Duit syiling Malaysia dalam cerita perisik Israel di Syria? Ini kisah di sebaliknya…

Pasal filem ni memang ramai yang suka. Ada yang suka aksi dan ada juga yang suka romantis. Tapi ramai juga yang minat cerita pasal pengintipan atau spy ni. Sebelum ni kami ada tulis artikel pasal cerita Spy di Malaysia kat sini. Apa yang menarik lagi, watak James Bond yang dicipta tu sebenarnya pernah tinggal di Cameron Highland sebagai spy.

Memang banyaklah lagi cerita spy yang bertaraf antarabangsa siap difilemkan berdasarkan kisah sebenar. Sama ada spy CIA (Amerika), KGB (Russia), Mossad (Israel) dan lain-lain. Buat masa sekarang ni, drama The Spy di Netflix pula menjadi sebutan media antarabangsa.

Imej dari IMDB

Dan…salah seorang penulis kami yang menonton drama ni dengan khusyuk dan tawadhuk pula ada ternampak sesuatu dalam drama ini iaitu…

Duit syiling sepuluh sen Malaysia digunakan untuk beli surat khabar di Syria

Drama The Spy ni ada 6 episod. Cumanya, pada episod ke-3 ada satu babak di mana, spy Mossad, Eli Cohen beli surat khabar beberapa kali dari seorang penjaja jalanan. Surat khabar tu digunakan untuk membalut lubang pada barang perabot. Dalam lubang tu dia menyimpan nota-nota rahsia dan risikan.

Bila tengok betul-betul, ada duit syiling sepuluh sen digunakan waktu bayar kepada penjaja tu.

Screenshot dari babak drama tu…

Ini pula sedutan babak Eli Cohen beli surat khabar yang kami sebut tadi…

Alang-alang dah cerita pasal drama ni, korang tahu tak ini adalah drama berdasarkan kisah sebenar Eli Cohen yang maklumatnya kepada Israel menjadi punca kemenangan negara itu dalam perang Enam Hari 1967 atau Perang Arab-Israel 1967.

Apa yang buat kami terkejut, dia punya jadi spy sampai hampir dilantik jadi Timbalan Menteri Pertahanan Syria. Semuanya bermula apabila…

Dari calon yang ditolak kepada pengintip paling penting Mossad

Eli Cohen ni merupakan orang kelahiran Mesir yang lahir dari keluarga Yahudi. Keluarganya berpindah ke Mesir dari Aleppo, Syria pada tahun 1914 lagi. Pada Januari 1947, dia memilih untuk menyertai angkatan tentera Mesir bagi mengelakkan diri daripada dikenakan bayaran. Sebab pemuda Yahudi di sana waktu tu memang kena bayar sejumlah wang kepada kerajaan. Malangnya, permohonan untuk menyertai tentera ditolak sebab kesetiaanya dipersoalkan.

Bersama isterinya, Nadia Cohen. Imej dari Elicohen

Sejak tu, dia meninggalkan universiti dan belajar sendiri di rumah. Dia juga mempunyai kelebihan tersendiri iaitu fasih Bahasa Arab, Inggeris dan Perancis. Kelebihan ni dah menjadikan ia tarikan kepada pasukan rekrut Risikan Israel.

Di Mesir, dia dilaporkan terlibat dengan beberapa operasi rahsia melibatkan Yahudi. Ini termasuklah operasi:

  • Operasi Goshen: Menyeludup keluar Yahudi Mesir ke Israel dan menempatkan mereka di sana
  • Operasi Susannah: Bertujuan untuk menghancurkan hubungan Mesir dengan kuasa Barat

 

Keratan berita mengenai Krisis Suez. Imej dari Youtube Historypod

Beberapa tahun kemudian berlaku Krisis Suez atau pun perang di sekitar Terusan Suez yang melibatkan Mesir, Israel dan kuasa Barat. Ketika ini, kerajaan Mesir mengusir ramai Yahudi Mesir termasuk Cohen yang menyebakan mereka tinggal di Israel terus. Di sana, Cohen bekerja sebagai penterjemah dan akauntan.

Dari Eli Cohen ke Kamel Amin Thaabet, ahli perniagaan Syria

Pada tahun 1957, Cohen kembali direkrut oleh Pasukan Pertahanan Israel serta ditempatkan ke dalam risikan tentera sebagai penganalisis risikan. Tapi, dia bosan. Dia cuba nak sertai Mossad tapi percubaannya gagal yang menyebabkan dia berhenti kerja dan bekerja sebagai kerani kat syarikat Insurans di Tel Aviv.

Tanpa disangka, Ketua Pengarah Mossad, Meir Amit dah memilih Eli Cohen setelah melihat kembali fail-fail calon yang dah ditolak. Sebab dia nampak sesuai untuk menjadi ejen khas bagi menyusup masuk ke kerajaan Syria. Ditambah lagi, tiada ejen yang sesuai waktu tu untuk tugas ni.

Meir Emit yang memilih Cohen. Imej dari Brittanica

Dia kemudian menjalani latihan dan diuji beberapa bulan sebelum diterima masuk sebagai ejen Mossad. Identiti baru dah diberikan sebagai ahli perniagaan Syria bernama Kamel Amin Thaabet yang menetap di Buenos Aires, Argentina. Untuk memainkan watak ni, dia dah menetap di sana dengan membina hubungan dengan orang-orang penting Syria yang terdiri daripada pemimpin politik dan ahli perniagaan.

Kediamannya sering menjadi tempat parti kepada menteri-menteri Syria yang berjawatan tinggi, ahli perniagaan dan lain-lainnya. Kat parti ni jugalah mereka ni semua berbincang secara bebas kerja-kerja mereka dan juga rancangan ketenteraan. Dia juga ada meminjamkan wang kepada pegawai kerajaan dan ramai yang datang kepadanya untuk minta nasihat. Dia juga ada buat hubungan sulit dengan beberapa orang wanita.

Babak drama yang menunjukkan Cohen bersama Presiden Syria serta isterinya. Imej dari Times

Terbang ke Syria serta mendapat kepercayaan pegawai tentera di sana

Sepanjang berada di Argentina, dia berjaya membina kepercayaan rapat dengan orang terdekat. Ia termasuk tentera Syria yang punya kaitan dengan Amin Al-Hafiz yang kemudiannya menjadi Presiden Syria. Selepas beberapa lam, dia menyampaikan hasratnya untuk pulang ke negara Syria bagi membantu negara dan juga parti Ba’ath yang merupakan parti yang disertai Amin Al-Hafiz .

Di Syria dia mendapat akses yang lebih banyak, hingga dibawa melawat sempadan Syria-Israel, Bukit Golan. Di situ, dia diberi taklimat mengenai operasi ketenteraan Syria di sempadan. Kerana dikenali sebagai peniaga barangan perabot, dia juga dah buat aktiviti perniagaan eksport import perabot. Nota-nota diletakkan di dalam perabot yang kononnya diimport ke luar negara, tetapi dihantar ke ibu pejabat Mossad.

Kawasan yang memisahkan Syria dan Israel. Imej dari The Economist

Salah satu usahanya yang memberi manfaat kepada Israel, apabila dia menghadiahkan pokok-pokok Eucalyptus kepada tentera Syria di Bukit Golan. Ini kerana ingin membantu dan menaikkan moral tentera Syria yang tiada tempat berteduh di sana. Namun sebaliknya, pokok ni tadi menjadi ‘tanda’ buat pihak Israel untuk mengetahui kedudukan tentera Syria dari sempadan Israel.

Kemahirannya dalam membina kepercayaan termasuk dengan Amin Al-Hafiz telah menyebabkan ada ura-ura mengatakan dia ditawarkan jawatan Timbalan Menteri Pertahanan Syria.

Cohen (tengah) sewaktu di Bukit Golan. Imej dari Wikipedia

Sekalipun dia mempunyai kemahiran dalam membina kepercayaan dan hubungan, dia agak cuai dalam menyampaikan transmisi radio kepada Mossad. Kekerapan yang dilakukan untuk menyampaikan maklumat menyebabkan ia terjerat.

Ini bermula dengan lantikan Kolonel Ahmad Su’edani sebagai Ketua Risikan Syria. Dia memang jenis tak percaya dekat sesiapa pun serta tak berapa suka dekat Cohen. Pada waktu tu juga, kerajaan Syria dah meningkatkan usaha untuk memberkas pengintip. Maka, satu peralatan penjejak buatan Soviet dah digunakan dengan bantuan pakar dari soviet. Dengan kekerapan Cohen dalam melakukan radio transmisi, ini dah menyebabkan peralatan penjejak tu mengesan gelombang luar biasa dari rumahnya.

Akhirnya, pada suatu hari, rumah Cohen dah diserbu kerana disyaki punca gelombang luar biasa tu. Waktu diserbu tu juga, dia sedang melakukan transmisi radio dengan pihak Mossad.

Dia dihukum gantung dan mayatnya dibiarkan selama 6 jam

Imej dari Clarin

Eli Cohen dah didakwa bersalah oleh tribunal tentera serta dijatuhkan hukuman mati. Pihak Israel cuba memujuk Syria supaya tidak menghukum sebegitu kepada Cohen serta cuba membuat rayuan kepada pihak Soviet Union. Pihak kerajaan Kanada, Belgium dan Perancis juga cuba berulang-alik memujuk kerajaan Syria, namun semuanya tidak berhasil.

Pada 18 Mei 1965, Cohen dihukum gantung di khalayak di Dataran Marjeh. Permintaan terakhirnya untuk menemui Rabbi Syria dihormati pihak penjara. Ketua Rabbi Syria, Nissim Andabo dah menemani dia sepanjang di dalam trak.

Mayat Cohen dibiarkan tergantung selama 6 jam di Dataran Marjeh. Setelah selesai, mayatnya tidak dihantar pulang ke keluarga Cohen sekalipun didesak oleh kerajaan Israel dan isterinya sendiri. Isterinya, Nadia Cohen ada menulis surat dan dihantar terus kepada Presiden Syria, Amin Al-Hafiz pada November 1965, namun tetap ditolak. Selepas lebih kurang puluhan tahun, mayatnya tidak diketahui di mana dan tak pernah dipulangkan kepada ahli keluarganya.

Pentingya keselamatan negara daripada anasir luar dan dalam

Negara kita mempunyai kaedah tersendiri dalam menghalang dan mengawal kemasukan anasir luar dan dalam yang berniat jahat. Contohnya, pada tahun Janurai 2018, Bahagian Anti-Pengganas E8 Cawangan Khas Bukit Aman berjaya mengesan dan menghalang rancangan seorang guru sekolah agama swasta untuk menyerang pusat hiburan di Lembah Klang. Guru ni dan juga beberapa orang lagi rupanya aktif dengan kumpulan Daesh.

Malaysia juga sangat berwaspada dan memberi kerjasama dengan negara lain jika ada rakyat negara tersebut tingal di Malaysia. Ini berlaku baru-baru ni, apabila Malaysia menghantar pulang sebuah keluarga Turki yang dikaitkan dengan gerakan yang diharamkan Turki iaitu Gerakan Gulen.

Malaysia antara yang negara ASEAN yang memperuntukkan dana yang banyak untuk keselamatan siber. Imej dari Business Insider Singapore

Semua operasi yang kami sebut ini adalah bukti betapa negara kita sangat berjaga-jaga dengan sebarang unsur menggugat keselamatan negara yang rakyat biasa takkan nampak. Moga keharmonian dan kesejahteraan negara akan terus kekal selama-lamanya.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT