Kerajaan rancang pelbagai cara untuk membendung kes dera di pusat jagaan. Cukup ke?

Minggu lepas, kita dikejutkan dengan kes menyayat hati melibatkan Adam Rayqal, bayi 5 bulan yang ditemui mati di rumah pengasuhnya. Sebelum tu, pengasuhnya yang juga merupakan tertuduh mengatakan Adam diculik oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai ayah mangsa.

Polis yang merasa sangsi dengan kenyataan tersebut akhirnya menggeledah rumah pengasuh tu yang kemudiannya menemukan mayat bayi tersebut. Apa yang lebih menyayat hati, Adam juga ditemui terbujur kaku dalam peti sejuk, dan diletakkan dalam sebuah beg hijau yang selalunya digunakan ibu mangsa untuk menghantar barangan anaknya.

Adam Rayqal, ditemui mati dalam freezer pengasuhnya. Imej dari utusan.com

Kes ni mendapat perhatian masyarakat yang rata-ratanya turut bersimpati dengan nasib menimpa keluarga bayi tersebut menjadi mangsa pihak yang tak berperikemanusiaan. Tapi malangnya, ada juga yang kurang sensitif apabila mula menuding jari dan menyalahkan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke taska dan pengasuh yang tak berdaftar.

Screenshot dari FB, komen tentang ibu bekerja. Imej dari thereporter.my,

Kenapa pilih pengasuh berbanding pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar?

Antara salah satu komen yang dilontarkan netizen adalah kenapa tak jaga anak sendiri? Malah, ada yang menuduh ibu bapa ini lebih mementingkan kerja daripada menjaga anak sendiri. Padahal dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, tak semua keluarga mampu untuk menampung kehidupan daripada hanya satu mata pencarian sahaja. Jadinya, perempuan juga perlu bekerja bukan semata-mata untuk ‘tak membazir belajar tinggi-tinggi’, tapi untuk keselesaan sekeluarga terutama sekali dalam ekonomi yang sangat mencabar ni.

Tak percaya? Tengok saja statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia yang      menunjukkan gaji warganegara Malaysia pada tahun lepas, berdasarkan tahap pendidikan mereka. Dengan gaji pertengahan sebanyak RM1,100 hingga RM2,055 bagi mereka yang tak berpelajaran tinggi, adalah sukar untuk kalau seorang saja yang bekerja untuk menampung sebuah keluarga.

Imej dari Jabatan Perangkaan Malaysia

Malah tak lama dulu pada tahun 2014, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh pernah mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan orang yang bergaji RM3,600 di negara ni dianggap miskin.

“Dikhabarkan sekarang untuk Malaysia, mereka yang berpendapatan kurang RM3,600 adalah golongan miskin,” – Ku Li, dipetik dari Sinar Harian, tahun 2014.

Malah 4 tahun selepas kenyataan tu dikeluarkan pun, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang daripada jumlah tersebut.

Berbalik kepada isu sebab kenapa ibu bapa dalam golongan ni pastinya akan menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan berdasarkan kemampuan mereka sendiri, berbanding ke tempat yang mengenakan bayaran yang lebih tinggi diluar kemampuan mereka.

Berdasarkan interview kami dengan seorang pengasuh pula, kami dapati pengasuh kanak-kanak akan mengenakan caj harga sebanyak RM450 bagi kanak-kanak 2 tahun kebawah, dan RM300 bagi kanak-kanak berusia 2 tahun keatas. Manakala taska pula mengenakan caj sehingga RM500 hingga RM550 untuk kanak-kanak berumur bawah 2 tahun. Perbezaan antara kedua-dua tempat ni agak banyak, iaitu dalam lingkungan RM100 hingga RM200 bagi setiap seorang kanak-kanak. Itu baru seorang anak. Cuba bayangkan kalau ada dua atau tiga anak?

Pembukaan taska melalui pelbagai prosedur dan syarat sebelum mendapat lesen

Sebelum kita menuding jari pula pada pengusaha taska yang meletakkan caj yang mahal, kita kena tahu yang ia mungkin adalah disebabkan syarat-syarat pembukaan taska yang agak ketat. Manakala mereka yang menghantar anak-anak kepada pengasuh pula mungkin adalah melalui saranan kawan-kawan yang pernah menghantar anak mereka, dan atas dasar percaya yang pengasuh mereka berpengalaman.

Nak buka taska ni bukan senang-senang je tau, tapi kena berlesen dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MWFCD). MWFCD ni lah yang bertanggungjawab ke atas kelulusan dan penubuhan pusat jagaan kanak-kanak di Malaysia. Bila berdaftar tu pulak, akan ada pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas TASKA, pelbagai yuran, prosedur dan kehadiran ke kursus-kursus berkenaan. Semua ni dilakukan untuk kesejahteraan, keselamatan dan perkembangan menyeluruh bagi mengutamakan keselamatan kanak-kanak.

Taska ditubuhkan untuk menyediakan kemudahan menjaga anak kecil kepada ibu bapa bekerjaya. Imej dari kemas.gov

Tak kisahlah nak jadi pengasuh di mana-mana pusat asuhan atau persendirian, kesemua penjaga kanak-kanak juga diwajibkan untuk menjalani kursus 10 hari (Kursus Asuhan Kanak-Kanak Asas, KAAK) yang ditentukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Malah, terdapat juga pelbagai syarat yang melibatkan pelbagai pihak lain, macam penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan juga Jabatan Kesihatan. Prosedur yang dianggap rumit ni jugalah yang menyebabkan taska-taska dan pengasuh tak berdaftar ni mengambil jalan mudah untuk tak mendaftarkannya pada pihak yang sepatutnya.

Tapi, perkara tu tak sepatutnya dipersoalkan sebab tanggungjawab untuk menjaga bayi bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan, terutama sekali bagi mereka yang kurang berpengalaman dalam menguruskan kanak-kanak, dan apatah lagi bayi kecil yang pastinya bukan satu perkara yang mudah.

Kebanyakan kes dera melibatkan pusat penjagaan kanak-kanak tak berdaftar dan tak berpengalaman

Media sebelum ni pernah melaporkan, pusat jagaan tak berdaftar ni banyak juga yang wujud sebenarnya, iaitu sebanyak 1,685 daripada pusat jagaan kanak-kanak dan taska diseluruh negara sejak tahun 2014. Menurut laporan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  daripada tahun 2015 hingga Jun tahun lepas, ada 581 kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan pengasuh! Banyak rupanya kes ni, cuma tak dilaporkan dalam akhbar je.

Kes kanak-kanak yang didera dengan cara diikat di Bandar Baru Bangi awal tahun lepas. Imej dari Malay Mail

Malah, antara faktor utama yang disebut-sebut sebagai penyumbang kepada peningkatan kematian bayi di taska berpunca daripada pusat jagaan atau taska yang beroperasi tanpa lesen serta penggunaan pengasuh yang tak berkemahiran.

Tapi, betul ke yang puncanya daripada pangasuh yang tak berdaftar? Menurut Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Shamsinah Che Shariff, memang kebanyakan kes kematian bayi berlaku di rumah taska yang tak berdaftar serta diurus oleh suri rumah.

Menurut Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ni, kebanyakan kes kemalangan berlaku di taska adalah di kalangan taska yang tidak berdaftar dan berpunca dari pengasuh yang tidak menghadiri Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (KAP). Contohnya pada tahun 2014, sebanyak 16 kes kematian kanak-kanak di taska dan rumah pengasuh telah dilaporkan itu, sebanyak 10 kes berlaku di taska yang tak berdaftar.

Antara peserta Kursus Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Permata yang mengambil kursus. Imej dari Utusan Malaysia

Sebelum ni pun, ada je kerajaan ambik tindakan terhadap pusat asuhan yang tak berdaftar ni, contohnya dengan mengatakan mereka bakal menutup taska dan pusat penjagaan tak berdaftar, dengan menyita apabila melibatkan aspek keselamatan.

“Antara faktor utama yang menyebabkan taska dan pusat jagaan itu tidak memiliki sijil pendaftaran adalah kerana sukar mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kementerian khususnya dalam aspek keselamatan.” – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terdahulu, Datuk Seri Rohani Abdul Karim 

Setakat tahun 2018 ni saja, terdapat 6 kes penderaan kanak-kanak yang berjaya mendapat liputan meluas media sebelum kes penderaan Adam Rayqal tu. Secara puratanya, ia terjadi lebih kurang sebulan sekali. Macam mana pula kerajaan nak menangani kes ni daripada terus menjadi barah dalam masyarakat?

Inisiatif dari kerajaan perlu untuk membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan

Dalam usaha membendung kejadian seumpama ni berlaku lagi, kerajaan nampaknya mula mengambil beberapa pendekatan yang mungkin boleh membantu ibu bapa yang bekerja. Antara saranan awal adalah dari Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang mengatakan aspek pelesenan dan pendaftaran terhadap pusat asuhan kanak-kanak dan pengasuh akan dikaji semula demi keselamatan kanak-kanak jagaan mereka.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad untuk menubuhkan pusat penjagaan khusus untuk bayi atau ‘creche’ semasa hari bekerja. Penubuhan creche ni lebih kepada pusat penjagaan untuk bayi, dan bukannya taska kerana memfokuskan bayi yang berusia enam bulan ke bawah. Ia juga dikatakan bakal beroperasi selama 24 jam bagi memenuhi keperluan kebanyakan penjawat awam di hospital dan beberapa agensi yang lain, terutamanya yang bekerja secara syif.

Contoh nurseri untuk anak-anak pekerja. Imej dari The Star

Malah Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga tak ketinggalan dalam hal ni. Kementerian dibawahnya pun dah mula menyasarkan semua agensi kerajaan supaya dapat mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak masing-masing men­jelang 1 Januari tahun depan, yang dah ditubuhkan oleh beberapa syarikat seperti TNB, Sime Darby, malah Prasarana.

“Sebagai galakan kepada ma­­jikan yang menyedia­kan kemu­­dahan pusat penjagaan kanak-kanak ini, mereka layak mendapat pelepasan cukai daripada kerajaan.”

“Mereka juga diberi insentif pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun bagi ubah suai dan penyelenggaraan serta pemilikan bangunan untuk pusat asuhan kanak-kanak bagi majikan sektor swasta,” – Hannah Yeoh, dipetik dari Utusan Online.

Malah, janji-janji lain juga turut ditambah kemudiannya. Imej dari Sinar Harian

Tapi, adakah kesemua inisiatif ni cukup untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku lagi?

Saringan juga harus dilakukan untuk menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa

Kami percaya yang semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Tapi, tak semua orang mempunyai pilihan disebabkan pendapatan yang rendah dan juga pelbagai komitmen lain untuk menampung keluarga. Jadi, mereka hantar anak mereka kepada pengasuh dan mengharapkan tiada masalah yang berlaku. Lagipun, tiada ibu bapa pun yang sanggup memperjudikan nyawa anak mereka kalau tahu tempat tu tak selamat. Kebanyakan mereka menghantar anak atas dasar percaya kepada pengasuh.

Bagi pihak pengasuh pula, mungkin lebih baik tidak meneruskan niat untuk bekerja sebagai pengasuh jika tiada kesabaran kerana mengasuh kanak-kanak bukanlah satu perkara yang mudah. Malah, ia sebenarnya sangat mencabar kerana menurut penyelidikan, kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun sedang berada pada tahap paling genting dalam proses perkembangan dan pembelajaran. Jadi, tak hairanlah jika mereka lebih banyak meneroka dan mencuba sesuatu yang mereka tak tahu.

Imej dari aapview.com

Pelbagai cara dah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membanteras permasalahan ni dari berlaku. Mungkin kali ni kerajaan patut memandang serius kesihatan mental seseorang, dan menjadikannya sebagai salah satu syarat wajib sebelum meluluskan sebarang lesen pengasuh. Ini terutama sekali apabila melibatkan nyawa kanak-kanak yang merupakan aset dan penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan.