- 129Share sekarang!
- Email14
- Facebook115
- Share
Bila dunia dah makin maju dan moden, ramai yang terfikir bahawa ilmu sihir dan karut-marut ni akan berkurang sedikit demi sedikit. Ye lah, semua tengah sibuk scroll media sosial nak tengok berapa like dan share status korang. Malas dah nak fikir nak sihir siapa lepas ni kalau tak puas hati. Pasal dalam media sosial boleh hentam direct.
Tapi, apa yang mengejutkan kami bila scroll FB, ada status bawah ni…
Status abang ni dah viral dan dapat perhatian ramai orang. Tak sangka, lagi setahun nak tahun 2020, masih ada lagi orang hantar sihir kat kedai orang. Kami doakan abang ni akan mendapat sesuatu yang lebih baik dalam kehidupannya nanti. Apabila bercakap pasal hantar sihir kat kedai orang, sebenarnya ini bukanlah benda baru sebab sebelum ni memang banyak yang berlaku. Tak percaya? Ada beberapa kejadian yang tular yang kami senaraikan ni.
1) Staf kencing berdarah, kucing beranak semua keguguran
Untuk peminat kucing, kedai House Of Cat kat Seksyen 7, Shah Alam mestilah menjadi tempat persinggahan untuk layan kucing. Mana taknya, sekali bayaran hanya RM5 sejam. Sesiapa sahaja boleh main-main dan bermanja-manja dengan kucing-kucing comel kat sana. Kedai ni memang makin popular dan jadi tular.
Bekas pekerja House Of Cat, Asyraf Khalib mula merasa ada benda tak kena apabila ada seorang pelanggan buat panggilan serta marah-marah. Pelanggan tu mengatakan bahawa dia datang penat penat naik tangga, tengok kedai tutup. Sedangkan waktu diorang buka je kedai macam biasa.
Makin lama benda ni makin teruk, Asyraf Khalib sendiri pernah mengalami kejadian seram macam suiz lampu tutup buka sendiri, kena kencing berdarah dan semestinyalah paling sedih adalah…
“Aku cuma dapat cakap aku takut nak masuk kerja sebab tak sanggup tengok kucing yang aku jaga macam anak-anak sendiri mati satu persatu.“- Dari twitter Asyraf Khalib
Apa yang menyedihkan, kucing ni pada mulanya sakit teruk. Banyak yang dikuarantin dan ada juga yang mengandung keguguran teruk. Mereka dah cuba hantar ke klinik haiwan, masuk wad dan doktor sendiri tak tahu kucing-kucing ni sakit apa.
Setelah bertahan dan dapatkan ikhtiar rawatan, akhirnya, satu persatu barang sihir dalam kedai tu dijumpai termasuklah jarum, kain kapan berbau busuk, tulisan Siam bersalut minyak, duit syiling lama dan serbuk kaca dengan gumpalan rambut. Akhirnya, dalam sekitar tahun 2017, House Of Cat menghentikan operasi dan menutup kedai. Mereka boleh bersabar dengan ancaman sihir ni, tapi mereka sangat kesian kepada kucing-kucing yang turut menjadi mangsa ni.
2) Ratusan kambing mati, ada yang mata kena korek
Ariffin Sabirin adalah pengasas Wasilah Farm yang berada di Segamat, Johor. Ladangnya berjaya beroperasi hingga menjadi sebutan ramai di negeri Johor. Ladang ni juga popular kerana konsep Pusat Agro Pelancongan berasaskan kambing. Ramai juga orang datang dengan catatan 2,000 pengunjung termasuklah dari sekolah rendah, menengah dan taska sejak beroperasi pada tahun 2016.
Tapi, nampaknya kemajuan ladang ni ada yang tak disenangi oleh orang-orang tertentu. Menurut dia lagi, selama 19 bulan beroperasi, ladang tu diserang macam-macam jenis sihir termasuklah hantu raya, bomoh Indon, bomoh Siam, bomoh orang Asli dan bomoh Hindu yang dihantar siang dan malam.
“Ratusan kambing mati dalam keadaan ngeri tengkuk dipatah, mata dikorek, mulut dikunyah. Pekerja sakit. Saya sekeluarga sakit.”- Ariffin Sabirin, pengasas Wasilah Farm, petikan dari FB-nya
Walaupun macam tu, dia usahakan yang terbaik termasuk mendapat bantuan rawatan Islam. Setelah pelbagai usaha yang tak berjaya mengekang buatan sihir tu, dia memilih untuk mengundur diri. Disebabkan nak selamatkan akidahnya sendiri, dia mengundurkan diri dari daerah tu serta menganggap rezekinya bukan kat sini.
3) Jumpa telekung dan tudung kat tepi kedai
Ana Burger D’Cafe yang terletak di Kampung Jarak, Kangar, Perlis dah empat tahun beroperasi. Kedai ni memang terkenal lah dan orang datang pun tak pernah putus. Sebabnya tak banyak restoran makanan Barat kat kawasan tu. Lagi-lagi ada makanan unik macam Burger 13 tingkat. Sampailah satu tahap, perniagaannya semakin merosot. Dari keuntungan RM5,000 sehari, kini berkurang menjadi RM1,000 sehari.
Tambahan pula, memang mengejutkan apabila orang komen kat Instagram mereka mengatakan bahawa mereka nampak kedai gelap je macam tutup. Sampaikan mereka sendiri ingatkan pelanggan untuk datang je ke kedai walaupun nampak tutup sebab mereka dalam usaha untuk pulihkan kedai dari buatan sihir ni.
Semua benda-benda misteri ni terjawab apabila pemilik kedai dan stafnya jumpa benda yang pelik-pelik termasuklah…helaian tudung dan telekung kat kedai mereka Disember tahun lepas.
“Pada bulan lepas, kami menemui satu plastik berisi tiga helai tudung di hadapan kedai. Saya terus hubungi seorang ustaz. Atas nasihat dia, pada petang itu juga kami buang bungkusan misteri itu di Sungai Perlis.”- Analiza Ahmad, pemilik kedai, petikan dari Mstar
Apa yang menyedihkan, bukan je bagi kesan kat keuntungan perniagaan, sampai terkena ke anak dia yang mengalami demam serta kembung perut. Jadi, dia pindahkan anaknya ke rumah Mak Cik di Kuala Perlis.
Inilah tiga cerita bagaimana sesuatu perniagaan tu boleh terganggu sampai ada tahap muflis bila terkena sihir. Untuk korang atau saudara-saudara yang berniaga, kena tahu cerita-cerita ni untuk dijadikan bukti bahawa benda ni masih wujud di negara kita. Sebab tu penting untuk tahu tanda-tanda kalau sesuatu perniagaan terkena sihir atau tak.
Tanda-tanda yang boleh dikesan pada pemilik dan tempat perniagaan
Apa pun jenis sihir, ia adalah ilmu untuk menghasilkan kesan negatif ke atas mangsa dengan menggunakan unsur-unsur jahat dari kekuatan kuasa ghaib. Dalam perniagaan pula, memang ada sihir yang khusus iaitu sihir perniagaan.
Ia akan dihantar kepada kedua-dua iaitu pemilik dan tempat perniagaan atau salah satu daripadanya. Menurut Perubatan Tradisional Alternatif, tanda-tanda kalau peniaga ni kena sihir adalah apabila sering sakit kepala, rasa malas kerja tanpa sebab, terkena sakit yang sukar dirawat perubatan atau selalu mimpi ular, orang dah meninggal dan benda-benda aneh.
Macam tiga kes yang kami kongsi kat atas tadi, boleh tengoklah macam diorang kena sampai sakit teruk. Untuk tempat perniagaan sama ada kedai, restoran dan lain-lain, memang boleh kesan tanda-tanda yang umum selain contoh dari kedai House of Cat, Walimah Farm dan Ana Burger D’cafe.
Kalau pekerja-pekerja dalam perniagaan asyik bergaduh serta pekerja kerap berhenti, korang dah boleh mula berwaspada. Selain tu, kat kedai selalu ternampak bayangan-bayangan lembaga yang menakutkan, selalu terjumpa duit syiling (macam kes House of Cat) atau wang kertas tanpa diketahui sumber serta bungkusan-bungkusan aneh. Korang bolehlah guna ikhtiar rawatan Islam.
Bersaing sepatutnya makin menguatkan usaha perniagaan
Di Malaysia, galakan untuk orang ramai menceburi perniagaan memang selalu kita dengar. Tujuannya untuk kurangkan kebergantungan kepada majikan semata-mata. Orang ramai juga ada semangat untuk berniaga atas galakan agama sendiri khususnya agama Islam.
Disebalik keghairahan ni, amalan sihir masih ada lagi yang amalkan. Kalau tak hantar sihir kat pesaing, mesti guna sihir untuk lariskan kedai sendiri. Inilah cara paling kotor dan tak berani berdepan dengan persaingan. Sedangkan bila seseorang tu menceburi perniagaan, memang tak boleh lari dari persaingan. Kalau tak nak bersaing secara sihat, bekerjalah makan gaji.
“Sebagai orang Islam yang dikurniakan iman oleh Allah SWT, kita perlu melihat persaingan sebagai sesuatu yang positif demi mewujudkan sikap yang dinamik, progresif, proaktif serta berdaya saing.“- Bicara Agama tulisan Wan Jemizan & Ahmad Termizi, petikan dari UTUSAN
- 129Share sekarang!
- Email14
- Facebook115
- Share