- 373Share sekarang!
- Email52
- Facebook321
- Share
Kalau korang perasan, rakyat Malaysia sekarang ni tengah sibuk bincang pasal Pilihan Raya Umum 14 (PRU14). Minggu lepas ahli-ahli politik ni ada penamaan calon, dan macam-macam cerita yang kita dengar. Kalau korang tak tahu apa-apa tentang politik – penamaan calon adalah proses calon yang bertanding sahkan diorang akan bertanding.
Korang pernah dengar tak istilah – kalah sebelum perang? Masa penamaan calon PRU14 ni, ada beberapa orang yang kalah sebelum perang. Maksudnya, belum pun PRU14 ni bermula, diorang dah kalah sebab tak dapat bertanding. Macam-macam punca yang sebabkan diorang ni tak dapat bertanding.
Jadi hari ni kami bawakan korang beberapa orang calon yang kalah sebelum bertanding. Tapi sebelum tu korang tahu tak asas-asas Pilihan Raya kat Malaysia? Biar kami kongsikan serba sikit…
Azwan Ali pun boleh jadi calon, macam mana sebenarnya nak jadi calon ni?
Sebagai rakyat Malaysia, korang kena tahu masa Pilihan Raya Umum akan ada dua jenis kerusi yang akan dipertandingkan. Kerusi pertama dipanggil Kerusi Parlimen. Geng-geng Ahli Parlimen nanti akan bersidang kat Dewan Rakyat. Jumlah kerusi Parlimen yang ada kat Malaysia ni 222 kerusi. Maksudnya, mana-mana gabungan parti politik yang dapat 112 kerusi masa PRU, diorang layak jadi kerajaan.
Lepas tu, ada pulak yang dipanggil Kerusi Dewan Undangan Negeri. Pemenang kerusi ni akan dipanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Geng-geng ADUN pulak akan bersidang kat Dewan Undangan Negeri (DUN). Setiap negeri ada diorang punya DUN sendiri – jumlah kerusi DUN pun akan bergantung pada negeri tu. Gabungan politik yang paling banyak ADUN boleh buat kerajaan kat negeri tu.
Ramai yang kena tolak sebab bankrap, macam mana diorang boleh bankrap?
Sebab paling utama ramai calon kalah sebelum bertanding adalah diorang ni dikatakan bankrap. Macam mana pulak yang dikatakan bankrap ni? Kalau korang tak tahu, hari ni kami akan tambah pengetahuan korang, macam biasa ler, sebab tu korang suka baca SOSCILIkan?
“Kebankrapan adalah satu proses di mana seorang penghutang itu diisytiharkan sebagai bankrap lanjutan daripada suatu Perintah Penghukuman yang dibuat di Mahkamah Tinggi terhadap penghutang tersebut atas kegagalan atau ketidakupayaan untuk membayar hutang sekurang-kurangnya RM30,000.00.” – Dipetik dari Jabatan Insolvensi Malaysia
Bankrap ni berlaku sebab tak bayar hutang yang lebih daripada RM30k. Lepas tu, untuk seseorang tu diisytiharkan bankrap, dia kena ada salah satu daripada 5 kriteria yang dah ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia.
Jadi calon-calon ni ditolak sebab diorang ni ada hutang lebih 30k dan tak settlekan lagi kot. Kalau diorang nak bertanding, wajib settlekan dulu status bankrap ni dengan Jabatan Insolvensi.
Geng-geng yang didakwa bankrap tapi masih nak bertanding kat PRU14
1. Datuk Seri Mohd Badri Abdul Rahman dari Gagasan Sejahtera bankrap
Kalau korang nak tahu, dia ni Naib Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN). Hah!? IKATAN ni apa benda pulak? Dalam Gagasan Sejahtera ni bukan ada PAS je, tapi ada IKATAN sekali. IKATAN ni ditubuhkan pada tahun 2015. Diorang ada hasrat perjuangkan Perpaduan, Kebebasan, Keadilan dan Kemakmuran.
Pada PRU14 ni, Mohd Badri nak bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri kat Subang Jaya, Selangor. Dia ni pun diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi dan menyebabkan dia tak dapat bertanding. Akhirnya tempat tu akan ada tiga orang je yang bertanding macam kat bawah ni.
2. Mohd Hafidz Rizal Amran bekas ketua AMK Kelantan bankrap
Kalau korang nak tahu, Mohd Hafidz ni calon Pakatan Harapan yang tak dapat bertanding. Tahun lepas dia ada isu – dia dipecat dari jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelantan (AMK). Dia dapat WhatsApp daripada Nik Nazmi pada pukul 9 pagi, dan dapat surat rasmi pemecatan pada pukul 11 pagi hari pemecatannya. Tahun lepas Parti Keadilan ada isu tentang Pengerusi PKR Negeri Abul Aziz Kadir yang dikatakan tak buat kerja dia.
Mohd Hafidz ni nak bertanding kerusi DUN Kuala Balah, kat Kelantan. Tapi dia diumumkan ada masalah bankrap pada saat-sata akhir pencalonan.
“Pembatalan kelayakan tersebut menyaksikan pertandingan satu lawan satu di kerusi Dun tersebut antara penyandang, Datuk Abd Aziz Derashid (BN) dengan calon Pas, Mohd Apandi Mohamad.” – Dipetik dari Sinar Harian
3. Pizi Jihat dan Yaakob Osman dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia pun bankrap?
Kali ni pulak cerita dari calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pizi Jihat yang nak bertandIng kat kerusi DUN Bukit Pasir, Johor. Kerusi DUN Bukit Pasir ni dipegang (PRU13) oleh Dr Shahruddin Md Salleh yang merupakan Setiausaha Agung PPBM. Maksudnya, besarlah kebarangkalian untuk Pizi Jihat ni menang kalau dia bertanding.
Tapi pada hari penamaan calon, Pizi Jihat diumumkan bankrap – maksudnya dia pun tak dapat nak bertanding. Menariknya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kata diorang ada je semak status Pizi Jihat sebelum penamaan calon, terbukti yang sebenarnya dia tak bankrap.
“Kami telah melakukan pencarian di laman web Jabatan Insolvensi yang mendedahkan bahawa status Pizi telah dibersihkan.”Tetapi pegawai yang menguruskan penamaan calon berkata Pizi adalah bankrap dan ini membingungkan.” – Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik dari The Star
Seorang lagi calon PPBM yang tak dapat nak bertanding sebab bankrap adalah Yaakob Osman. Dia ni Ketua PPBM Nibong Tebal dan nak bertanding kat DUN Penaga.
4. Raja bomoh pun nak bertanding, tapi sayangnya dia bankrap
Kalau korang masih ingat, masa MH370 dulu hilang, ada seorang yang mengaku Raja Bomoh buat ramai orang naik angin dan terkeluar angin. Masa dia kata nak cari MH370, dia dan kawan-kawan dia siap bawak kelapa untuk ritual cari MH370 tu.
“Kehadiran saya telah dipolitikkan. Kelapa tidak syirik. Ia mempunyai air tulen. Semua kaum menikmatinya.” – Raja Bomoh, dipetik dari MStar
Masa nak dekat PRU14 dulu, Raja Bomoh ni ada umumkan yang dia nak bertanding. Ramai jugak yang persoalkan dia ni layak ke nak jadi ahli politik, takkan dia nak bawak kelapa pergi Parlimenkan? Akhirnya dia ni pun diumumkan bankrap, jadi tak dapatlah dia nak bertanding. Kalau korang pengikut Raja Bomoh, jangan kecewa okay? Boleh relaks dan minum air kelapa.
“Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM), Ibrahim Mat Zin, 68, atau sebagai raja bomoh tidak bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi.” – Dipetik dari UTUSAN
Masalah alamat dekat kad pengenalan sebabkan calon tak dapat bertanding
Kalau korang nak tahu, untuk bertanding kerusi DUN – calon mestilah tinggal kat kawasan yang dia nak bertanding. Ada calon yang nak bertanding kerusi DUN tapi alamat kat kad pengenalan diorang masih belum ditukar. Jadinya diorang pun ada masalah nak bertanding. Tapi masa penamaan calon dulu, ada dakwaan yang kata calon BN sebenarnya tak layak jugak nak bertanding.
“Isu ini timbul ekoran alamat kad pengenalan Lau yang didakwa yang tidak memenuhi syarat sebagai calon. Tetapi apa yang berlaku adalah SPR seperti telah bekerjasama dengan JPN untuk melayakkan Datuk Lau walaupun tidak mematuhi syarat.” – Dipetik dari RoketKini
Mohd Azihan Che Seman adalah calon yang ditolak sebab ada masalah alamat kat pengenalan ni. Dia nak bertanding untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kerusi DUN kat Tawang, Kelantan. Pada awalnya penolakan Mohd Azihan ni tak jelas, tapi akhirnya diketahui yang dia tak dapat bertanding sebab masalah alamat pada kad pengenalan.
“Kerusi DUN Tawang hanya menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon Pas yang juga penyandang, Datuk Hassan Mohamood dan calon muka baharu BN, Datuk Mohd Radzuan Abdullah.” – Dipetik dari UTUSAN
Kena halang masuk dewan penamaan calon sebab tak buat pas perakuan SPR
Dalam banyak-banyak kes yang melibatkan penamaan calon, kes lupa bawak pas perakuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ni yang paling pelik. Sebelum ni, kita tak pernah dengar lagi kes macam ni – oleh sebab Dr Streram tak bawak pas perakuan SPR tu, dia tak dibenarkan masuk dewan pencalonan. Asalnya dia ni nak bertanding kat DUN Rantau, Negeri Sembilan.
“Saya dengar mesti ambil pas dari pejabat daerah, saya datang ke pejabat daerah sekitar pukul 6. Saya sampai mereka sudah tutup pejabat. Lepas itu saya tanya mereka (kakitangan pejabat daerah) mungkin esok pagi boleh ambil. Saya dan orang-orang kita turun sini tanya untuk pas tapi mereka cakap tanpa pas kita tak boleh masuk.” – Dipetik dari AWANI
Dr Streram katanya siap nak bawak kes ni di mahkamah untuk dapatkan keadilan dan batalkan kemenangan percuma Datuk Seri Mohamad Hasan, sebab dia dapat maklumat ada je tempat yang calon tak bawak kad pengenalan dan pas SPR.
Kalau Dr Streram berjaya batalkan kemenangan percuma Datuk Seri Mohamad Hasan kat DUN Rantau, maksudnya diorang akan adakah pemilihan semula. So, bolehlah Dr Streram ni bertanding kat tempat tu, harap kalau benda tu jadi – dia akan ingatlah nak buat pas perakuan SPR.
Kes Tian Chua yang tak dapat bertanding dan meragukan ramai orang
Kalau korang nak tahu, ada beberapa perkara yang boleh buatkan seseorang tu hilang kelayakan daripada menjadi calon. Selain daripada bankrap yang kami sembangkan awal-awal tadi, kena denda dan penjara pun boleh jadi punca. Ini peraturan yang jelas tentang perkara tu;
“Seseorang yang telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah di dalam Persekutuan dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu (1) tahun atau didenda tidak kurang daripada dua ribu ringgit Malaysia (RM2,000.00) dan belum menerima pengampunan.” – Dipetik dari SPR
Cerita dia macam ni, Mac tahun lepas Tian Chua didapati bersalah gunakan bahasa kesat kat polis dan didenda RM3,000. Lepas tu mahkamah Shah Alam dah kurangkan denda tu pada RM2,000, dan siap tulis dia boleh bertanding pada PRU14. Tapi masa Tian Chua nak bertanding kat Parlimen Batu, permohonan dia ditolak sebab dikatakan dah hilang kelayakan.
“Mahkamah dan Speaker Parlimen sebelum ini memutuskan bahawa denda RM2000 tidak membatalkan kelayakan seorang calon. Jadi beritahu saya jika ini bukan sabotaj yang sekarang membatalkan kekurangan @tianchua?” – Eric Paulsen, Lawyers for Liberty
Anehnya, banyak je orang cakap dia sebenarnya layak untuk bertanding. Kalau korang nak tahu, dia akan bawa kes ni ke mahkamah untuk dapatkan keadilan. Nampaknya untuk PRU14 kali ni kita takkan lihat Tian Chua bertanding sebab mahkamah dah tolak permohonan saman pemula. Hakim kes ni kata dia tak layak untuk dengar kes ni sebab dia tak dilantik sebagai Hakim Pilihan Raya.
Kalau korang nak bertanding, korang kena baca buku peraturan betul-betul
Kalau korang perasan, takde satu pun calon-calon Barisan Nasional yang ada masalah. Kami siap bersengkang mata kot nak cari kalau-kalau ada calon dari BN yang bermasalah, tapi tak jumpa. Kami rasa diorang dah bersiap gila-gila kot sebelum nak PRU14 ni, sampai semua hal-hal yang diperlukan oleh calon dah berjaya diselesaikan. Korang rasa teori kami ni boleh pakai ke?
Korang pulak kalau nak bertanding, cubalah baca peraturan Pilihan Raya tu betul-betul, sebab takut nanti ada masalah pulak. Kalau dah tahu diri korang tu bankrap, cepat-cepatlah korang settlekan dengan Jabatan Insolvensi dan bayar hutang! Kalau dah bankrap, dah sah-sah tak boleh jadi wakil rakyatkan? Apa-apa pun, macam iklan raya – selamat mengundi! Hati-hati di jalan raya yer, ingatlah orang tersayang!
- 373Share sekarang!
- Email52
- Facebook321
- Share