- 503Share sekarang!
- Email1
- Facebook502
- Share
Tidak dinafikan lagi, genre muzik Punk seringkali dikaitkan dengan sekumpulan orang yang mendengar atau menyanyikan lagu melodi pantas, gaya nyanyian yang keras dan mempunyai unsur memberontak. Mereka juga seringkali dikaitkan dengan orang-orang yang mengamalkan gejala yang tidak sihat seperti pengambilan dadah dan alkohol serta seks bebas.
Namun, sebenarnya di sebalik genre Punk, terdapat satu gerakan Hardcore Punk yang bertentangan dengan gaya hidup Punk yang tidak bermoral. Segalanya bermula dari sebuah lagu yang berjudul straight edge, yang kemudiannya berubah menjadi nama untuk gerakan itu. Ya benar, nama gerakan tersebut ialah straight edge dan mari kami bongkarkan fakta-fakta menarik tentangnya.
Kumpulan Minor Threat merupakan pemacu gerakan straight edge
Jadi sebenarnya straight edge ni apa? Baiklah, straight edge ialah sebuah gerakan yang membawa genre Hardcore Punk dan memegang satu aspirasi iaitu tidak minum arak bahkan mengambil dadah. Mereka ini diibaratkan mendengar muzik yang keras tetapi bukan di bawah pengaruh gejala yang tidak sihat. Ada dikalangan mereka juga yang mengamalkan gaya hidup sebagai penggemar sayur (vegeterian).
Menjelang 1981, sebuah kumpulan Hardcore Punk iaitu Minor Threat dari Washington, D.C, Amerika Syarikat telah melancarkan lagu yang berjudul “Straight Edge“. Di dalam lagu ini, terdapat satu bahagian lirik yang berkait rapat dengan straight edge:
“I’ve got the straight edge!” – lirik lagu Straight Edge.
Apa kata korang semua layan lagu ini tapi hati-hati melodinya amat pantas:
Jadi, lagu “Straight Edge” telah menyebabkan Ian MacKaye menubuhkan gerakan straight edge. Hal ini kerana gerakan ini ingin menentang ideologi punk iaitu “hidup cepat, mati muda” (live fast, die young) serta penyalahgunaan dadah dan alkohol. Info tambahan, Ian MacKaye merupakan ahli kumpulan Fugazi dan pemilik Dischord Records.
“Saya melihat penyalahgunaan bahan sebagai aktiviti yang sangat “mainstream” – Ian MacKaye, Vokalis Minor Threat, dipetik dari The Fix.
Pada mulanya, gerakan ini mendapat tentangan dan dianggap sebagai bahan jenak, tetapi lama-kelamaan ramai kumpulan Hardcore Punk yang mengamalkan hidup straight edge antaranya Youth of Today, Earth Crisis, Gorilla Biscuits dan 7 Seconds. Beberapa tahun kemudian, gerakan straight edge telah tersebar di seluruh dunia. Pada 17 Oktober 1999, tarikh ini dijadikan sebagai Hari Straight Edge (National Edge Day) bahkan ia akan disambut setiap tahun.
Di negara Brazil, konsep straight edge dapat diimplementasikan dalam budaya mereka melalui konsert yang dikenali sebagai “Verdurada”. Jadi, apakah itu Verdurada? Ia merupakan sebuah konsert yang dijalankan setiap tahun di São Paulo, Brazil, sejak tahun 1996. Konsert ini akan dibarisi oleh ramai kumpulan Hardcore Punk dan bukan itu sahaja, ceramah, bengkel, perbahasan, pameran video dan seni kandungan politik diadakan.
Tanda pangkah sebagai simbol identiti dalam straight edge
Salah satu simbol utama straight edge ialah tanda pangkah. “straight edger” (definisi bagi orang yang mengamalkan hidup straight edge) akan melukis tanda pangkah di bahagian belakang tangan mereka dengan pen penanda sebelum pergi ke gig tetapi ada juga yang membuat tatu pangkah di badan mereka. Mereka juga akan memakai baju, jaket atau aksesori yang mempunyai imej tanda pangkah.
Menurut Robert Wood iaitu Penulis buku “Straightedge Youth: Complexity and Contradictions of a Subculture“, simbol tanda pangkah digunakan untuk mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
“Tanda pangkah merupakan cara pemuda straightedger mengenali satu sama lain dan bagaimana mereka membezakan diri mereka dari orang luar. Lebih-lebih lagi, tanda pangkah adalah alat pengenalan diri sejauh ia melambangkan komitmen dan dedikasi seseorang terhadap falsafah dan gaya hidup.” – Robert Wood, Penulis, dipetik dari Straightedge Youth: Complexity and Contradictions of a Subculture.
Seiring dengan konsep tanda pangkah, ia bukan sahaja digunakan kepada straight edger sahaja tetapi ada juga yang menggunakan simbol tanda pangkah untuk menentang penggunaan alkohol. Penggunaan simbol tanda pangkah ini mula berkembang selepas pelancaran album Minor Disturbance dari kumpulan Teen Idles. Hal ini kerana gambar albumnya yang memaparkan penumbuk bersilang yang mempunyai tanda pangkah di tangan.
Kewujudan tanda pangkah digunakan untuk membezakan diri mereka dari budaya arus perdana. Pada asalnya sebagai simbol bahan toksik, tanda pangkah telah diambil alih dan diubah oleh straight edger. Ada juga simbol tanda pangkah tiga kali ganda digunakan untuk menghuraikan jangan melakukan tiga benda iaitu “jangan merokok, jangan minum arak dan jangan melakukan seks bebas.” dan sebenarnya ini merupakan rangkap lirik dari lagu “Out of Step”
Gerakan straight edge di Malaysia yang menerima impak positif
Kalau nak lihat bagaimana evolusi gerakan straight edge di Malaysia, mungkin kita boleh fokus kepada sejarah kumpulan Second Combat. Baiklah, sebenarnya penubuhan Second Combat ini bermula dari vokalisnya, Khai Aziz atau nama panggilannya Ein. Pada mulanya, beliau mula menjejakkan diri dalam dunia Punk kerana terpesona dengan abangnya yang mempunyai kumpulan Punk. Jadi, pada awalnya beliau menubuhkan kumpulan yang diberi nama Pistons dan kemudian Second Combat.
Namun, nasib tidak menyebelahi Khai Aziz kerana pada waktu itu abang beliau selalu balik mabuk dan mempunyai pengaruh dadah. Bukan itu sahaja, ahli kumpulannya juga mempunyai sejarah buruk mengenai dadah dalam keluarga mereka.
Selepas itu, Khai Aziz diperkenalkan tentang straight edge oleh sepupunya sendiri dan sejak itu mereka telah mengembangkan ideologi straight edge di seluruh Malaysia. Apa yang lebih menarik, mereka dapat melakukan persembahan di luar negara.
(Kesemua info diatas dipetik dari dokumentari “Aku Anak Punk“)
“Tidak perlu merokok, tidak perlu mabuk dan tidak perlu hisap dadah pun kita boleh jadi Punk Rocker” -Khai Aziz, Vokalis Second Combat, dipetik dari BBC News.
Sebenarnya gerakan straight edge ni juga telah mendorong Khai Aziz untuk menubuhkan NGO yang diberi nama Drug Free Youth Association (DFYA). Tujuan DFYA ditubuhkan adalah untuk mendidik dan menyebarkan kesedaran kepada orang muda mengenai bahaya dadah melalui muzik, seni dan sukan lasak. Bukan itu sahaja, tujuan mereka juga untuk mendedahkan budak-budak bahawa hidup bebas tanpa dadah lagi seronok berbanding mabuk di aktiviti sosial.
“Saya menggunakan pemerkasaan dan bukannya paksaan dengan budak-budak. Saya bukan sahaja menyebarkan mesej anti-dadah tetapi juga mesej mengenai kemanusiaan dan kasih sayang. ” – Khai Aziz, Vokalis Second Combat dan Pengasas DFYA, dipetik dari Drug-Free World.
DFYA ini telah memberikan banyak impak positif kepada budak-budak. Khai Aziz bersama DFYA telah mengembara ke seluruh Malaysia dengan memberikan ceramah bahaya dadah serta menggunakan platform muzik untuk melibatkan diri budak-budak dengan aktiviti sihat.
Straight edge berjaya memecahkan tembok stereotaip
Jelas sekali kita mesti akan kaitkan muzik ganas seperti metal atau punk dengan gejala tidak sihat seperti pengambilan dadah dan alkohol. Namun, ternyata kita dapat lihat bahawa Straight edge yang memecahkan tembok stereotaip itu. Kenapa kita kena kaitkan dengan gejala sosial yang tidak elok sedangkan kita boleh amalkan gaya hidup bebas tanpa dadah dan alkohol sambil mendengar muzik ganas seperti Hardcore Punk.
Menurut ahli kumpula Earth Crisis (kumpulan muzik Straight edge), Karl Buechner, walaupun straight edge sudah lama bertapak di muka bumi ini, tetapi pihak media mahupun pihak polis masih mempunyai salah faham terhadap straight edge.
“Asal ada kamera dan mikrofon je mesti akan dianggap ada sesuatu yang tidak kena.”Apabila keganasan berlaku, ia lebih kerap dilakukan oleh peminat bukan straight edge yang menentang gaya hidup sihat. Namun, masih ada ketegangan dalam gerakan straight edge mengenai bagaimana mempertahankan diri mereka.” – Karl Buechner, ahli kumpulan Earth Crisis, dipetik dari Solutions Recovery.
Penciptaan stereotaip terhadap gerakan straight edge haruslah dihentikan dan jika tidak tahu kita boleh buat rujukan dahulu. Jadi, apa pendapat korang mengenai gerakan straight edge ini sama ada di Malaysia mahupun luar negara?
- 503Share sekarang!
- Email1
- Facebook502
- Share