TNB dah gunakan dron untuk kesan sarang burung kat pencawang elektrik?!

Kalau kita perhatikan sekarang ni, semua aktiviti dibantu dengan kemudahan teknologi. Dan salah satu teknologi yang berupaya pergi jauh adalah teknologi dron. Mana taknya, photoshoot kenduri kahwin pun guna dron jugak, apatah lagi yang lain.

Dan baru-baru ni, Cyberjaya dah dikategorikan sebagai bandar teknologi dron dengan menjadikan Cyberjaya sebagai kawasan khas untuk zon percubaan dron yang pertama kat Malaysia. Selain tu, ada jugak ekspo MyDroneX yang mengumpulkan pakar, pengawal selia dan pemain industri teknologi dron dengan tujuan untuk memacu industri dron kat Malaysia ni.

Waktu pameran dron kat Cyberjaya. Imej dari NST

Tapi bila cakap pasal dron ni …

TNB gunakan dron untuk selenggara elektrik?

Mungkin lepas ni korang dah tak nampak dah pekerja-pekerja TNB (Tenaga Nasional Berhad) panjat pencawang elektrik tengah-tengah panas bila rumah korang takde elektrik. Sebabnya, semuanya akan dikawal dan digantikan dengan aktiviti dron. ? Haa terkejutkan?!

Sebenarnya, inovasi aktiviti dron daripada TNB ni dah dilaksanakan sejak tahun 2016 lagi. Tapi mungkin orang ramai baru sedar tentang penggunaan teknologi ni. Macam yang kita semua tahu, perkhidmatan dan sumber elektrik ni perlu dipantau dan diselenggara dengan teliti dan perlukan pemerhatian yang kerap.

Jadi, untuk memudahkan kerja pemantauan elektrik ni, TNB pun gunakan inovasi dan teknologi terkini dengan menggunakan aktiviti dron. Penggunaan dron ni digunakan untuk memantau talian dan jaringan penghantaran dan kuasa elektrik TNB kat seluruh kawasan dalam negara.

Dalam proses nak terbangkan UFO, eh dron lah! Imej dari Irtechnic

Sebelum ni, pihak TNB gunakan perkhidmatan pemantauan helikopter secara berkala melalui talian penghantaran untuk memantau keadaan elektrik. Contohnya, kalau ada gangguan ke, burung bersarang kat pencawang ke, ataupun pokok-pokok yang menjadi gangguan dan jugak masalah lain yang berpotensi untuk mengganggu talian elektrik.

“Kualiti hasil penyelidikan melalui helikopter tu tak elok, dan anda perlu duduk sepanjang hari untuk melihat video melalui helikopter tu. Aktiviti penyelidikan dan penyelenggaraan melalui tu memakan masa yang lama dan juga tidak cekap.” – Fauzan Mohamad, Pengurus Besar, Jabatan Inovasi, Bahagian ICT di TNB, sumber dari Gov Insider.asia

Bukan tu je, helikopter jugak perlukan kos yang tinggi kerana untuk kos menyewa helikopter tu pun diambil kira.

Lepas ni takde dah abang-abang ni. GIF dari Giphy

Selain tu, penyelenggaraan menggunakan perkhidmatan manusia jugak nampak agak menyukarkan. Contohnya kalau juruteknik tu kena bertugas kat kawasan pedalaman dan terpencil, ia nampak menyukarkan dan perlukan kos yang lebih banyak dari segi kos pengangkutan ke lokasi yang terpencil.

“Sekiranya sebelum ini, kerja-kerja pemeriksaan pemasangan elektrik ini dilakukan secara manual melalui penggunaan binocular atau tower wagon, yang mengambil masa yang lama, risiko tinggi dan kualiti pemeriksaan yang tak memuaskan yang agak menyukarkan bagi pihak kami.” – Mohd Azan, Pengurus UAS/Drone Services, TNB-IT Sdn Bhd, ketika dihubungi SOSCILI.

Jadi, sekarang ni dengan adanya penggunaan dron, kerja TNB pun senang jugaklah selain diaorang jugak dapat tingkatkan kualiti pemeriksaan, pemantauan dan pengawasan elektrik yang dibuat secara berkala. Bukan tu je, pegawai TNB ada bagitahu kitaorang yang daya harap bekalan elektrik jugak dapat ditingkatkan menerusi pemantauan dron ni. Kes-kes breakdown dan outage yang selalu terjadi ni dapat dikurangkan dan bekalan elektrik untuk kebanyakan kawasan dapat disalurkan dalam kualiti yang lebih baik.

TNB jugak ada wujudkan Akademi Dron khas untuk anak muda. Imej dari Facebook TNB Intergrated Learning Solution – ILSAS (Boleh klik imej untuk tahu lebih lanjut).

Guna dron TNB dapat jimatkan kos sebanyak RM1 Juta

Dron TNB ni digunakan untuk aktiviti-aktiviti pemeriksaan pepasangan talian elektrik. Sebelum ni, aktiviti pepasangan yang menggunakan dron digunakan pada talian atas penghantaran elektrik yang bervoltan tinggi. (Kalau korang nak tahu apa tu talian atas voltan tinggi dan rendah, boleh klik sini).

Kitaorang cuba hubungi salah seorang pegawai TNB sendiri berkaitan aktiviti dron ni, dan dia bagitahu penggunaan dron ni makin agresif bermula tahun ni. Hal ni disebabkan oleh diaorang gunakan dron untuk pemeriksaan pepasangan talian atas voltan rendah pulak. Talian atas tak kira voltan tinggi ataupun rendah ni sememangnya digunakan secara meluas kat Malaysia ni.

Kalau jadi macam ni, dron pun pening. GIF dari Giphy

Dan untuk penggunaan dron bagi pemeriksaan talian elektrik bagi talian atas voltan rendah, kitaorang diberitahu yang TNB sekarang ni hanya fokus kat kawasan negeri Selangor dulu iaitu Petaling Jaya dan Shah Alam.

Pihak TNB fokus kat Selangor sebab Selangor merupakan negeri yang mempunyai pelanggan domestik penggunaan elektrik yang paling ramai. Jumlah pepasangan dan aset jugak antara yang paling banyak. Jadi, sebab tu lah diaorang mulakan dan fokus dengan negeri yang kritikal dulu.

“Pihak kami akan memperluaskan penggunaan teknologi ini ke seluruh negara memandangkan pepasangan dan aset TNB ada di mana-mana. ” – Mohd Azan, Pengurus UAS/Drone Services, TNB-IT Sdn Bhd, ketika dihubungi SOSCILI.

Nampak sama tapi bukan dia. GIF dari Giphy

Apa yang menarik, penggunaan dron ni berjaya menjimatkan TNB sehingga RM1 juta berbanding dengan pemantauan yang dibuat secara manual. Ia jugak menjimatkan masa dan dapat kurangkan tenaga buruh pekerja TNB dalam melakukan pemeriksaan visual dan pemantauan.

“Sejak dron digunakan untuk pemantauan pepasangan elektrik ni, banyak perubahan ketara yang dapat dirasai oleh pihak TNB mahupun dari segi kualiti elektrik tu sendiri.

Dron yang digunakan tu dilengkapi dengan kamera berkualiti tinggi, yang boleh diselaras secara automatik dan boleh mengecam koordinat kawasan yang bermasalah. Selain dapat menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh kat menara pencawang elektrik.” – Mohd Azan, Pengurus UAS/Drone Services, TNB-IT Sdn Bhd, ketika dihubungi SOSCILI.

Dron-dron khas yang digunakan dalam ILSAS. Imej dari Facebook ILSAS

SARANG BURUNG punca gangguan bekalan elektrik?!

Pihak TNB sendiri mengaku yang banyak perbezaan ketara yang menguntungkan dan menyenangkan tugas diaorang sejak teknologi dron digunakan untuk pemantauan dan pemeriksaan elektrik ni.

Tapi … korang tahu tak sarang burung ni jugak jadi salah satu punca gangguan bekalan elektrik? YA, sarang burung jadi punca masalah dan gangguan bekalan elektrik. Sebabnya, burung-burung yang suka bersarang kat tempat tinggi contohnya macam burung helang, boleh jadi tarikan pemangsa diaorang.

“Sarang burung yang berada diatas tower kami akan mengundang pemangsa lain seperti ular. Ada kes yang kami jumpa ular tergantung pada talian kami dan menyebabkan gangguan bekalan terhadap talian pihak kami. Sebab itu sarang burung ini perlu dibuang.” – Mohd Azan, Pengurus UAS/Drone Services, TNB-IT Sdn Bhd, ketika dihubungi SOSCILI.

Jadi, dengan adanya penggunaan dron yang boleh mengesan dengan lebih tepat, masalah-masalah yang nampak remeh tapi berisiko dapatlah diatasi dengan cepat menerusi pemeriksaan yang diaorang buat. Tapi korang janganlah ingat dron ni yang buang sarang burung tu sendiri tapi sebaliknya bila dron secara automatiknya dapat mengimbas masalah yang terjadi, TNB akan arahkan team diaorang untuk buang sarang tu.

Jadi, tak payahlah diaorang buat kerja dua tiga kali, nak pantau elektrik, lepas dah dapat tahu apa masalah, kena baiki pulak. Dengan adanya dron, kerja diaorang pun mudah dan cepat. Lepas tu korang tak adalah bising-bising sebab panas kalau elektrik takde. Hehe.

Pilot-pilot yang tak payah naik kapal terbang. (Hehe). Imej dari GLEQUIP

Disebabkan dron digunakan secara meluas dalam industri ni, teknologi yang digunakan jugak bukanlah calang-calang ye. Jadi diaorang tak adalah selalu menghadapi kesukaran untuk mengawal dron ni sebab diaorang gunakan dron yang berkualiti dan berteknologi tinggi. Dan pilot yang kena kawal dron tu jugak ada pentauliahan khas daripada Akademi Dron TNB sendiri.

“Dron yang kami gunakan adalah daripada jenis dron yang mempunyai sensor dan kawalan yang selamat dan berteknologi tinggi. Pilot yang mengawal dron ada latihan tersendiri sebelum diaorang layak untuk melaksanakan aktiviti seliaan dan kawalan dron. Langkah keselamatan diutamakan terlebih dahulu untuk pastikan tiada kemalangan yang berlaku melibatkan dron terhadap benda ataupun orang sekeliling.” – Mohd Azan, Pengurus UAS/Drone Services, TNB-IT Sdn Bhd, ketika dihubungi SOSCILI.

Teknologi dron dah digunakan secara meluas dalam pelbagai industri

Dron ni sememangnya dapat mudahkan banyak kerja. Bukan je boleh jadi spy, dron ni berfungsi untuk membantu pengkomersialan pelbagai sektor dan industri. Sebelum ni, kita tahu yang dron digunakan secara meluas dalam sektor pertahanan dan keselamatan, tapi sekarang ni kalau kita perhatikan semua sektor dah gunakan teknologi dron ni. Sampaikan hantar makanan pun lepas ni akan guna dron jugak. Lepas ni tengok langit je dah boleh terus kenyang.

Kenyang perut senang hati. Imej dari TeknoRatz

Terbaru, dron digunakan secara meluas dalam sektor perladangan dan pertanian. FELCRA baru-baru ni ada buat MoU dengan MATA Aerotech untuk pengurusan dan operasi ladang-ladang FELCRA dengan menggunakan teknologi dron dan robotik. Selain tu, ia memfokuskan tentang aspek inovasi R&D dalam sektor pertanian dan untuk mengintegrasikan model pertanian pintar (Smart Agriculture)

Sebenarnya, penggunaan dron dalam pertanian, perladangan dan jugak aktiviti lain lebih menguntungkan dan senang. Dron dapat bantu pengurusan ladang yang lebih teliti dan jugak tingkatkan kualiti hasil pertanian. Contohnya, dron dapat menganalisa kualiti dan kesihatan tanaman melalui pemetaan ladang. Selain tu jugak, guna dron ni boleh jimatkan kos dan ia boleh berfungsi dengan cekap.

Macam semua orang tahu, guna dron ni jugak boleh jadikan kerja lebih cepat, cekap dan tepat. Contohnya, kalau nak repair satu tempat ataupun bahagian tu, sasaran dengan menggunakan dron ni lagi tepat berbanding gunakan kaedah manual dan konvensional. Jadi dengan adanya transformasi teknologi yang menyenangkan macam ni dalam pelbagai industri, kepuasan pelanggan dan pengguna dapat dijamin selain daripada dapat menghasilkan produk dan pengeluaran yang berkualiti. 

“Hasil kajian kita mendapati, kadar racun digunakan lebih tepat dan terkawal berbanding manual (manusia) selain dapat menjimatkan tenaga kerja dan masa.” – Datuk Fouzi Ali, Pengurus Besar MADA, sumber dari Utusan Online. 

Dron yang digunakan untuk aktiviti pertanian. Imej dari BelajarTani

Fungsi dron bantu tingkatkan permodenan negara setaraf dengan negara maju

Melalui penggunaan inovasi teknologi dalam pelbagai industri dan sektor kat Malaysia ni, ia sekali gus dapat menjadikan Malaysia tak ketinggalan dengan negara-negara yang lain. Contohnya macam kat Switzerland yang gunakan dron secara komersial bagi penghantaran sampel uji kaji dari makmal ke hospital.

Dan kat Taiwan pulak diaorang menggunakan dron untuk pertanian yang berikan impak positif kat hasil pengeluaran diaorang dan kos tenaga kerja menurun sehingga 30%. Jadi, Malaysia pun ambil peluang yang sama untuk tak ketinggalan dalam tujuan komersial dalam industri pertahanan, pengawasan, pemantauan trafik dan cuaca, bantuan memadamkan kebakaran, pertanian, peribadi dan untuk penggambaran.

“Malaysia sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam arus permodenan itu, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyuarakan pendapat bahawa negara kita mesti meneroka teknologi baharu seperti dron dan kepintaran buatan,” – Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia, sumber dari myMetro. 

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)