Berasal dari pedagang Cina? Ini antara kisah menarik dan unik mengenai laksa

Tidak perlu hurai lebih panjang lagi kerana kita semua sudah tahu bahawa terdapat satu makanan yang berasal dari Malaysia telah dinobatkan sebagai makanan ke-7 terbaik di dunia iaitu Laksa Penang! Walaupun bukan di tempat yang pertama tetapi kita masih berbangga kerana makanan kita berada di dalam lingkungan sepuluh teratas yang dikenali seluruh dunia.

Tidak percaya? Ini buktinya. Imej dari CNN.

Sebut sahaja pasal Laksa Penang, dalam kepala otak kita mesti terfikir Laksa Penang di Pasar Air Hitam takpun laksa ikan sekoq di Kedah. Sebenarnya, kita ni asyik makan je tahu tetapi sejarahnya kita tidak ambil tahu padahal banyak kisah menarik di sebaliknya. Jadi, kalau sesiapa yang belum tahu tentang kisah unik mengenai laksa, haa mari kami huraikan kisah dan sejarah yang unik mengenai laksa.

Laksa Penang diinovasikan oleh para isteri pedagang-pedagang dari China

Masyarakat Peranakan di Malaysia. Imej dari akaun Pinterest Anastasia Ceglia.

Mesti korang tak pernah terfikir macam mana datangnya Laksa Penang di negara kita kan? Haa sebenarnya asal usul laksa bermula apabila pedagang-pedagang dari China melabuhkan layar kapalnya untuk berdagang di Kepulauan Melayu pada awal abad ke-15. Kehadiran mereka di Tanah Melayu juga telah terciptanya satu kaum iaitu Peranakan kerana perkahwinan pedagang Cina dan gadis Tanah Melayu.

Kalau korang nak tahu megenai sejarah kaum Jawi Peranakan di Malaysia, boleh baca artikel kami di sini.

Baiklah, sebenarnya laksa yang kita makan sekarang bukanlah dari resepi asal kerana Laksa Penang ini mengalami arus inovasi apabila para isteri pedagang-pedagang Cina telah menambahkan perisa mereka sendiri dalam sup tradisional Cina. Maka, lahirlah Laksa Penang yang resepinya tidak bertukar dari dahulu sehingga sekarang bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.”

Sedap je kalau korang letak otak udang. Imej dari Meme Generator & akaun Shopee dbhousehold88.

Sudahlah tu, mari kita pergi ke asal-usul perkataan laksa pula. Sebenarnya perkataan “laksa” itu sendiri berasal dari pelbagai bahasa. Menurut Bahasa Persia/Hindi, laksa berasal dari perkataan lakshahyang bermaksudbihun. Jika dari segi Bahasa Sanskrit, laksa berasal dari perkataan lakshasyang membawa maksud “sepuluh ribu” dan ramai yang menyatakan sepuluh ribu itu merujuk kepada ramuan-ramuan yang digunakan dalam laksa.

Kalau dalam Bahasa Kantonis pula, perkataan laksa berasal dari perkataan “Là shā” yang bermaksud “pasir pedas” kerana udang kering dalam kuantiti banyak yang nampak seperti pasir atau tekstur kasar pada kuah. Berdasarkan carian terjemahan, maksud perkataan “Là shā” ialah “sos pedas“, hmm mungkin boleh merujuk kepada kuah Laksa Penang yang pedas?

Variasi Laksa di Malaysia yang mempunyai kaitan dengan Itali

Lapar dan dahaga dalam satu masa? boleh cuba macam ni. Imej dari SINAR.

Tidak dinafikan lagi laksa sememangnya makanan yang paling popular sehingga terdapat banyak jenis laksa yang ada di negara kita yang mungkin kita tidak tahu, antaranya:

  1. Laksa Penang.
  2. Laksa Kedah.
  3. Laksa Kelantan.
  4. Laksa Terengganu (ada dua jenis iaitu kuah merah dan kuah putih).
  5. Laksa Sarawak.
  6. Laksa Kuala Perlis.
  7. Laksa Johor.
  8. Laksa Kari.
  9. Laksa Pahang.

Setiap laksa ini juga mempunyai sejarah mereka tersendiri dan setakat ini, kami hanya menjumpai sejarah Laksa Sarawak dan Laksa Johor.

Kalau korang tak tahu Laksa Sarawak, ia disajikan dengan bihun, kuah laksa yang oren kemerahan, udang dan sambal sebagai penambah perisa. Asal-usul Laksa Sarawak masih tidak jelas tetapi dipercayai laksa itu muncul apabila Goh Lik Tek memperkenalkan hidangan mee beliau di sekitar Carpenter Street, Kuching pada tahun 1945.

Berdasarkan kepercayaan majoriti, pes pekat yang digunakan dalam kuah laksa itu sebenarnya diperkenalkan oleh keluarga Tan Yong Him dari Kuching pada sekitar tahun 1960 dan 1970. Tan Yong Him telah menginovasikan resepi dengan mencampurkan rempah dan herba untuk menghasilkan pes kuah yang baru dan akhirnya beliau telah menjual pes laksa itu dengan meletakkan jenama Cap Burung Layang-Layang.

Inilah pes laksa cap Burung Layang-layang dari Tan Yong Him.

Mari pergi ke Johor pula kerana sejarah Laksa Johor ini sangat unik dan mungkin ada orang luar yang tidak tahu tentangnya. Baiklah, Laksa Johor ini kuahnya sama sikit seperti kuah Laksa Kedah tetapi rasanya lebih berlemak dan pedas. Jenis mee laksa itu pula tidak sama seperti yang lain kerana mee yang digunakan ialah spaghetti. Jadi, kenapa Laksa Johor menggunakan jenis mee Spaghetti?

Berdasarkan sejarah, Sultan Abu Bakar ( Sultan Johor dari tahun 1886 hingga 1895) berada di Eropah untuk urusan penting. Semasa baginda mengunjungi Itali, baginda dah jatuh cinta dengan spaghetti Bolognese. Selepas Sultan Abu Bakar kembali ke Johor, baginda memerintahkan tukang masak kerajaan untuk membuat laksa dengan spageti dan dengan itu, Laksa Johor dilahirkan.

Laksa Kedah & Laksa Penang nampak sama tapi berbeza

Nampak sama tapi berbeza. Imej dari tasteAtlas & Resepi Che Nom.

Mungkin korang selama ini anggap yang Laksa Penang dan Laksa Kedah sama. Tetapi sebenarnya, kedua-duanya sangat berbeza dari segi penyajian dan cara masak. Selama ni kita makan je kedua-dua laksa ni tetapi mungkin lepas kami huraikan ciri-ciri laksa ini, korang akan dapat bezakan rasanya.

Baiklah, kalau korang tengok pada kuahnya, ia sebenarnya amat berbeza kerana kuah Laksa Penang menggunakan isi ikan yang dicarik-carik, manakala kuah Laksa Kedah pula menggunakan isi ikan yang dihancur lumat dengan menggunakan pengisar. Namun, masih ada juga isi ikan dicarik-carik digunakan dalam kuah Laksa Kedah.

Jus asam jawa digunakan untuk kuah Laksa Penang, manakala asam keping digunakan untuk kuah Laksa Kedah. Kerana itulah kalau korang makan Laksa Penang, rasanya lebih masam berbanding Laksa Kedah. Lengkuas dan serai merupakan bahan yang penting untuk memasak Laksa Penang, tetapi tidak untuk Laksa Kedah. Dari segi kepedasan pula, Laksa Penang lebih menggunakan cili merah segar, manakala Laksa Kedah akan menggunakan cili kering.

Haa baru korang faham kan perbezaannya. Imej dari Giphy.

Kalau yang hebat makan laksa pasti akan tahu macam mana rupa kedua-dua laksa ini, Laksa Penang kuahnya sedikit cair berbanding Laksa Kedah kerana ia lebih pekat kerana isi ikan hancur itu akan membanjiri atas mee laksa apabila dihidangkan. Selain itu, korang akan rasa berbeza kuahnya kerana jintan manis dan cili merah akan dicampur ketika dikisar.

Dari segi penyajian pula, Laksa Penang akan dihidangkan dengan hirisan timun, nenas, telur, salad, manakala Laksa Kedah sama seperti Laksa Penang cuma ia disajikan dengan cili potong dan tiada nenas. Jadi, lepas ni tak keliru lah korang antara kedua-dua laksa ini.

Populariti laksa di Hong Kong menjadi hidangan istimewa di hotel lima bintang

Sebuah kedai laksa di Hong Kong. Imej dari The Unpaid Gourmet.

Sememangnya populariti laksa memang sangat luas kerana pergi mana-mana negeri pun mesti korang akan jumpa kedai laksa, apatah lagi jenis-jenis laksa yang ada di negeri kita. Sebenarnya populariti laksa ini meluas sehingga ke luar negara sejak dahulu lagi.

Kalau korang nak tahu, populariti laksa telah sampai ke Hong Kong pada awal tahun 2000 selepas pembukaan dua kedai yang handal dalam membuat laksa iaitu “Malaymama” dan “Katong Laksa“. Sejak itu, laksa menjadi makanan yang popular di kalangan masyarakat Hong Kong dan menjadi makanan penting dalam industri makanan di kafe, medan selera sehingga hotel lima bintang. Laksa yang disediakan kurang pedas dan menggunakan santan dalam kuantiti yang banyak bahkan ramuan digunakan menepati citarasa penduduk tempatan.

Bukan itu sahaja, laksa ini juga terkenal di Australia pada tahun 1970 dan 1980. Menurut seorang Pensyarah Kajian Budaya, Dr. Jean Duruz, pelopor utama yang membawa hidangan laksa ke bandar Adelaide, Australia ialah seorang perempuan Hakka bernama Khut. Dia handal dalam menyediakan makanan Nyonya selepas belajar dengan jirannya di Melaka. Deliau juga berlatih memasak tanpa henti untuk mendapatkan makanan Nyonya yang sedap.

Siapa sangka laksa di Malaysia telah diperkenalkan di luar negara. Imej dari Giphy.

Menurut Dr. Jean lagi, laksa ini dikatakan dapat menghubungkan orang yang memakannya dengan kenangan masa kecil, tanah air dan nostalgia walaupun tidak mempunyai etnik yang sama dengan makanan. Laksa sangat diminati di Australia sehingga restoran Vietnam menghasilkan semula hidangan tu untuk memenuhi harapan pelanggannya.

Jadi, korang sendiri sudah nampak laksa ini sangat popular di luar negara. Sebenarnya, ia bukan sahaja ada di Malaysi, malah Indonesia juga mempunyai pelbagai jenis laksa mereka sendiri. Akhir sekali, kekalkanlah resepi dan warisan laksa-laksan ni di Malaysia, supaya ia tidak hilang di mata masyarakat untuk generasi akan datang.