5 filem perang yang korang boleh tonton dan sejarah di sebaliknya

*Artikel ini asalnya diterbitkan pada 13 Mac 2017. 

Korang mesti pernah tengok filem-filem perang Malaysia yang diinspirasikan dari kisah perang macam filem Leftenan Adnan, Bukit Kepong dan filem Hati Malaya 1957. Bila korang tengok tu perasaan korang mesti bercampur-baur kan. Ada rasa marah dengan penjajah, ada rasa sedih dan ada juga yang macam takde perasaan langsung (eh,ada ke?)

Jins Shamsudin merupakan watak utama dalam filem Bukit Kepong. Al-fatihah. Imej dari Astro Awani

Kat luar negara pun berlambak filem yang diadaptasi dari kisah perang, contohnya Hacksaw Ridge yang baru-baru ni menang dua anugerah di Oscars.

Bagi peminat filem perang, korang mungkin nak tengok kesan visual yang mereka tunjukkan dalam babak tembak-menembak ataupun kesan khas yang jurusolek buat untuk nampakkan kesan luka pelakon tu nampak real. Lepas tu, korang pun cuba bandingkan antara filem perang Hollywood dengan filem perang tempatan.

Mungkin juga ada yang pergi tengok filem perang sebab nak tengok sejauh mana team produksi filem itu sendiri mengkaji kesahihan fakta sejarah sebenar. Kes tu mungkin sesuai untuk history freak macam kitorang. Lepas je tengok filem perang, balik rumah je terus research pasal sejarah sebenar dan jadilah kitorang seorang Google Scholar secara tak rasmi.

Apa pun yang peminat cerita perang cari, korang haruslah tonton sambil ambil pengajarannya dan cubalah berfikir sejenak untuk menghargai pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu dalam mencapai sebuah kemerdekaan dan harga sebuah kebebasan.

Tanpa berlengah lagi, berikut adalah senarai filem yang memaparkan latar belakang sejarah berbeza-beza untuk bacaan santai korang. Moga-moga ada ilmu baru yang boleh dipelajari.

1. Pearl Harbor (2001)

Poster filem Pearl Harbor. Imej dari Pinterest

Sinopsis: Filem ini mengisahkan dua sahabat baik sejak kecil iaitu Rafe McCawley (lakonan Ben Affleck) dan Danny Walker (lakonan Josh Hartnett) yang kemudiannya masuk Tentera Udara dan mereka berdua telah jatuh cinta pada orang yang sama iaitu nurse Evelyn Johnson (lakonan Kate Beckinsale). Jadi ianya banyak berkisar mengenai cerita cinta tiga segi yang ada selit sikit-sikit mengenai serangan Jepun yang berlaku di Pearl Harbor.

Sejarah sebenar: 

Serangan Jepun berlaku ke atas pangkalan tentera laut Amerika di Pearl Harbor yang berdekatan dengan Honolulu, Hawaii pada 7 Disember 1941.

Sebuah kapal di Pearl Harbor yang tenggelam lepas kena tembak. Imej dari DailyTimes

Buat pengetahuan korang, berlakunya peristiwa serangan ini kerana Jepun dan Amerika dah lama bermusuhan. Jepun masa tu cuba meluaskan kuasa jajahan diorang termasuklah dengan menyerang China pada tahun 1937. Amerika yang tak suka cara Jepun buat macam tu pun mengenakan sekatan ekonomi dan menghalang Jepun daripada mendapat sumber asas seperti bekalan minyak. Tapi Jepun ni keras kepala masih jugak dengan plan dia. So sekarang nampak tak konflik antara dua negara ni?

Jepun tak suka AS, AS pun tak suka Jepun. Imej dari meme generator

Setelah sekian lama ketegangan ni berlaku, berlakulah kejadian serangan mengejut di Pearl Harbor. Malah duta Jepun kat AS sendiri pun tak tahu pasal serangan ni sebab lambat dapat telegram dari tentera Jepun sendiri.

Sebelum tu, ejen perisik Amerika memang confident yang kalau Jepun nak serang Amerika, mereka akan start serang dari Selatan Pasifik sebab faktor jarak, termasuklah Singapura dan Indochina. Dalam perkiraan AS, tak terfikir langsung yang Pearl Harbor boleh ada dalam senarai Jepun.

Selepas serangan yang berlaku, Presiden Franklin D.Roosevelt mengisytiharkan perang ke atas Jepun pada 8 Disember 1941. Bermula daripada serangan ini jugalah Amerika pun terlibat sekali dalam Perang Dunia ke-2.

Potret Presiden Roosevelt. Imej dari History

2. Hacksaw Ridge (2016)

Poster filem Hacksaw Ridge. Imej dari Pinterest

Sinopsis: Ia mengisahkan askar muda bernama Desmond Doss (lakonan Andrew Garfield), seorang beragama Kristian yang sangat taat pada agamanya. Doss tak nak pegang senjata, dah tu macam mana dia boleh jadi askar?

Sepanjang berada dalam latihan ketenteraan, Desmond kena buli teruk dengan askar lain dan juga pegawai atasan sebab pegangan dia ni. So macam mana dia nak survive? Dia mintak bantuan dari ayah dia iaitu Tom untuk mendapat kebenaran secara rasmi dari Perlembagaan untuk dia tak pegang senjata semasa berperang.

Cara dia menyumbang dalam peperangan adalah dengan merawat setiap askar tercedera yang dia jumpa, tak kisahlah geng sendiri atau askar musuh iaitu askar Jepun.

Sejarah sebenar:

Filem ini berlatar belakangkan peperangan terakhir di Kepulauan Pasifik Perang Dunia Ke-2. Peperangan ini juga dikenali sebagai Battle of Okinawa.

Desmond Doss mula masuk tentera Amerika pada 1 April 1942 sebab dia teringin sangat nak menyumbang sesuatu kat negara dia. Dia nak masuk tentera bahagian perubatan sebab dia tahu dia tak boleh pegang senjata. Agama dia melarang dari membunuh orang (ia tertakluk dalam Ten Commanments), tapi malangnya dia dah diletakkan kat bahagian infantri senapang (infantry rifle company).

Desmond Doss masa muda. Imej dari Pinterest

Kisah dia dalam kem latihan tentera lebih kurang sama macam dalam movie, kecuali dia tak dapat bantuan dari sesiapa untuk bantu dia dapat kebenaran supaya tak pegang senjata dalam peperangan.

Doss memang dah sah-sah ada dalam senarai blacklist komander dia, lepas tu dia berani pulak minta pas kebenaran lagi untuk keluar pergi gereja setiap hari Sabtu.

Imej dari Army.mil

Walaupun Doss kena buli kaw-kaw, sedikit pun dia tak berdendam dan dia percaya yang dia kena balas balik segala kejahatan mereka dengan kebaikan seperti yang diperkatakan dalam kitab Bible yang dia sangat yakini iaitu:

“Segala sesuatu yang kamu kehendaki supaya orang perbuat kepadamu, perbuatlah demikian juga kepada mereka. Itulah isi seluruh hukum Taurat dan Kitab para nabi.” – Matthew 7:12

Dalam peperangan Battle Of Okinawa, Desmond sibuk nak selamatkan nyawa rakan-rakannya, sampai nyawa dia sendiri tak ambil kisah. Masa rejimen tentera Desmond disuruh berundur kerana pertahanan Jepun yang kuat, dia tak putus asa malah masih terus nak selamatkan rakan-rakan dia yang tercedera. Doss dah selamatkan seramai 75 orang untuk hari itu sahaja!

Pertempuran tu berterusan dari bulan Mei sampai 21 Jun dan akhirnya tentera Amerika menang dalam peperangan itu. Doss dapat anugerah tertinggi iaitu Medal of Honor (pingat yang diberi sendiri oleh Presiden Amerika), Bronze Star dan banyak lagi.

RIP Desmond Doss. Imej dari Daily Mail (klik pada gambar untuk berita kematian beliau)

3. Downfall (2004)

Imej dari English Subtitles

Sinopsis: Kepada yang berminat dengan sejarah Hitler dan nak tahu pasal kisah hidupnya, filem ni sesuai sangat untuk ditonton. Ia mengisahkan seorang wanita bernama Traudl Junge lakonan Alexandra Maria Lara yang bercita-cita nak jadi setiausaha Hitler. Spoiler alert! Kisah ini diakhiri dengan hari-hari terakhir Hitler yang bertahan di kubunya sehingga dia mati bunuh diri.

Sejarah sebenar: Karier politik Hitler bermula semasa Perang Dunia Pertama bila dia masuk tentera Jerman. Selepas Perang Dunia Pertama berakhir, dia pulang semula ke Munich dan terus bekerja dalam tentera sebagai perisik rahsia.

Lepas tu Hitler masuk pulak parti politik German Workers Party (NAZI) dan jadi canselor dalam kabinet kerajaan Jerman. Hitler dinaikkan pangkat sebagai ketua negeri selepas kematian Hindenburgh (Presiden Jerman). Dengan menjadi ketua negeri, secara tak langsung dia menjadi komander tertinggi dalam tentera.

Dengan kuasa yang dia ada, Hitler menyebarkan propaganda anti-semitism (boikot ekonomi Yahudi). Hitler mula menggunakan kuasa yang dia ada dengan mengarahkan tentera Jerman menyerang Poland pada tahun 1939. Perang Dunia Kedua bermula disebabkan oleh serangan ini.

Filem Downfall ni banyak menceritakan detik-detik akhir Hitler bertahan di kubunya semasa dia diserang oleh Tentera Bersekutu iaitu Rusia. Lebih sadis lagi, waktu ni merupakan hari lahir Hitler yang ke-56.

‘Happy Birthday bang. Nak request makan apa hari ni?’ Imej dari The Telegraph

Faktor kekalahan tentera Nazi adalah kerana mereka berada dalam keadaan keliru. Tentera Nazi menyangka tentera Bersekutu iaitu Tentera Soviet (Rusia) akan menyerang mereka di Pas De Calais, Perancis jadi mereka terus berada dalam mode bertahan di sana tapi tak sangka Tentera Soviet serang mereka di kubu Hitler. Akibatnya, German yang kekurangan tentera tak panggil back up dan Tentera Soviet dengan mudah mengalahkan mereka yang kekurangan askar.

4. Northern Limit Line (2015)

Imej dari KdramaStars

Filem Northern Limit Line ini bukanlah filem pasal Perang Dunia Pertama atau Kedua, bukan jugak pasal Hitler. Filem ini mengenai Korea Utara yang melanggar perjanjian DMZ iaitu Demilitarized Zone dengan melanggar sempadan Korea Selatan semasa berlangsungnya Piala Dunia 2002. Dalam filem ini korang boleh tengok betapa degilnya Korea Utara sama seperti kes yang berlaku kat Duta Korea Utara di negara kita.

Sinopsis: Pada hari perlawanan antara Turki dan Korea Selatan dalam Piala Dunia 2002, kapal peronda dari Korea Utara didapati melanggar sempadan dan membuat provokasi. Berlaku pertempuran antara kedua-dua belah pihak dan filem ini diakhiri dengan anak-anak kapal peronda 357 ‘sedang bersorak gembira’ ketika menonton perlawanan live Piala Dunia 2002 antara Turki dengan Korea Selatan.

Imej dari meme generator

Sejarah sebenar:

Piala Dunia 2002 menyaksikan Jepun dan Korea Selatan bergabung dalam menjadi tuan rumah. Ini adalah pertama kali dalam sejarah di mana negara dari benua Asia terpilih menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Pada Jun 2002, telah berlaku dua peristiwa bersejarah yang berlaku pada negara Korea Selatan iaitu perlawanan penentuan antara Korea Selatan dan Turki untuk kedudukan nombor tiga dalam Piala Dunia 2002; dan pertempuran antara Korea Utara dan Korea Selatan di perairan Yeonpyeong berdekatan Laut Kuning (Yellow Sea). Peristiwa ini juga dinamakan sebagai Second Battle of Yeonpyeong.

Demilitarized Zone (zon bebas tentera). Imej dari Stripes

Buat pengetahuan korang, perjanjian DMZ (zon bebas tentera) adalah perjanjian gencatan senjata yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak selepas Perang Korea. Perjanjian ni melarang keras mana-mana pihak untuk menggunakan senjata dalam kawasan penandaan tetap (zon bebas tentera), tapi Korea Utara telah melanggarnya.

Ketika kejadian, kapal peronda Korea Utara memang dah sah-sah melepasi sempadan yang ditetapkan dan amaran telah dikeluarkan oleh kapal peronda 357 Korea Selatan. Amaran tersebut tidak diendahkan oleh pihak Korea Utara dan kapal peronda mereka terus-menerus mengekori rapat kapal peronda 357 milik Korea Selatan.

Korea Utara jugak melepaskan tembakan dalam keadaan Korea Selatan defenseless, so keadaan kat atas kapal peronda 357 memang kelam-kabut. Dorang pun panggil back up, lepas tu datanglah dua lagi kapal peronda jenis yang sama, 10 minit kemudian. Kapal peronda Korea Utara yang tak ada back up pun undur diri lepas ramai anak kapal mereka yang tercedera.

Seramai 18 orang tercedera dan enam orang terkorban dalam pertempuran tersebut. Satu lagi mayat ditemui dalam kapal peronda 357 yang karam sehari selepas pertempuran tersebut. Anak kapal peronda Korea Utara pun turut mengalami kecederaan, namun tidak diketahui jumlahnya sebab kerajaan Korea Utara rahsiakannya.

5. Black Hawk Down (2001)

Imej dari Amazon.com

Sinopsis: Filem ini berlatarkan Somalia. Ketika ini Perang Saudara sedang berlaku di Somalia dan tentera Amerika pergi ke sana untuk misi keamanan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Operasi menangkap Mohammed Farrah Aidid yang mendakwa dirinya presiden berjaya dilakukan oleh pasukan Delta Force, namun, berlaku kejadian tidak diingini bila ada ahli mereka yang terperangkap. Pasukan US pun minta tolong dengan tentera pengaman Malaysia dan Afghanistan.

Sejarah sebenar: Perang Saudara di Somalia bermula bila pemimpin asal negara mereka iaitu diktator Mohammed Siad Barre dipaksa keluar dari negara oleh tentera pihak lawan. Kemudian berlaku perebutan kuasa antara Mohamed Farrah Aidid dan Ali Mahdi Mohamed.

Muka bangga Farrah. Imej dari Academia

Akibat daripada Perang Saudara ini, seramai 350 ribu rakyat Somalia menderita dari penyakit berjangkit seperti malaria dan mengalami kekurangan zat makanan. Oleh sebab itu Amerika menghantar tentera pengamannya untuk menghalang kapal bekalan makanan rakyat Somalia daripada dirampas oleh pemberontak. Pada 3 Oktober 1993, tentera Amerika yang dalam misi menumpaskan Mohamed Farrah Aidid telah terperangkap apabila dua helikopter Black Hawk milik mereka ditembak oleh pengikut Farrah.

Pasukan pengaman Malaysia dan Pakistan dari UNOSOM II (United Nations Operation In Somalia) membantu tentera Amerika untuk menyelamatkan geng mereka yang terperangkap. Misi tersebut telah dilaksanakan dengan jayanya, tapi telah mengorbankan seorang tentera Malaysia dan lapan lagi cedera.

Filem ini telah mengabaikan pengorbanan tentera Malaysia dalam menyelamatkan tentera Amerika sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia. Setelah hampir 20 tahun kejadian tersebut berlaku akhirnya Amerika menyatakan penghargaan mereka melalui ucapan terima kasih dari Tom Kelly, Pemangku Penolong Setiausaha Biro Hal Ehwal Politik dan Ketenteraan pada 2013.

“Jasa tentera Malaysia ini akan dikenang dan AS mengucapkan jutaan terima kasih di atas tindakan berani pasukan ATM untuk menyelamatkan anggota kami dalam kejadian 20 tahun lalu itu. – Tom Kelly,” dipetik dari Utusan.

Kenapa kita kena hargai kedaulatan negara yang kita kecapi sekarang?

Melihat dari filem-filem perang yang diadaptasi dari kisah benar sudah tentu dapat menghubungkan sel-sel otak kita untuk belajar menghargai nilai sebuah kebebasan yang sudah negara kita kecapi selama 60 tahun. Seperti pepatah terkenal yang terdapat dalam buku teks sejarah:

“Mereka yang tidak belajar sejarah pasti akan mengulanginya.” – George Santayana, ahli falsafah Sepanyol. Dipetik dari Utopia Baru.

Lihat sahaja negara yang sedang bergolak seperti Syria dan Yemen, peperangan telah menyebabkan kemusnahan pada negara mereka dan mengakibatkan rakyat mereka menjadi pelarian di negara orang.

Kita boleh bersyukur kerana negara kita masih bebas dan terjaga kedaulatannya. Walaupun dengan tekanan harga barang naik, masih ada sesetengah tempat tu yang sampai terlebih makan. Tahukah korang rakyat Malaysia mempunyai bilangan penduduk obesiti tertinggi di negara Asia? Negara Singapura, Korea Selatan dan Jepun pun kalah dengan kita.