- 29Share sekarang!
- Email0
- Facebook29
- Share
Bola sepak tempatan agak suram tahun ini dek kerana pandemik Covid-19, tapi ia semakin meriah selepas penonton mula diberi kebenaran untuk masuk ke stadium. Mana taknya, dulu kita semua kena hadap restriction kerajaan di mana apa jenis perhimpunan yang melibatkan orang ramai tidak dibenarkan. Tapi disebalik kemeriahan Liga Malaysia ni, kerja-kerja dibelakang tabir sangatlah rancak!
Kerja belakang tabir apa je tu? Apa yang kitorang maksudkan adalah rumours tentang perpindahan pemain dalam Liga Malaysia sendiri, terdapat pelbagai pendapat tentang masa depan pemain-pemain pada musim yang akan datang. Even nama yang berprofil tinggi juga ada yang sudah tinggalkan pasukan lama mereka tetapi masih belum tahu status pasukan barunya.
Seperti Syahmi Safari, seorang pemain muda tempatan yang bermain di bek kanan. Walaupun dia adalah pemain muda, dia boleh dikira sebagai star dalam Malaysia ni tau. Ini selepas persembahannya yang sangat bagus selama bermain dengan Selangor, tapi dukacitanya sudah confirm yang Syahmi akan meninggalkan Selangor secara persetujuan bersama.
Yang menjadi misterinya, ke mana hala tuju Syahmi selepas ni? Ada yang kata dia akan pergi ke JDT, ini disebabkan beberapa kenyataan pemilik JDT sendiri di sosial medianya yang memang selalu bercakap tentang Selangor itu sendiri. Tapi tak terkejut pun kalau dia ke JDT, ini disebabkan dah ramai sebenarnya pemain bintang Selangor ‘dicuri’ oleh JDT. Antaranya adalah…
1. Safiq Rahim, bekas kapten marvel Gergasi Merah
Selepas sahaja pasukan Johor telah di rebrand menjadi JDT, mereka mengambil tindakan untuk memborong semua pemain bintang tempatan di seluruh negara. Boleh dikatakan pemain Selangor antara yang paling ramai masuk JDT ketika itu dan nama pertama yang kitorang nak ketengahkan adalah bekas kapten Selangor sendiri iaitu Safiq Rahim atau digelar sebagai Copot.
Siapa je tak kenal Safiq Rahim ni, antara wira negara ketika Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki pada 2010, seorang jeneral di bahagian tengah yang sangat konsisten dalam permainannya. Masa dia keluar daripada Selangor untuk ke JDT, ramai yang mengatakan dia pergi sebabkan duit. Ye lah, pemilik JDT tu kaya kot sampai boleh borong semua pemain bintang.
Tapi peminat Selangor kena ingat juga, pada masa tu management Selangor ni agak teruk sikit. Mungkin disebabkan itu bekas kapten merah kuning ni berhijrah ke selatan tanah air. Lagi pun Safiq Rahim sendiri sudah memberikan segalanya kepada Selangor, jadi tak salah pun kalau dia mencuba untuk dapatkan pengalaman baharu kan.
2. Amri Yahyah, legenda merah kuning yang masih steady beraksi
Tidak lama selepas pemergian Safiq Rahim ke JDT, Amri Yahyah juga telah mengikut jejak rakan sepasukannya itu ke selatan. Ia merupakan tamparan yang hebat kepada penyokong-penyokong Selangor selepas individu yang dikatakan sebagai legenda sejati Selangor selepas arwah Mokhtar Dahari pergi meninggalkan pasukan begitu je.
Masa ni memang skuad JDT majoriti dibarisi oleh pemain-pemain kebangsaan, tu yang kitorang cakap dorang borong pemain. Yang membuatkan ramai tidak berpuas hati lagi adalah semasa Amri Yahyah menjaringkan gol melawan Selangor masa menyarung jersi JDT, dia bertindak meraikan gol itu sekaligus menghilangkan respect penyokong kepadanya.
Mana tak marahnya, dia naik ke puncak kariernya bersama dengan Selangor. Mungkin at least boleh lah tunjuk rasa hormat kepada pasukan lama bila dah score tu, pemain terbaik dunia Cristiano Ronaldo pun tidak meraikan golnya ketika menentang Manchester United suatu ketika dulu.
3. S. Kunanlan, pemain sayap kanan yang telah diturunkan pangkat
Bila nak bercerita tentang S. Kunanlan ni, mesti ramai akan teringat akan skuad K. Rajagopal di mana dia terkenal dalam membawa masuk ramai pemain-pemain berbangsa india yang sangat berbakat! Lagi-lagi S. Kunanlan ni, dia main macam lipas kudung kot, laju nak mati dia lari. Dia merupakan pemain sayap kanan semasa bermain di Selangor, tapi…
Dia terpaksa turun pangkat setelah berhijrah ke pasukan Harimau Selatan, elok-elok bermain di sayap kanan, dia diturunkan untuk bermain di posisi bek kanan pula. Tapi perkara tu tidak menjejaskan prestasinya, cuma kehilangan Kunanlan amat dirasai di Selangor apabila sampai sekarang tidak ada lagi pemain sayap yang berkaliber seperti dia.
Tapi nak buat macam mana, offer di JDT baik kan. Dorang sebagai pemain nak juga cari makan lebih, dah ni pun memang pekerjaan dorang.
4. Azrif Nasrulhaq, bakat muda yang tidak dijaga oleh Selangor
Mungkin ada yang tak kenal sangat dengan Azrif Nasrulhaq ni, sebab sekarang pun nama dia tak ada lah popular sangat. Yang pasti dia pernah ‘meletup’ masa zaman Irfan Bakti memegang Selangor, cakap je apa kelebihan yang dia tak ada, dia ni laju, kuat, teknikal yang bagus, semua dia ada. Cuma satu je dia tak ada, loyalty.
Yang sedihnya, apabila sampainya dia di JDT. Minit permainannya makin kurang, paling menyedihkan adalah apabila dia mengalami kecederaan jangka panjang sampai menjejaskan prestasinya sampailah sekarang. Kalau nak diikutkan, JDT dah ada ramai pemain bek kanan seperti S. Kunanlan, Matthew Davies dan Azrif Nasrulhaq ni, jadi kenapa dorang nak ambil Syahmi Safari?
Mungkin persoalan tu korang boleh jawab sendiri. Fun Fact, perlawanan terakhir Azrif bersama Selangor adalah menentang JDT dalam Piala Sumbangsih 2016, dia juga antara punca Selangor kalah dengan JDT selepas tidak berjaya menyempurnakan sepakan penalti.
5. Hazwan Bakri, penyerang berbisa yang sudah kehilangan taring
Anak kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan ini pernah menjadi antara penyerang terbaik yang Malaysia ada! Pencapaian terbaiknya adalah apabila membantu Selangor menjayakan ‘Misi 33’ iaitu dengan memenangi Piala Malaysia yang ke-33 untuk pasukan Selangor. Dia siap menjadi Man of The Match kot masa perlawanan akhir tu.
Ada yang menggelar Hazwan Bakri ni sebagai Gareth Bale Malaysia disebabkan kaki kirinya yang sangat berbisa, namun itu semua adalah kisah silam sahaja. Di JDT, Hazwan Bakri bergelut dengan minit permainan yang sedikit disebabkan kehadiran penyerang import yang JDT beli. Ia diburukkan lagi dengan kecederaan yang dialaminya, perkara itu serba-sedikit telah menjejaskan prestasinya.
Disebabkan kurang minit permainan, masalah kecederaan dan prestasi yang menurun, Hazwan Bakri tidak lagi kerap dipanggil membarisi pasukan Harimau Malaya. Tidak seperti dia bersama dengan Selangor di mana dia antara pilihan utama untuk mengetuai jentera serangan Malaysia.
Lumrah kehidupan pemain bola sepak untuk berpindah-randah
Ia menjadi lumrah untuk seorang pemain bola untuk sentiasa berpindah dari kelab ke kelab yang lain, semuanya untuk mencari angin yang baru dalam karier mereka. Atau mungkin ia adalah usaha untuk mengejar piala menerusi kelab yang lebih baik, kita sebagai peminat tidak perlu pun melatah sangat.
Ini kerana, pemain bersilih ganti. Jika ada bintang yang meninggalkan pasukan, pasti ada bintang baru yang akan muncul. Yang pasti, marilah kita semua rancakkan Liga Malaysia. Siapa je lagi yang nak sokong kalau bukan kita.
- 29Share sekarang!
- Email0
- Facebook29
- Share