MySalam? Kasih Suri? Kitorang ringkaskan bantuan Bajet 2022 supaya korang tak pening

Kalau korang tengok pengumuman Bajet dalam beberapa tahun ni, korang mungkin akan perasan sesuatu — nama-nama inisiatif diorang sangatlah… kreatif. Sebagai contoh:

  1. MySalam
  2. Kasih Suri Keluarga Malaysia
  3. Skim Semarak Niaga

Walaupun nama-nama tu agak menarik, tapi mungkin sukar untuk kita tahu apa yang sebenarnya ditawarkan. Contohya, kalau Shop Malaysia Online mestilah tentang membeli-belah dalam talian, tapi kalau Kasih Suri Keluarga Malaysia, apa benda pula?

Imej dari Reddit.

Jadi, kitorang sediakan panduan ringkas untuk tolong korang fahami apa fungsi sebenar inisiatif-inisiatif ni, dan supaya korang boleh tengok sendiri bantuan mana yang ada kena mengena dengan korang.

1. Banyak betul inisiatif untuk Keluarga Malaysia

Walaupun dah lapuk, tapi kami nak guna juga meme ni, lol. Imej dari Imgflip.

Korang mungkin perasan banyak inisiatif Bajet 2022 yang ada nama “Keluarga Malaysia”. Nama je macam sama, tapi tak serupa ye. Jom tengok sikit:

Bantuan Keluarga Malaysia

Secara ringkasnya, Bantuan Keluarga Malaysia ni adalah versi baru Bantuan Prihatin Rakyat, serta beberapa penambahbaikan. Skim ni menyediakan bantuan tunai untuk keluarga dan orang bujang, dengan bantuan tambahan untuk ibubapa tunggal dan warga emas.

Korang boleh dapatkan maklumat lanjut dan semak sama ada korang layak melalui pautan LHDN ni. Kalau korang layak, tapi nama korang takde kat situ, korang boleh buat permohonan antara 1 Januari – 31 Januari 2022.

Program Riuh Keluarga Malaysia

Program Riuh pula khusus untuk industri seni kreatif Malaysia. Kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk mempercepat pemulihan sektor kreatif, seni dan budaya, selain mewujudkan lebih 5,000 pekerjaan dalam industri tu.

PerantiSiswa Keluarga Malaysia

Untuk membantu pelajar IPT daripada golongan B40 dalam pembelajaran, kerajaan dan syarikat telekomunikasi terpilih akan bekerjasama untuk menyediakan tablet percuma kepada 600,000 mahasiswa.

Permohonan dirancang dibuka pada suku kedua 2022 (April – Jun 2022), jadi pelajar yang berkenaan boleh memohon dalam tempoh tu.

Yayasan Keluarga Malaysia

Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul, kira-kira 4,700 kanak-kanak menjadi anak yatim selepas ibubapa mereka meninggal dunia akibat dijangkiti virus C-19.  Yayasan Keluarga Malaysia ditubuhkan untuk menjaga mereka dan memastikan mereka mendapat pendidikan.

JaminKerja Keluarga Malaysia

JaminKerja Keluarga Malaysia adalah langkah kerajaan untuk menjana 600,000 peluang pekerjaan pada tahun 2022 bagi mengurangkan masalah pengangguran yang kita alami.

Menerusi inisiatif ni, kerajaan akan menanggung 20% sehingga 40% daripada gaji pekerja baru untuk menggalakkan pihak syarikat mengambil mereka sebagai pekerja; terutama pekerja daripada kumpulan sasaran tertentu seperti penganggur, OKU, dan ibu tunggal  (Info selanjutnya di sini).

Kasih Suri Keluarga Malaysia

Secara ringkasnya, ni adalah inisiatif yang memberi suri rumah dan balu jaringan keselamatan kewangan yang sama seperti pekerja melalui KWSP dan PERKESO. Dengan mencarum sekurang-kurangnya RM5 sebulan, diorang layak mendapat manfaat seperti simpanan tambahan RM480/tahun ke dalam akaun diorang, dividen KWSP, dan bantuan kewangan sekiranya berlaku hilang upaya dan kematian.

Boleh dikatakan, menjadi suri rumah ni pun patut dikira sebagai pekerjaan sepenuh masa. (Info selanjutnya di sini).

2. MySalam sebenarnya insurans kesihatan percuma

Insurans percuma? Imej dari Galen Centre.

Kalau fikir balik, perkataan “salam” ni dalam Bahasa Arab sebenarnya bermaksud “selamat” atau “damai”. Jadi nama mySalam ni memang padanlah dengan fungsinya: memberi perlindungan takaful kepada penerima dan keluarga penerima Bantuan Keluarga Malaysia.

Bagaimana ia berfungsi? Sebaik sahaja penerima yang layak didiagnosis dengan salah satu daripada 45 penyakit kritikal seperti Alzheimer, kanser, atau kegagalan buah pinggang; mereka akan menerima bayaran tunai RM8,000, dan juga RM50 sehari (maksimum RM700 setahun) untuk menggantikan pendapatan mereka sekiranya mereka masuk hospital. Tapi mesti masuk hospital kerajaan, hospital tentera atau hospital universiti sahaja, bukan hospital swasta.

Korang boleh menyemak kelayakan melalui laman web MySalam. Sekiranya korang ialah penerima BPR sebelum ni tapi belum mempunyai MySalam, korang boleh menghantar e-mel kepada [email protected] atau menghubungi talian hotline mereka di 1-300 888-938.

3. Boleh dapatkan insurans percuma dengan Baucar Perlindungan Tenang

Imej dari MOF.

Baucar Perlindungan Tenang ni adalah baucar yang boleh digunakan untuk membeli pelan insurans/takaful daripada syarikat pengendali insurans. Sebelum ni, baucar ni bernilai RM50, tapi sekarang dinaikkan kepada RM75.

Dengan baucar ni, korang boleh beli pelan insurans untuk setahun terus, contohnya seperti pelan di bawah Allianz yang berharga kurang dari RM50 setahun.

Bukan tu saja, mulai tahun depan, Baucar Perlindungan Tenang juga boleh digunakan untuk membeli insurans motosikal komprehensif bagi motosikal 150cc dan ke bawah. Penerima BPR layak untuk menerima baucar ni, dan korang boleh semak kelayakan di laman web MyPTV.

4. MyDIGITAL untuk membangunkan teknologi digital seperti 5G

Imej dari MOF.

Sebenarnya MyDIGITAL bukanlah satu program tunggal, tapi adalah pelan hala tuju negara dalam membangunkan ekonomi digital negara kita. Berdasarkan dokumen ni, kitorang ringkaskan beberapa info penting mengenai MyDIGITAL:

  1. Meningkatkan infrastruktur yang relevan untuk menggalakkan penggunaan penyimpanan awan (cloud storage) di seluruh Malaysia.
  2. Melancarkan 5G dan menjadikannya berpatutan supaya boleh diakses oleh semua orang.
  3. Meningkatkan usaha dalam menjamin keselamatan siber secara umum.
Imej dari MOF.

Selain MyDIGITAL, mereka yang berumur antara 18-20 tahun, dan juga pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi boleh mendapat RM150 melalui e-dompet terpilih di bawah Program e-Start. Info lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.

5. MySTEP menawarkan penempatan pekerjaan jangka pendek

Imej dari MOF.

MySTEP adalah program yang memberikan latihan & penempatan pekerjaan jangka pendek. Ia ditujukan khas kepada fresh graduate dan mereka yang menganggur.

Melalui program ni, korang boleh mendapatkan pekerjaan sementara di sektor awam dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti PETRONAS, PNB, KWSP, dan Khazanah. Pekerjaan sementara ni juga menawarkan gaji, cuti sakit, cuti rehat, dan caruman KWSP & PERKESO.

Korang boleh menyemak syarat kelayakan di sini.

6. Skim Semarak Niaga memberi pinjaman mudah kepada perniagaan kecil

Imej dari MOT.

Skim ni bertujuan untuk membantu usahawan perniagaan mikro, kecil dan sederhana yang perlu meminjam wang untuk bisnes mereka.

Apa yang membezakannya daripada pinjaman bank biasa adalah kadar faedah yang sangat rendah (serendah 0%), beserta moratorium 6 – 12 bulan, dan syarat kelayakan yang sangat mudah. Pinjaman ni ditawarkan melalui agensi seperti TEKUN, BSN dan Agrobank.

Apa yang lebih menarik, terdapat juga kaedah pembiayaan alternatif seperti equity crowdfunding dan peer-to-peer financing.

Banyak bebenor nama dia ek?

Asal ada projek baru je, mesti keluar nama-nama baru kan? Tapi, ada sebabnya juga. Senarai inisiatif bantuan kerajaan semakin berkembang, jadi mereka perlu lah nama baru apabila skim baru muncul, atau menjenamakan semula skim sedia ada. Dan nama baru ni juga boleh membantu korang meng-Google untuk dapat maklumat lanjut (macam kitorang yang cari semua maklumat ni dari Encik Google).

Untuk Belanjawan 2022, kitorang difahamkan yang MOF meminta cadangan daripada orang ramai, dan bekerjasama dengan 80 kumpulan fokus, NGO dan persatuan untuk mengumpulkan hampir 50,000 cadangan, sekaligus menjadikannya belanjawan terbesar dan paling komprehensif yang pernah dibentangkan.

Kalau nak tahu manfaat apa lagi yang sesuai dengan korang, korang boleh checkout laman web Manfaat Bajet 2022 di sini.