Jenayah & Undang-undang

Ah ku & Karayuki-san: Pelacuran berlesen di Tanah Melayu lebih 100 tahun dahulu

(This article is a translation. For the original, visit CILISOS)

Apabila Tunku Abdul Rahman melaungkan “MERDEKA” pada tanggal 31 Ogos 1957, itu menandakan tamatnya penjajahan kuasa luar di Tanah Melayu. Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511, tanah ni terus menerima ancaman penjajahan dari beberapa kuasa asing seperti Belanda, British dan Jepun.

Setelah kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Ke-2 (WWII), British kembali berkuasa di Tanah Melayu sebelum kita bebas dari cengkaman kolonial pada tahun 1957. Disebabkan British adalah penjajah paling lama dan terakhir di negara ni, maka banyaklah nilai-nilai British yang diterima pakai sehingga sekarang.

Hal tu termasuklah sistem perundangan, Parlimen, pendidikan, budaya, seni bina dan sebagainya. Walaupun banyak benda yang British buat tu ada juga beri kebaikan kepada Tanah Melayu, tapi banyak lagi yang tak baik. Contohnya seperti dasar pecah perintah yang kita terima kesannya sehingga ke hari ini. Tapi, topik yang SOSCILI nak ceritakan kali ni bukan pasal sejarah politik sangat, sebalik tentang aktiviti pelacuran. Ya, sebabnya…

Aktiviti pelacuran pernah bebas berjalan di zaman penjajahan British

Haram di sisi agama dan undang-undang negara. Imej dari Sarawak Voice.

Sekarang ni, semua orang tahu yang aktiviti pelacuran salah di sisi undang-undang dan agama. Nak-nak lagi bila ada rancangan 999 di TV3 yang selalu kita nampak pihak berkuasa serbu pusat pelacuran tu.

Tapi, rupa-rupanya keadaan agak berbeza pada tahun pertengahan 1800-an hingga 1930-an apabila pandangan terhadap aktiviti pelacuran dan rumah pelacuran ni agak lembut sikit. Masa tu, bukan je aktiviti pelacuran – tapi aktiviti bercandu dan berjudi pun dibenarkan oleh kerajaan kolonial Inggeris. Maknanya, nampak orang bercandu, berjudi dan masuk tempat pelacuran tu dianggap biasa je, khususnya di bandar-bandar.

Walaupun begitu, kebanyakan aktiviti dan rumah pelacuran ni selalunya terdapat di kawasan-kawasan yang ada ramai golongan imigran seperti di Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Singapura dan Melaka) atau kawasan yang ada aktiviti perlombangan macam Perak dan Kuala Lumpur.

Mengenai bangsa wanita yang terlibat pula, rekod Inggeris mencatatkan kebanyakannya terdiri dari kalangan wanita Cina (dipanggil ah ku) dan Jepun (dipanggil karayuki-san). Manakala, bangsa Melayu juga ada, tapi tidaklah begitu ramai. Namun begitu, pelacur berbangsa Inggeris tak dibenarkan oleh pemerintah kolonial.

“Lebih jauh di Jalan Batu adalah ‘kedai Melayu’, sebuah bangunan usang yang dikawal oleh ‘moma’, seorang wanita Melayu yang sangat gemuk – di sini anda boleh mendapatkan bir sejuk atau gadis Melayu jika anda mahukannya. Berdekatan juga adalah ‘rumah Siam’ dengan gadis-gadis Siam…”- Dipetik dari Migrants, Minorities & Health: Historical and Contemporary Studies.

Karayuki-san selalunya berpakaian macam ni di Pulau Pinang dan Singapura. Imej dari Singapore’s National Archives.

Walaupun begitu, agak sukar mendapatkan rekod tentang adanya pelacur dari kaum India dan perkara tu akan terjawab nanti. Sebelum tu, kita kena tahu juga yang aktiviti pelacuran dan rumah pelacuran ni sebenarnya dah dilesenkan oleh pihak British. Buktinya, pada tahun 1893, dianggarkan terdapat 958 pelacur berlesen di Pulau Pinang, 150 (Melaka) dan 1,080 (Singapura). Jumlah tu tak termasuklah lagi dengan pelacur tak berlesen dan tak direkodkan.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Sebenarnya, ada sebab kenapa British membenarkan aktiviti tak bermoral ni di Tanah Melayu. Antaranya adalah pihak kolonial anggap pelacuran ni penting kerana ia terkait dengan keperluan sosial ketika tu. Ini kerana…

Disebabkan kemasukan buruh Cina: bilangan lelaki terlalu ramai, sedangkan wanita tak cukup

Perlombongan di Klian Pauh, Perak. Imej dari Malaysia Central.

Antara tahun 1880 hingga 1930-an, dah berlakunya penghijrahan besar-besaran buruh asing ke Tanah Melayu dan kebanyakan dari kalangan lelaki Cina. Maka wujudlah ketidakseimbangan antara jumlah lelaki dan perempuan Cina di Tanah Melayu. Pada tahun 1881, dianggarkan terdapat lebih 67,000 lelaki Cina berumur 15 tahun ke atas di sini, berbanding hanya sekitar 9,000 sahaja wanita Cina dalam kategori sama.

Jadinya, disebabkan British mahukan mereka ni terus ada motivasi dan gembira, British pun benarkan aktiviti melibatkan seksual atau pelacuran.

“… pandangan yang dominan adalah bahawa keinginan dan dorongan lelaki perlu ‘dipuaskan’ dan bahawa, jika tidak ada wanita sebagai isteri, pelacur memberikan ‘kemahuan umum’ dan merupakan kejahatan yang diperlukan, untuk menyelamatkan kita dari sesuatu yang lebih buruk.” – Dipetik dari Migrants, Minorities & Health: Historical and Contemporary Studies.

Bagaimanapun, ketidakseimbangan ni tak berlaku dalam kalangan masyarakat India yang kebanyakannya datang ke Tanah Melayu bersama ahli keluarga masing-masing. Jadinya, tak ada istilah kurangnya perempuan dalam kalangan masyarakat India. Selain itu, ada juga yang berpandangan kurangnya pendapatan mereka berbanding buruh Cina dan kehidupan masyarakat India di estet-estet menyebabkan aktiviti pelacuran agak asing bagi mereka.

Akan tetapi, bukan buruh asing je yang dapat manfaat dengan aktiviti pelacuran ni, ia juga turut dimanfaatkan oleh pegawai-pegawai bujang British dan Sikh yang datang ke Tanah Melayu. Tapi, tu tak bermakna yang rumah pelacuran ni terlepas daripada dikunjungi suami orang.

Karayuki-san di Tanah Melayu. Imej dari NST.

Selain tu, aktiviti pelacuran di kalangan orang Melayu pula ada dikaitkan dengan peningkatan nilai mas kahwin ketika iaitu dari $22.50 kepada sekitar $100 – $125. Hal ni menyebabkan ramai yang terpaksa menangguhkan perkahwinan sampai umur 25 tahun, berbanding belasan tahun sebelum itu. Ia turut menyebabkan ramai yang terlanjur dan terlibat dalam aktiviti mengambil pelacur.

Namun begitu, walaupun bantahan terhadap aktiviti ni agak kurang menyerlah di kalangan masyarakat Tanah Melayu ketika itu, ia akhirnya diharamkan oleh British pada tahun 1930-an kerana membabitkan isu kesihatan dan moral. Tindakan itu diambil oleh British kerana salah satunya untuk nak menjaga reputasi dan imej mereka. Tapi timbul pula masalah lain, bila…

British berdepan pula dengan masalah homoseksual

Bantahan terhadap Akta Kesalahan Seksual 1967 di Britain. Imej dari Historical Association.

Seperti yang diceritakan tadi, antara sebab utama kenapa pelacuran ni muncul adalah kerana kurangnya bilangan wanita berbanding lelaki imigran yang datang ke Tanah Melayu. Makanya, mereka masa tu ada 3 pilihan sama ada: tahan nafsu, pergi ke rumah pelacuran ataupun ‘mencintai jantina sejenis’.

Ya, masalah tikam belakang juga dihadapi British ketika itu. Sebelum pelacuran diharamkan, bukan je ada pelacur dalam kalangan wanita, tapi ada juga di kalangan lelaki. Hal ni cukup terkenal ketika itu, sehinggakan ia menarik perhatian umum masyarakat.

Berdasarkan rekod British, dicatatkan yang selain dari pergi ke rumah pelacuran – buruh Cina juga terkenal dengan cara ‘mengurus keperluan mereka tanpa wanita’. Hal ni kemudiannya disokong dengan beberapa kes penyakit seks kelamin seperti sifilis yang dilaporkan tinggi di kalangan pelayan lelaki Hainan. Tentang siapa yang bagi sifilis kepada pelayan rumah Hainan tu pula tidak dijelaskan. Tapi apa yang pasti orang British juga terlibat dengan aktiviti ni.

“Hal ini berlaku di negeri-negeri Selat dan Bersekutu, di mana kakitangan kolonial Inggeris, tentera laut dan darat, peladang dan wakil syarikat mengambil wanita dan perempuan simpanan tempatan, berhubungan dengan pelayan lelaki dan mengunjungi rumah pelacuran sebagai perkara rutin.” – Dipetik dari Migrants, Minorities & Health: Historical and Contemporary Studies.

Malah, perkara ini juga dikatakan jadi di kalangan anggota tentera British. Seorang askar Britain yang bertugas di Singapura pernah mengaku bahawa ada pegawai komando unitnya tahu terdapat askar lelakinya yang melakukan hubungan seks antara satu sama lain di paya bakau, tapi dia cuma tutup mata je tentangnya.

Tentera British di hutan Tanah Melayu pada tahun 1957. Imej dari National Army Museum.

Secara ringkasnya, perlakuan homoseksual ni tetap menjadi kebimbangan British, khususnya tentang hubungan homoseksual antara kaum. Selain dianggap mengancam keabsahan dan kewibawaan pentadbiran kolonial, hubungan sejenis antara kaum juga dilihat sebagai risiko keselamatan.

Sentimen ini kemudiannya diketengahkan dalam satu perbicaraan kerana kelakuan tidak senonoh antara penembak artileri Britain dan seorang lelaki Cina pada tahun 1941. Mahkamah ketika itu diberitahu…

“… apa yang membuat pelanggaran ini lebih serius ialah apabila anggota Angkatan Duli Yang Maha Mulia menurunkan diri mereka pada tahap binatang seperti ini, mereka tidak hanya memberikan kesan yang sangat buruk terhadap diri mereka sendiri, tetapi mereka juga membuka peluang terhadap pemerasan yang mungkin tidak dibayar dalam wang… saya mengisyaratkan, tuan, tentang kemungkinan pengintipan. ” – Dipetik dari The Strange Career of Gross Indecency: Race, Sex, and Law in Colonial Singapore.

Kini, aktiviti tak bermoral sebegini dah diharamkan sama sekali

Yang kita selalu nampak kat rancangan 999. Imej dari Harian Metro.

Seperti yang dimaklumkan, apa yang kita cerita ni sebenarnya berlaku sebelum tahun 1930-an di Tanah Melayu. Dan perkara ni akhirnya ditamatkan apabila British bertindak mengharamkan aktiviti pelacuran. Bila isu homoseksual pula berbangkit, British dah meminda undang-undang khusus untuk menjenayahkan hubungan seks sesama jenis di Tanah Melayu.

Tapi seperti biasa, walaupun dah diharamkan – ia tak menghalang wujudnya aktiviti pelacuran dan homoseksual secara haram. Dikatakan, ada bekas pelacur yang kemudiannya guna taktik baru dengan melepak di kedai kopi atau kabaret. Ada juga yang menjadi pelayan di kelab-kelab atau menjadi perempuan simpanan kepada bekas pelanggan masing-masing.

Dengan itu, aktiviti pelacuran tidaklah hilang di Tanah Melayu, malah sehingga kini kita masih berdepan dan berusaha untuk membenterasnya.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend