Kenapa ketua kampung di Sarawak ni tulis surat rayuan pada PM Jepun?

(This article has been translated to our sister’s site, Cilisos)

Bulan September baru-baru ni, ada sorang lelaki berketurunan pribumi Sarawak tulis surat kepada Perdana Menteri Jepun, iaitu Shinzo Abe. Penulis surat tu adalah Matu Tugang, ketua kampung Long Jaik di sebuah perkampungan Penan di Belaga, Sarawak. Dia tulis surat tu bukan semata-mata untuk dia sendiri, tapi untuk seluruh kampungnya dan juga orang Penan.

Matu Tugang, ketua Long Jaik. Imej dari cj.my

Shinzo Abe ni pulak dah la Perdana Menteri Jepun. Confirm-confirm la dia dapat banyak gila surat daripada pemimpin dunia, NGO, dan tak kurang juga rakyat-rakyat marhaen macam kita ni. Antara surat-surat yang dia pernah terima adalah supaya Jepun hentikan amalan pemburuan ikan paus dan ikan lumba-lumba, paksa Jepun minta maaf secara rasmi pasal apa yang diorang buat masa Perang Dunia Kedua, dan macam-macam lagi.

Tapi, apa pula yang orang Penan ni minta pada Shinzo Abe?

Diorang minta Jepun berhenti ambik pokok diorang untuk bina stadium Olimpik Tokyo!

Ye, surat yang Matu Tugang tulis dalam Bahasa Malaysia tu merupakan rayuannya kepada Abe supaya Jepun berhenti beli kayu dari Sarawak. Kayu-kayu tu pulak, diorang guna untuk bina stadium besar untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020!

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya adalah ketua kampung Long Jaik, salah satu kampung suku Penan di Sarawak. Kami tinggal di kawasan pedalaman hutan hujan Borneo. Kami dimaklumkan negara Jepun kini sedang menggunakan kayu balak yang diimport dari Sarawak untuk pembinaan Stadium Olimpik baru di Tokyo, Jepun.”surat Matu kepada Shinzo

New National Stadium (Tokyo) yang bernilai US$ 1.26 bil (RM5.3 bil) tu, masih dalam pembinaan masa kitorang tengah tulis artikel ni. Stadium ni menggantikan stadium lama yang diorang dah robohkan sejak Mei 2015, dan mulakan pembinaan baru pada 11 Dec 2015 di Kasumigaoka, Tokyo. Selain tu juga, ia akan jadi tuan rumah untuk  majlis pembukaan dan penutup Sukan Olimpik Musim Panas yang akan datang, termasuklah untuk acara trek dan padang.

Sebenarnya sebelum pembinaan stadium bermula pun, macam-macam kontroversi dah melanda. Mula-mula, pasal kos pembinaan yang terlampau mahal untuk Jepun yang sangat berjimat. Jadinya, diorang kena kurangkan kos sebab dapat tentangan rakyat. Lepas tu, ada kontroversi pasal seorang pekerja pembinaan yang baru berumur 23 tahun bunuh diri sebab kena kerja overtime lebih dari 190 jam!

Reka bentuk stadium baru Jepun, berdasarkan lakaran komputer. Imej dari japantimes.com

Kontroversi terbaru pula pasal pembalakan di sebuah hutan yang cantik kat Borneo

Berdasarkan maklumat yang berjaya dikumpulkan oleh NGO alam sekitar Jepun dan antarabangsa pada 3 dan 18 April, ia menunjukkan papan lapis tropika (tropical plywood) yang digunakan untuk membentuk konkrit dalam pembinaan stadium tu, ada label ‘Shin Yang’.

Label tu pulak menyerupai papan lapis yang dihasilkan oleh Shin Yang, yang ada dijual di Jepun. Disebabkan perkara ni la diorang dapat sahkan yang papan lapis ni dibekalkan oleh syarikat Shin Yang Plywood (Bintulu) Sdn. Bhd, yang berpangkalan di Miri.

Dua tahun lepas, CILISOS ada tulis artikel pasal “Ke mana semua kayu balak Malaysia pergi?”, dan kitorang fokuskan pasal penebangan hutan besar-besaran di Sarawak. Jadi sekarang ni kita tahu la ke mana kayu balak semua pergi!

Lingkaran merah menunjukkan tanda ‘SY e-panel’. Imej dari ran.org

Bila kitorang siasat lagi, kitorang jumpa satu lagi benda yang tak boleh blah gila pasal syarikat pembalakan Sarawak ini…

Shin Yang adalah salah sebuah syarikat terkenal sebagai ‘Big Six’, iaitu syarikat yang terlibat dalam pembalakan haram

Imej dari Wakx di Flickr

Dalam artikel sebelum ni, kitorang ada dedahkan yang Malaysia mempunyai kadar penebangan hutan yang tertinggi sejak tahun 2000. Kita sebenarnya dah kehilangan 14.4% hutan kita dalam masa 14 tahun je, iaitu sebanyak 47,278 kaki persegi. Ukuran tu lebih besar daripada negara Denmark.

Kalau nak cakap pasal keburukan pembalakan ni, terlampau banyak sampai komputer dengan smartphone korang tu boleh hang. Tapi kitorang boleh bagitau secara simple: gas rumah hijau meningkat, kepupusan haiwan, malah Orang Asal akan kehilangan rumah dan kehidupan diorang.

Tapi, siapa pula yang untung dengan perkara ni?

Orang Asal tak senang digula-gulakan, ok?

Kalau nak tahu, dekat Sarawak ni memang banyak syarikat pembalakan, tak kisah la secara sah atau haram. Shin Yang ni pula terkenal sebagai salah sebuah syarikat pembalakan terkenal ‘Big Six’, iaitu antara enam syarikat besar yang terlibat dalam pembalakan di Long Jaik selama hampir dua dekad.

Menurut laporan daripada Bruno Manser Fonds pada tahun 2016, pembalak haram ni dikatakan dah ‘mengosongkan’ hutan hujan yang luasnya lebih daripada 40 padang bola sepak.

Kampung Long Jaik, Sarawak

Syarikat ni juga pernah dikaitkan dengan penebangan haram, pemusnahan hutan hujan, dan pencabulan hak asasi manusia. Perkara ni berlaku pada November 2015, apabila kerajaan menyiasat syarikat-syarikat yang terbabit dalam pembalakan haram, dan seorang penolong menteri di Pejabat Ketua Menteri mendedahkan yang Big Six berada di bawah siasatan.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen kata Big Six ni la yang bertanggungjawab dalam penebangan hutan secara besar-besaran. Kalau nak tahu, jumlah tanah negeri adalah 12.4 juta hektar, di mana 10 juta hektar adalah hutan. Sekarang ni daripada 10 juta hektar, cuma 1 juta hektar je kawasan hutan yang dilindungi sepenuhnya, manakala 4 juta digunakan untuk pertanian dan kegunaan lain. Jadi maknanya ada baki seluas 5 hektar hutan untuk pengeluaran balak.

“Daripada 5 juta hektar hutan untuk pengeluaran kayu, 70% telah diberikan kepada 6 syarikat. Memandangkan kawasan konsesi kayu  dikuasai oleh 6 syarikat, kawasan hutan yang didakwa telah ditebang oleh pembalak haram bukanlah masalah yang sebenar.”- Chong Chieng Jen, Pengerusi DAP Sarawak, Malay Mail

Nak tahu apa yang lebih menakutkan? Penduduk tempatan dan bekas pekerja syarikat mendakwa yang syarikat-syarikat ni siap upah gangster yang bersenjata untuk menakut-nakutkan sesiapa je yang berani kacau atau suarakan kebimbangan diorang pasal hal ni.

Dan Orang Penan di Long Jaik dah menderita selama beberapa dekad akibat penebangan hutan

Penan pada 1980-an. Imej dari Bruno Manser Fonds

Menurut Matu dalam suratnya lagi, orang Penan nampak hutan ni sebagai rumah diorang sendiri sebab di situlah diorang tinggal, memburu dan cari makanan sejak zaman nenek moyang diorang lagi. Hutan ni bukan je merupakan keperluan dalam kehidupan diorang, tapi juga adalah identiti dan tanah pusaka yang diorang ada sejak zaman-berzaman.

Kalau korang nak tahu, orang Penan terpaksa berjuang sejak tahun 60-an lagi, di mana kerajaan Malaysia (dan Indonesia) membuka kawasan hutan untuk penebangan secara komersil. Dengan permintaan global yang tinggi untuk kayu balak, syarikat-syarikat tu mula la menebang hutan macam tak ingat dunia, sampai masuk kawasan orang Penan.

Tak lama lepas tu pula, babi hutan, rusa, dan sumber makanan diorang jadi terhad. Pokok sago/sagu yang jadi makanan ruji diorang, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan yang dijadikan ubat tradisional diorang juga turut musnah. Pembalakan dah menyebabkan pencemaran air dan merosakkan tanah perkuburan diorang.

“Kompeni Shin Yang telah menjalankan aktiviti-aktiviti pembalakan secara agresif di dalam kawasan perkampungan kami. Apabila mereka mengambil kayu balak dengan traktor mereka, mereka akan meratakan keseluruhan kawasan sekeliling, memusnahkan pokok rotan dan pokok-pokok buah serta kelompok-kelompok sago kami.

Apabila mereka menjalankan aktiviti pembalakan, mereka langsung tak mempertimbangkan pokok atau sumber hutan kami. Mereka memusnahkan keseluruhan hutan di kawasan pembalakan. Mereka tak prihatin atau peduli tentang kepentingan kami. Mereka membalak dan mengambil semua sumber tanpa memberikan apa-apa kepada kami. Ini bukan hanya merumitkan kami tapi membawa impak negatif terhadap kebudayaan dan hak asasi kami.”-Matu dalam suratnya kepada Shinzo Abe.

Sebenarnya, orang Penan dah banyak kali merayu kepada pihak berkuasa dan pembalak sendiri. Diorang siap gaduh dengan pembalak lagi pasal diorang dah masuk kawasan tanah orang Penan yang diberi dalam perjanjian awal dan melanggar hak adat diorang, atau Native Customary Rights (NCR). Sejak tahun 80-an sampai sekarang, rakyat peribumi dah tubuhkan sekatan untuk menghentikan operasi pembalakan. Tapi, semuanya berakhir dengan kegagalan sampaikan ada yang tercedera, mati, dan ada juga penangkapan besar-besaran.

Imej dari weheartit.com

Diorang juga dah pergi mahkamah untuk dapatkan balik hak tanah diorang dan pernah je menang kes sebelum ni. Tapi nampaknya menang sekejap je, sebab lepas tu diorang masih terpaksa perjuangkan tanah diorang sampai ke hari ni untuk hentikan pembalakan yang berlaku.

Masa Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Taib Mahmud dulu, dia dilapor menyewakan tanah orang Penan dan NCR untuk pembalak dan pemaju, sebagai pertukaran untuk mendapatkan sokongan politik dan wang. Tapi bila Allahyarham Adenan Satem ambil alih, dia cuba untuk mengubah perkara tu dan lebih berpihak kepada Orang Asal.

“Pembalak-pembalak, termasuklah Big Six ni tumbangkan pokok macam harta pusaka mereka. Kita akan menghentikan perkara ni. Penguatkuasaan akan ditingkatkan. Jabatan Hutan tak boleh berpura-pura menjadi naif atau bodoh atau buat tak peduli bila penebangan haram berlaku. “- Adenan Satem, bekas Ketua Menteri Sarawak, Free Malaysia Today

Ucapan Tok Nan pada tahun 2015, semasa berucap waktu SPRM lancarkan Ops Gergaji, iaitu operasi untuk tindakan keras terhadap pembalak haram – lebih 1,700 balak dan 519 akaun bank dibekukan.

Pegawai SPRM meneliti pembalak haram di Ops Gergaji. Imej dari Astro Awani

Menggondolkan tanah adalah bertentangan dengan prinsip Olimpik

Penganjur London membentuk cincin Olimpik di rumput untuk mempromosikan “Go Green” untuk Olimpik. Imej dari CNN
Ironi gila kalau Jepun tak ambik tindakan lepas tahu perkara ni. Sebabnya, Jepun ada projek penanaman semula hutan di mana pihak kerajaan dan swasta kena tanam pokok di kawasan terbuka di seluruh negara diorang. Projek penanaman semula pokok ni dah bagi kebaikan kepada hutan hujan yang meningkatkan biodiversiti. Tapi disebabkan pembalakan hutan jadi kat Malaysia, diorang tak peduli ke?

Olimpik pun ada buat ikrar untuk terusmengekalkan prestasi!

“Stadium Nasional adalah sebuah bangunan yang dibina oleh Kerajaan Negara dan sepatutnya menjadi tempat kebanggaan negara. Tapi berdasarkan piawaian sosial dan alam sekitar yang rendah untuk pembinaan Olimpik, kami takut perkara ni boleh jadi skandal untuk Sukan Olimpik dan Jepun. “- Junichi Mishiba, Pengarah Eksekutif Friends of the Earth Japan, bmf.ch

Shinzo Abe muncul sebagai Super Mario di upacara penutupan Rio. Imej dari boredpanda.com

Kumpulan alam sekitar Jepun dan antarabangsa kemudiannya meminta siasatan bebas dilakukan terhadap penggunaan kayu yang dibeli dari Shin Yang.

Dalam perenggan terakhir suratnya, Matu mengakhirinya dengan rayuan:

“YAB Perdana Menteri, tolong pastikan pihak Jepun tak membeli atau menggunakan kayu-kayan yang dicuri dari kami oleh kompeni Shin Yang. Selagi pihak Jepun meneruskan penggunaan kayu-kayan ini, Shin Yang akan meneruskan aktiviti-aktiviti pembalakan di dalam hutan kami setiap hari tanpa henti. Hutan kami, pokok-pokok kami dan kayu-kayan kami akan mengalami kepupusan. Kehidupan kami juga akan jadi lebih sengsara.”-surat Matu

Jadi, kitorang pun berharap yang Jepun akan cari jalan lain dan tak terlibat dengan skandal kayu haram ni dan orang-orang Asal juga akan dapatkan hak diorang balik.