- 497Share sekarang!
- Email33
- Facebook464
- Share
Baru-baru ni, kita baru je menyambut Hari Malaysia yang ke-56 tahun di mana Hari Malaysia merupakan sambutan yang diadakan sebagai salah satu cara untuk memperingati penggabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak bagi membentuk negara kita, Malaysia. Penggabungan Malaysia yang berlaku pada 16 September 1963 terbukti dapat menyatupadukan semua masyarakat Malaysia daripada Semenanjung sehinggalah ke Malaysia Timur.
Tarikh 16 September ni sangat signifikan bagi semua masyarakat Malaysia sebab ia merupakan sebuah kejayaan kepada Malaysia dengan penggabungan wilayah lain. Dengan kejayaan pembentukan negara ni, banyak faedah yang berjaya dinikmati semua masyarakat sama ada di semenanjung mahupun kat Malaysia Timur terutamanya dalam aspek pembangunan.
Ada kempen ‘Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak’?
Sempena dengan sambutan Hari Malaysia yang ke-56 untuk tahun ni, korang tahu tak ada satu kempen dan himpunan yang dijalankan pada hari yang sama? Kempen tersebut dinamakan sebagai Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak yang dianjurkan khas untuk memartabatkan budaya pemakaian tradisional Melayu.
Pengasas kempen tu digerakkan oleh Nur Ahmad Faiz Mohd Adni yang merupakan seorang aktivis dan pengusaha pakaian tradisional (tanjak) dan t-shirt. Dan perhimpunan tu pulak dianjurkan oleh badan NGO daripada Gerakan Rakyat Kebangsaan (Gerak).
Pada asalnya, kita semua tahu yang tanjak ataupun yang digelar sebagai tengkolok dan destar ni sering digunakan oleh kerabat-kerabat istana dan golongan pahlawan je. Tapi sejak peralihan zaman moden berlaku, ramai individu yang tak nak pakaian tradisional orang Melayu ni hanyut dek ditelan oleh perubahan zaman. Sebab tu kalau kita perhatikan sekarang ni, kat mana-mana mesti ada je orang yang pakai tanjak.
Dan kempen Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak yang dibuat pada Hari Malaysia hari tu merupakan salah satu pendekatan untuk kembalikan warisan Tanah Melayu waktu zaman Kegemilangan Melayu Melaka dulu-dulu. Dan ia jugak merupakan salah satu cara untuk mengekalkan tradisi pakaian budaya Melayu.
Himpunan tu pada asalnya merupakan himpunan busana kebangsaan sempena Hari Malaysia yang memfokuskan pengenalan budaya Melayu dan mengetengahkan tradisi pakaian tradisional Melayu. Dan waktu himpunan tersebut, masyarakat Melayu memakai pakaian tradisional dan macam-macam aktiviti tradisional yang diadakan.
Dan ia sebenarnya bukanlah acara untuk provokasi dan tak berunsurkan rasis pun. Bangsa lain pun dijemput jugak. Ditambah lagi dengan kehadiran pelancong dari luar yang sertai sekali kempen tu. Secara tak langsung tujuan kempen tu, dapatlah dicapai.
“Tak ada provokasi, malah kita sebenarnya nak menolak provokasi yang sedang berlaku di kalangan kita, (apabila) ada provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab mengatakan kita (orang Melayu) ada masalah dengan kaum itu, kaum ini. Tak ada.” –Mohd Faizul Salehuddin, wakil penganjur, sumber dari Malaysia Kini.
Tanjak dan Tengkolok: Kalau tersalah pakai ia boleh jadi berlawanan dengan adat
Pada asalnya, tanjak ataupun tengkolok merupakan hiasan kepala yang dipakai oleh golongan bangsawan, kerabat diraja, dan pemimpin-pemimpin Melayu waktu zaman dulu. Ia dipanggil sebagai destar iaitu nama khusus bagi perhiasan kepala. Setiap jenis tanjak yang dipakai oleh golongan tertentu memberi maksud pada status kedudukan seseorang dan merupakan singkatan pada perkataan Tanah Yang Dipijak yang digelar waktu zaman Hang Tuah dulu.
“Orang Melayu dahulu menjadikan busana bagi menceritakan tentang dirinya kerana pada waktu itu belum ada kad pengenalan seperti hari ini,“
Selain itu juga status dan pangkat pemakai tanjak digambarkan pada bahagian solek, tanjak bagi rakyat biasa kedudukan solek menuju kearah kiri, manakala bahagian solek pada tanjak Sultan atau raja menuju ke arah kanan,” –Dr. Huzaifah Datuk Hashim,Aktivis sosio-budaya negeri Melaka, sumber dari BERNAMA.
Rakyat biasa tak boleh pakai bentuk tanjak yang sama dengan bentuk tanjak raja atau sultan. Apa yang perlu ditekankan sekarang ni, orang ramai dan masyarakat Melayu khususnya perlulah betul-betul faham maksud ikatan dan bentuk tanjak yang dipakai tu, jangan anggap ia hanya sekadar aksesori dan fesyen je. Reka bentuk tanjak ni sarat dengan mesej tersirat yang disampaikan.
“Bak kata Hang Tuah “dijunjung orang Melayu melalui agama, bangsa dan tanah air – agama simboliknya Al-Quran, bangsa simboliknya keris dan tanah air simboliknya tanjak.” Jadi tanjak ni melambangkan tanah air kita.” – Fadzil Azwan, pengarang dan pembuat tanjak, sumber dari Facebook GERAK.
Asalnya, dalam pemakaian tanjak, dia ada syarat-syarat yang kena ikut. Manakala, tengkolok pulak bebas tak terikat dengan syarat. Tapi apa bezanya? Jeng…jeng…jeng… Tanjak boleh dipanggil sebagai tengkolok tapi tengkolok tak boleh dipanggil tanjak. Haah? ??
Sebenarnya, tengkolok ada jenis yang berbeza iaitu tengkolok lelaki dan tengkolok perempuan tapi tanjak pulak khas untuk orang lelaki je. Tanjak tak boleh dipakai oleh perempuan sebab ia berlawanan dengan adat Melayu. Rekaan tanjak kena ada 3 syarat – tapak dengan bengkung, simpul dan karangan (solek). Sebenarnya ada beratus jenis tanjak yang ada dalam budaya Melayu. Tapi dah semakin pupus sebab dah tak ramai orang yang boleh ikat dan karang tanjak ni.
Melalui nama tanjak yang tersendiri tu lah orang maksudkan karangan dan falsafahnya untuk persembahkan maksudnya. Dalam setiap negeri, ada tanjak yang berbeza dihasilkan. Contohnya macam kat Perak yang selalu digunakan – Ayam Patah Kepak, Negeri Sembilan – Dendam Tak Sudah, Terengganu – Belalai Gajah, Kelantan – Getam Budu, Selangor – Anak Helang Kembang Sayap. Dan tanjak Perak ni memang digunakan secara komersilnya.
Ia khas untuk individu tertentu contohnya macam pahlawan kena pakai tanjak Bulang Bidang. Dan bagi orang yang pakai tanjak ni dia kena ada pakaian khas yang berasal dari adat yang ditetapkan sendiri oleh raja dan sultan. Tanjak untuk orang kebanyakan selalunya tanjak dari Negeri Sembilan iaitu tanjak Solok Timbo. Dan pemakaian tanjak ni kena bersesuaian dengan acara yang dihadiri.
Asalnya ada warna yang tersendiri yang sarat dengan ceritanya. Tanjak untuk sultan mesti warna putih gading dan untuk raja muda pulak mesti berwarna kuning. Sekarang ni pemakaian bebas tak terikat dengan adat. Tapi kalau nak ketengahkan budaya tu, mestilah kena ikut dan tahu adatnya jugak kan.
“Tanjak ada karakter dia, ada sombong, mewah, megah, dukacita atau bunga. Contoh macam sombong ia sesuai untuk ketua tentera. Sombong bukanlah menggambarkan negatif, maksudnya kalau ketua tentera mesti nampak sebagai sombong, seorang ketua.
Kalau tak, macam mana orang nak gerun dengannya. Untuk megah dan mewah khas untuk sultan. Untuk mempersembahkan karisma mereka.” – Fadzil Azwan, pengarang dan pembuat tanjak, sumber dari Facebook GERAK.
Mesti korang tak perasan yang selama ni ada tengkolok khas untuk perempuan. Sebenarnya, korang pernah je nampak tapi tak tahu lah pulak tu dipanggil tengkolok. (Samalah jugak macam kitaorang ni. Hehe).
Tengkolok khas bagi perempuan ni selalu digayakan dalam pakaian tradisional kaum Minangkabau. Keistimewaan pakaian tradisional diaorang terletak kat Tengkolok Tanduk yang dipakai oleh kaum perempuan kat sana. Tengkolok Tanduk ni bentuk dia of course lah macam tanduk kerbau yang merupakan lambang khas dan sinonim bagi masyarakat Minangkabau. Dan ia berasal dari Sumatera Indonesia dan tradisi tu digunakan bagi masyarakat Minang yang kebanyakannya ada kat Negeri Sembilan.
Tengkolok ni juga ada maksud tersendiri tau dan gaya lipatan berbeza untuk setiap status perempuan yang pakai tengkolok tu. Dan ada 9 jenis tengkolok yang popular dalam kaum Minangkabau dulu tapi sekarang ni orang Minang cuma familiar dengan Tengkolok Gonjong (gonjong yang bermaksud bumbung Minangkabau) dan Tengkolok Mayang Mengurai. Dan maksud gonjong ni sinonim dengan perkataan destar yang maksud tersiratnya adalah meruncing.
Mempersembahkan budaya Melayu di persada dunia
Berbalik semula kat kempen bertanjak ni, sebenarnya kempen ni aktif dibuat kat media sosial dengan ada puluhan ribu pengikut. Dan pada dasarnya, kempen ni dibuat bertujuan untuk memupuk kesatuan dan menolak isu perkauman yang selalu tercetus kat Malaysia ni. Disebabkan tanjak ni menjadi lambang sebagai tanah air, sebab tu lah ia dijadikan teras untuk kempen ni sebagai pengenalan identiti dan jati diri rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Sebenarnya, kat Melaka pun ada aktiviti dan kempen bertanjak ni sempena Hari Malaysia. Diaorang siap anjurkan program Pahlawan Run 2019 ‘Run With Your Tanjak’, dan aktiviti tu disertai oleh masyarakat berbilang kaum yang lain di samping mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat lain.
“Walaupun berketurunan India, saya tidak malu memakai tanjak kerana menganggapnya budaya tradisional yang perlu dibanggakan seluruh masyarakat Malaysia,” – R Thevendran, ahli perniagaan, sumber dari BH Online.
Dan disebabkan tanjak ni sinonim dengan lambang tanah air, kempen ni secara tak langsung nak memfokuskan tentang menghidupkan semula jati diri masyarakat Melayu khususnya. Kempen yang menggunakan hashtag #berdirisendiri tu membawa maksud untuk menyemai keadaan harmoni kat negara kita dengan cara berdiri sendiri (berdikari) perbaiki kehidupan masing-masing. Maksudnya, tak terlalu ikutkan emosi dan mengharapkan orang lain. Kena teguh dengan jati diri sendiri.
Melalui kempen dan himpunan yang disertai ramai ni, ia memberikan mesej supaya orang Melayu dan masyarakat lain bangga dengan budaya tradisional Tanah Melayu yang menjadi kelaziman orang dulu. Dan kempen ni sebenarnya kerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKNKL) yang semua orang tahu JKKN ni bertanggungjawab dengan penerapan aspek-aspek kebudayaan kat Malaysia.
Bertanjak kena tahu sejarahnya bukan hanya fesyen untuk pupuk patriotisme
Tapi, di sebalik kemeriahan dan sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak berkenaan kempen ni, Prof Dr Siti Zainon Ismail ada bagitahu yang setiap orang yang menggayakan tanjak ni kenalah faham maksud dan sejarah penceritaan gaya tanjak yang dipakai tu. Ia bukanlah medium untuk menggalakkan kesatuan tapi semuanya bergantung pada inisiatif seseorang tu. Kalau seseorang tu betul-betul nak membudayakan tradisi Melayu, diaorang mestilah menggayakannya secara lengkap.
“Masing-masing kena tahu pakai tanjak itu untuk apa, ikut kesesuaian majlis sebab ia ada sejarah budaya.
“Memakai sepersalinan busana Melayu serba lengkap begitu harus ada tanjak, baju, seluar, samping dan keris sekali,” – Prof Dr Siti Zainon Ismail, sumber dari Malaysia Kini.
Dan untuk terapkan kebudayaan ni, bukanlah hanya melalui pakaian tradisional dan budaya je, tapi masing-masing bertanggungjawab untuk terapkan dan kekalkan tradisi dalam perbualan seharian dengan kaum yang lain jugak. Jadinya, kalau semua orang buat benda yang sama dengan menceritakan tradisi dan budaya yang sedia ada, ia dapat dikekalkan selamanya dan fesyen yang diketengahkan tu bukanlah jadi fesyen yang popular untuk musim-musim tertentu je.
- 497Share sekarang!
- Email33
- Facebook464
- Share