Apa itu adat mandi Safar, dan kisahnya sebelum diharamkan

Pelbagai adat resam orang Melayu yang wujud sejak dulu lagi. Secara istilahnya, adat merupakan satu peraturan yang diamalkan secara turun-temurun dalam sesuatu masyarakat. Kalau resam pula, peraturan yang menjadi adat atau adat yang dipakai turun-temurun. Jadi, dua perkataan ni telah digabungkan menjadi satu perkataan.

Antara adat resam masyarakat Melayu yang kita mungkin tahu:

  1. Melenggang perut (maksud lain: gender reveal).
  2. Memuja semangat padi.
  3. Adat perkahwinan seperti merisik, meminang dan bertunang.
  4. Mandi Safar.

Baiklah, kalau korang nak tahu adat resam yang keempat, mandi Safar atau pesta Safar tu sebenarnya pernah disambut meriah di seluruh Malaysia. Katanya sampai ada orang ambil cuti semata-mata nak sambut pesta safar ni.

Jadi.. apa tujuan mandi Safar ni?

Dilakukan kerana bulan Safar dianggap bawa sial & bala

Menurut istilah dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mandi Safar ialah upacara mandi untuk menolak bala pada hari Rabu terkahir bulan Safar. Masyarakat kita zaman dulu melakukan pesta mandi Safar kerana mereka menganggap bulan itu membawa bala dan sial lebih-lebih lagi pada hari Rabu terakhir.

Macam ni la situasi Pesta Mandi Safar. Imej dari Liputan 6

Selalunya orang Melayu yang tinggal berhampiran dengan sungai atau pantai akan mengadakan pesta mandi Safar secara beramai-ramai sambil membaca jampi serapah dan doa.

Sebelum pesta mandi Safar bermula, seorang ustaz akan membaca ayat Al-Quran serta zikir lalu merendam sekeping kertas yang dipanggil wafak. Ia merupakan sebagai pembuka upacara sebelum orang ramai mula mandi.

Dalam upacara mandi itu, para peserta akan mandi sambil membaca jampi tertentu dan menghanyutkan cebisan kertas ayat-ayat Al-Qur’an dan doa. Selain mandi di sungai, ada juga orang yang mandi dengan air dari botol berisikan kertas bertulis ayat Al-Quran dan jampi.

Selain itu, pelbagai persembahan dan muzik dipersembahkan seperti makyung, ulek mayang, menora, wayang kulit dan sebagainya. Ia menjadikan pesta mandi Safar tu lebih meriah.

Tahukah korang, pada tahun 1962 Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia pernah mengeluarkan dokumentari kemeriahan Pesta Mandi Safar ni:

Selalunya pesta mandi Safar ni terkenal di Negeri Sembilan, Perak, Melaka, Sabah dan Sarawak. Kalau di Terengganu dan Kelantan pula, ia dipanggil sebagai Pesta Puja Pantai.

Pesta puja pantai atau pesta buang sial ini dilakukan dengan membuang ancak di laut. Selaluya kerbau balau atau kerbau putih akan dikorbankan untuk menenangkan roh laut. Mereka bimbang jika roh laut itu tidak “diberi makan”, roh atau semangat laut itu akan mengganggu mereka mencari untuk mencari rezeki di laut.

Pesta tersebut bermula dengan menyiramkan kerbau tersebut dengan air laut dan akan disembelih pada hari ketiga pesta semasa waktu maghrib. Daging kerbau tersebut akan dimasak untuk dimakan oleh hadirin manakala kulit dan kepalanya akan disumbat dengan sabut kelapa supaya terapung dan kemudiannya dijahit.

Lepastu, bomoh akan memasukkan kerbau ke dalam perahu bersama dengan tepung beras dan daun nipah. Kemudian sampan itu akan dihanyutkan supaya roh laut dapat ditenangkan.

Pesta mandi Safar diharamkan kerana unsur khurafat & sesat

Sebuah keratan akhbar dari Berita Harian. Imej dari Newspaper SG.

Pada 9 Julai 1963 dalam sebuah keratan akhbar Berita Harian, para pemimpin Islam telah bersetuju dengan fatwa yang diusulkan oleh Tan Sri Dato’ Abddul Jalil Bin Haji Hassan, Pemangku Mufti Johor.

“Mandi Safar dan minum air wafak pada hari itu sebagai bid’ah dan karut semata-mata.. .Bahawa mandi Safar adalah satu perkara bid’ah yang keji mengandungi kepercayaan karut. Tidak ada nas yang menyuruh orang Islam mandi Safar. ” – Tan Sri Dato’ Abddul Jalil Bin Haji Hassan, dipetik dari Newspaper SG.

Para pemimpin Islam telah menyeru orang ramai supaya jangan mengamalkan perkara karut dan bid’ah itu. Hal ini kerana dapat memelihara kesucian agama Islam.

Antara para ulama’ yang terlibat ialah:

  1. Tuan Haji Sanusi Mahmud.
  2. Tuan Haji Ali Mohd. Said (Yang di-Pertua Mahkamah Syariah).
  3. Tuan Haji Ali Mohd. Piah (bekas Kadi Besar Singapura masatu).
  4. Tuan Mohd. Hudududin bin Muhyiddin (Kadi Besar Singapura).
  5. Setiausaha Jamiatul Ulama’ Janubal-Hindi.
  6. Ustaz Daud Ali.

“Meskipun ada hadis yang mengatakan bahawa hari Rabu bulan Safar itu Tuhan menurunkan bala, tetapi hadis-hadis itu lemah kerana orang-orang ang meriwayatkannya ada yang kena tuhmah dan ada pula yang pendusta.” – Tan Sri Dato’ Abddul Jalil Bin Haji Hassan, dipetik dari Newspaper SG.

Tan Sri Dato’ Abddul Jalil Bin Haji Hassan. Imej dari UKM.

Mengenai minum air wafak, Tan Sri Dato’ Abddul Jalil Bin Haji Hassan berkata tidak ada nas menyuruh orang Islam membuat wafak, meletakkan wafak itu dalam tempayan dan minum airnya kerana menolak balak bulan Safar.

Bukan itu saja, semasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan, beliau telah mengeluarkan satu surat pekeliling kepada semua jabatan pendidikan supaya skip tajuk mandi Safar dalam subjek Tata Rakyat (sekarang dipanggil Pendidikan Sivik) kerana dianggap khurafat.

Secara keseluruhannya, pesta mandi Safar ni ternyata satu perbuatan khurafat. Sabda Rasulullah S.A.W:

“Kepercayaan kepada sial majal adalah satu perbuatan syirik (nabi mengulangi kata ini sebanyak tiga kali).” – Riwayat Abu Daud dan Tarmizi.

Terdapat perkara khurafat lain ketika bulan Safar

Selain daripada pesta mandi Safar, ada banyak lagi khurafat lain yang masyarakat kita percaya iaitu:

  1. Larangan menikah dan bertunang pada bulan Safar.
  2. Tidak boleh bermusafir pada bulan Safar.
  3. Membaca jampi serapah tertentu untuk menolak bala sepanjang Safar.
  4. Menjamu makan “makhluk halus” yang dikatakan penyebab sesuatu musibah, menganggap bayi lahir bulan Safar bernasib malang.
  5. Safar bulan Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia.

Kita tidak boleh buat apa-apa kerana itu semua perkara lama dan hanya menjadi kenangan saja. Sudah difatwakan khurafat dan tak perlu la kita argue mengenai mandi Safar ini sebab kalau tengok upacaranya pun nampak pelik. Hmm… mungkin zaman mak bapak atau atuk nenek kita pernah pergi ke pesta mandi Safar ni, mungkin korang boleh tanya pengalaman mereka?

Masyarakat kita ada banyak cerita menarik tentang kepercayaan dulu-dulu, contohnya tentang Hantu Tetek

Kerajaan Uthmaniyyah dulu pun pernah percaya adanya vampire atau pontianak

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 9 September 2021*