Senapang Melayu ‘penggerun’ penjajah jadi barang lelongan kat Eropah

Sebelum kita dapat hidup dengan keadaan sekarang ni, dah tentu negara kita mengalami fasa kesukaran yang terpaksa bergelut dan mengorbankan nyawa untuk mengecapi kemerdekaan dan hidup dalam keadaan harmoni macam sekarang ni.

Dalam fasa peperangan tu, dah tentu tentera-tentera Tanah Melayu menggunakan senjata yang tersendiri. Tapi, apa yang korang tak tahu, senjata masyarakat Tanah Melayu waktu zaman dulu sebenarnya lagi canggih daripada negara-negara lain sampai dijadikan rujukan.

Jack Sparrow tunjukkan senjata Melayu dalam filemnya?

Kita membesar dengan sumber sejarah yang mengatakan senjata orang dulu-dulu yang paling hebat adalah keris dan lembing. Dan, kalau diperhatikan, nenek moyang kita pun ada simpan beberapa jenis keris dulu atas sebab perwarisan dan turun temurun. Tapi sebenarnya, senjata zaman dulu lebih hebat dan canggih serta bukan hanya tertumpu pada keris, sumpit, tombak dengan lembing je.

Ni mungkin apa yang kita tahu sebelum ni. Imej dari Senjata Silat Lintau PPSSLM

Dari awal lagi kita dah didedahkan dengan kehebatan dan betapa gahnya waktu zaman Kesultanan Melayu Melaka dulu. Ditambah lagi dengan kegemilangan dan kehandalan pahlawan-pahlawan dulu melindungi Melaka daripada terus dijajah. Kalau korang pergi A Famosa, korang perasan tak ada meriam kat situ? Dan kita semua tahu yang meriam tu pernah digunakan waktu zaman peperangan dulu. Tapi korang pernah terfikir tak kat mana meriam yang lain dan takkan semuanya tersimpan kat muzium yang kebanyakannya hanyalah replika?

Okay, tu nanti kita cari jawapan sama-sama dan mungkin korang boleh buat konklusi sendiri lepas habis baca artikel ni berdasarkan penilaian dan pencarian fakta sendiri. Pahlawan Melayu dahulu sebenarnya gunakan senjata yang lebih hebat dan mampu menggerunkan musuh-musuh luar. Dan disebabkan senjata tu lah, penaklukan kuasa asing makan masa yang agak lama. Macam yang terkandung dalam buku sejarah kita tu. Tapi senjata tu bukanlah keris.

Bincangkan. Imej dari Twitter @_serbanputih

Tapi korang tahu tak sebenarnya waktu tu, pahlawan Melayu dah ada gunakan senjata berteknologi tinggi yang terdiri daripada senapang besi sehinggakan ia dikagumi oleh orang Portugis?

Kitaorang pun pernah tulis pasal sejarah senjata-senjata dulu, korang bolehlah baca dan klik gambar bawah ni:

Kalau tak berapa rajin, klik je gambar ni untuk baca artikel tu. Imej dari SOSCILI

Dulu, mungkin kita pernah dengar pasal lela rentaka, tapi sebenarnya banyak teknologi senjata waktu zaman Kesultanan Melayu yang disimpan dan tak didedahkan. Kehebatan teknologi tu sampai ditulis dalam karangan buku masyarakat luar.

“Senjata Melayu terdiri daripada keris yang direka dengan bentuk beralun, pedang, yang lebih dianggap sebagai perhiasan, parang, yang kedua-duanya digunakan sebagai pisau dan untuk kegunaan seharian daripada senjata. Tombak bermata besi, yang menyebabkan banyak nyawa terkorban dalam Perang Perak.

Selain daripada senjata tradisional tu, Matchlocks, Blunderbusses dan Lelahs, senapang tembaga panjang digunakan untuk mempertahankan benteng keselamatan yang pahlawan Melayu selalu gunakan untuk serangan balas. Mereka membuat serbuk pesang dan menggunakan katrij yang diperbuat daripada rotan.” – Isabella L Bird, penulis buku The Golden Chersonese and The Way Thither. 

Mungkin untuk yang tak biasa dengar dengan istilah tu macam kitaorang ni, mungkin tak boleh nak bayang benda tu macam mana. Tapi, korang bolehlah bayangkan antara jenis senapang yang disebutkan tu macam yang Jack Sparrow guna dalam cerita Pirates of the Caribbean tu.

Ingat tak scene ni? Imej dari Twitter @Kau11Hau11

Teknologi senapang Melayu tak dapat ditandingi dengan negara lain

Waktu penjajahan Portugis kat Tanah Melayu pada 1511, dengan membawa slogan Gold, Glory, Gospel, senapang musket ataupun dikenali sebagai satinggar (istinggar ataupun setinggar) digunakan oleh pahlawan Melayu. Ia sebagai benteng pertahanan untuk menyelamatkan raja-raja Melayu.

Ia juga dilihat sebagai ‘penggerun’ bagi penjajah yang membuatkan diaorang terpaksa berundur dan buat perancangan yang lebih bagus untuk buat serangan. Serangan yang menggunakan moto tu mempunyai misi untuk menghapuskan raja-raja Melayu, mengkristiankan seluruh orang Melayu dengan perancangannya untuk jadikan Tanah Melayu macam Amerika dan Australia.

Untuk korang yang selalu lupa pasal sejarah. Imej dari Kejatuhan Melaka

Secara asalnya, Portugis dikreditkan dalam pengenalan senjata api kat Asia waktu zaman 1511 yang juga menjadi punca kemegahan senjata ni dihebahkan melalui orang Portugis jugak. Walaupun begitu, kebanyakan senjata-senjata besar diilhamkan oleh orang Melayu sendiri. Tentera Portugis dikejutkan dengan penggunaan senjata tu waktu diaorang menyerang tentera Melayu kat pelabuhan Melaka. Sehinggakan ia dikagumi oleh orang Portugis sendiri.

“… Semua jenis artileri dengan aksesorinya adalah penciptaan yang sangat hebat dan tidak dapat ditandingi, bahkan di Portugal.” – João de Barros, sejarawan Portugis, sumber dari Mandarin Mansion. 

Contoh musket/satinggar/istinggar tu. Imej dari Mandarin Mansion

Teknologi senjata api ni sebenarnya sampai kat Kepulauan Melayu pada akhir abad ke-15 melalui laluan perdagangan sama yang membawa penyebaran agama Islam kat situ. Diaorang cepat memahami penyesuaian teknologi tu dan lepas tu menyerap perincian teknologi tu untuk diaplikasikan kat ciptaan yang baru. Dan secara tak langsung ia membuatkan orang Portugis terkejut dan tak sangka ia mampu diadaptasi dengan sepantas kilat. Apa yang lagi mengejutkan, orang Jawa waktu tu dianggap sebagai pengilang senjata api.

Berdasarkan kajian sejarah persenjataan Melayu, teknologi ni berasal dari Nuremberg sekitar abad ke-15 tapi transformasinya berdasarkan pertukangan kat Bohemia. Perkembangannya disebarkan oleh Portugis sendiri bila diaorang berjaya luaskan penjajahannya dan tempat penghasilan senjata tu terletak kat Goa, India.Seterusnya membawa peralihan teknologi istinggar ke Asia terutamanya kat alam Melayu, Korea, China dan Jepun.

Peluru senapang tu yang terdiri daripada timah besi. Imej dari Harian Metro

Selain tu, pembuatan senjata api yang digunakan secara meluas oleh tentera kat alam Melayu sebenarnya bermula kat Sri Lanka pada pertengahan kurun ke-16 sebelum ia diubahsuai dan diadaptasi oleh orang tempatan.

” … dengan kepelbagaian artileri yang dibuat di Jawa, yang disebabkan kerana kehandalan dan kemahiran orang Jawa dalam penemuan atau persembahan, dan juga dalam semua kerja pengolahan besi, membuatkan lebih dari apa yang mereka miliki dari India.” – João de Barros, sejarawan Portugis, sumber dari Mandarin Mansion. 

Walaupun tentera Melayu dah mempunyai senapang sendiri waktu kemunculan orang Portugis, tapi lepas tu senapang Melayu dihasilkan menggunakan pengaruh Portugis yang kuat. Dengan pemicunya menggunakan campuran gaya “Indo-Portugis”, yang pada asalnya dihasilkan kat Goa dan membentuk prototaip senapang tersebut. Dan seterusnya, ia diterima pakai secara meluas kat Kepulauan Melayu, Vietnam dan Jepun sehingga ke abad 19.

Pahlawan Melayu dulu. Imej dari Facebook Sungai Batu Tamadun Terawal Asia Tenggara

Dan senapang musket ataupun satinggar yang digunakan secara meluas pada zaman Kesultanan Melayu dan kat alam Melayu merupakan senapang yang paling baik dan hebat pada zaman tu.

Sekarang ni ia jadi barang lelongan kat Eropah

Walaupun ia jadi aset kemegahan waktu zaman dulu, tapi sekarang ni nampaknya ia dah tak diketahui ramai. Ramai orang sendiri tak tahu apa istilah perkataan tu dan perincian teknologi persenjataan Melayu satu ketika dulu. Sebenarnya, banyak lagi jenis senjata yang berteknologi tinggi yang digunakan waktu zaman Kesultanan Melayu. Tapi sekarang ni ia menyepi dan dikatakan dirampas oleh orang Portugis lepas Melaka ditawan.

“Mengikut fakta sejarah, selepas Melaka ditawan, Alfonso de Albuquerque menemui gudang senjata ditinggalkan di Melaka.

“Catatannya turut menyebut senapang ditemui itu, menyamai kualiti senapang buatan Jerman, malah tidak mampu ditandingi Portugis.

“Albuquerque pada 1557 turut menyatakan senjata api dirampas sebanyak 3,000 laras dengan 2,000 daripadanya berkualiti tinggi dengan hasil buatan besi mengagumkan,” – Wan Mohd Dasuki, Penyelidik Ilmu Persenjataan Melayu, sumber dari BH Online. 

Perincian kat senapang tu. Cantik bukan. Imej dari Twitter @PopPelangi

Bila sebut pasal istinggar ataupun satinggar ni, mungkin semua orang tak faham dan tak boleh nak bayang apakah ia. Dan mungkin kita sendiri tak sedar pasal kegemilangannya dulu. Sebenarnya ia banyak dikemukakan dalam teks sejarah lama dan hikayat-hikayat dulu kala contohnya macam Sulalatus Salatin.

Kebanyakan manuskrip dan catatan sejarah Melayu, ia kerap membincangkan dan membicarakan mengenai isu ni dan ia berbentuk manuskrip yang bertulisan jawi. Malah, kehebatan senjata api alam Melayu jugak dicatatkan dalam sejarah penjajah Barat, termasuklah Albuquerque. 

“Istilah istinggar ini tidak banyak digunakan dalam teks hikayat atau sastera sejarah berbeza dengan senjata api ringan lain seperti senapang, bedil dan terakul.

“Sebaliknya ia lebih banyak dibicarakan dan disampaikan dalam sastera lisan. Antaranya Awang Sulong Merah Muda, Hikayat Seri Rama dan Bongsu Pinang Peribut.” – Wan Mohd Dasuki, Penyelidik Ilmu Persenjataan Melayu, sumber dari Harian Metro. 

Mungkin ni gambaran suasana perang waktu dulu. GIF dari Giphy

Bila Melaka ditawan dan berada dalam dalam jajahan Portugis, senapang-senapang tu dirampas dan ada beberapa laras senapang dibawa oleh tentera Portugis ke Jepun. Dan, daripada senjata Melayu dan senapang kepunyaan tentera Melayu Melaka, Jepun pun ikut cipta senapang diaorang sendiri dengan meniru teknologi dan perincian senapang tentera Melaka.

Memandangkan kebanyakan senjata api dan senapang zaman Melayu dulu dah dirampas oleh penjajah Portugis, ia tak lain tak bukan hanya untuk mengaburi pandangan umum mengenai kehebatan pahlawan Melayu zaman dulu. Tapi sebenarnya, keupayaan teknologi yang orang Melayu hasilkan jauh lebih hebat.

Dan daripada rampasan tu, sekarang ni senapang-senapang tu sebenarnya dijadikan barang lelongan kat Eropah dengan harga permulaan sekitar RM35,000. Cuma tinggal beberapa laras je yang ditinggalkan kat sini dan semuanya dijadikan khazanah dan disimpan kat muzium. Dan menurut catatan sejarah, senjata-senjata ni lah yang berjaya menumpaskan kuasa luar waktu nak jajah Tanah Melayu.

Senapang yang dilelong. Imej dari Christie’s

Warisan senjata Melayu perlu sentiasa dipelihara

Memandangkan khazanah ni nampak macam tak diketengahkan perincian dan kegunaannya, ia haruslah dipelihara supaya kegemilangan penggunaannya tak lapuk daripada sejarah sehinggalah ke zaman moden ni. Ia merupakan senjata warisan yang perlu dibanggakan oleh rakyat Malaysia di mana senjata tu membicarakan tentang sejarah kehidupan dan pembangunan negara satu ketika dulu.

“Senjata api patut diangkat, dipertahankan dan diterapkan supaya orang muda tidak terlalu jumud.

“Orang muda sekarang cukup dengan berkata ‘wow’ tetapi diam, sedangkan perlu ada usaha supaya memberi impak dalam mempelajari dan memahami falsafah serta pengajaran di sebalik penghasilan senjata,”

“Usaha sama semua pihak perlu ada untuk mencetuskan kesedaran itu kerana sejarah ialah praktik dan implimentasi yang bukannya hanya baca dan hafaz,” – Wan Mohd Dasuki, Penyelidik Ilmu Persenjataan Melayu, sumber dari BH Online. 

Bukan calang-calang ye. Imej dari Twitter @_serbanputih

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)