Tiada peranti belajar & dompet kosong? Golongan muda boleh mohon bantuan ni

Kita semua tahu yang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah menukar kaedah pembelajaran, dari kelas kini menjadi pembelajaran dalam talian. Kini, pelajar universiti memerlukan peranti  untuk ‘menghadiri’ kelas atau kuliah. Tapi tu la, bukan semua tau yang boleh memiliki peranti pintar atau canggih.

Selain itu, ramai daripada pelajar universiti dan golongan muda kini menggunakan motosikal untuk pergi ke kampus atau tempat kerja. Tapi kita tahu sejak pandemik C-19, ramai yang terkesan dengan perbelanjaan bulanan masing-masing hanya cukup makan saja.

Dua isu ini membebankan terutamanya anak-anak dari golongan keluarga B40. Akan tetapi, masalah ini mungkin boleh settle. Kita tengok dulu…

1. Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia: Dapat tablet free!

Dengar kata tablet ini nilainya RM800 gitu. Imej dari MOF.

Semasa pembentangan Bajet 2022, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengumumkan inisiatif  kerajaan  menyediakan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Inisiatif ini dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan membekalkan peranti ‘tablet’ kepada 600,000 pelajar daripada golongan B40 di institusi pengajian tinggi (IPT).

Tak perlu risau dah lepas ni. Imej dari Imgflip.

Tarikh pendaftaran dijangka akan bermula pada suku kedua 2022 (April – Jun 2022), jadi pastikan korang tunggu pengumuman ni untuk mendaftar ye.

Untuk maklumat lanjut, korang boleh rujuk laman web Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), atau boleh tekan di sini.

Daripada bantuan pelajar, kita pergi ke bantuan perlindungan diri pula, iaitu…

2. Program Baucar Perlindungan Tenang: Untuk motosikal pun ada!

Haaa… Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) ini diperkenalkan untuk memperluaskan perlindungan sosial bagi golongan berpendapatan rendah. Jumlah wang yang diberi pun dah dinaikkan daripada RM50 kepada RM75.

Imej dari MOF.

Sebenarnya, baucar RM75 diberi kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 bagi membantu mereka membeli produk Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans. 

Tapi bermula 1 Januari 2022, ia juga boleh digunakan untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah. Memandangkan ramai pelajar dan anak muda yang naik motor, baucar ni boleh juga digunakan untuk kurangkan kos insurans.

Program ini terbuka kepada semua penerima BPR. Akan tetapi, ia ditawarkan kepada penerima BPR kategori isi rumah dulu bermula 30 September 2021, dan kemudian akan dibuka kepada penerima BPR di bawah kategori yang lain dalam masa terdekat.

Kalau nak tahu sama ada korang atau ibubapa korang layak untuk dapat baucar ni, korang boleh pergi ke laman web MyPTV dan masukkan Nombor Kad Pengenalan (NRIC). Jika layak, korang akan menerima nombor baucar dalam mesej seterusnya.

Sebagai alternatif, korang juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan pengendali takaful atau menghubungi ejen takaful sah yang menawarkan produk Perlindungan Tenang untuk semak kelayakan.

Ada dua cara untuk menebus baucar Perlindungan Tenang ni:

  1. Penebusan dalam talian: Pergi ke laman web MyCoverage dan semak bahagian “Produk Perlindungan Tenang”
  2. Penebusan di kaunter: Lawati kaunter pejabat cawangan syarikat insurans/takaful untuk menebus.

Dan yang paling best sekali, ada juga…

3. Program e-Start: Dapat e-tunai sebanyak RM150!

Lepas ni, bayar guna phone aje! Imej dari MOF.

Ramai pelajar dan belia yang mula berjinak pakai e-wallet sekarang. Jadi, kerajaan memperkenalkan Program e-Start, di mana RM150 akan dikreditkan secara one-off atau sekali bayar ke dalam akaun e-wallet.

Di sini siapa yang layak? Haa… sesiapa yang berumur 18 hingga 20 tahun pada tahun 2022, dan juga pelajar sepenuh masa di IPT boleh mendapatkannya.

Mana-mana pelajar dan belia yang ingin memohon, boleh pergi ke aplikasi e-tunai yang akan diumumkan oleh pihak kerajaan dalam masa terdekat.

Memang menari la kalau dapat e-Start tu. Imej dari Imgflip.

Banyak lagi bantuan untuk belia & golongan berpendapatan rendah!

Sebenarnya, bukan ini saja bantuan yang diberikan kepada golongan B40 atau belia. Kalau korang tengok Bajet 2022, mesti korang tahu yang banyak gila bantuan akan diberikan.

Tak kisahlah korang tengah belajar, nak cari kerja, mahupun nak mulakan bisnes sendiri, mesti ada bantuan yang sesuai dengan korang.

Kalau korang nak semak senarai bantuan yang diberikan, boleh pergi ke laman web Rakyat Bajet 2022. Takpun, boleh tengok video di bawah: