Ekonomi

Kampung Baru: Dari tanah kurniaan Sultan kepada rebutan para pemaju

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 2 September 2020

Isu pembelian tanah RM1,000 kaki persegi di Kampung Baru tidak dapat dilaksanakan. Ini kerana hanya 61 peratus sahaja pemilik bersetuju serta tiada sumber yang mampu untuk membiayai kos pembelian yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion. Namun, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Wilayah Persekutuan akan menggunakan konsep bersifat organik yang tidak melibatkan pembelian tanah dari orang luar dan dijangka akan dibentangkan kepada pemilik tanah dalam sedikit masa lagi.

Kalau korang perasan, cerita berkaitan kerajaan dan Kampung Baru tak pernah habis. Pada tahun 2010, ada laporan mengatakan bahawa penduduk Kampung Baru perlu berpindah sebab dalam Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020, Kampung Baru ditandakan sebagai kawasan komersial dan bukan lagi kawasan perumahan. Pada tahun 2015 pula, kerajaan mengumumkan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB) yang melibatkan peruntukan RM61 bilion.

Imej dari Propertyguru

Macam-macam dah cerita pasal Kampung Baru. Tapi korang tahu tak kenapa Kampung Baru sangat istimewa walaupun sudah berusia 120 tahun?

1) Tanah kurniaan Sultan, dari tanah pertanian kepada tanah perumahan

Kampung Baru ni mula menjadi penempatan Melayu terbesar melalui kurniaan tanah oleh Sultan Selangor waktu tu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman) pada tahun 1899. Asalnya, tanah ni adalah seluas 223 ekar dengan 7 buah kampung. Kemudiannya, Kampung Baru atau Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dah diperkenalkan oleh British mengikut Seksyen 246 (iv) Kanun Tanah (FMS Cap 138) yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan Selangor pada 12 Januari 1900 dan 20 Januari 1901.

Sultan Sulaiman yang banyak berjasa. Imej dari Wikipedia

Waktu tu, British jadikan Kampung Baru sebagai tempat melatih anak Melayu untuk ambil alih pentadbiran tanah sepeninggalan mereka. Semua ini berlaku sebelum Tanah Rizab Melayu diperkenalkan melalui Enakmen Rizab Melayu pada tahun 1913.

Dalam erti kata lain, Kampung Baru ditadbir dan dikawal di bawah kuasa Lembaga Pentadbir MAS. Pihak MAS juga boleh membuat undang-undang kecil sendiri dan bertanggungjawab membuat kelulusan serta menetapkan syarat pelan bangunan dan sambungan rumah.

Menurut pendapat lain, Kampung Baru diperkenalkan sebagai tempat hasil pertanian untuk memastikan bekalan mencukupi kepada penduduk Kuala Lumpur waktu tu. Apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada tahun 1974, Kampung Baru pun makin terhimpit dan tak sesuai untuk semua tu.

Pasar dengan berlatar belakangkan KL Twin Tower. Imej dari The Star

2) Status tanah, tidak boleh diduduki oleh orang bukan Melayu

Apa yang menarik, untuk Kampung Baru ni siap ada aktanya yang tersendiri. Ia dikenali sebagai Akta 733, Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011. Dalam akta ni disebut bahawa Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu ditubuhkan. Antara fungsinya adalah untuk melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubung dengan pembangunan kawasan tu. Perbadanan ni juga akan menjadi penyelaras utama berhubung dengan pembangunan, pembangunan semula dan penambahbaikkan kawasan.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Hebat tak hebat kampung ni sampai ada perbadanan sendiri. Kalau korang nak tau lagi, tanah di Kampung Baru ni juga ada 3 pecahan besar. Bagi korang yang keliru, bawah ni penerangannya.

  1. Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) seluas 222.76 ekar yang mengandungi 7 buah kampung yang diwartakan pada 11 Januari 1964
  2. Tanah Rezab Pasar Jalan Raja Bot seluas 44.3 ekar merupakan tanah yang dibangunkan sejak 1955
  3. Kawasan luar MAS yang dimiliki oleh DBKL dan PKNS seluas 40.29 ekar

Peta sebagai panduan. Imej dari The Star

Untuk kawasan no (1) tu, tanah kat sini adalah hak milik kekal penduduk di mana dikenakan sekatan kepentingan. Sekatan kepentingan bermaksud tanah tersebut tak boleh dijual dan/atau tak boleh diduduki oleh orang bukan Melayu. Untuk kawasan no (3) tu, tak ada sekatan kepentingan dan sesiapa pun boleh beli.

3) Tujuh kampung dengan 5 tradisi berbeza

Macam yang kita tahu, Kampung Baru ni ada 7 kampung tradisi. Dan menariknya, setiap kampung ni punyai suku yang tersendiri.

  1. Kampung Atas A: Suku Mandailing
  2. Kampung Atas B: Suku Minangkabau
  3. Kampung Paya: Suku Jawa
  4. Kampung Masjid: Suku Rawa
  5. Kampung Pindah, Kampung Hujung Pasir dan Kampung Periok: Keturunan Melaka

Malam pun cantik. Imej dari Cari Infonet

Setiap kampung yang berbeza nampaknya, mempunyai identiti, seni bina, cara hidup, kepercayaan dan tradisi yan berbeza. Pada zaman lampau, anak-anak di situ juga diajar supaya tidak berkahwin campur dengan orang kampung lain. Ini bertujuan untuk mengekalkan identiti sedia ada. Namun, pada zaman sekarang, tradisi-tradisi ini sudah pun menghilang.

4) Ada tiga peristiwa penting negara bermula di sini

Kalau korang nak tahu, Kampung Baru ni juga menjadi saksi beberapa peristiwa penting. Banyak betul peristiwa besar berlaku kat sini. Contohnya, pada tahun 1946, Perhimpunan Kongres Melayu pertama diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru untuk memprotes penubuhan Malayan Union. Kiranya benih kemerdekaan pertama bercambah kat sini. Peristiwa hitam negara 13 Mei 1969 pula bermula di Princess Road (Jalan Raja Muda Abdul Aziz). Akhirnya, merebak ke kawasan lain.

Kalau nak baca 5 pengalaman sebenar rakyat Malaysia masa 13 Mei, klik pada gambar

Pada hari terakhir 1970, dah berlaku banjir besar di Kuala Lumpur yang menyaksikan perkampungan ini tenggelam selama dua hari. Ini membuktikan bahawa Kampung Baru mempunyai karakter dan lokasi yang strategik untuk beberapa peristiwa sejarah yang penting.

Masalah-masalah yang timbul berkaitan Kampung Baru

Kalau tengok laporan berita, ada macam-macam masalah berkaitan pemilikan Kampung Baru. Selain nilai sentimental yang tinggi berkaitan kebudayaan Melayu, ada juga masalah teknikal lain yang korang kena tahu.

Seperti yang disebut sebelum ni, pemilik tanah kat sini mempunyai sekatan kepentingan. Jadi, akan timbul masalah untuk pindahkan hak milik kepada pemaju bukan Melayu yang mempunyai modal kewangan untuk memajukannya. Disebabkan terhad untuk orang Melayu, maka pasaran jadi makin kecil dan sempit. Kesannya, harga tanah jadi lebih rendah dari pasaran.

Berapa agaknya nilai tanah ni? Imej dari Backpacking Malaysia

Masalah lain yang wujud adalah pemilikan bertindih iaitu kebanyakan tanah dimiliki lebih dari seorang pemilik. Sekeping lot tanah seluas 7,000 kaki persegi sampai ada 200 orang pemilik. Bayangkan betapa ramainya. Benda ni jadi sebab ada pemilik meninggal dunia tapi tak lakukan penukaran nama pemilikan.

Hakikatnya, penduduk Kampung Baru trauma dengan janji kerajaan

Pada tahun 2015, Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi pernah tegaskan bahawa pihak terlibat termasuk Perbadanan Kampung Baru (PKB) tak maklumkan secara terperinci pembangunan yang pihak pemaju nak buat kat situ. Pihak yang terlibat waktu tu cakap 90% penduduk sokong untuk pembangunan, tapi PKB tak keluarkan pun senarai nama 90% tu. Jadi menyebabkan penduduk rasa tertipu dan merasakan perbadanan mempunyai agenda lain.

Apa yang penduduk Kampung Baru trauma lagi adalah pasal nilai tanah pun tak dimaklumkan langsung. Apa yang selalu disebut hanyalah pembangunan je. Sepatutnya kerajaan tetapkan nilai bagi satu kaki persegi tanah di Kampung Baru. Persoalannya, apakah langkah kerajaan sekarang akan membantu?

Ni keratan akhbar lama. Kesannya? Imej dari apakataorang

Sebelum, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata bahawa 80% penduduk Kampung Baru bersetuju dengan usaha kerajaan untuk mengambil alih tanah berbanding menjualnya kepada pihak bersendirian. J

adi, kerajaan akan beli semua tanah ni serta mengekalkannya sebagai Tanah Rizab Melayu. Campur tangan kerajaan juga akan dapat menghalang pemaju dari menjual hartanah tak terjual kepada orang bukan Melayu. Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan RM6 bilion hingga RM10 bilion untuk membeli semua tanah yang ada termasuk juga memberi pemilik tanah wang tunai + apartment.

“Kita bangunkan tersusun bagaikan bandar baharu mengikut pelan asal. Ia akan dibangunkan secara runcit tapi kita nak kekalkan sebagai kawasan Melayu, ada rumah mampu milik, kawasan perniagaan yang boleh dikendalikan penduduk.”- Khalid Samad, Menteri Wilayah Persekutuan, petikan dari Malaysian Insight

Tapi itu waktu kerajaan PH. Macam mana pula bawah kerajaan PN? Korang rasa berjaya ke tak? Kita tunggu…

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend