Sejarah & Politik

Selepas ditikam Hang Tuah, Hang Jebat sempat membunuh seribu orang

Kalau kita borak tentang pahlawan Melayu, mesti hikayat Hang Tuah akan diceritakan. Kalau korang perasan, sebenarnya watak Hang Tuah ni dah banyak kali muncul dalam filem. Ada macam-macam versi pulak tu, siapa lakonkan Hang Tuah dengan lebih power? P. Ramlee atau M. Nasir? Eh, Jalaluddin Hassan pun pernah pernah jadi Hang Tuah!

Cerita Hang Tuah ini ada macam-macam versi, tapi peristiwa yang paling popular adalah masa Hang Tuah bunuh Hang Jebat. Hang Jebat tu menderhaka sebab bela kematian Hang Tuah, alih-alih Tuah bunuh dia pulak.

Ramai je kata cerita Hang Tuah ni dongeng, tapi menurut Pengarah Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep), cerita Hang Tuah merupakan warisan berharga kita.

 “Kisah Hang Tuah cukup menarik dan bukan seperti kebanyakan mitos yang berlegar hari ini. Yang pastinya, Hang Tuah berketurunan Melayu serta berasal dari Bentan di Kepulauan Riau dan bukan berketurunan Cina seperti dakwaan sesetengah pihak.” – Prof (Adj) Datuk Dr Mohd. Jamil Mukmin, dipetik dari Sinar Harian

Hmm…mana satu cerita yang betul ni? Imej dari Giphy

1. Hang Tuah dah jadi pendekar masa umur 10 tahun

(Untuk bahagian ini, kami merujuk Hikayat Hang Tuah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka)

Kami yakin korang dah tahu yang Hang Tuah ada empat sahabat; Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir. Diorang berlima ni memang bestfriend, siap dah mengaku bersaudara. Masa umur 10 tahun, Tuah dapat idea nak pergi merantau menggunakan kapal layar ayahnya. Kelima-lima sahabat ni pun sepakat nak belayar.

Selepas mendapat restu ibu bapa masing-masing, diorang pun berlayar. Semasa diorang tengah belayar, tiba-tiba ada tiga kapal besar musuh datang nak serang diorang. Kalau kita kat tempat diorang, mesti kita dah takut sampai terkencing. Tapi lima bersaudara ni okay je nak lawan musuh tu. Hang Tuah cadangkan untuk berlawan di pulau kecil memandangkan tiga kapal musuh agak besar.

Macam ni kot besar kapal musuh diorang. Imej dari Giphy

Musuh tu pun fikir budak-budak ni dah lari. Apabila musuh-musuh ni mendarat dekat pulau, selamber je budak berlima ni munculkan diri. Apa lagi, musuh-musuh tu pun berlari nak dapatkan diorang. Ketika musuh cuba menangkap diorang, lima sekawan tu pun serang habis-habisan sehingga musuh diorang cedera parah. Seorang musuh tu kata;

“Hai budak-budak, baik engkau menyembah menyerahkan dirimu supaya engkau tidak ku bunuh!” – Hikayat Hang Tuah, muka surat 21.


Lima sahabat ni pun tak nak menyerah, dan terus serbu lebih 20 orang musuh dengan keris. Sepuluh musuh berjaya dibunuh oleh lima sahabat ni. Selepas tengok 10 kawan diorang dibunuh dengan mudah oleh 5 orang budak, selebihnya pun terus lari dan berlayar semula. Kalau kita kat tempat diorang pun, mungkin kita akan lari. Member mati depan mata kot.

Punyalah lima sekawan ni power bersilat, orang dah dewasa pun kalah. Imej dari Giphy

2. Hang Tuah kalahkan pengamuk kebal dan dapatkan Keris Taming Sari

(Untuk bahagian ni kami rujuk buku yang bertajuk Sejarah Kesusastraan Melayu Klasik tulisan mendiang Dr. Liaw Yock Fang.)

Utusan dari Melaka dihantar ke Jawa untuk meminang puteri Majapahit. Pinangan tu diterima tapi dengan syarat; Sultan Melaka kena datang sendiri ke Jawa untuk ambil bakal isterinya. Kalau kita fikir-fikirkan, sweet jugak Batara Majapahit masa tu. Siap minta Sultan Melaka jemput anaknya dari Jawa.

Bila kami cakap pasal Sultan Melaka, kami tak maksudkan yang ini. Imej dari Blog CARI

Batara Majapahit bukan saja-saja je jemput Sultan Melaka datang ke Jawa, sebenarnya dia ada niat nak uji sejauh mana kehebatan pahlawan Melaka. Bak kata budak zaman sekarang nak test power gitu. Kalau dalam filem Hang Tuah, kita dapat tahu Tuah diberi Keris Taming Sari lepas menang lawan pahlawan Majapahit.

Kalau ikut Dr. Liaw Yock, sebenarnya Tuah dapat keris tu lepas lawan pengamuk kebal yang bernama Taming Sari. Melalui tipu daya, Tuah berjaya dapatkan keris Taming Sari dan akhirnya membunuh pengamuk kebal tu. Lepas bunuh Taming Sari, Tuah dikurniakan gelaran laksamana daripada Batara Majapahit. Agaknya Batara Majapahit sedar yang hulu balang Melaka ni power.

Apabila Sultan Melaka kahwin satu lagi, Batara Majapahit pun marahlah. Korang bayangkan je menantu lelaki korang kahwin lain, macam tulah perasaan Batara Majapahit. Untuk sejukkan hati Raja Majapahit, Hang Tuah diarahkan menghantar surat ke Majapahit.

Setibanya di Majapahit, beratus-ratus orang Jawa ingin membunuh Hang Tuah. Nasib baiklah Hang Tuah ni power dan cerdik, dia berjaya patahkan semua serangan daripada pihak musuh. Batara Majapahit siap hantar ahli sihir nak bunuh Hang Tuah, tapi semuanya gagal. Hang Tuah power sangat kot, semua usaha Batara Majapahit nak bunuh dia menemui kegagalan.

Tuah…zam zam ala kazammm…matilah kau tuah! Imej dari Giphy

3. Hang Tuah pakai guna-guna bawa lari Tun Teja

(Untuk bahagian ini dan seterusnya, kami merujuk Hikayat Hang Tuah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka)

Kisah ni bermula apabila Hang Tuah meminta Inangda beritahu Tun Teja yang Tuah ada hati padanya. Inanda ni dayang tua Tun Teja dan ibu angkat Tuah. Kalau korang nak tahu, masa tu Tun Teja pernah tolak pinangan Sultan Melaka dan dah bertunang dengan anak raja dari Terengganu. Atas sebab ni Inangda ragu nak sampaikan hajat Tuah ni.

Macam nilah kot reaksi Inangda masa dengar permintaan Tuah. Imej dari Giphy

Oleh kerana Inangda ni memang sayang gila-gila dekat Tuah, dia beranikan diri juga sampaikan hajat Tuah. Apabila Tun Teja mendengar apa yang diperkatakan oleh Inangda, punyalah dia naik angin dan berkata;

“Lihatlah si tua celaka ini, pada bicaraku tua menjadi penawar, ini menjadi racun. Benarkah engkau berani berkata demikian? Orang tua demikian patut digocoh mulutnya dengan tempurung berbulu. Sedang raja Melaka mahukan akan kita, kita tidak mahu, inikan pula hambanya. Lagipun kita sudah bertunangan, bukan ia tidak tahu.” – Tun Teja, Hikayat Hang Tuah

Inangda pun dihukum sehingga mulutnya dan mukanya berdarah. Apabila Hang Tuah diceritakan kejadian ni, dia pun marah. Yalah, mak angkat kau kot orang cederakan, takkan nak duduk diam. Apa lagi, Hang Tuah pun buatlah guna-guna untuk buatkan Tun Teja tergila-gilakan Hang Tuah.

Sekarang ni, orang siap jual azimat nak pikat perempuan taw. Bahaya betul. Imej dari Jimat Pemikat Wanita

Punyalah berkesan guna-guna Hang Tuah ni sampai Tun Teja pun jatuh hati pada Tuah. Apabila Tun Teja ni dah angau, dipanggilnya Inangda. Tun Teja tanya mana Hang Tuah? Masa tu Hang Tuah acah-acah nak balik Melaka. Apabila Tun Teja diberitahu Hang Tuah nak pulang ke Melaka, Tun Teja menangis dan minta Inangda pujuk Hang Tuah supaya berjumpa dengan dia.

Tak lama lepas tu, Hang Tuah bertemulah dengan Tun Teja di rumah Inangda. Masing-masing mencurahkan rasa hati. Kalau korang nak tahu, Hang Tuah siap bersyair dan berpantun kat depan Tun Teja dan para dayang. Apa lagi, cair dibuatnya Tun Teja dan dayang-dayang tu! Apabila Hang Tuah ajak Tun Teja lari, dia pun setuju.

Mesti Hang Tuah masa awal-awal tu malu dengan Tun Tejakan. Imej dari Giphy

Tun Teja bukan lari sorang-sorang, dia bawa sekali barangan dan dayang-dayangnya. Apabila ayah Tun Teja sedar Tun Teja dah dilarikan, dia pun menghantar angkatan perang untuk mendapatkan semula Tun Teja. Macam biasalah, kalau nak sembang Hang Tuah berlawan, mesti dia menang punya. Angkatan perang tu pun berjaya dikalahkan oleh Hang Tuah.

Ketika tiba di Melaka, Tuah pun beritahu yang dia ada bawak hadiah special untuk Sultan Melaka. Sebenarnya, Sultan Melaka masa tu lama dah teringin nak kahwin dengan Tun Teja, tapi asyik cinta bertepuk sebelah tangan je.

https://www.youtube.com/watch?v=hShSRoyH4LQ

Sebenarnya Tun Teja cintakan Hang Tuah, tapi hajat Tuah adalah untuk memberikan Tun Teja pada Sultan Melaka. Untuk lupakan Tuah, Tun Teja pun memakan ubat benci yang dicipta oleh Tuah. Setelah makan ubat tu, terus Tun Teja membenci Tuah. Dah macam cerita Harry Potterkan? Siap ada ubat benci bagai. Akhirnya Tun Teja pun kahwinlah dengan Sultan Melaka masa tu.

4. Jebat nak balas dendam atas kematian Tuah

Sultan masa tu memang sayang gila-gila dengan Hang Tuah sebab banyak berjasa, ini menyebabkan pembesar Melaka yang lain cemburu. Diorang pun adakan mesyuarat untuk fitnah Hang Tuah. Diorang fitnah Hang Tuah melakukan hubungan dengan perempuan di dalam istana Melaka. Kata Pateh Kerma Wijaya kepada Sultan Melaka;

“Ya tuanku, tadi malam patik sekalian berkawal di bawah istana, maka kami bertemu seorang perempuan dan laksamana di dalam istana. Maka patik ingin membunuh, takut beroleh salah di mata tuanku. Tuanku amat percaya pada dia, lagi-lagi dia penghulu kepada patik semua.” – Hikayat Hang Tuah, muka surat 287

Nasib baiklah masa tu pegawai istana takda hidung macam Pinocchioa. Kalau ada mesti hidung diorang dah panjang. Imej dari Giphy

Apa lagi, Sultan Melaka masa tu punyalah marah akan Hang Tuah. Baginda terus titahkan bendahara untuk membunuh Tuah. Beberapa kali juga bendahara pujuk sultan, tapi Sultan Melaka tetap nak Tuah dibunuh. Bendahara pun ambil keputusan untuk sembunyikan Hang Tuah sebab yakin sultan masa tu dah buat kesilapan.

Sebenarnya Hang Tuah dihantar ke satu tempat yang jauhnya 7 hari 7 malam dari Melaka. Dia diminta untuk berjumpa dengan Sheikh Mansur, seorang petapa yang terkenal. Ketika Hang Tuah takda, Hang Jebatlah yang ditugaskan untuk menggantikan Tuah.

Hang Jebat pun dikurniakan gelaran Paduka Raja, dan pembesar Melaka masa tu takut dengan Jebat. Berbanding Tuah, Jebat ni garang dan kasar sikit dengan pembesar yang lain. Jebat lepak istana dan bersuka ria dengan dayang-dayang istana, tapi takde seorang pun berani tegur. Dia dah tak pulang rumah dan siap rasa dirinya dah jadi macam anak raja.

Apabila Sultan Mahmud dapat tahu yang Jebat dah derhaka, diorang pun berundur ke rumah bendahara. Selain 40 orang dayang istana dan 4 pendikir, semua dah sayang kat Hang Jebat dan tak nak ikut sultan berundur. Ketika sultan minta Jebat dibunuh, seribu orang bersama beberapa pendekar mengepung istana. Tapi dengan mudah je Jebat bunuh dan usir pasukan tu.

Kalau ikut lukisan ni, kacak jugak Hang Jebat ni. Patutlah dayang-dayang istana tergoda. Imej dari Wikipedia

Banyak pasukan yang dihantar untuk bunuh Jebat, semuanya gagal. Hang Jebat asyik-asyik tanya mana pembesar yang dengki dengan Tuah, kenapa bukan diorang yang dihantar untuk membunuh dirinya? Akhirnya Sultan Mahmud tahu yang Tuah difitnah dan berkata;

“Hai kamu sekalian yang dengki, pergilah kamu membunuh bapamu si Jebat yang derhaka itu. Aku tahu akan matinya juga dari kamu. Jikalau si Jebat tak mati, kamu sekali aku bunuh!” – Hikayat Hang Tuah, muka surat 303

5. Hang Tuah bangkit dari kematian untuk selamatkan Melaka

Sultan Mahmud pun makin kerap sebut nama Hang Tuah, dan menyesal sebab hukum Tuah yang rupa-rupanya difitnah. Akhirnya, bendahara pun beritahu yang sebenarnya Tuah masih hidup. Apa lagi, cepat-cepat sultan minta bendahara panggil semula Tuah.

Apa?! Hang Tuah masih hidup? Imej dari Giphy

Hang Kasturi dan Tun Pekerma pun dihantar untuk memujuk Hang Tuah. Oleh kerana rasa sayang Tuah pada Melaka, dia pun setuju untuk kembali ke Melaka. Kedatangan Tuah ke Melaka disambut dengan meriah oleh rakyat Melaka, siap ada yang kata orang mati dah hidup semula untuk selamatkan diorang!

Setelah menghadap sultan, Tuah pun cuba bersilat di hadapan rumah bendahara. Malangnya dia rasa dirinya terlalu berat kerana dah lama tak berlawan. Sultan pun minta Tuah diurut dan dijaga selamat 5 hari 5 malam. Setelah menemui dua keris baru, Tuah pun pergilah ke istana untuk membunuh Jebat.

https://www.youtube.com/watch?v=TBLqQUsMzZ8

Apabila Tuah sampai di halaman istana, punyalah Hang Jebat terkejut. Jebat pun kata dia derhaka sebab nak bela kematian Tuah, alih-alih tuah masih hidup. Dahlah masih hidup, siap nak bunuh dia pulak! Dua orang pahlawan ni pun berlawanlah sehingga ketitisan darah terakhir gitu.

Masa tengah lawan tu, Hang Jebat sempat berpesan pada Tuah yang isterinya Dang Baharu tengah mengandung 7 bulan. Nanti kalau dah beranak, Jebat nak Tuah tengok-tengokkan anak dia. Apabila Tuah kata dia anggap Jebat ni macam saudara, Jebat pun jadi emotional dan menangis. Time dia tengah sedih nilah Tuah berjaya ambik semula Keris Taming Sari. Sebab Jebat terleka…

U ni Tuah, janganlah cakap benda-benda sedih. Tersentuh hati I. Agak-agaknya macam tulah kata hati Jebat. Imej dari Giphy

Dushhh..macam ni kot bunyi keris. Akhirnya Jebat berjaya ditikam oleh Tuah. Darah Jebat mencurah-curah, dan Tuah pun pulang sebab tak pernah dia tikam orang tak mati. Punyalah power Jebat ni, dia boleh balut luka dan mengamuk. Beribu-ribu orang mati dibunuhnya, sehinggalah Tuah datang sekali lagi menghentikan dia.

Kali ni Jebat tak nak berlawan, dia siap cium kaki Tuah dan minta dibunuh. Tuah pun bawa Jebat ke rumahnya. Siap bagi makan sireh. Lepas tu barulah Jebat minta Tuah buka semua balutan lukanya. Lepas balutan tu dibuka, darah mengalir bak sungai ohh. Akhirnya Jebat mati di pangkuan Tuah.

Ini contoh makanan terakhir sebelum kena hukum bunuh. Jebat dapat sireh je. Imej dari LamanKongsi

Hikayat Hang Tuah cerita warisan orang Malaysia

Sebenarnya perdebatan tentang kewujudan Hang Tuah ni masih lagi berlaku. Korang rasa Hang Tuah ni betul-betul wujud atau sekadar mitos? Cuba bayangkan dah berapa ratus tahun kisah Hang Tuah ni diceritakan tapi sampai sekarang takde seorang pun dapat sahkan kebenarannya. Kubur yang dikatakan kubur Hang Tuah pun didakwa kubur palsu!

“Sementara kubur di Melaka, yang dikatakan milik Hang Tuah, sesuai untuk tujuan pelancongan tetapi bukan kubur Hang Tuah yang sebenar.” – Profesor Emeritus Dr Rahmat Adam, dipetik dari MalayMail Online

Hmmm…pilih cerita Hang Tuah ni betul atau tak macam nak pilih isterilah pulak. Susah! Imej dari Giphy

Ramai juga orang yang persoalkan adakah patut Tuah bunuh Jebat kerana derhaka pada sultan masa tu, Jebat derhaka untuk balas dendam. Kalau korang hidup pada zaman Hang Tuah ni, korang nak ikut siapa? Jebat yang derhaka nak tuntut keadilan atau Tuah yang taat kepada sultan?

Setiap negara ada cerita tersendiri, kalau kat Malaysia ni, cerita Hang Tuah adalah kisah yang boleh dianggap legend. Sebagai rakyat Malaysia korang kenalah tahu cerita ini. Kalau nak tahu lebih banyak, korang boleh beli buku tentang Hang Tuah atau  download Hikayat Hang Tuah. Kalau malas nak membaca, korang bolehlah lawat Muzium Hang Tuah.

Popular

To Top

Send this to a friend