Sejarah & Politik

Kisah perisik penjajah yang masuk ke Mekah dan menyamar ulama untuk menakluk Aceh

Seperti mana yang tercatat dalam sejarah dan akan terus kekal sebagai ingatan kita semua, rantau Nusantara ini pernah dijajah kuasa luar, khususnya oleh British (di Tanah Melayu) dan Belanda (di Indonesia). Dalam usaha penaklukan itu, pelbagai cara dan taktik digunakan untuk merampas kedaulatan tanah-tanah bertuah ini.

Di Indonesia, antara wilayah yang begitu sukar untuk ditawan oleh Belanda adalah Aceh – sebuah wilayah yang rakyatnya berterusan menentang kemaraan Belanda. Maka, mahu atau pun tidak – Aceh ketika itu dah mencabar keangkuhan penjajah Belanda.

Masjid Raya Baiturrahman, Aceh sekitar tahun 1930-an. Imej dari Popperfoto.

Oleh itu, sebagai usaha untuk menawan Aceh, pihak Belanda dah menghantar – Christiaan Snouck Hurgronje, seorang bijak pandai kelahiran negara itu yang dipercayai dapat membantu mengenal pasti kelemahan Aceh. Sebabnya, sosok ini cukup unik kerana…

Fasih berbahasa Arab, bersunat dan berjaya berguru dengan ulama di Mekah

Snouck Hurgronje menguasai hampir 16 bahasa. Imej dari The Jakarta Post.

Dilahirkan pada 8 Februari 1857 di Tholen, Belanda, Snouck Hurgronje mula masuk ke Universiti Leiden pada tahun 1874 dan kemudiannya menerima gelaran profesor tujuh tahun kemudian. Snouck seorang yang sangat unik, sebab dia cukup tekun mengkaji Islam dan begitu fasih berbahasa Arab.

Menjelang tahun 1883, Gunung Krakatau telah meletus sehingga ada yang mengatakan ia sebagai tanda kemurkaan Allah SWT. Hal ni kemudiannya mendapat perhatian pemerintah Belanda, yang seterusnya nak tahu lebih lanjut pasal Islam. Konsul Belanda di Jeddah masa itu, Johan Kruyt – dah terbaca penulisan Snouck dan dapati dia ni cukup bagus untuk diberikan tugas berkenaan.

Makanya, dihantarlah Snouck ke tanah suci Mekah tempat yang haram bagi bukan Islam masuk, tapi menyimpan segala khazanah Islam sebagai tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, jadilah Snouck sebagai ‘mualaf’ yang bersunat dan mata-mata untuk negaranya di kota suci umat Islam itu. Pada 1885, Snouck menukar identitinya sebagai “Abd al-Ghaffar al-Laydini”.

“Snouck melafalkan kalimat syahadat di muka kadi (hakim) Isma’il Agha. Tiga kali dia menyuarakannya dengan keras untuk meyakinkan kadi.” – Dipetik dari Historia.

Snouck ketika berada di Mekah pada tahun 1885. Imej dari Wikipedia.

Sesampainya di Mekah, Snouck melihat keindahan Kaabah dan meminum air zam-zam – sambil menghantar sebotol air itu ke Leiden untuk rakannya seorang ahli kimia kaji. Malah, Snouck turut berguru dengan ramai ulama di sana, selain bergaul dengan penduduk Nusantara yang tinggal di Mekah. Dia juga sempat berjumpa dengan ulama besar Mekah, Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, selain berkahwin dengan seorang wanita dari Jeddah.

“…selama di Arab, Snouck bekerja keras menuntut ilmu pengetahuan agama Islam. Hampir semua kitab tafsir seperti Tafsir al-Baidhawi, Tafsir al-Bajuri, Al-Ikna’ dan kitab Tuhfah dipelajari sungguh-sungguh dan mendalam…” – Dipetik dari TRIBUNnews.com

Dua tahu kemudian, Snouck kembali ke negaranya dan menerbitkan buku bertajuk ‘Mekka‘ yang menjadi cukup popular dalam dunia intelektual Eropah. Akhbar Inggeris,  Pall Mall Gazette menggelarkannya sebagai a doughty Dutchman”. Tapi dalam masa sama, pemerintah Belanda masih bergelut dengan usaha menawan Aceh, dan ketika itulah Snouck dipelawa untuk dikirimkan ke Aceh sebagai mata-mata juga.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Dilantik sebagai pemeriksa pendidikan Islam dan dianggap ulama oleh masyarakat Aceh

Gambar orang Aceh berada di Mekah, yang diambil sendiri oleh Snouck pada 1884.

Sesampainya di Indonesia, Snouck dilantik oleh Belanda sebagai peneliti pendidikan Islam di Buitenzorg (Bogor) dan Guru Besar Bahasa Arab di Batavia (Jakarta). Pada tahun 1890, Snouck bernikah pula dengan seorang anak bangsawan pribumi untuk mendalami lagi pengetahuan adat dan budaya masyarakat tempatan.

Dengan bermodalkan kefasihan berbahasa Melayu-Aceh dan pemahamannya yang sangat baik tentang Islam, Snouck masuk ke Aceh yang ketika itu masih dilanda peperangan. Dia menyamar sebagai Haji Abdul Ghaffar, sehingga berjaya dianggap sebagai ulama dan mempunyai hubungan baik dengan para tokoh adat dan ulama Aceh.

Selama setengah tahun tingal di Aceh, Snouck akhirnya tahu tentang punca sebenar kenapa wilayah itu cukup sukar untuk ditawan. Menurut Snouck, semuanya berpunca kerana pengaruh Islam dalam masyarakat, serta peranan ulama dan pembesar Aceh yang mengorbarkan semangat menentang penjajahan. Maka, cara terbaik untuk mematahkan semangat adalah dengan taktik devide et impera (politik memecah belah). Laporannya ni kemudiannya dibukukan dengan tajuk ‘De Atjeher’.

“…para pemuka agama dalam masyarakat Aceh hendaknya dapat ditumpas agar pengaruh Islam menjadi tipis di Aceh. Dengan demikian para Uleebalang (pembesar) menurut Snouck akan mudah diajak bersekutu dengan Belanda.” – Nab Bahany As, budayawan Aceh, dipetik dari TRIBUNnews.com

Jemaah haji dari Palembang yang dalam perjalanan ke Mekah, gambar ini juga diambil oleh Snouck pada tahun 1884. Imej dari Tropenmuseum.

Seterusnya pada 1898, Snouck dilantik sebagai penasihat rasmi pemerintah kolonial dan menulis sekitar 1,400 makalah tentang Aceh dan Islam di Indonesia. Berganjak ke tahun 1903, Belanda berjaya menakluk Aceh dan dia ditawarkan jawatan Gabenor Aceh. Tapi Snouck menolak sebab tak berpuas hati dengan permainan politik pegawai Belanda dan kecewa kerana saranannya supaya Aceh tak ditakluk dengan kekerasan, tak diterima.

Kembali ke Belanda dan menjadi Rektor Universiti Leiden

Snouck ketika mengiringi Putera al-Saud yang melawat Universiti Leiden pada 1935. Imej dari Leiden University Library.

Setelah kembali ke Belanda, Snouck mula fokus dalam dunia akademik. Dia selepas itu dilantik sebagai Rektor Universiti Leiden.

Namun tentang keislaman Snouck, ia masih menjadi kontroversi dan perdebatan sehingga ke hari ini. Ini kerana, muncul persoalan sama ada dia benar-benar Islam atau hanya penyamar seperti yang didakwa kebanyakan pihak. Bagi sejarawan orientalis, Pieter Sjoerd van Koningsveld – Snouck hanya “menggunakan Islam untuk sementara” sebagai convenient instrument untuk menjalankan tugasnya.

Malah, sehingga dia mengghembuskan nafas terakhir pada 16 Julai 1936, Snouck tak pernah mengungkapkan dengan jelas sama ada dia benar-benar Islam atau tidak. Maka, sehingga kini terdapat pelbagai tafsiran tentang keislaman Snouck. Biarlah itu menjadi urusannya dengan Allah SWT yang maha mengetahui. Apa yang pasti, sejarah telah mencatatkan Snouck dengan pelbagai gelaran, sama ada seorang – ilmuan, mata-mata mahupun petualang.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend