Tan Sri Muhammad Ali Hashim: Tokoh ‘Jihad Bisnes’ Malaysia

Pada 31 Oktober lepas, kita dikhabarkan dengan berita sedih tentang kehilangan seorang tokoh korporat Melayu, Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Allahyarham meninggal dunia pada usia 70 tahun, akibat penyakit kanser. Nama Muhammad Ali Hashim bukanlah satu nama asing dalam dunia korporat Malaysia.

Ali Hashim sebelum ni pernah menjadi Presiden JCorp (1982-2010), Pengerusi KFC Holdings (M) Bhd, Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Pengerusi Sindora Berhad dan Pengerusi QSR Brands Berhad. Tu belum lagi cerita pasal menjadi ahli lembaga dalam banyak syarikat dan organisasi. Perkara ini saja dah menunjukkan, Tan Sri Ali Hashim sebagai seorang ahli korporat yang berjaya dan dihormati.

Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Imej dari jihadekonomiummah.com

Oleh itu, jom kita tengok sumbangan-sumbangan besar yang pernah dilakukan oleh allahyarham dalam dunia korporat dan ekonomi Islam di negara ini.

Menerajui JCorp, dan menjadikannya sebagai salah satu konglomerat utama negara

JCorp atau Johor Corporation adalah sebuah syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1968. Syarikat ini kemudiannya menyambut objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berusaha mengimbangkan taraf ekonomi Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Sepanjang perjalanan JCorp, dah banyak kejayaan dicatatkan oleh syarikat ini. Mungkin ada yang kata, JCorp ni berjaya sebab syarikat ni ada keistimewaan sebagai sebuah syarikat kerajaan. Tapi realitinya, kejayaan JCorp adalah hasil kepimpinan yang cekap dari Ali Hashim.

Imej dari adaderana.lk

Ini kerana di bawah pimpinan beliau, JCorp berjaya menguasai pelbagai sektor seperti KPJ Healthcare Bhd (perubatan), QSR Brands Bhd (makanan & minuman), Kulim Malaysia Berhad (perladangan) dan KFC Holdings (M) Bhd. Masa mula-mula mengambil alih KFC, restoran tu hanya ada lebih kurang 400 rangkaian. Tapi pada hari ini, dianggarkan 900 restoran KFC, Pizza Hut dan Ayamas berada di seluruh negara, termasuk juga di Brunei, Kemboja, Singapura dan Mumbai.

KPJ Healthcare Bhd pula sekarang ni dah ada lebih dari 20 buah cawangan hospital pakar di Malaysia dan 2 lagi di Indonesia. Manakala, Kulim Malaysia Berhad pula dah jadi antara syarikat minyak sawit yang utama di rantau ini. Perkara ini terbukti apabila syarikat ni ada perladangan kelapa sawit terbesar di Papua New Guinea yang juga tersenarai di pasaran saham London. 

Mesti korang semua pernah rasa semua produk QSR Brands ni. Imej dari QSR Brands.

JCorp di bawah pimpinan beliau juga berjaya menjadi organisasi korporat utama di negara ini. Sehingga ketika beliau meletakkan jawatan, JCorp dah ada aset bernilai RM18 bilion, melibatkan 280 syarikat (8 tersenarai di Bursa Malaysia, 1 di London Stock Exchange) dan anggota kerja seramai lebih dari 65,000 orang. 

Untuk maklumat, semasa beliau memimpin JCorp, istilah kakitangan telah diharamkan.

“Pada saya, apa yang paling penting adalah nilai Islam dari segi budaya, amalan berurusan, hubungan antara anggota. Salah satunya, istilah ‘kakitangan’ diharamkan kerana kita perlu mengubah minda kebanyakan orang termasuk pemimpin.

Apabila kita panggil orang bawahan dengan gelaran ‘kakitangan’ maknanya ia tidak islamik dan merendahkan darjat orang. Lebih baik sekiranya kita menggunakan istilah anggota atau warga kerja.” – Tan Sri Muhamad Ali Hashim. Dipetik dari Sinar Harian.

Imej dari Kosmo.

Memperjuangkan ‘Jihad Bisnes’ dalam menghadapi suasana ekonomi dunia

Selain menjadi Presiden JCorp selama 28 tahun, Ali Hashim juga menjadi Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM). Melalui JCorp dan DPIM, Ali mula memperkasakan agenda ‘Jihad Bisnes’ yang diyakininya. Menurut Ali, ‘Jihad Bisnes’ adalah satu prinsip menjalankan perniagaan berlandaskan Islam dan universal. 

“Jihad Bisnes” turut membawa pengertian bahawa kejayaan bisnes diburu sebagai sebahagian dari amal ibadah dan amal soleh, dan dilihat dari perspektif ini ia seharusnya menjadi sumber motivasi dan sumber tenaga spiritual (spiritual energy) yang berupaya menyemarakkan semangat gagah dan perkasa yang tidak mengenal lelah dan kalah dalam persaingan.” – Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Imej dari The Vocket.

Dalam ucapannya pada tahun 2009, Ali memberikan pelbagai senario yang dihadapi oleh ekonomi umat Islam pada hari ini. Antaranya adalah umat Islam hari ni mengalami kelemahan dan ketandusan ekonomi sehingga membuatkann kuasa dan pengaruh politik mereka merosot. Bukti sejarah juga menunjukkan, pihak Barat dah berjaya mengeksploitasi banyak sumber ekonomi negara-negara Islam dengan cara memperalat, menggunakan ‘double standard’, menyerang dan menjajah. 

“Penguasaan umat Islam ke atas sumber petroleum dan hidro-karbon yang jelas memihak kepada mereka berupaya mengseimbangkan sedikit agihan kuasa ekonomi dunia. Bagaimanapun, hal ini telah turut menyemarakkan nafsu di kalangan beberapa kuasa Barat khasnya Amerika Syarikat…Penaklukan Iraq jelas sekali bermotif menguasai sumber minyak dan gas Iraq kerana Iraq adalah salah sebuah negara pengeluar terbesar di dunia.” – Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Dua orang ni lah yang cetuskan Perang Iraq. Imej dari Giphy.

Oleh itu, umat Islam hari ini kena bangun menghadapi kerakusan penaklukan ekonomi Barat. Tapi malangnya, ada sesetengan pihak yang bangkit menentang perkara ini dengan kata-kata ‘jihad’ walaupun hakikatnya salah dan menggunakan cara ekstrem. Oleh itu, Ali Hashim mengatakan konsep jihad kena dilakukan secara aman dan dialihkan fokus kepada jihad dalam bidang ekonomi.

Antara perkara-perkara yang diperjuangkan dalam ‘Jihad Bisnes’ adalah:

  1. Memperkasakan ekonomi umat Islam perlu disumbangkan bersama-sama, bukan saja oleh peniaga, usahawan atau ahli bisnes, sama ada kecil, sederhana dan besar, malah termasuk juga mereka yang bukan dari golongan bisnes.
  2. Berusaha mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang, untuk menegakkan keadilan (yang menepati ajaran Islam) dengan menjadikan sasaran ekonomi Melayu 65% dan bukannya 30%.
  3. Prinsip keadilan ini menuntut ketegasan semua kerajaan dan pemerintah yang didokong oleh rakyat di peringkat pusat dan negeri.
  4. Memperbaharui peranan institusi syarikat dan korporat Melayu serta GLC-GLC (syarikat milik kerajaan) dan menjadikan mereka teras kepada strategi memperkukuhkan ekonomi negara.
  5. Pegangan hak milik GLC dan badan amanah kerajaan dikekalkan dan tidak diswastakan kepada sesiapa. Malah, sebahagian dari kepentingan tu digalakkan untuk diwaqafkan (sebagai ”Waqaf Korporat”).

“Di Malaysia sendiri, hari ini, 40 orang warganegara terkaya memiliki nilai aset dan harta bersamaan hampir satu pertiga jumlah nilai harta milik seluruh warganegara Malaysia. Sistem yang jelas melampau ‘berat sebelah’ ini pula menyebabkan ketidakadilan melampau apabila dilihat terlalu mudah bagi yang kaya untuk terus bertambah kaya dan yang lainnya ketinggalan dan terpinggir.” – Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Memperkenalkan wakaf korporat dan mengasaskan institusi waqaf korporat pertama di Malaysia

Mungkin ramai dari kita yang pernah dengar pasal wakaf. Pada asalnya, wakaf taklah dinyatakan secara langsung dalam Quran dan hadis. Disebabkan itu, para ulama memberikan pelbagai pengertian tentang wakaf. Jumhur ulama mentafsirkan wakaf sebagai – menahan sesuatu harta, untuk dimanfaatkan orang lain, dengan terputus hakmilik ke atas harta tersebut, dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Selain itu, ada juga beberapa jenis wakaf macam wakaf kebajikan am dan wakaf kebajikan khas. Wakaf kebajikan am boleh dikatakan sebagai mana-mana bentuk harta yang dibuat untuk kebajikan umum tanpa ditentukan siapa penerimanya. Manakala, wakaf kebajikan khas pulak bersifat khusus – apabila pewakaf menentukannya untuk tujuan tertentu atau untuk penerima tertentu. Ia boleh jadi macam: wakaf tanah untuk tanah perkuburan atau wakaf tanah untuk orang miskin.

Imej dari teratak5.blogspot

Tapi bila berlakunya perkembangan dan peredaran zaman, muncul pula wakaf kontemporari. Wakaf kontemporari ni lebih berbentuk semasa, seperti:

  1. Wakaf tunai – Mewakafkan sejumlah wang tunai sebagai pelaburan di bank dan mewakafkan sebahagian keuntungan kepada umat Islam.
  2. Wakaf saham – Mewakafkan sejumlah saham yang dimiliki oleh individu atau syarikat dengan mengagihkan bahagian keuntungannya kepada seluruh masyarakat.
  3. Saham wakaf – Satu skim pembelian saham-saham pada harga tertentu dan seterusnya mewakafkan sijil saham tersebut. Saham yang dah dibeli akan diistibdalkan (menggantikan sesuatu harta wakaf dengan harta lain) dengan harta kekal seperti tanah, bangunan atau apa-apa projek yang bagi masyarakat Islam.

Dalam waktu yang sama, muncul juga wakaf korporat. Wakaf korporat ni boleh dikatakan sebagai adaptasi dari wakaf saham seperti mana yang diceritakan tadi. Wakaf korporat di negara ni pada mulanya diperkenalkan oleh JCorp semasa di bawah pimpinan Ali Hashim. Pada hari ini, ia diuruskan oleh Waqaf an-Nur Coporation Berhad (WANCorp) sebuah anak syarikat JCorp.

“Sejarah wakaf korporat JCorp berlaku pada 8 Julai 2005 melalui pewakafan sebanyak 225,000 unit saham yang bernilai RM260,558 (Nilai Aset Bersih) dalam Tiram Travel Sdn Bhd (TTSB) iaitu anak syarikat kumpulan JCorp yang tidak tersenarai di Bursa Malaysia…

Melihat kejayaan daripada pewakafan awal ini, pada 3 Ogos 2006 syarikat JCorp telah membuat pewakafan lagi dengan mewakafkan sejumlah unit saham dalam tiga anak syarikat kumpulan yang tersenarai di Bursa Malaysia. Jumlah keseluruhan nilaian semasa unit saham daripada ketiga-tiga anak syarikat tersebut adalah RM200 juta.” – Dipetik dari jurnal tulisan Abd. Shakor bin Borham & Siti Mashitoh binti Mahamood.

Kilik imej untuk tahu lebih lanjut. Imej dari awqaf.com

Hasil dari wakaf korporat ini, ia dah digunakan untuk membiayai program-program utama macam: kebajikan, pembangunan insan, pembangunan pendidikan dan keusahawanan. Kejayaan wakaf korporat ni terbukti apabila sekarang ni WANCorp dah ada lebih dari 20 rangkaian klinik, 6 buah masjid, 41 unit pelaburan hartanah dan sebagainya. 

Selain itu, WANCorp juga dah bagi bantuan pendidikan kepada beberapa institusi seperti Instusi Pengajian Islam dan Bahasa Arab Negeri Johor (MARSAH), tabung pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), percetakan al-Quran baraille dan sebagainya.

“Sesungguhnya, Waqaf Korporat memberi bangsa Melayu khasnya dan negara Islam amnya pilihan institusi yang berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi pacuan bisnes mengikut acuan Islam. Paling penting, institusi Waqaf Korporat berupaya menjamin pertumbuhan yang adil lagi seimbang, sekali gus menolak kerakusan, kezaliman dan kerosakan yang banyak dilihat berlaku terbit daripada menciplak sistem ekonomi kapitalis acuan Barat.” – Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Dipetik dari Sinar Harian.

Klinik Waqaf An-Nur yang dikendalikan oleh WANCorp. Imej dari Waqaf An-Nur.

DEB ‘rasis’, itu satu fitnah – Ali Hashim

Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan oleh Tun Razak pada tahun 1970. Dasar ini muncul apabila negara ketika itu melihat perlunya ada keseimbangan dan kesamarataan ekonomi khususnya kepada kaum Bumiputera. Oleh itu, misi DEB adalah untuk menaikkan taraf ekonomi Bumiputera dan membasmi kemiskinan.

Ini kerana, kalau kita tengok statistik kemiskinan pada tahun 1970, orang Melayu dilihat masih lagi ketinggalan berbanding orang Cina dan India. Purata pendapatan keluarga Melayu pun 2 kali lebih rendah dari kedua-dua kaum tadi. Hal ni termasuklah ketinggalannya orang Melayu dalam hak milik syarikat-syarikat.

Tan Sri Just Faaland adalah salah seorang yang membentuk DEB. Imej dari Bergens Tidende.

Lepas DEB dilaksanakan, banyak kesan yang dilihat dan banyak juga reaksi yang diterima. Antaranya adalah DEB boleh dikatakan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan ekonomi orang Melayu. Ini kerana, kadar kemiskinan berjaya diturunkan dari 49.3% pada tahun 1970 kepada 5.7% pada tahun 2005. Pegangan ekuiti (saham/syer) korporat Bumiputera juga meningkat. 

Tapi DEB juga tak terlepas dari kritikan dan tuduhan. Antara tuduhan tu adalah DEB dituduh sebagai dasar melampau yang pro-Melayu dan Bumiputera, senang kata dasar yang ‘rasis’. Bagi Ali Hashim, tuduhan ni sebenarnya fitnah dan tak adil. Ini kerana, DEB adalah sumbangan hebat dari Tun Razak dan berperanan penting dalam menyelamatkan negara.

Tun Abdul Razak melawat projek Felda di Sungai Dusun, Selangor. Imej dari Utusan Malaysia.

Sebagai contoh, Felda dan Felcra pada asalnya menetapkan peruntukan kepada kaum Cina dan India. Tapi nampaknya, ramai yang tak sertai sebab skim ni jauh di pedalaman.

“Saya berpendapat sejak awal 1980-an, kerajaan Malaysia pula melampau terpengaruh hasutan ideologi ekonomi kapitalis neo-liberal anjuran Barat, terutama Amerika Syarikat, yang jelas bertentangan aspirasi DEB. Ideologi ini menyebabkan kerajaan Malaysia mengutamakan penswastaan dan membuka luas ekonomi memihak kepada golongan bisnes dan korporat swasta mengatasi semua golongan lain.” – Dipetik dari Sinar Harian.

Tambah beliau lagi, ideologi ekonomi liberal ni dah membuatkan kerajaan semakin agresif dalam mengagihkan saham, lesen, insentif, geran dan keistimewaan kepada individu-individu pilihan. Hal inilah yang menyebabkan berlakunya tuduhan menyalahgunakan kuasa, korupsi, nepotisme dan kronisme. Disebabkan perkara ini, DEB dipersalahkan dan difitnah.

“…DEB telah dirosakkan bukan oleh perbuatan orang lain, tetapi oleh tangan-tangan politik Melayu dan Bumiputera sendiri, terutama mereka yang rakus, tamak dan bersikap nafsu-nafsi.” – Dipetik dari Sinar Harian.

Imej dari Giphy.

Disebabkan itu menurut Ali Hashim, walaupun DEB dah tamat – tapi pengajaran DEB yang relevan buat masa depan adalah kebijaksanaan Tun Razak menggunakan GLC sebagai institusi utama menegakkan keadilan dan mengimbangkan kuasa swasta.

“Allahyarham menentang sistem kapitalis. Idea wakaf ini adalah untuk mengharmonikan keuntungan syarikat bagi disalurkan kepada ummah. Mengenai konsep jihad bisnesnya pula, ia kerana allahyarham percaya orang Islam kena menjadi kaya kerana dengan kekayaan itulah kita boleh menyumbang dan mengagihkannya kepada orang lain misalnya melalui wakaf.” – Dr Muhammad Hakimi Shafiai, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM. Dipetik dari Kosmo.

Dengan itu, beliau mencadangkan supaya GLC ditransformasikan menjadi institusi Waqaf Korporat supaya ia kekal dalam menegakkan keadilan, melindungi kepentingan generasi depan, tidak kira kaum dan keturunan.

Ali Hashim masa berucap di Wacana Sinar. Imej dari Malay Mail Online.

Tan Sri Ali Hashim akan kekal dikenang sebagai ahli korporat penegak ‘Jihad Bisnes’

Pada tahun 2013, Ali Hashim dilanda kontroversi apabila tulisannya yang bertajuk ‘Menuntut hak, menebus masa silam’ di Sinar Harian dikatakan sebagai menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja Johor. Ali Hashim menafikan dakwaan itu dan akhirnya beliau mengambil keputusan memulangkan 3 darjah kebesaran yang diterimanya dari kerajaan Johor.

Bagaimanapun, sumbangan allahyarham terhadap pembangunan ekonomi Islam di negara ini adalah satu perkara yang cukup besar dan akan terus dikenang. Pada tahun lepas, Ali Hashim juga dah dilantik sebagai Ketua Kluster Ekonomi dalam Majlis Perundingan Islam (MPI). Selain beliau, beberapa tokoh lain juga dilantik seperti allahyarham Dato’ Haron Din (dakwah), Asyraf Wajdi Dusuki (sosial), Prof Zaleha Kamarudin (undang-undang) dan lain-lain.

Imej dari awqaf.com

Sepanjang kehidupannya, allayarham dikenang sebagai seorang yang sangat jujur dalam melaksanakan amanah. Selain itu, beliau juga dikenali sebagai seorang ‘lelaki bijak’.

Ali sangat telus, dia tak akan bagi projek diterajuinya kepada ahli keluarga mahupun rakan-rakan…sekiranya mahu mereka harus melalui prosedur yang betul. Arwah juga sangat ramah dan sentiasa menjaga kepentingan orang lain berbanding dirinya… baginya selain keluarga, syarikat dan pekerjanya merupakan amanah yang paling besar arwah harus pikul.” – Datuk Abdul Karim Abu. Dipetik dari BERNAMA.

Semoga usaha allahyarham selama ini yang memperjuangkan ‘Jihad Bisnes’ akan tetap dikenang dan disambut oleh generasi sekarang dan akan datang. Mudah-mudahan roh allahyarham ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beramal soleh. Amin.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.