Sejarah & Politik

4 orang rapat Anwar Ibrahim yang kini bersama blok Azmin Ali?

Pada bulan Disember ni, banyak parti yang buat perhimpunan masing-masing. Tapi apa yang menaikkan suhu politik negara mestilah Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru je tamat beberapa hari lalu.

Pergelesaran antara geng Anwar – Azmin yang selalunya nampak kabur-kabur je, akhirnya tersingkap jelas dengan banyak kejadian tak dijangka sepanjang kongres. Antara yang paling ketara mestilah tindakan Azmin dan beberapa orang pemimpin yang tak hadir pada hari kedua kongres dan tindakan Azmin serta penyokongnya yang menghentam Anwar di satu program lain.

Apa yang mengejutkan, yang bersama-sama dengan Azmin tu bukan orang calang-calang, tapi dari kalangan orang yang pernah rapat dengan Anwar juga. Antaranya…

1. Hishamuddin Rais – Boleh pulang ke Tanah Air, kerana jasa baik Anwar

Aktivis politik, Hishamuddin Rais. Imej dari The Star.

Kalau bercakap soal aktivisme mahasiswa tahun 1970-an, selain dari nama Anwar Ibrahim – nama Hishamuddin Rais pun tak terkecuali diperkatakan. Antara demonstrasi hebat yang diorang pernah buat adalah Demonstrasi Baling 1974.

Lepas demonstrasi ni, kerajaan dah menjalankan penangkapan besar-besaran, tapi Hishamuddin sempat melarikan diri ke luar negara. Hishamuddin lepas tu dapat suaka politik di Belgium dan kemudiannya tinggal di London selama 15 tahun.

Setelah hampir 20 tahun hidup dalam buangan, akhirnya pada tahun 1994 – Hishamuddin berjaya pulang ke Malaysia. Menurut veteran PKR, Hassan Karim – kepulangan Hishamuddin tu sebenarnya ada kaitan juga dengan jasa Anwar.

“…untuk membawa Hishamuddin pulang perlu ditunda dahulu sehingga Anwar Ibrahim berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri…

Tidak lama selepas Anwar berjaya mengalahkan Ghafar Baba di dalam Umno dan diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Hishamuddin berjaya pulang ke Malaysia…” – Katanya, dipetik dari Malaysiakini.

Hishamuddin, Ibrahim Ali & Anwar Ibrahim berdemonstrasi bersama pada tahun 1973. Imej dari Kriss Merah.

Bila Anwar dipecat pada tahun 1998, Hishamuddin juga jadi antara orang yang turun ke jalan raya dan penggerak reformasi. Dan pada 2001, Hishamuddin dah ditahan di bawah ISA. Walaupun macam tu, sokongan Hishamuddin kepada Anwar ni tak lah nampak kuat sangat.

Sebab pada tahun 2017, Hishamuddin dah mengkritik cara pengurusan Anwar dalam PKR yang dia sifatkan menjadi punca kepada kemelut parti. Katanya, dalam satu perkara yang sama – Anwar selalunya bagi pandangan dan arahan yang berbeza-beza dari satu sosok kepada yang lain.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Lepas PRU-14, Hishamuddin sekali lagi mengkritik Anwar yang dia sifatkan sebagai ‘berahi nak jadi Perdana Menteri’. Katanya, semua tu kita boleh nampak bila Anwar selalu saja kata yang dia akan jadi pengganti Dr Mahathir dan berita tentang siapa PM selepas Dr Mahathir boleh dikatakan hari-hari dihidangkan kepada masyarakat.

“Keberahian Anwar Ibrahim ini meluap-luap. Keberahian Anwar memancut-mancut hingga terpancut ke hujung lengan. Keberahian inilah yang menjadi isi pati politik Malaysia hari ini – Hishamuddin, dipetik dari Malaysiakini.

Antara artikel Hishamuddin pasal Anwar. Imej dari Malaysiakini.

Bagi Hishamuddin lagi, reformasi bukan soal sosok tapi idea, dan reformasi tu sendiri sebenarnya dah lama ada iaitu sejak sebelum peristiwa Anwar Ibrahim dipecat lagi. Jadinya, adalah salah untuk kita mengaitkan reformasi dengan sosok seseorang.

Dan dengan kehadiran Hishamuddin ke Majlis Makan Malam yang diadakan oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pada Ahad lalu, maka ia juga menimbulkan persoalan. Adakah Hishamuddin kini bersama blok Azmin?

2. Khalid Jaafar – Dari Setiausaha Akhbar Anwar ke penasihat Azmin Ali

Penasihat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Khalid Jaafar. Imej dari BH Online.

Sebenarnya, Khalid Jaafar dah lama bekerja dengan Anwar Ibrahim iaitu sebagai Setiausaha Akhbar dari tahun 1988 sampai 1998. Dia pegang jawatan tu, sejak Anwar jadi Menteri Pelajaran, sampailah jadi Timbalan Perdana Menteri, hinggalah dipecat dari semua jawatan kerajaan.

Lepas tu, Khalid jadi antara pengasas PKR dan pegang beberapa jawatan seperti editor akhbar parti, Berita Keadilan dan Ketua Penerangan PKR sampai 2004. Masa PRU-1999, Khalid dah bertanding menentang Ghafar Baba (kemudiannya Tun) untuk kerusi Parlimen Batu Berendam, tapi kalah.

Walaupun kalah, Khalid tetap aktif dalam PKR dan juga jadi Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD). Masa Azmin jadi Menteri Besar Selangor, Khalid dah dilantik sebagai Ketua Pegawai Strategi dan Penyelidikan Pejabat Menteri Besar Selangor. Lepas tu bila Azmin jadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Khalid dilantik pula jadi penasihat.

Satu program pada tahun 2014. Imej dari FB Khalid Jaafar.

Kritikan Khalid terhadap Anwar boleh dikatakan muncul pada bulan Julai lalu bila dia sarankan Presiden PKR tu bersara je dari politik, sebab sanggup ‘melempar batu’ terhadap orang lain demi menjadi Perdana Menteri.

“Atau seperti permainan dam ular dan tangga, Anwar hanya tinggal dua mata untuk sampai ke garisan penamat. Malangnya di mata terakhir sebelum di garis penamat, dia ditelan ular.

Maka jatuhlah semula ke garisan ke garisan permulaan. Umur sudah lanjut, perjalanan kembali jauh. Seeloknya Anwar Ibrahim bersara sahajalah dari politik” – Khalid Jaafar, dipetik dari Projek MM.

Dalam satu majlis bersama Azmin pada 2014. Imej dari FB Khalid Jaafar.

Dalam tulisannya yang lain pula, Khalid ada kata yang Anwar nak sangat jadi PM sampaikan gambar bertemu Dr Mahathir selalu di-upload dan ‘I have the number’ selalu diratipkan.

“Anwar terpinggir dari arus perdana pemberitaan. Maka beliau ciptakan kempen peralihan kuasa dan citra perdana menteri kelapan.

Rakyat diheret ke dalam kontroversi tentang apa yang boleh diuruskan secara teratur dalam Pakatan Harapan.” – Khalid, dipetik dari Malaysiakini.

Jadinya di sini, nampaklah kita yang Khalid tak lagi percaya dengan Anwar. Sebagai orang lama berkhidmat dengan Anwar, tindakan Khalid bersama team Azmin sukar dijangka dan disangka.

3. Tian Chua – Dari Reformasi 10 kepada penasihat khas Menteri Kerja Raya

Gambar ikonik Tian Chua sewaktu Reformasi 1998. Imej dari The Star

Dalam kalangan mereka yang digelar sebagai pejuang reformasi, nama Tian Chua pastinya salah seorang nama yang akan disebut. Dia jugalah salah seorang daripada 10 aktivis KEADILAN yang ditangkap sewaktu berlakunya gerakan Reformasi 1998. Macam yang kita tahu, Reformasi ni bermula selepas Anwar Ibrahim dipecat oleh Dr. Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tian Chua ketika itu menjadi perhatian kerana gambar-gambarnya ketika ditangkap, dipukul dan duduk bersila berdepan dengan gas pemedih mata dan jentera FRU. Tekadnya untuk turun bersama menggerakkan reformasi ni semestinya datang dari pengalamannya sebagai ketua gerakan pelajar di Universiti New South Wales, Australia.

Pada tahun 1999, Tian Chua adalah antara orang terawal yang dijemput bersama untuk membentuk Parti Keadilan Nasional (PKN) yang akan bertanding dalam PRU-1999. Namun, pada September 1999, Tian Chua bersama kepimpinan PKN yang lain termasuk Azmin Ali dah ditahan serta tidak dibenarkan bertanding dalam PRU. Mereka yang ditahan dibawah ISA ini dikenali sebagai Reformasi 10.

Koyakan reformasi. Imej dari Buletin Sengal

Selepas dibebaskan serta Parti Keadlian Rakyat (PKR) dibentuk pada tahun 2004, dia dah menjadi orang penting parti itu sebagai ketua penerangan dan akhirnya Naib Presiden. Dalam prestasinya sebagai ahli parlimen, dia menguasai Parlimen Batu selama dua penggal sehinggalah dia tidak dibenarkan bertanding pada PRU-14.

Namun, dia telah mengetengahkan calon bebas, Prabakaran untuk diundi di situ. Hasilnya, rakyat parlimen Batu memberi undi tertinggi kepada calon bebas itu. Sekalipun Tian Chua tidak memegang apa-apa kawasan, dia telah dilantik sebagai Penasihat Khas Menteri Kerja Raya oleh Baru Bian.

Dalam menggerakkan pembebasan Anwar dari penjara suatu ketika dulu. Dia juga adalah antara orang terkehadapan. Contohnya pada November 2017, ketika dia mengetuai solidariti “1,000 hari Anwar di penjara”. Di mana majlis itu mengumpulkan para pemimpin politik dan NGO yang berarak dari pintu masuk Parlimen ke Dataran Merdeka.

“Saya hanya dipenjara 30 hari apalah ertinya berbanding Datuk Seri Anwar pada hari ini sudah 1000 hari beliau dipenjarakan. Ini pengorbanan besar beliau untuk memastikan negara ini bebas daripada pemerintahan Najib Razak,”- Tian Chua, petikan dari Malaysiadateline

Tian Chua ketika solidariti untuk Anwar. Imej dari Malaysiadateline

Itulah yang berlaku sebelum Pakatan Harapan menjadi kerajaan. Namun, kini, nampaknya pandangan Tian Chua kepada Anwar Ibrahim juga berubah. Macam yang kita tahu, dia telah pun di ‘boo’ ketika berucap di Kongres Keadilan Nasional baru-baru ni. Dia mengatakan bahawa Anwar perlu bertanggungjawab terhadap ahli-ahli parti yang kini lebih taksub kepada individu berbanding agenda parti.

Kehadiran Tian Chua dalam Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama yang dianjurkan Azmin, akhirnya menjawab di belah mana dia berada sekarang.

4. Sivarasa Rasiah- Dari peguam Anwar ke Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar

Sivarasa sewaktu berhimpun suatu masa dahulu. Imej dari The Star

Sepanjang kes Anwar dipenjarakan, semestinya akan ada pasukan undang-undang yang akan menguruskannya. Salah seorang peguam Anwar Ibrahim adalah Sivarasa Rasiah yang kini merupakan ahli parlimen Sungai Buloh.

Kalau nak diikutkan, Sivarasa ni adalah pelajar cemerlang undang-undang kerana merupakan penerima biasiswa Rhodes di Universiti Oxford. Dia kemudiannya pulang ke Malaysia dan mula aktif dalam NGO dan politik pada tahun 1997. Ketika berlakunya Reformasi 1998, dia telah ditahan sebanyak dua kali.

Dia kemudiannya menjadi salah seorang pasukan pembelaan Anwar Ibrahim di mahkamah serta menyertai Parti Keadilan. Sepanjang karier politiknya, dia dah menjadi ahli parlimen Subang (2013) dan Sungai Buloh (2018). Dia juga telah dilantik untuk menyertai kabinet sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Sivarasa setia sebagai peguam Anwar. Imej dari Keadilan Daily

Usaha pasukan pembelaan Anwar yang turut dipimpin Sivarasa, akhirnya berbaloi apabila Anwar Ibrahim menerima Pengampunan Diraja yang membolehkannya kembali aktif di arena politik.

“Beliau bukan saja bebas secara fizikal tetapi  juga boleh menyertai politik selepas pengampunan diberikan. Anwar mungkin akan berehat terlebih dahulu untuk menemui sahabat-sahabat beliau sebelum kembali aktif dan selepas raya kita akan memulakan proses untuk mengembalikan beliau ke Parlimen.”- Sivarasa, petikan dari Astro Awani

Janji Sivarasa ni menjadi kenyataan apabila Anwar Ibrahim diundi sebagai ahli parlimen Port Dickson. Namun, dalam pergeleseran PKR yang terbaru ni, nampaknya Sivarasa tidak memihak kepada Anwar Ibrahim. Buktinya, apabila dia menyertai majlis makan malam yang dianjurkan oleh Azmin Ali baru-baru ni. Maka, langkah Sivarasa ni juga akan menjadi tanda tanya dan perhatian.

Tiada kawan dan musuh yang kekal dalam politik

Sebagai rakyat Malaysia, korang mesti pening dengan situasi politik yang pelbagai ragam ni. Dulu Azmin Ali ni pengikut tegar Anwar Ibrahim, sekarang tak lagi. Begitu juga Anwar Ibrahim yang menjadikan Azmin sebagai orang kepercayaannya sepanjang sejarah politik, tapi nampaknya seperti sedang berkonflik.

Begitu juga contoh empat orang politik yang kami bagi kat atas ni. Sebenarnya, ini bukan benda baru. Ragam politik seperti ni dah banyak berulang sama ada kita sedar atau pun tak. Dulu kita pernah tengok Tun Mahathir angkat Pak Lah, dan kemudiannya menentang Pak Lah. Kita juga dah tengok Salleh Keruak dulu sokong Najib, kini menyokong Anwar sebagai PM. Begitu juga, ada parti yang dulu menentang parti tertentu, kini duduk bersama.

Pak Lah, Najib dan Anwar pernah duduk bersama. Imej dari Muhammad Hanif WordPress

Mungkin bagi kita, ia seolah-olah mementingkan diri dan perebutan kuasa. Hakikatnya, inilah politik yang disebut oleh pakar sebagai “politik tidak ada kawan dan musuh yang kekal abadi, sebaliknya yang ada hanyalah rundingan”.

 

 

 

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend