesto masa PRU 13, malah pernah mengatakan yang Malaysia adalah negara paling kaya di Asia Tenggara.
Tapi nampaknya berdasarkan petikan daripada NY Times dan Astro Awani, kajian yang diperolehi dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) awal tahun ni mengatakan sebaliknya. Kajian PBB dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati peratusan kanak-kanak yang mengalami kadar kekurangan zat makanan dalam negara ni adalah tinggi, dan kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak yang tinggal di perumahan kos rendah di Kuala Lumpur, berbanding dengan purata kebangsaan.
Malah, sasaran PM Najib untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang teratas juga tak relevan apabila reputasi antarabangsa Malaysia dah pun rosak akibat skandal 1MDB. Malah penyiasatan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, yang membina kes untuk merampas kira-kira $1.7 bilion aset yang berkaitan dengan dana, mendapati bahawa $731 juta yang didepositkan ke dalam akaun bank yang dikawal oleh PM Najib datangnya dari 1MDB, iaitu skandal rasuah global yang sedang disiasat oleh sekurang-kurangnya enam negara yang berbeza.
6. Belia Malaysia yang tak menggunakan peluang sebaiknya, laporan dari BBC
Penyiaran popular British, iaitu BBC pula beberapa hari lepas menyiarkan tentang kuasa belia yang tak digunakan, iaitu merujuk kepada peluang pengundian yang disia-siakan belia Malaysia yang tak keluar mengundi.
Sebab utamanya adalah apabila belia ramai belia yang rasa undi diorang tak berharga. Tapi kajian tahun ni menunjukkan, daripada 18.7 juta orang yang daftar sebagai pengundi tahun ni, 40% daripadanya adalah yang berumur 21 hingga 39 tahun, iaitu lebih daripada dua kali ganda jumlah pengundi melebihi 60 tahun.
Korang yang tak daftar mengundi sebab rasa undi korang tak bermakna tu, rasa rugi ke tak sekarang ni? Yang dah daftar pula,
Malaysia dari kaca mata negara luar
Kalau nak dibandingkan antara berita-berita Malaysia dan luar negara, nampaknya berita-berita luar Malaysia lebih bebas untuk bersuara dan melaporkan sebarang berita tentang apa yang berlaku di negara ni.
Disebabkan kelantangan pihak media Barat melaporkan pelbagai perkara jugalah menyebabkan PM Najib Razak menasihatkan “orang kulit putih” untuk berhenti mengganggu hal ehwal Malaysia.
Tapi, media cuma menjalankan tugas untuk melaporkan keadaan semasa yang berlaku. Sempena World Press Freedom Day yang jatuh pada 3 Mei lepas, António Guterres, Setiausaha Agung PBB dalam ucapannya menyebut,
“Pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2018, saya menyeru kerajaan untuk mengukuhkan kebebasan akhbar, dan untuk melindungi wartawan. Menggalakkan akhbar bebas berdiri untuk hak kita untuk kebenaran.” – António Guterres, Setiausaha Agung PBB.
- 782Share sekarang!
- Email7
- Facebook775
- Share