Sejarah & Politik

Pertempuran Kampar: Konfrontasi dua penjajah di Perak

Kalau kita cerita tentang kisah perang dunia kedua di negara kita, pasti ramai akan bercakap tentang kisah-kisah yang popular seperti pertempuran di Bukit Kepong dan sebagainya. Tetapi apabila Jepun mendarat di Malaya pada masa itu, hampir semua pelusuk bahagian di Malaya terlibat dengan pertempuran.

Jadi, apa yang dimaksudkan dengan pertempuran tu. Kali ni kami nak menceritakan tentang salah satu insiden Perang Dunia Kedua (WWII) yang mungkin ramai masih tidak tahu iaitu ‘The Battle of Kampar’. Jika korang nak tahu dengan lebih lanjut, teruskan membaca artikel ini.

Askar Imperial Jepun mendarat di Malaya

Tentera ‘Matahari Terbit’. Imej dari PeKhabar

Kalau kita bertanya kepada orang-orang tua yang pernah merasa zaman Jepun dan masih lagi hidup sehingga kini, pasti ramai antara mereka akan berkata zaman itu merupakan hari-hari yang paling seksa untuk hidup di Malaya. Pada 8 Disember 1941, Jepun secara rasminya telah mendarat di Malaya atau lebih spesifiknya adalah di Kelantan dan perkara itu terjadi betul-betul sejam sebelum ‘Pearl Harbour’ diserang oleh Jepun sekaligus mencetuskan perang dunia kedua.

Dari situ, Jepun mula melebarkan sayap mereka ke seluruh Malaya dengan misi untuk menawan setiap kawasan yang dijajah oleh pihak British. Disebabkan itu lah slogan seperti Hakko Ichiu (Asia untuk orang Asia) dilaungkan oleh penjajah Jepun ni, dorang seperti mengatakan yang hidup dijajah oleh orang eropah ini sangat tak wajar dan pada masa sama, menggunakan naratif ingin menolong orang tempatan untuk memerangi penjajah British.

Pada 30 Disember 1941, telah tercetusnya satu pertempuran yang amat penting bagi kedua-dua pihak iaitu Jepun dan juga British. Ia dinamakan ‘Pertempuran Kampar’ atau orang British memanggilnya ‘The Battle of Kampar’, pertempuran hebat yang telah berlangsung di Kampar, Perak ini telah berlanjutan selama 4 hari 3 malam.

Jepun dengan kereta kebal mereka. Imej dari Facebook

Ia merupakan pertempuran antara pihak tentera Imperial Jepun (5th Division) menentang tentera British dan India (11th Indian Infantry Division). Pada masa itu, tentera British mempunyai misi untuk mengekalkan kedudukan di situ dan menghentikan kemaraan tentera Jepun daripada meneruskan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Dalam masa yang sama, ia juga untuk memberikan waktu kepada 9th Indian Infantry Division untuk berundur dari pantai timur semenanjung.

Dikatakan seramai 4,000 tentera Jepun telah dikerahkan untuk ke Kuala Lumpur dan 1,500 tentera bersekutu British telah diletakkan di Bandar Kampar untuk mempertahankan kedudukan mereka di situ. Dikatakan juga Jepun dengan misi untuk menawan Kuala Lumpur ketika itu, mengambil keputusan untuk menawan Kampar terlebih dahulu untuk dijadikan sebagai hadiah tahun baru kepada Maharaja Hirohito.

Hadiah tahun baru tu, kalau kita tahun baru setakat duduk rumah tengok tv je kan. Kalau yang bernasib baik sikit dapat lah tengok bunga api kat KLCC dengan kawan-kawan.


Bandar Kampar yang strategik untuk dijadikan kubu pertahanan yang ampuh

Peta kedudukan kubu di Kampar. Imej dari Queens Royal Surreys

British telah mendirikan kubu di Kampar dan salah satunya adalah ‘The Green Ridge’ atau bahasa melayu dia Rabung Hijau untuk melawan tentera Jepun pada masa itu. Ianya merupakan kubu yang mempunyai pertahanan semulajadi disebabkan bukit-bukau yang mengelilingi kawasan itu seperti Gunung Bujang Melaka. Itu semua perkara yang dilakukan mereka untuk mengelak pangkalan Udara Tentera British RAF di Sungai Besi, Kuala Lumpur (sudah menjadi Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia) ditawan oleh tentera Jepun.

Secara keseluruhannya, mereka telah menyediakan 4 rabung di kawasan Kampar iaitu ‘Thompson Ridge’, ‘Kennedy Ridge’ dan ‘Cemetery Ridge’. Semua rabung ini memberi kelebihan altileri kepada pihak British berikutan bentuk muka bumi yang ideal untuk dijadikan kawasan pertahanan semasa melawan Jepun.

Tapak ‘The Green Ridge’ pada masa kini. Imej dari MalayMail

Ini berikutan apabila pertempuran telah terjadi di atas kawasan bukit yang berdekatan, ia menyebabkan Jepun ketandusan idea untuk mara dengan lebih jauh disebabkan bedilan oleh altileri tentera bersekutu yang menyebabkan ramai tentera Jepun terbunuh disebabkan perkara itu. Kalau dah kena bertalu-talu macam tu mesti koyak mental Jepun ni.

Kalau korang nak tahu, sebenarnya korang sendiri boleh datang ke Kampar untuk melihat kubu ‘Green Ridge’ dan lain-lain tapak peninggalan perang dunia kedua ini yang sudah diwartakan menjadi tapak warisan negeri Perak. Tapi kena hati-hati sikit sebab kawasan tu pun dengar cerita tempat dorang kebumikan askar-askar  yang terkorban, jadi siapa yang penakut tu sila berjaga-jaga.

Bantuan dari 12th Indian Infantry Division untuk memberi masa persediaan

Indian Infantry Division. Imej dari WikiWand

Pihak tentera bersekutu British telah diserang hebat oleh Jepun di Kedah sehingga mereka terpaksa turun ke Perak untuk mendapatkan peluang serang balas yang lebih baik. Yang datang membantu adalah 12th Indian Infantry Division yang merupakan pasukan simpanan dan juga pakar perang ‘Guerrila’ atau pun dipanggil pertempuran hutan.

Dikatakan dengan datangnya bantuan ini dicampur juga dengan  kepakaran mereka dalam pertempuran hutan, mereka berjaya mengekang kemaraan tentera Jepun dengan efektif untuk sementara waktu. Angka kematian yang dialami oleh tentera Jepun juga agak ramai disebabkan mereka itu.

Tujuan utama mereka dikerahkan adalah untuk memberi masa kepada 11th Indian Infantry Division bersiap sedia di setiap rabung khas yang sudah disediakan di kaki Gunung Bujang Melaka, Kampar itu. Apabila mereka yang berada di rabung sudah bersedia, mereka yang sedang bertempur di hadapan diarahkan berundur ke Kampar bagi melangsungkan pertempuran di situ kerana kelebihan akan lebih memihak kepada pihak British.

Betul lah orang cakap, berperang ni pun kena pakai otak juga. Setiap strategi kena betul dan kalau boleh kena fikirkan cara terbaik untuk memberikan kelebihan untuk menghancurkan musuh.

Rejimen tentera yang hebat juga telah dikerahkan

Askar Gurkha di Malaya, 1941. Imej dari Pinterest

Jepun yang mempunyai kekuatan 9,000 tentera darat yang dibantu dengan 200 kereta kebal dan 100 meriam itu dipimpin oleh Lieutenant General Takuro Matsui dari 5th Division. Ini merupakan kuasa tentera yang telah dikerahkan untuk menawan Kampar dan Gunung Bujang Melaka supaya kelebihan jatuh ke tangan pihak Jepun.

Pada 31 Disember, pihak Jepun cuba mula melakukan serangan terhadap British tetapi itu semua dipatahkan oleh 28th Gurkha Brigade yang diarahkan untuk mengepung tentera Jepun dan melemahkan mereka pada waktu malam. Gurkha ini juga berperanan untuk menawan kembali kawasan yang telah ditawan oleh Jepun.

Pertempuran yang lebih dahsyat terjadi pada esok harinya apabila Jepun berjaya mara hingga ke kawasan rabung yang didirikan oleh British sehingga memaksa pertempuran jarak dekat tercetus. Dikatakan ketika itu angka korban sangat tinggi kerana masa tu Jepun dengan guna pisau bayonet, lepas tu Gurkha pun ada parang dorang sendiri, so dah kalau tak boleh menembak tu dorang guna melee je lah kan sebab itu yang paling efektif.

Tak boleh bayangkan macam mana situasi masa tu, dua-dua pihak berlawan untuk menentukan pemenang di bumi asing. Kalau kena tembak or kena tikam tu memang terus mati, mayat pun tak boleh nak bawa balik negara asal. Betul ngeri.

Jepun memintas kelebihan kubu Kampar dengan menawan Teluk Anson

Teluk Anson (Teluk Intan). Imej dari Penang Monthly

Pihak Jepun mula menyedari jika mereka berhadapan secara terus-menerus dengan tentera bersekutu di Kampar, jumlah kematian mereka hanya akan bertambah. Jadi mereka membuat keputusan untuk menghantar tentera mereka di pantai barat Perak dan memintas tentera bersekutu dari sebelah tepi.

Perkara itu membuatkan Jepun berjaya menawan Teluk Anson (sekarang dikenali sebagai Teluk Intan) dan apabila mereka menyerang kubu Kampar dari belah barat, mereka berjaya menawan Kampar selepas berlakunya pertempuran yang tidak lagi boleh ditampung tentera bersekutu. Pihak British yang berada di Kampar terpaksa berundur dan meninggalkan kubu itu selepas Jepun seakan-akan boleh meranapkan mereka disebabkan pintasan itu.

Kedudukan Kampar dengan pantai barat. Imej dari Google Maps

Pada 2 Januari, mereka berundur hingga ke Slim River sebagai kedudukan pertahanan baru di situ. Walaupun pengunduran British dari Kampar dilihat seakan-akan kekalahan, tetapi itu dikira kemenangan. Hal ini disebabkan, mereka berjaya menentang hebat ancaman Jepun yang mempunyai kekuatan tentera yang lebih besar selama 4 hari 4 malam dan juga menyebabkan angka korban yang sangat tinggi dikalangan tentera Jepun.

Antara kesan besar yang telah dicapai British ketika itu adalah, Rejimen ke 41 Jepun tidak dapat menyertai pencerobohan di Singapura dan itu merupakan perkara yang baik. Dalam erti kata lain, Jepun lemah sikit la masa nak serang Singapura tu.

Peperangan hanya membawa kepada kebinasaan

Tunku Abdul Rahman di Dataran Merdeka pada 1957. Imej dari JohorKini

Seperti yang semua orang tahu, perang ni tak boleh memberi apa-apa kebaikkan pun sebenarnya. Lagi-lagi perang itu dilakukan dekat negara orang lain. Kita semua haruslah sentiasa hargai perjuangan tentera yang telah bersusah payah mengorbankan nyawa mereka untuk mempertahankan Malaya suatu ketika dahulu.

Zaman sekarang, ramai yang menginginkan perang tercetus hanya disebabkan pertelingkahan yang sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara yang lebih baik. Perang tidak boleh memberikan apa-apa kebaikkan, ia hanya memberi kesengsaraan kepada manusia.

Popular

To Top

Send this to a friend