Alam Sekitar

Plastik dicipta untuk selamatkan alam sekitar, ini sejarah bila manusia sedar sebaliknya!

Bila kita bercakap tentang ‘plastik’, mesti teringat pasal pencemaran laut, pembakaran plastik terbuka, dan plastik 20 sen. Dan, hampir 90% plastik yang digunakan kat dunia ni tak pernah di kitar semula! Malah, dianggarkan pada 2050 nanti, akan ada 12 billion tan sisa plastik kat persekitaran kita! Tak tercapai dek akal!

Plastik ni satu bahan yang murah, ringan, tahan lama dan mudah dibentuk, dan ia memainkan peranan penting dalam mengekalkan kualiti makanan dan sumber lain. Tapi, apa yang kita sering dengar sekarang, plastik ni bawa banyak kerosakan kat alam sekitar kita.

Jauh perjalanan, luas pemandangan…… Imej dari The Conversation

Asyik kita menceritakan masalah plastik ini, korang tau tak, dulu plastik ni dianggap satu ciptaan yang membantu ekonomi dan sosial manusia di dunia, dan menjadi salah satu cara untuk menyelamatkan bumi!? Pelik kan? Tapi, sebelum itu, mari kita fahamkan sejarah ringkas penciptaan plastik ini.

Idea penciptaan plastik bagi menggantikan gading haiwan?

Perkataan ‘plastic’ ini datang dari “pliable and easily shaped” (lentur dan mudah dibentuk). Sebelum ia dipanggil plastik, saintis meletakkan ia dalam kategori ‘polimer’ bermaksud ‘banyak bahagian’, dan polimer ini dibuat dari gabungan rantaian molekul yang panjang. Selain itu, polimer ini ada dalam bahan semula jadi seperti petroleum dan bahan api fosil.

Pada tahun 1869, John Wesley Hyatt merupakan saintis pertama yang cipta plastik sintetik, dan ciptaan ini menjadi inspirasi oleh Hyatt kerana ada satu syarikat yang tawar duit sebanyak 10,000 USD kepada mana-mana individu yang berjaya mencipta satu produk yang boleh menggantikan gading haiwan. Kejap, pertama sekali, 10,000 USD pada tahun 1869! Kedua, asal nak kena cipta produk untuk gantikan gading haiwan!?.

Perdagangan gading gajah pada awal tahun 1900. Imej dari National Geographic

Gading haiwan ini banyak digunakan untuk buat peralatan elektrik dan peralatan khas dalam kapal terbang seperti radar. Selain itu, ada juga yang gunakan gading ini untuk buat bola snuker, sikat, piano dan macam-macam lagi. Banyangkan masa tu takde plastik, semua barang dan perkakas mesti kena pakai sumber dari persekitaran.

Penemuan ini merupakan satu revolusi dalam sejarah manusia! Hal ini kerana, buat pertama kali dalam sejarah, pembuatan dan kegunaan manusia tidak terhad pada sumber semula jadi seperti tempurung kura-kura, gading atau tanduk haiwan, dan linen (kain dari pokok flaks).

Pada 1907 pula, Leo Baekland telah mencipta ‘Bakelite’, plastik sintetik pertama yang tidak mempunyai molekul dari sumber semula jadi! Penciptaan bakelite ini untuk menggantikan ‘shellac’ (penebat elektrik semula jadi), dan memenuhi keperluan bahan elektrik dalam industri di Amerika, pasal ia tahan haba dan lebih keras. Pada tahun 1930an The Bakelite Corporation milik Leo Baekland menggunakan logo ♾️ (simbol infiniti dalam matematik) dan menggunakan slogan “The Material of a Thousand Uses”.

Bakelite Corporation, antara syarikat terawal yang mengeluarkan plastik. Imej dari Hagley.org

Selain itu, bakelite ini juga bagi sumbangan besar kat dunia fesyen, kerana barang kemas lebih cantik dan mampu dimiliki oleh ramai orang. Kejayaan dua saintis ini menyebabkan banyak syarikat kimia melabur buat kajian dan baik pulih plastik sintetik ini.

Zaman kegemilangan plastik semasa Perang Dunia II?!

Memang betul lah kecanggihan teknologi alatan perang hanya membawa kemusnahan alam sekitar. Ketika Perang Dunia II, kecanggihan teknologi industri plastik memainkan peranan penting dalam kejayaan sesebuah angkatan tentera. Akibat daripada peperangan tu, kerajaan terdesak untuk mengehadkan sumber alam semula jadi, dan sebab tu penggunaan dan kajian tentang plastik banyak dijalankan.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Tentera Amerika simpan “machine gun” guna plastik!? Imej dari ww2online.org

Pada tahun 1935, Wallace Carothers telah mencipta nylon sebagai sutera sintetik untuk digunakan pada payung terjun, tali, perisai badan, kain dalam helmet dan banyak lagi. Selain itu, Plexiglass (dibuat dari plastik) juga digunakan pada cermin kapal terbang kerana ia lebih ringan dan kuat waktu itu.

Disebabkan perang tu jugak, pengeluaran plastik meningkat sehingga 300% dan ia terus melonjak. Selepas peduduk Amerika melalui zaman “The Great Depression” (kejatuhan ekonomi dunia) dan tamat Perang Dunia II, rakyat dah bersedia untuk berbelanja semula. Dan hampir semua barangan yang mereka beli ada plastik. Perabot kayu diganti dengan plastik, alat gantian besi dalam kereta digantikan dengan plastik, kertas dan kaca untuk membungkus pun dah jadi plastik.

Sekarang ni kalau lepak minum kat kedai pun mintak air bungkus dalam plastik. Imej dari Remaja.my

Bila manusia sedar yang plastik ni bahaya untuk alam sekitar?

“Habis madu sepah dibuang”, jika plastik di lautan boleh bercakap, mungkin inilah peribahasa yang boleh menceritakan hikayat hidup diorang. Sekitar tahun 60-an, pembuangan sisa plastik ini mula diperdebatkan kerana sisa ini memberi impak negatif pada alam sekitar.

Pada tahun 70-an dan 80-an pula, reputasi plastik merudum kerana orang ramai mula sedar plastik mengambil masa yang sangat lama untuk terlerai. Jadi, banyak industri plastik ini mengeluarkan solusi kepada pihak kerajaan untuk kitar semula plastik tersebut. Tapi, sampai sekarang, hanya 10% plastik je yang pernah dikitar semula, selebihnya pergi kat tempat pelupusan sampah ataupun persekitaran.

Pusat pelupusan sampah terbuka diseluruh dunia. Imej dari Giphy

Tapi, plastik yang ‘murah’ ni jugak, telah menaikkan taraf hidup manusia, dan hampir semua barangan yang kita miliki ada plastik. Tanpa penciptaan plastik ni, mungkin barangan atau keperluan ini hanya boleh dimiliki oleh mereka yang kaya. Kecanggihan teknologi manusia sampaikan kita tak perlu nak bergantung dengan sumber semula jadi yang  terhad seperti kayu, besi, batu, dan tulang haiwan. Namun, sekarang baru kita sedar keburukan disebalik kecanggihan ini.

Oleh itu, ramai saintis sedang berusaha untuk membaik pulih plastik ini, supaya ia boleh dikompos atau biodegradasi secara semula jadi, kerana ia masih memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia hari ni. Tapi, plastik ke yang kena dipersalahkan dalam hal kemusnahan alam sekitar? ataupun tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab?

Namun, artikel ini bukan nak salahkan mana-mana pihak terhadap kerosakan alam sekitar, ataupun cara untuk selesaikan masalah pengurusan sampah di Malaysia. Tetapi, sudah terang lagi bersuluh, negara berpendapatan tinggi yang bertanggungjawab untuk hantar sisa plastik ke Malaysia kan…..

Senang je kerja diorang, hantar sampah kat Malaysia. Imej dari Eco-business

Malaysia buat program ‘tukar sampah jadi duit’

Baru-baru ini kerajaan melancarkan Dasar Kebersihan Negara yang bakal menjadikan negara bersih, mampan dan sejahtera melalui amalan kebersihan diri, keluarga, komuniti dan masyarakat, dan ia bakal berlangsung sehingga 2030. Wahh, komited ye Malaysia sekarang untuk menjaga kebersihan persekitaran.

Tambahan lagi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengadakan program ‘Trash to Cash’, di mana penduduk boleh menjadikan sisa sampah kepada duit dan sumber pendapatan. Inisiatif ni bolehlah serba sedikit bantu korang untuk bayar kos penyelenggaraan ataupun bagi budak sekolah untuk dapatkan duit belanja lebih.

Sejak kempen ini berjalan di Lembah Jaya, UK Perdana, Pandan Indah dan Bukit Indah, penduduk sana dah bejaya tukar hampir 2000kg sampah ke duit. Oleh itu, dalam kita membersihkan alam sekitar, kita juga boleh buat pendapatan sampingan untuk kurangkan perbelanjaan dan kos sara hidup.

Sayangilah alam sekitar kita. Gif dari Giphy

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend