Malique Too Phat pernah dituduh plagiat sebab lirik terlalu power!

UPDATE 2/3/2018: Baru-baru ni Altimet keluarkan lagu yang bertajuk Mambang. Ramai orang kata lagu tu ditujukan khas untuk Malique supaya keluar semula. Ramai nak tengok Malique kembali semula dalam industri seni tanah air. Korang rasa lagu Altimet tu memang untuk Malique ke?


Jika sebelum ini korang pernah membaca artikel kami berkenaan band-band underground yang pernah memberi impak pada industri muzik di negara ini, dah tentu korang kenal dengan Too Phat. Malah ramai yang gelarkan Too Phat ni sebagai godfather of Malaysian Hip Hop!

Malique dan Joe Flizzow. Imej dari TheHive.Asia

Untuk artikel kali ni, kami nak ceritakan kepada korang tentang Malique, salah seorang bekas ahli Too Phat. Kalau Malique ni dah start tulis lirik lagu, fuhh, at least kena pergi beli kamus Bahasa Malaysia dulu baru boleh faham. Tak percaya? Cuba tengok beberapa bait lirik lagu terbaru yang si Malique ni tulis, kami baca beberapa kali pun naik confuse.

“…tenagamu kencanaku katanya fitrah gawai
kedanamu ketawaku dekahnya hingga sawai
berontak, dongak, lembayung ku ternampakkan
si hering menyorak, ngoyak awan canggung dan berantakan
dah diragut total, cinta resiprokal
bila dipersoal kekal equivokal…”
(Lagu Pejamkan Mata, Qarma Musiq)

Nak sebut pun lidah terbelit-belit, apa lagi nak terus faham.

Pernah dituduh plagiat sebab lagu power sangat!

Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Bapa Malique merupakan guru Bahasa Inggeris, jadi sebanyak kemahiran berbahasa itu disampaikan kepadanya.

Foto dari Giphy

Malique atau lebih selalu digelar Tuan Jeneral pernah bersekolah di MRSM Taiping dan graduate pada tahun 1994. Sejak di bangku sekolah, si Malique ni menunjukkan bakat dan potensi yang tinggi dalam penulisan dan story telling. Menurut website rasmi Qarma Musiq, Malique pernah dituduh melakukan plagiat sebab tulisan dia power sangat. Malique diminta hadir di hadapan beberapa orang panel yang terdiri daripada para guru, akhirnya diputuskan bahawa tulisan power Malique tu memang tulisan dia!

Pada tarikh 8/8/2008, Malique mengakhiri zaman bujangnya apabila berkahwin dengan Melissa Maureen Rizal dalam satu majlis yang dihadiri kaum kerabat terdekat kedua-dua mempelai. Cantik tarikh yang mereka pilih, banyak angka 8, banyak ongggg. Kini, pasangan ini telah memiliki empat orang anak.

Majlis Perkahwinan Tertutup Malique dan Melissa. Foto dari myseleberiti.com

Pertemuan dan perpisahan Joe Flizzow

Apabila Malique berpindah ke Kuala Lumpur untuk menyambung pelajaran dalam A Level, dia bertemu Johan Ishak (Joe Flizzow). Mereka berdua mula melakukan persembahan di underground gigs. Pada tahun 2000, kedua-dua jejaka ni telah menjadi artis syarikat rakaman Positive Tone. Paling syok, Too Phat dibenarkan untuk memilih sendiri konsep dan kreativiti untuk menyampaikan lagu-lagu mereka.

Too Phat. Foto dari Youtube

Sepanjang kewujudan Too Phat dalam industri muzik kita, mereka berjaya menerbitkan 6 album. Album-album yang mereka keluarkan, semuanya power-power dari segi jualan. Contohnya, album kedua mereka yang bertajuk Plan B berjaya dijual sehingga 45000 unit, dan album keempat mereka 360°, terjual sehingga 100 ribu unit! Ini membuktikan Too Phat mempunyai banyak pengikut dari luar dan dalam Malaysia.

Kini Too Phat hanyalah sekadar cebisan kenangan pada peminat, apabila Joe dan Malique memilih untuk bergerak secara solo.

Tubuhkan syarikat rakaman sendiri dan begerak solo

Setelah memilih untuk menjadi artis solo, Malique telah menubuhkan syarikat rakaman sendiri dengan nama Qarma Musiq. Album pertama yang diterbitkan Qarma Musiq adalah Album OK, menampilkan 18 lagu daripada Malique. Malangnya, pada masa tu ramai orang mahukan lagu-lagu daripada Too Phat, bukan Malique secara solo. Para peminat juga ragu kalau si Malique ni boleh rap dalam Bahasa Melayu dengan bagus. Oleh sebab keraguan-keraguan ini, album OK sangat sukar untuk terjual.

Cover Album OK. Foto dari artistxite.ie

Kebanyakan syarikat pengedar muzik tak nak menjadi pengedar untuk album OK, mereka ragu kalau album ini boleh terjual dengan laris. Mereka mahukan Too Phat, bukan Malique!

Akhirnya Malique mengambil keputusan untuk melancarkan album OK di Super Sunday Store. Pada akhir sesi pelancaran album itu, cuma 6 sahaja album yang terjual. Cuba korang bayangkan buat lagu bagai nak rak sepanjang setahun setengah, apabila tiba hari pelancaran album, cuma 6 sahaja yang terjual. Mengalir air mata darah.

Tapi Malique tak bputus asa, dia keluarkan single yang diberi nama Mantera Beradu menampilkan Datuk M. Nasir. Lagu Mantera Beradu berjaya mendapat perhatian yang meluas. Akhirnya Warner Music Malaysia setuju untuk mengedarkan album OK Malique. Selepas itu Malique menerbitkan dua lagI album, iaitu K.O (2009) dan TKO: Pejamkan Mata (20016).

Malique menang enam Anugerah Muzik

Pasti korang ingat lagu ni kan? Kami pun cukup teruja waktu tengok performance ni, tapi sedikit hampa sebab bukan Malique yang menyampaikan lagu ini. Masa tu mesti korang tertanya-tanyakan, siapa pulak RJ ni? Pada malam ini Black dan RJ berjaya memenangi anugerah persembahan terbaik. Anugerah ini merupakan antara anugerah yang paling berprestij pernah dimenangi Malique semenjak bergerak secara solo. Walaupun Malique takde time buat persembahan ni, tapi lagu ni tetap lagu dia.

Anugerah Industri Muzik ke-19. Foto dari myadha.blogspot.com

Rezeki Malique di Anugerah Industri Muzik memang murah, kalau korang nak tahu, Malique telah memenangi 6 anugerah di AIM diantara tahun 2009-2012. ENAM anugerah tu beb!

Anugerah Industri Muzik ke-19 (2012)
Lagu Hip Hop Terbaik (Lagu Aku Maafkan Kamu)

Anugerah Industri Muzik ke-17 (2010)
Lagu Hip Hop Terbaik (Lagu Cerita Kedai Kopi)
Album Hip Hop Terbaik (Album K.O The Mixtape)

Anugerah Industri Muzik ke-16 (2009)
Lagu Hip Hop Terbaik (Lagu Mantera Beradu)
Album Hip Hop Terbaik (Album OK)
Lagu English Terbaik (Lagu KL Streets)

Foto dari Giphy

Power tak? Malique juga pernah memenangi Flava Awards di Shout! Award (2012) dan anugerah best producer di Voize Awards (2009).

Lagu Bawaku pergi karya Malique diharamkan

Dekat Malaysia ni, kalau tak ada kontrovesi bukan artislah namanya, termasuklah Malique. Paling menyedihkan, pernah ada gosip yang mengatakan Malique meninggal dunia. Masa tu kecoh satu Malaysia nak cari kebenaran gosip tu, akhirnya ia dinafikan sendiri oleh Malique. Ehh, hidup mati ni bukan benda main-main, siapalah yang tak bertanggunjawab sangat tu.

Lagu Bawaku Pergi nyanyian Zizan dan Kaka ini telah ditonton lebih daripada 10.7 juta kali ketika artikel ini ditulis. Power betul lagu ni, kena haram pun tetap mendapat tontonan yang banyak. Lagu ini diharamkan untuk disiarkan di radio kerana dikatakan lirik-liriknya mengandungi unsur mengajak anak muda untuk lari dari rumah. Malique dalam kenyataan rasminya berkata;

Lagu ini dicipta dari point of view si sang isteri untuk suaminya. Sang isteri berangan-angan mahu bercuti ke Tibet/Nepal sebagai tempat berbulan madu.

Kerana itulah datangnya ayat, ‘puncak dunia kita duga’. Setiap orang yang mempunyai asas geografi, akan tahu yang puncak dunia adalah di Himalaya.

Di situ jugalah wujudnya haiwan mitos Yeti yang dikatan mendiami tanah tinggi di situ. Mengapa semua ‘pentafsir profesional’ gagal untuk mengulas tentang bait tersebut?

Pada akhir kenyataan yang Malique keluarkan, dia sempat berkata;

Don’t let the world laugh at you over another childish issue blown out of proportion. Jangan senang-senang nak haramkan sesuatu dan menutup periuk nasi orang. Saya ada soalan terakhir untuk semua. Siapa yang sebenarnya negatif?

Cover album baru Malique adalah simbol Dajjal?

Cover Album Terbaru Malique. Foto dari Pepatung

Kecoh satu Malaysia bila Malique keluarkan cover album dengan imej manusia bermata tiga. Korang rasa apa yang Malique nak sampaikan melalui cover album ni? Ramai yang kata ini merupakan gambar dajjal, dan Malique adalah pengikut dajjal yang telah jauh tersesat. Biasalah, orang kita ni, suka beri komentar sebelum memahami sesuatu, keyboard warrior lah katakan. Malique menjelaskan dalam kenyataan media beliau kepada Mstar;

“Kulit album yang mempunyai mata tiga ini mempunyai tafsiran berbeza, sebenarnya mata ketiga itu adalah mata hati. Mungkin ramai tidak tahu mesej cuba disampaikan iaitu jangan menghukum sesuatu hanya pada luaran dan permukaan.”

“Sebaliknya pandang dengan mata ketiga iaitu mata hati untuk menyelami dasarnya dan memahami isinya.”

Malique, Tuan Jeneral Agung

Korang mesti setuju kalau kami kata Malique ni memang legend. Boleh dikatakan satu dalam seribu. Kalau kita mendengar lirik-lirik lagu yang ada pada industri muzik kita sekarang, kebanyakan terlalu straight forward. Kalau korang minta adik korang yang masih sekolah rendah tafsirkan lirik kebanyakan lagu pada hari ini, pasti mereka dapat. Tapi kalau kita bawakan lagu-lagu Malique, cuma sasterawan negara je agaknya yang mampu.

Kalau korang nak tahu juga, Malique memang terkenal di rantau ini. Peminat-peminatnya ada di Singapura, Indonesia dan Brunei. Ramai yang ingin lihat semula kemunculan Malique di kaca TV, sebab sudah terlalu lama Malique tak muncul di mana-mana media. Mesti epik kalau satu hari nanti Malique buat comeback. Kalau korang berniat nak menyokong Malique, mari kita ramai-ramai beli album terbaru beliau. Kami akhiri artikel kali ini dengan lagu beliau dengan Dayang Nurfaizah yang bertajuk Pejamkan Mata, bolehlah korang sediakan kamus siap-siap!

About Rahman Imuda 10 Articles
Chill. Tapi jangan terlalu.