“Silakan makan roti, John”: Ini kisah di sebalik roti kegemaran Malaysia

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 14 Mei 2019

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

UPDATE 19/2/2020: The Star dah mengelurkan satu artikel yang ada menyentuh mengenai seorang menteri yang dikatakan bergurau mengenai roti John di dalam mesyuarat bersama diplomat luar negara.

“Nama anda John. Di negara saya ada ‘roti john’. Jika anda datang ke negara saya, saya akan masak ‘roti john’ untuk anda,” – Petikan dari FMT

Namun, Setiausaha Akhbar kepada Mat Sabu mengatakan ia tiada kaitan dengan Mat Sabu selaku Menteri Pertahanan.


Kami bukan nak menyiasat siapa orang sebenar mengenai lawak roti John ni, tapi kami nak bincang lebih dalam dari itu berkaitan roti John tu sendiri. Kita mulakan…

Setuju tak? Imej dari ohmymedia

Memang ramai rupanya tak puas hati dengan roti John bila pergi beli kat pasar. Salah satunya macam tweet kat atas ni. Tapi tahukah korang macam mana roti nama orang putih boleh ada di Malaysia?

Orang putih ni minta hamburger kat penjaja Melayu, tapi…

Macam yang kita tahu, roti John ni terdiri daripada roti, bawah, daging cincang atau ayam dan juga telur. Sekarang ni pun dah ada macam-macam inovasi macam roti John Cheese dan sebagainya. Harga sekarang pun dalam RM4.50 hingga RM7.00 (kalau ada perkataan leleh).

Tapi mesti ramai rasa pelik. Nama roti nama orang putih, tapi ada kat negara Nusantara macam Singapura dan Malaysia. Tak marah ke John yang ada kat UK tu sebab pakai nama diorang untuk buat juadah berbuka? Untuk menjawab semua persoalan ni, kita perlu kembali kepada sejarah asal-usul kemunculan nama roti John.

Keratan akhbar dulu. Imej dari NLB Singapore

Menurut laporan Straits Time Singapura pada tahun 1988, pada sekitar tahun 1960 ada seorang orang putih (Englishmen) ni minta seorang penjaja Melayu di Sembawang, Singapura untuk buat hamburger. Masalahnya, tak ada hamburger waktu tu.

Apa lagi, penjaja ni tadi taburkan daging cincang dan bawang di celah-celah kepingan roti Perancis dan dimasak dengan ramuan telur sebagai pengganti. Lepas siap semua, penjaja ni tadi cakap,

“Silakan makan roti, John”

Hamburger tak dak. Kita try roti ni John

Orang kat keliling dengar, maka melekatlah nama roti John sampailah sekarang.

Makin hari makin diterima, sampailah ke tanah air kita

Dari kejadian yang tak disengajakan tu, roti John terus berkembang dan berlaku perubahan sedikit demi sedikit. Macam yang kita tahu asalnya hanya hanya roti, daging, bawang dan telur. Roti ni tadi dijual oleh orang India kepada askar-askar British di Singapura.

Resepi roti ni terus berkembang apabila Cik Zawiah Anwar di Pusat Makanan Geylang Serai melakukan sedikit perubahan resepi. Dia menyediakan roti John yang mengandungi daging kambing, telur, bawang, kacang peas dan tomato di atas roti Perancis.

Rupa roti John dulu. Imej dari NLB Singapore

Pada tahun 1970, ia terus popular apabila seorang peniaga bernama Shukor ada buka warung di Taman Serasi di Singapura. Roti ni macam biasa dijual kepada orang putih yang ada di sana. Resepi roti John ni dia dapat dari para penjaja di Geylang (tempat Cik Zawiah popularkan roti John). Dari resepi tu, dia dah buat ubah suai sikit dengan memasukkan telur, daging cincang, bawang dan SAMBAL. Punyalah popular sampai dia boleh jual 800 keping pada hujung minggu dan 100 sehari pada hari biasa.

Selepas Shukor meninggal dunia, isterinya Khadijah bt Mohd Salleh menyambung legasi perniagaannya. Kalau korang nak tau, roti John Shukor adalah penanda aras rasa sebenar roti John. Kalau nak tau scam ke tak roti john tu, kena cuba roti John Shukor tu.

Lama kelamaan, roti John pun masuk ke Semenanjung Malaysia dengan pelbagai variasi termasuklah sardin dan cheese.

Roti John makin tak berkualiti, namun ada yang sanggup mengembara untuk dapatkan resepi

Kalau korang pergi bazar atau pasar, mesti perasan ramai je orang yang jual roti John. Kadang-kadang tak tau nak beli kat kedai mana. Tapi, biasanya orang dah boleh beza antara yang berkualiti dan tak. Contohnya macam abang bawah ni;

Imej dari Gempak

Kalau boleh kita nak lah yang betul-betul ada daging atau pun ayam kan. Ini tak ada beza pun kadang-kadang, semua rasa telur semata-mata. Tapi tak semua macam tu, ada je peniaga yang tunjuk kesungguhannya yang tersendiri sampai sanggup pergi mengembara untuk cari resepi roti John yang terbaik.

Hal ni berlaku apabila Hazuwi Yaacob sanggup megembara dari Kelantan ke Jakarta sejauh dari 1,459 km. Usaha ni dah dibuat sejak tahun 2015 apabila dia ulang alik 2 kali setahun. Sebab dia memilih Jakarta kerana…

“Jadi saya kaji di mana roti john yang enak dan melalui carian di internet, saya tertarik dengan Jakarta kerana ramai yang menjual roti john di tepi jalan,”- Petikan dari Berita Harian

Salah satu rupa roti John di Jakarta. Imej dari Idntimes

Di Jakarta, dia berguru dengan beberapa orang yang berlainan termasuk melalui pemilik restoran, penjual roti john di tepi jalan dan tukang masak untuk belajar pasal pembuatan inti. Hasil usahanya ni memang berbaloi dan mendapat sambutan.

Roti John punca rezeki ramai orang, tapi jangan ambil kesempatan

Sedar tak sedar, roti John ni bukan sekadar juadah untuk orang berbuka puasa. Malah, ia lebih daripada itu. Memang banyak kisah orang yang menganggur sambil tunggu dapat panggilan temuduga, diorang meniaga roti John. Memang untung dan laku. Antaranya kisah pemuda yang jual roti John yang pada mulanya laku 3 biji je sehari, akhirnya menjadi 70 biji sehari.

Itu belum lagi kisah yang jual roti John 4 hari seminggu, boleh dapat keuntungan mencecah RM10,000 sebulan tau. Kiranya memang berebut-rebut lah orang nak jual. Lagi-lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Disebalik semua kisah keuntungan ni, harapnya para peniaga tak lah mengambil kesempatan dengan menjualnya secara ala kadar. Kalau nama roti John daging, letaklah daging secukupnya, macam tu juga ayam. Selain memikirkan untung, kejujuran peniaga tu juga sangatlah dituntut. Ini bukan sekadar untuk diri sahaja, malah untuk orang lain. Apa yang paling penting, peniaga yang jujur akan bertahan lama dan sentiasa disukai pelanggan.

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT