Desak tutup tahfiz? Tunku Abdul Rahman lah pengasas intitusi tahfiz di Malaysia

Artikel ni pada asalnya diterbitkan pada 04 Mei 2017. 

Baru-baru ni kecoh tentang cadangan peguam, Siti Kassim yang mencadangkan supaya Sekolah Tahfiz ditutup jika mahukan arak diharamkan di Malaysia. Perkara tu timbul selepas PAS sebelum ni mencadangkan kerajaan supaya  menggantung pengeluaran, perniagaan, dan penjualan arak sehingga “langkah baru” diambil untuk menghalang pemandu memandu dalam keadaan mabuk yang semakin menjadi-jadi.

Siti Kassim juga mempersoalkan tindakan PAS yang baginya selalu membisu berkaitan dengan penyelewengan dan salah urus pusat tahfiz, tetapi bising dengan isu arak.

“Terdapat berjuta-juta peminum alkohol yang minum secara bertanggungjawab. Kenakan hukuman yang keras terhadap peminum yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kemudaratan kepada orang lain.

__

Anda tidak dapat memaksakan moral, kepercayaan, dan nilai-nilai anda kepada orang lain. Hanya kerana anda tidak menyukainya, anda tidak boleh menghentikan orang lain dari menikmatinya.” – Siti Kassim, dipetik dari FB-nya.

Oleh itu, SOSCILI kali ni nak cerita sikit pasal sejarah institusi pendidikan agama di Malaysia (khususnya tahfiz), supaya kita dapat kenal mereka dengan lebih dekat.

Institusi tahfiz formal di Malaysia diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman

Sistem pendidikan berasaskan agama Islam di Malaysia dah bermula sejak dulu lagi. Pada mulanya ia bermula secara tak formal iaitu dengan belajar di rumah imam atau guru. Tapi sistem ni mula berkembang dan lahirlah institusi pondok. Setiap pondok pulak ada kurikulum mereka sendiri berdasarkan budi bicara tok guru masing-masing.

Antara subjek yang diajar adalah Tauhid, Fikah, Tasawwur dan Usul Fiqh. Seterusnya, institusi seperti ni mula lagi berkembang, sampai tertubuhnya institusi madrasah yang dipelopori oleh penggerak gerakan Islah (Syed Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaludin). Sistem kat madrasah ni lebih formal dan sistematik kalau nak dibandingkan dengan pondok.

Pelajar – pelajar pondok kat penempatan mereka. Imej dari livejournal.com

Maahad Tahfiz atau dikenali sebagai Tahfiz al-Quran pertama diasaskan pada tahun 1966Ia diberi nama sebagai Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat dan diasaskan oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman. Sekolah ini mula beroperasi kat Masjid Negara, Kuala Lumpur. Lepas tu, setiap negeri buka Maahad Tahfiz masing-masing dengan Kelantan menjadi negeri yang pertama.

Bila penerimaan masyarakat terhadap institusi tahfiz ni mula berkembang, muncul pulak maahad tahfiz persendirian (swasta). Maahad tahfiz swasta pertama yang ditubuhkan adalah Raudhatul Tahfiz al-Quran (sekarang Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat) di Jeram, Selangor.

Tunku lahirkan hasrat beliau yang nak adanya Institusi pengajian al-Quran di Malaysia. Imej dari Darul Quran.

Sejarah penubuhan Maahad Tahfiz swasta di Malaysia ni dikatakan berlaku apabila lepasan tahfiz al-Quran dari India dan Pakistan yang kembali ke Malaysia mula menubuhkan sekolah mereka sendiri di negara ini. Kerana tu jugalah kaedah tradisional masih lagi digunakan yang selalunya diambil dari India dan Pakistan, tapi disesuaikan dengan budaya tempatan.

Apa bezanya sekolah tahfiz swasta dan kerajaan?

Sekarang ni kita boleh nampak bilangan sekolah tahfiz dah mula bertambah macam cendawan tumbuh selepas hujan. Sebahagian sekolah tahfiz ni diuruskan oleh pihak kerajaan (pusat atau negeri) dan sebahagiannya pulak diuruskan oleh pihak swasta.

Berikut adalah ciri-ciri sekolah tahfiz kerajaan:

  1. Berjalan secara sistematik dan teratur.
  2. Pembelajaran berdasarkan apa yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Swasta pula:

  1. Ada kalanya tak berapa sistematik dan teratur.
  2. Tapi, masih ada juga yang diuruskan dengan baik dan moden.
Sebagai contoh Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) Klang yang diuruskan di bawah JAIS. Imej dari yanieyusuf.blogspot

Sebenarnya kebanyakan sekolah tahfiz swasta digalakkan untuk mendaftar dengan jabatan agama negeri masing-masing, untuk memudahkan pihak berkuasa buat pemantauan, bantuan dan cadangan. Tapi ada jugak lagi yang belum berdaftar.

Setiap sekolah tahfiz swasta ni jugak tawarkan sistem pendidikan tersendiri dan kokurikulum yang pelbagai, terbahagi kepada sistem moden dan tradisional. Pendidikan tahfiz secara moden ada struktur pengurusan, kurikulum dan kemudahanyang tersusun, manakala secara tradisional pulak kurang tersusun seperti yang moden.

Tahfiz moden selalunya diuruskan oleh kerajaan pusat atau negeri seperti Darul Quran yang diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Selalunya sekolah tahfiz milik kerajaan ada bangunan mereka sendiri, berbeza dengan tahfiz swasta yang dibina atas tanah sendiri, disewa atau diwakafkan.

Syarat nak masuk ke sekolah tahfiz kerajaan jugak dah ditetapkan. Seperti mana yang dah ditetapkan oleh Darul Quran. Manakala syarat nak masuk ke sekolah tahfiz swasta agak lebih mudah berbanding sekolah tahfiz kerajaan.

Antara pelajar yang mendaftar untuk masuk ke Darul Quran. Imej dari abunuha.wordpress

Sistem pembelajaran di sekolah tahfiz takdelah kolot macam yang diperkatakan

Untuk pengetahuan korang, berbeza dengan sekolah tahfiz kerajaan, selalunya sekolah tahfiz swasta ada sistem dan silibus pembelajaran mereka sendiri. Kami berbesar hati bila dapat berjumpa dengan Ustaz Mohd Najmi Inchik Hashim (Pengetua Maahad Tahfiz An-Nabawi, Shah Alam) untuk bercakap mengenai perkara ini.

“Mengikut kepada silibus atau sistem, setiap daripada Maahad Tahfiz swasta mempunyai sistem mereka tersendiri, tetapi dipantau oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)…

__

Sistem tahfiz swasta adalah berdasarkan sistem sendiri, sama ada tahfiz akademik, tahfiz sahaja (atau) tahfiz diniah, itu bergantung kepada maahad tahfiz masing-masing.” – Ustaz Mohd Najmi, Pengetua Maahad Tahfiz An-Nabawi, Shah Alam. Katanya kepada SOSCILI.

  • Tahfiz diniah (seperti Maahad Tahfiz An-Nabawi, Shah Alam) adalah maahad tahfiz yang buat hafazan al-Quran 30 juzuk dan dalam waktu yang sama ada mata pelajaran agama, seperti: sirah, akidah, tauhid, Bahasa Arab dan sebagainya.
  • Maahad tahfiz akademik pulak adalah maahad tahfiz yang buat hafazan al-Quran dan mengajar mata pelajaran akademik macam matematik, sejarah, sains, Bahasa Inggeris dan sebagainya.

Antara kaedah pengajian tahfiz adalah:

  1. Talaqqi – Pelajar memperdengarkan bacaan al-Quran kepada guru, untuk guru tersebut membetulkan tajwid, makhraj huruf dan baris-baris pada ayat-ayat al-Quran.
  2. Tasmi’ – Pelajar yang menghafal ayat al-Quran (minimum 1 muka surat sehari) memperdengarkan bacaannya kepada guru.
  3. Murajaah – Mengulang juzuk-juzuk yang telah dihafal.
Sistem pengajian yang dijalankan oleh Maahad Tahfiz An-Nabawi, Shah Alam. Klik imej untuk maklumat lanjut.

Walaupun penerimaan masyarakat pada institusi tahfiz mula berkembang, tapi ada juga yang kata sistem pengajian maahad tahfiz ni kolot dan ketinggalan. Menurut Ustaz Najmi, dakwaan macam tu sebenarnya tak adil. Walaupun begitu, beliau masih beranggapan yang dakwaan seperti itu adalah pendapat masing-masing dan setiap maahad tahfiz ada cara mereka yang tersendiri.

“Sebagai contoh kita di sini Maahad Tahfiz An-Nabawi, kita menggunakan kedua-kedua pendekatan. Pendekatan ini bermaksud adalah seperti mana (cara) guru yang dahulu pernah mengajar kita dan dalam masa yang sama kita terapkan mengikut kesesuaian keadaan semasa.” – Ustaz Mohd Najmi, katanya kepada SOSCILI.

Bagaimanapun, beliau tak menafikan kalau sekarang ni masih ada maahad tahfiz yang masih lagi mengamalkan cara lama dan kolot. Tapi beliau tegaskan, tak semua maahad tahfiz sebegitu.

“Memang tak dinafikan ada (maahad tahfiz yang kolot) yang beranggapan dia nak cara dia sendiri. Orang kena faham cara dia. Tapi saya masih tak beranggapan yang setiap tahfiz perlu sama. Cuma yang sama itu adalah apa yang ditetapkan oleh pihak tertinggi seperti jabatan agama Islam atau sebagainya. Cuma tak semua tahfiz yang bersikap kolot dan juga jumud.” – Ustaz Mohd Najmi, katanya kepada SOSCILI.

Antara komen netizen yang dakwa memang dah jadi kebiasaan sekolah tahfiz guna cara kekerasan.

Mengenai dakwaan yang kata pendidikan di maahad tahfiz adalah keras, ia jugak dinafikan oleh Ustaz Najmi. Sebabnya, sekarang ni zaman dah berubah dan cara nak mendisiplinkan pelajar pun mula disesuaikan dengan keadaan semasa. Cara macam merotan dah tak digunakan lagi. Sebaliknya dalam mendidik, perlu ada kelembutan dan dalam kelembutan itu adanya ketegasan dan bukannya kekerasan.

“…ada orang yang perlu dididik dengan cara lembut. Nabi pun tak mengajar supaya kita ni membuat pendekatan mendidik dengan cara keras.” – Ustaz Mohd Najmi, katanya kepada SOSCILI.

Ada macam-macam sebab kenapa ibu bapa hantar anak mereka masuk sekolah tahfiz

Seperti yang kitorang kata tadi, sekarang ni dah begitu banyak sekolah tahfiz yang muncul di negara kita. Berdasarkan pengalaman Ustaz Mohd Najmi, ada beberapa sebab kenapa ibu-bapa mula menghantar anak diorang ke sekolah tahfiz.

Antaranya adalah bila kehidupan anak-anak diorang kat sekolah biasa (kebangsaan) agak tak terkawal. Jadi ibu bapa pun pilih untuk hantar anak ni ke sekolah tahfiz, sebab diorang percaya yang anak itu boleh jadi baik. 

Selain tu, ada jugak ibu-bapa yang kata anak ni tak mampu nak bawa mata pelajaran akademik kat sekolah. Jadinya, mereka bawa anak tu ke sekolah tahfiz, walaupun kadang-kadang anak tersebut takde minat pun nak belajar kat sekolah tahfiz sebenarnya.

“Yang ketiga kenapa ibu bapa cenderung menghantar anak ke sekolah tahfiz adalah apabila sekarang ni kita nampak banyak isu-isu keagamaan dan rancangan-rancangan keagamaan yang timbul, yang boleh membuatkan seseorang tu cepat untuk jadi glamor.

___

Jadi bila anak mereka belajar, (mereka) boleh masuk rancangan-rancangan tertentu dan akhirnya menjadikan anak ini seorang ustaz yang ekspress.”  – Ustaz Mohd Najmi, katanya kepada SOSCILI.

Imej dari memegenerator

Sebab lain pulak ialah bila ibu bapa nak sangat nak tengok anak diorang ni dapat menghafal al-Quran 30 juzuk. Niat macam inilah yang sebenar-benarnya baik. Oleh disebabkan perkara-perkara ni, jadinya maahad tahfiz selalunya akan buat temuduga dulu sebelum terima mana-mana pelajar masuk. Antara faktor yang dipertimbangkan adalah:

  1. Pelajar itu mestilah boleh menghafal al-Quran.
  2. Ada pengetahuan ilmu-ilmu agama, sama ada pelajar tersebut ada pengetahuan asas tentang agama atau tidak.

Syarat-syarat ni penting supaya pelajar tadi tak akan ada masalah bila masuk sekolah nanti, macam mula hilang minat dan sebagainya. Cara nak pilih guru jugak dibagi perhatian sebenarnya. Antara kriteria yang ditetapkan masa temuduga adalah:

  1. Orang itu kenalah seorang penghafal al-Quran.
  2. Sekurang-kurangnya ada ijazah dalam bidang agama.
  3. Seboleh-bolehnya ada ijazah dalam bidang pendidikan atau ada pengalaman dalam pendidikan.
  4. Mesti ada jiwa pendidik dan minat mengajar.
  5. Seorang yang menjaga diri dan agama (khususnya dari segi akhlak dan penampilan).
Tido lagi dalam kelas. Imej dari Giphy.

Ada masa depan ke belajar kat sekolah tahfiz ni?

Ini mungkin antara soalan yang popular ditanya oleh pakcik makcik, abang kakak bila dengar ada orang hantar anak diorang ke sekolah tahfiz. Jika kita lihat garis panduan yang dah ditetapkan oleh JAIS, jabatan agama itu hanya mengiktiraf 2 sijil tahfiz iaitu Sijil Tahfiz Malaysia (STM) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Darul Quran dan Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran negeri. 

Menjawab persoalan ini, kata Ustaz Najmi, sijil yang diiktiraf ini selalunya digunakan untuk para pelajar yang nak melanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti. Jadinya, jika seseorang pelajar tu dah berjaya menghafal al-Quran, mereka boleh ambil ujian kat Darul Quran untuk terima Sijil Tahfiz Malaysia.

“Jadi di sini, sijil kita adalah sijil kita sendiri, di peringkat maahad tahfiz swasta. Cuma untuk lanjutan pelajaran ke luar negara itu adalah bergantung (pada sijil yang diterima). Mungkin dari kita (Maahad Tahfiz An-Nabawi) kita cuba dapatkan mana-mana pelajar untuk dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dan kita buat MOU dan kadang-kadang kita buat penghantaran ke sana mengikut daripada keizinan tempat tersebut.

__

Sebagai contoh kita hantar pelajar ke Afrika Selatan, menggunakan sijil yang kita ada dan mereka terima sijil kita. Jadi, kita bolehlah sambung belajar di sana.” – Ustaz Mohd Najmi, katanya kepada SOSCILI.

Antara syarat permohonan Sijil Tahfiz Malaysia. Klik imej untuk tahu lebih lagi pasal program-program yang ditawarkan oleh Darul Quran. Imej dari Darul Quran.

Sekarang ni, ada jugak sekolah-sekolah tahfiz yang tawarkan pembelajaran jangka pendek (fast track) kepada pelajar untuk ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadinya, takde alasan nak kata pelajar tahfiz ni ketinggalan dan takde masa depan. Baru-baru ini jugak, kita dilaporkan dengan berita yang membanggakan bila seorang pelajar tahfiz Malaysia, Jad Haris Sabaruddin dinobatkan sebagai juara Pertandingan Matematik Dunia.

“…seorang pelajar saya yang berkerja sebagai engineer (sekarang) keluarnya daripada maahad tahfiz. Selepas tamatnya maahad tahfiz, dia mohon untuk masuk Darul Quran dan selepas itu sambung belajar di universiti dan berkerja. Tak semestinya seorang pelajar tahfiz mesti menjadi ustaz, tetapi dia boleh pergi cabang yang lain, asalkan dia membawa al-Quran dalam dirinya.” – Ustaz Mohd Najmi, katanya kepada SOSCILI.

Pelajar tahfiz, ad Haris Sabaruddin menang pingat emas dalam Pertandingan Matematik Dunia di Manila, Filipina. Imej dari ismaweb.net

Sekolah tahfiz perlu dibantu dan bukannya dicemuh, tapi masih perlu dipantau

Dengan apa yang berlaku pada waktu sekarang, penyelesaian perlu difikirkan dalam menangani isu-isu tentang institusi tahfiz di Malaysia bukan sekadar hanya dicemuh:

“Kalau zaman dulu susah kita nak nampak orang hafal Quran, tapi sekarang ni ramai. Terima kasih juga kita ucapkan pada JAKIM sebab tubuhkan Darul Quran. Pada pandangan saya, janganlah kita meletakkan mentaliti buruk terhadap pusat-pusat tahfiz. Sebaliknya, hendaklah kita bantu pusat-pusat tahfiz, kita bantu untuk naikkan pelajar-pelajar tahfiz ini.

__

Apa yang boleh kita bantu, kita bantu. Kita nak kata pusat tahfiz ni sempurna, tidak. Setiap manusia ada buat kesilapan…. (Oleh itu) kita datang bantu pusat tahfiz dan bukannya condemn pusat tahfiz. Itu peluang untuk kita beramal baik kepada Allah SWT.” – Ustaz Mohd Najmi, katanya kepada SOSCILI.

Institusi tahfiz akan kekal relevan jika diuruskan dan dibantu sesuai dengan keadaan semasa. Imej dari islamiceducation.my

Dalam masa yang sama, keualiti hendaklah dijaga. Seperti mana yang disuarakan oleh Dr Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis). Ini kerana, masih banyak institusi agama (tahfiz) yang menyediakan guru-guru yang tak terlatih dan kurang berkualiti.

“Ada ustaz dia sendiri gagal dahulunya gagal dalam pendidikan, akhirnya membuka sekolah sendiri tanpa memiliki sijil ataupun latihan pendidikan yang sepadan. Apakah lagi untuk memiliki diploma atau sijil perguruan. Akhirnya, mereka menjadi tenaga pengajar yang tidak cukup ilmu dalam bidang pendidikan dan kaedah ataupun pedagogi pengajaran.” – Prof Madya Dr. Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Oleh itu, dari peristiwa yang berlaku terhadap allahyarham Thaqif, hinggalah kepada kes kebakaran di pusat tahfiz, ia semoga menjadi ikhtibar kepada setiap institusi tahfiz, ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya.

 

[Kami mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada Ustaz Mohd Najmi Inchik Hashim, Pengetua Maahad Tahfiz An-Nabawi Shah Alam atas kerjasama dan perkongsian dari beliau.]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.