Kisah “Ottoman Vampire” sewaktu kerajaan Uthmaniyyah

Cerita pasal vampire di mana mayat bangkit dari kubur lalu menghisap darah orang yang masih hidup sering dikaitkan dengan cerita rakyat Eropah Timur pada abad ke-17 dan 18. Tapi ramai tak tau yang pada abad ke-15 dan 16 lagi sewaktu zaman Khalifah Uthmaniyyah, kisah kewujudan pontianak pernah menjadi isu besar sehingga mencetuskan huru-hara dalam mahkamah syariah.

Pelik kan? Takpe mari kami huraikannya secara luas mengenai amukan pontianak pada era pemerintahan Khalifah Uthmaniyah.

“Pontianak Uthmaniyyah” berbadan hitam yang menghisap darah manusia

Makhluk yang dikatakan pontianak Uthmaniyah. Imej dari Hislamic.

Perkataan “pontianak Uthmaniyyah” (Ottoman Vampire) tidak ditemui secara spesifik dalam mana-mana cerita rakyat atau budaya tetapi ia dikatakan merupakan campuran perkataan daripada bahasa Parsi, Yunani, Turki dan Slavia. Kemunculan pontianak pernah ditulis dalam catatan sistem kehakiman abad ke-16 yang dikenali sebagai ‘Goul‘.

Kalau korang nak tahu, Goul merupakan seekor makhluk berbadan besar warna hitam serta mempunyai ciri-ciri pontianak dari cerita Eropah iaitu meminum darah manusia.

Berdasarkan tafsiran sebahagian kitab-kitab Islam tertentu, Goul berasal daripada spesies Marid (jenis jin). Marid dikatakan kembali ke bumi untuk menyampaikan ilmu ghaib kepada ahli-ahli sihir. Mahluk itu sering dikaitkan dengan sifat angkuh dan sombong kerana mempunyai kekuatan lagi hebat berbanding jin lain.

Diutuskan oleh Allah S.W.T supaya diharamkan mereka untuk menjejakkan kaki atau mencium haruman syurga tetapi mereka tetap berdegil. Lantaran itu, mereka dibakar oleh komet lantas berubah menjadi mahluk sangat seram iaitu Gouls dan jatuh ke padang gurun.

Kemudian, Goul mula tinggal di tanah perkuburan, memakan mayat-mayat manusia dan hidup seperti pontianak. Kisah mereka mula mendapat nama dalam cerita rakyat masyarakat Islam, ditambah lagi dengan bayangan tentang jin ada dalam kitab-kitab Islam.

Selain itu, ada juga kata Goul ni ialah manusia yang mengembara di tanah perkuburan. Kisah mereka ini sangat terkenal sehingga ada disentuh dalam buku Seribu Satu Malam (One Thousand and One Nights).

Kewujudan pontianak telah mencetuskan fatwa untuk membakar mayat

Lukisan suasana di mahkamah yang dilukis oleh Mahmud Abd. Al-Baqi. Imej dari Lapham’s.

Pada masa itu, bukan sahaja kemunculan Goul, malah kisah hantu Arab atau pontianak ini telah meluas dari Kerajaan Uthmaniyah ke Balkan dalam cerita rakyat mereka pada abad ke-15.

Berdasarkan laporan pada masa itu, penduduk kampung dari Wilayah Rumelia dan Anatolia telah pergi berjumpa dengan Syekh Al-Islam Uthmaniyah, Ebussuud Efendi untuk melaporkan satu perkara yang aneh. Untuk pengetahuan korang, Ebussuud Efendi merupakan seorang faqih (ulama) dan pentafsir Al-Qur’an.

Haa inilah Ebussuud Efendi. Imej dari Alchetron.

Mereka menyatakan ada sekumpulan mayat yang keluar dari kubur dan meminum darah orang masih hidup. Apabila diperiksa kubur mayat tersebut, terdapat kesan darah pada muka mereka serta kedudukan mayat mereka berubah dari kedudukan asal masa dikebumikan. Ebussuud berasa sangat hairan sebab tu kes paling pelik yang beliau pernah dengar. Tapi, beliau tetap nak tolong penduduk kampung.

Ebussuud menyatakan tiada sebarang fatwa mengenai mayat bangkit dari kubur secara spesifik dalam Syariah Islam. Kemudian beliau mencadangkan satu fatwa iaitu:

“Jika mayat itu kelihatan bergerak, harus dipaku ke tanah, jika hendak bangkit semula, kepalanya harus ditarik keluar dan diletakkan di atas kakinya. Namun, jika dia bangkit semula, mayat itu harus dibakar.” – Ebussuud Efendi, petikan dari Hislamic.

Kes pelik ini sebenarnya memberikan manfaat kepada Kerajaan Uthmaniyah kerana ia dijadikan propaganda kerajaan untuk memfitnah tahanan anggota tentera Janissaries.

Pontianak menyerang askar Uthmaniyyah ketika Perang Salib

Evliya Celebi si penulis buku kewujudan pontianak semasa Kerajaan Uthmaniyah. Imej dari Haberturk.

Sebenarnya, kewujudan pontianak ini pernah dicatatkan dalam buku Seyâhatnâme yang ditulis oleh pengembara Uthmaniyyah, Evliya Çelebi (1611-1682). Dalam buku itu, beliau menceritakan tentang pemburu pontianak yang dibayar oleh keluarga si mati untuk memburu dan memeriksa mayat yang bangkit dari kubur.

“Saudara-mara si mati memberikan wang kepada pemburu pontianak untuk memeriksa mayat yang bangkit dari kubur. Apabila mereka bangkit, dengan segeranya mereka menimbuskan semula mayat ke dalam tanah sambil melihat wajah mereka yang berlumuran darah dan mata mereka ibarat cawan dipenuhi darah.” – Evliya Çelebi, petikan dari buku Seyâhatnâme.

Di wilayah Abkhazia di Pegunungan Caucasus, Elviya juga menceritakan ada kewujudan pontianak. Beliau pernah menyaksikan penduduk Kampung Pedsi membakar mayat untuk menghapuskan pontianak.

Namun, siapa sangka sebenarnya terdapat seorang ‘manusia pontianak’ ini pernah muncul dalam sejarah Perang Salib. Pada masa itu, para tentera Uthmaniyah terpaksa berlawan dengan seorang pontianak yang bernama Vlad III Dracula (1431-1476) ketika berperang.

Wajah Glad III Dracula. Imej dari Live Science.

Vlad III Dracula merupakan pemerintah bagi Kerajaan Wallachia serta terkenal dengan sikap angkuh dan pentingkan diri. Dia dianggap sangat kejam dalam menjatuhkan hukuman.

Dia sangat membenci orang Islam dan Turki sehingga pernah menyiksa 400 orang pemuda Turki yang sedang menuntut ilmu di Wallachia.. Pemuda-pemuda ini ditangkap, dibogelkan dan disuruh berarak mengelilingi bandar sebelum dicampakkan ke dalam lubang besar untuk dibakar secara hidup-hidup.

Tidak cukup dengan itu, Vlad III Dracula pernah menjemput golongan fakir dan petani islam ke upacara pemahkotaannya sebagai pemerintah Kerajaan Wallachia. Semasa golongan fakir dan petani Islam sedang seronok menjamu selera di satu ruangan istana, Vlad telah mengunci ruangan istana itu dan membakarnya secara kejam.

Dia juga pernah melakukan hukuman sula terhadap ramai orang Islam dan orang Turki yang tidak bersalah. Mayat-mayat itu kemudian dipacakkan di tengah padang. Kalau korang nak tahu, dia akan menikmati makanannya di tengah padang yang dikelilingi oleh mayat disula itu. Dia turut dikatakan seorang pontianak kerana dia akan mencelupkan roti ke dalam darah sebagai makan malam.

Macam ni lah Vlad III Dracula makan. Imej dari Vlad III “The Impaler” Dracula.

Akhir hayat Vlad III Dracula mempunyai dua kisah tetapi ikut koranglah nak percaya yang mana. Pertama, Vlad III dikatakan telah meninggal dunia semasa diserang oleh Sultan Mehmet II.

Kedua, dia dikatakan telah tewas ditangan adiknya sendiri, Radu Cel Frumos, ketika perang “The Night Attack”. Untuk pengetahuan korang, Radu Cel Frumos dan 90,000 tentera telah diarahkan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh untuk menentang kekejaman Vlad. Kisah Vlad III Dracula dijadikan sebagai inspirasi untuk penulisan buku Dracula karya Bram Stoker.

Kenapa kita selalu takut kalau berjumpa dengan makhluk halus?

Siapa je tak takut kalau jumpa hantu. Imej dari Gifer.

Kita selalu dengar kisah orang jumpa makhluk halus seperti pontianak, pocong, hantu raya, langsuir dan sebagainya. Perlu diingatkan jika kita terjumpa atau terlihat mereka ini, kita disarankan untuk tidak menjadi seorang yang sangat berani atau pengecut.

Pejabat Mufti Wilayah pernah mengeluarkan fatwa mengenai ketakutan terhadap hantu atau kalau korang ternampak hantu disekeliling korang. Menurut mereka, sebenarnya manusia tidak boleh melihat jin dan syaitan dengan mata kasar, akan tetapi orang Islam masih kena mempercayai kewujudannya.

Firman Allah:

“Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.” – Surah Al-Araf, ayat 27.

Secara hakikatnya, jelmaan hantu-hantu itu adalah khayalan gambaran masyarakat kita. Hantu dalam masyarakat kita sering digambarkan sebagai makhluk ghaib yang menjelma dengan rupa yang menakutkan. Ada mengatakan hantu itu berasal dari roh orang mati yang tidak tenteram disebabkan ada hajatnya ketika hidup tidak diselesaikan seperti pocong, pontianak, penanggal, hantu raya, dan sebagainya.

Akhir sekali, hantu-hantu yang digambarkan oleh masyarakat kita sebenarnya penyerupaan jin dan syaitan semata-mata untuk menakutkan dan menyesatkan manusia. Ini lebih terbukti melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah bahawa Nabi SAW bersabda:

“Tidak ada penyebaran penyakit (secara tabi’i), tidak ada kesialan pada bulan safar dan tidak ada ghaul.” – Riwayat Muslim (2222).

Orang kita dulu pun ada kepercayaan yang tersendiri