Orang putih ni mengemis di negara orang untuk melacur dan berparti termasuklah Malaysia

Selalunya kalau kita bayangkan peminta sedekah atau pengemis, diorang mesti berpakaian lusuh, golongan yang sangat susah atau tak ada keupayaan untuk sara diri sampai terpaksa meminta wang daripada orang lain.

Tapi, kalau korang perasan, sejak akhir-akhir ni dah jadi macam satu trend di negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia di mana ada segelintir pengemis yang wujud ni bukan sebab sangat susah, tapi  mengemis untuk tanggung belanja percutian diorang. Diorang bukanlah orang tempatan, tapi merupakan golongan backpackers yang datang dari negara-negara Barat ke negara-negara Asia Tenggara untuk mengembara.

Golongan ni kadang-kadang digelar sebagai ‘beg-packers’ iaitu pelancong Barat yang bermain muzik atau menjual knick-knacks (barangan kecil yang tak bernilai) di jalan-jalan sekitar Asia Tenggara untuk tanggung percutian diorang atau beli tiket balik ke negara masing-masing.

Minta tolong orang ramai untuk beli tiket bercuti. Imej daripada i-am-bored.com

Guna peralatan mahal untuk mengemis

Apa yang selalunya ‘beg-packers’ ni lakukan untuk mendapatkan wang daripada penduduk tempatan? Diorang dilihat menjual barang-barang kecil macam poskad kalau nak duit cepat. Ada juga yang busking guna instrumen elektrik dan amplifier. Ada satu gambar yang dikongsi di Twitter menunjukkan sepasang ‘beg-packers’ guna kamera DSLR mahal sambil mengemis.

Salah seorang penduduk tempatan dari Singapura mempersoalkan kenapa ada pelancong duduk kat tepi-tepi jalan dengan barang-barang mahal perlu minta sedekah? Selain busking dan menjual pelbagai barangan knick-knacks, ada juga yang dilihat ‘bermeditasi’ di kaki lima untuk mendapatkan wang.

‘Pengemis’ dan kamera DSLR mereka. Imej daripada news.com.au

Pernah dihalau beberapa kali oleh pengawal keselamatan

Di Kuala Lumpur, trend ni semakin meningkat terutama kat kawasan tumpuan pelancong seperti Jalan Bukit Bintang dan kawasan berhampiran KLCC.

“Beberapa pelancong warga Barat ini juga dilihat meminta wang di sepanjang laluan pejalan kaki yang menghubungkan KLCC ke The Pavilion di Jalan Bukit Bintang, di mana jalan itu menjadi penghubung pejalan kaki ke hotel dan bangunan pejabat berhampiran. Seorang pengawal keselamatan yang membuat rondaan di laluan itu berkata, beliau pernah menghalau pengemis warga asing di kawasan itu beberapa kali.” – Petikan dari Free Malaysia Today.

Di Singapura pun tak terkecuali berlaku perkara yang sama. Diorang secara terbuka tak pedulikan undang-undang ketat yang menyatakan tak boleh mengemis di tepi-tepi jalan. Dekat sana, hanya pelawat yang ada visa pekerja je yang dibenarkan untuk busking.

Salah seorang penduduk Singapura, Maisarah Abu Samah beritahu yang ini pertama kali dia lihat perkara seperti ini berlaku. Di Singapura, tak ramai yang jual knick-knacks atau main muzik kat tepi-tepi jalan sebab undang-undang yang ketat daripada kerajaan. Kalau ada peniaga tepi jalan atau penghibur jalanan pun, diorang selalunya ada kat kawasan pusat bandar, bukannya di perhentian bas berhampiran kawasan kejiranan.

Tak boleh sesuka hati main muzik tepi jalan kat negara orang. Imej daripada dailymail.co.uk

Kerajaan Thailand pula ambil tindakan kepada ‘beg-packers’ ni. Menurut laporan, pelawat yang nak masuk ke Thailand kena tunjuk kepada pihak imigresen yang diorang kena ada 20,000 baht (RM 2,472) tunai sebelum dibenarkan masuk ke negara tersebut.

Sebuah forum online untuk ekspatriat di Thailand iaitu Thaivisa beritahu pelawat yang guna visa pelancong yang paling diawasi, termasuk juga yang pegang visa pelajar. Kerajaan Thailand buat undang-undang ni disebabkan peningkatan golongan ‘beg-packers’ dan rakyat asing yang bekerja secara haram kat negara tersebut.

Kerajaan Thailand terpaksa ketatkan undang-undang. Imej daripada thejakartapost.com

Dapat beli motosikal dengan hanya main gitar

Di Bukit Bintang, KL ada di antara pelancong tersebut yang jual lukisan karikatur, lukisan daripada spray aerosol, busking dan mengemis. Ada juga yang buat tanda kadbod beritahu yang diorang perlukan duit untuk teruskan perjalanan. Salah seorang pelancong Rusia, Kiril Goncharov yang berumur 26 tahun beritahu sebelum dia mula mengembara, dia pernah buat macam-macam kerja daripada bidang pembinaan sampailah ke pemasaran di Rusia. Lepas tu dia berhenti kerja dan mengembara. Dia jual lukisan-lukisan dia untuk teruskan pengembaraan.

Goncharov beritahu yang dia dah tiga minggu ada kat Malaysia. Dia akan ambil masa lima ke enam jam untuk jual lukisan-lukisan dia kat sekitar Kuala Lumpur. Dia buat kerja ni setiap hari sebab dia kata dia nak beli banyak tiket. Kiril dah berjaya jual lebih kurang 100 buah lukisan semenjak tiga bulan lepas, tapi pendapatan dia tak menentu. Paling banyak dia pernah dapat sehari ialah RM 235, tapi selalunya dia pulang dengan tangan kosong je.

Inilah lukisan yang dijual oleh Goncharov. Imej daripada thestar.com.my

Seorang pelancong Kazakhstan, Dmitry Pirs (27 tahun) beritahu yang dia busking bukan semata-mata untuk dapat duit je, tapi untuk rasa tenaga kota dan dapat jumpa penduduk tempatan. Pirs hanya busking dua hingga tiga jam sehari. Selalunya dia dapat sekitar RM 100 sehari di Kuala Lumpur, tapi pada hari tu dia hanya dapat RM 1 je.

Aleksei Isichenko dari Rusia yag berusia 26 tahun beritahu yang dia berjaya beli motosikal lepas kumpul duit main gitar di Hanoi. Kemudian dia dengan teman wanitanya mengembara sekitar Vietnam dan Laos. Kata Pirs, kadangkala anda tak perlukan duit untuk mengembara. Anda hanya perlu bertemu dengan orang-orang yang baik dan diorang akan tolong anda.

Asalkan masih wujud orang baik, nak melancong serata dunia pun boleh. Imej daripada thestar.com.my

Berparti dan langgan pelacur guna duit hasil mengemis.

Kisah tentang pengemis Barat atau ‘beg-packers’ ni popular apabila seorang warga Jerman, Benjamin Holst yang ada penyakit  macrodystrophia lipomatosa (kaki membengkak) mengambil kesempatan atas penyakitnya untuk mengemis di sekitar negara Asia Tenggara termasuk Malaysia. Benjamin digelar dengan macam-macam nama seperti ‘Asia’s biggest scammer’ (Penipu terbesar Asia) dan ‘pengemis tak guna’.

Inilah dia, Benjamin Holst. Imej daripada dailymail.co.uk

Ada juga yang gelar dia sebagai party beggar’ sebab dia suka mengembara serata dunia sambil mengemis. Lepas tu, duit tersebut dia guna untuk langgan pelacur dan berbelanja mewah.

Seronok dikelilingi perempuan cantik. Imej daripada dailymail.co.uk

Modus operandi yang selalu Benjamin gunakan ialah dia akan dapatkan simpati daripada orang ramai. Dia akan beritahu yang dia tak cukup duit untuk beli tiket balik. Ditambah pula, bila diorang tengok kaki dia yang membengkak tu, orang ramai akan bagi dia duit. Dia pernah ditangkap di Thailand dan Indonesia.

Pada September 2014, dia pernah ‘diselamatkan’ oleh penduduk tempatan Thailand yang sedih tengok dia mengemis dan tidur kat tepi Jalan Khaosan. Hasilnya, dia berjaya dapat lebih kurang US$ 1,432 (RM 5,667). Ada juga yang bagi dia duduk kat hotel secara percuma. Bukan tu je, siap ada laman web yang direka untuk kumpul duit bantu Benjamin ni.

Siapa tak kesian tengok keadaan macam ni, tapi semuanya lakonan. Imej daripada dailymail.co.uk

Penduduk tempatan terkejut bila diorang dapat tahu yang lepas tu Benjamin ni tengah berparti kat Pattaya guna duit yang dia mengemis tu. Dia serta-merta dihalau dan dilarang untuk masuk semula Thailand. Tapi, Benjamin tak menyesal pun. Dia kemudiannya dilihat mengemis pulak di Denmark, Filipina dan Hong Kong. Dia akan mengemis waktu siang, jadi bila malam dia dah cukup duit untuk parti dengan pelacur.

Benjamin ni juga berani post gambar-gambar dia tengah enjoy makan piza mahal kat Hong Kong dan gambar-gambar lain kat media sosial. Dia selalunya akan duduk kat sesebuah negara tu sampailah dia kena usir.

Ditangkap di Thailand pada 2014. Imej daripada dailymail.co.uk

Semasa dia di Malaysia pada Mac 2017 lepas, Benjamin dilihat meminta duit daripada pemandu-pemandu yang berhenti kat lampu isyarat. Ada juga pemandu yang memanggil dia supaya diorang dapat bagi duit. Keadaan tersebut menyebabkan kesesakan dan berbahaya kepada pemandu-pemandu lain. Rakyat Malaysia secara suka rela menderma kepada Benjamin sebab diorang kesian tengok keadaan dia yang kurang upaya tu. Padahal diorang tak sedar yang Benjamin guna duit tu untuk berparti.

Peguambela jenayah, Farhan Read beritahu yang tindakan Benjamin yang mengemis itu boleh dikenakan tindakan bawah Akta Kesalahan Kecil. Tapi, Benjamin tak akan dihantar pulang secara automatik jika disabitkan kesalahan. Itu semua terpulang kepada Ketua Pengarah Imegresen. Dia bukan saja dilihat ada di Kuala Lumpur, tapi ada juga di Pulau Pinang.

Benjamin semasa di KL. Imej daripada freemalaysiatoday.com

Disebabkan penipuan yang dia lakukan, Benjamin juga dah dilarang untuk masuk semula ke Singapura. Sebelum ni, dia sempat melawat Geylang, Chinatown, Sentosa dan Marina Bay. Lepas dia gagal masuk Singapura melalui pemeriksaan di Woodlands, dia ambil keputusan untuk datang semula ke Malaysia. Tapi dia masih merancang untuk datang ke Geylang sekali lagi. Dia pernah cuba masuk ke Singapura guna kapal terbang tapi tetap dihalang.

Cerita dia tak dapat masuk Singapura dia post di FB. Imej daripada Facebook Benjamin Holst

Ia merupakan salah satu cara hidup alternatif

Trend ‘beg-packers’ dalam kalangan pelancong Barat ni secara tak langsung memberi macam-macam pendapat daripada penduduk tempatan dan warga asing. Sebagai contoh, Nikki Scott yang merupakan editor bersama untuk laman web South East Asia Backpacker berpendapat bahawa beg-packing’ bukanlah orang yang mengemis. Baginya, mengemis ni ialah apabila seseorang tu meminta duit tanpa beri sesuatu kepada orang yang diminta itu.

Busking (persembahan jalanan) atau menjual knick-knacks di jalanan boleh ditemui kat mana-mana bandar besar seluruh dunia. Kalau orang ramai tak mahu beli barang atau tak mahu dengar muzik yang diorang mainkan, orang ramai tak perlu pun derma duit atau beli apa-apa.

Bagi Nikki lagi, walaupun dia sendiri tak berapa pasti, tapi dia merasakan yang pengembara-pengembara ni buat semua ni bukanlah sebab duit. Diorang buat begitu disebabkan mahu ‘pengalaman’. Diorang boleh je nak guna cara lain untuk dapatkan duit, tapi itu bukanlah sebabnya.

Ada yang kata ‘beg-packers’ bukan pengemis. Imej daripada southeastasiabackpacker.com

Situasi ni berlaku di seluruh Asia seperti di pasar-pasar hippie dan hab-hab bohemian seperti Arambol dan Anjuna di Goa, India. Pengembara selalu jual beli barang-barang murah kepada pengembara lain. Perkara ini tak dilihat sebagai sesuatu yang memalukan atau jahat. Ia adalah cara hidup alternatif.

Nikki beritahu lagi, kalau korang pergi mengembara ke Amerika Selatan yang mengalami kemiskinan, korang akan jumpa juga ramai backpackers Amerika Selatan yang busking, jual kraftangan buatan sendiri dan ada yang jual biskut untuk tanggung pengembaraan diorang. Lagipun diorang yang busking ni akan makan di restoran-restoran tempatan, secara tak langsung menyumbang kekayaan sebab membeli di tempat-tempat tempatan berbanding mereka yang menjana pendapatan di Barat, lepas tu ke luar negara dan menginap di hotel lima bintang kepunyaan Donald Trump.

Pemandangan di Pantai Arambol, Goa penuh dengan ‘beg-packers’. Imej daripada southeastasiabackpacker.com

Ada juga netizen yang tidak sependapat dengan Nikki. Contohnya, netizen bernama ‘Pete’ berpendapat yang memang tak salah untuk busking, tapi kalau anda busking di negara dunia ketiga macam Thailand, Laos dan Cambodia, ia sesuatu yang menjijikkan. Di sana, diorang adalah orang miskin dan orang-orang kulit putih ambil pula duit yang sepatutnya diberi kepada orang yang lebih memerlukan. ‘Pete’ cadangkan diorang untuk cari kerja kat ladang-ladang di Australia atau New Zealand. Tak pun, boleh busking di negara-negara kaya.

Busking di negara miskin adalah sesuatu yang biadab. Kalau sepuluh tahun lepas, pengembara akan simpan duit untuk mengembara ke Asia Tenggara dan buat kerja-kerja sosial dengan percuma.

Mereka ni lebih layak. Imej daripada lifeincambodia.weebly.com

Seorang rakyat Malaysia bernama Lousia beritahu yang sikap sebegini menunjukkan ketakseimbangan yang wujud antara dunia Barat dan negara-negara jajahan di Asia. Bagi Louisa, orang Barat ni pandang Asia sebagai satu tempat yang eksotik dan spiritual. Jadi, orang Barat anggap benua Asia ni tempat yang penuh dengan cabaran atau dengan kata lain, jadi macam tempat bermain untuk orang-orang kulit putih. Orang ramai datang sini untuk mencari diri sendiri dan teruja untuk merasai pengalaman eksotik.

Kadang-kadang Louisa sendiri nak tahu apa yang membuatkan diorang rasa sikap ni (mengemis) sesuatu yang normal di Asia? Kenapa tak buat perkara yang sama juga kat tempat sendiri?

Malangnya, masih ada lagi diskriminasi dan rasisme terhadap orang bukan kulit putih, sedangkan yang kulit putih dipuja-puja. Ia merupakan legasi daripada penjajah. Pengemis pelancong akan dilayan berbeza jika diorang bukan kulit putih. Boleh nampak bukti macam mana kita layan migran bukan kulit putih di sini.

Kalau difikirkan tentang keadilan yang melibatkan polisi imigresen, negara-negara maju (global north) sangat tegas dengan orang asing dan menuntut migran untuk menyumbang pada ekonomi tempatan, tapi, pada masa yang sama, rakyat diorang boleh berjalan ke mana saja diorang suka tanpa ada apa-apa keperluan ekonomi.

Mungkin diorang anggap Asia ni eksotik jadi, mengemis pun dianggap ‘eksotik’ juga. Imej daripada javaheritagetour.com

Salah seorang penduduk Singapura beritahu yang adalah sesuatu yang sangat pelik untuk minta duit daripada orang ramai untuk taja percutian. Jual barangan di tepi jalan dan mengemis adalah sesuatu yang biadab. Orang yang mengemis selalunya adalah orang yang sangat memerlukan: perlu duit untuk makan, bayar yuran sekolah anak atau nak bayar hutang. Tapi bukan mengemis untuk sesuatu yang mewah.

Ben Groundwater daripada laman web Traveller menulis, ada sesetengah daripadanya yang bodoh rasa bangga apabila diorang boleh mengembara ke tempat-tempat jauh tanpa sebarang wang. Ada beberapa orang bloggers yang mencanang-canangkan kat seluruh dunia yang diorang boleh pergi ke Amerika Selatan tanpa perlu keluarkan sesen pun, atau boleh kembara ke Asia Tengah dengan hanya berbekalkan kebaikan orang ramai. Ini adalah sesuatu yang bukan boleh dibanggakan. Diorang ni mempergunakan keistimewaan yang diorang dapat untuk menunjuk-nunjuk kepada seluruh dunia dengan ambil kesempatan atas kemurahan hati orang lain.

Ada banyak laman web yang ajar orang ramai untuk ‘beg-packing’. Imej daripada thebackslackers.com

Boleh melibatkan diri dengan pelbagai program percuma

Sebenarnya ada banyak alternatif yang boleh backpackers ni lakukan jika kehabisan tunai. Diorang boleh saja bekerja di hostel-hostel, ambil bahagian dalam mana-mana program sebagai pertukaran untuk penginapan percuma.

Kalau mahu jadi sukarelawan di negara-negara Asia Tenggara, ada banyak program menarik yang disediakan. Diorang boleh mengajar bahasa Inggeris kepada anak-anak tempatan, ambil bahagian dalam pemuliharaan alam sekitar di kawasan setempat, menjadi jurulatih sukan atau melibatkan diri dalam budaya dan komuniti tempatan. Dengan cara-cara tersebut, orang luar boleh mengenali dengan lebih dekat budaya dan penduduk tempatan di Asia Tenggara.

Bak kata peribahasa Melayu, ‘masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak’.

Mengajar anak-anak tempatan bahasa Inggeris lebih murni. Imej daripada projects-abroad.ca