- 496Share sekarang!
- Email96
- Facebook400
- Share
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 25 April 2018, dan telah diolah selaras dengan peredaran masa.
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)
KEMASKINI JANUARI 2021: Baru-baru ini Pengerusi DAP Negeri Johor, Liew Chin Tong mendedahkan bahawa kerajaan telah meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ekor kepada 22 kali setahun, berbanding 8 kali pada 2020. Hal ini juga menimbulkan kebimbangan Dewan Pemuda PAS, yang seterusnya menyeru supaya segala aktiviti perjudian di negara ini dibanteras.
KEMASKINI NOVEMBER 2021: Kerajaan Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengharamkan kedai nombor ekor dengan tidak lagi memberikan kelulusan lesen premis perjudian.
____________
Mungkin ada di antara korang yang pernah berharap atau terfikir nak jadikan duit yang cuma beberapa ringgit kepada jutaan ringgit! Tapi macam mana? Jadinya, antara cara paling mudah dan berisiko adalah beli nombor ekor atau nombor 4D!
Walaupun aktiviti ni memang sah-sah haram dalam Islam, tapi tak dapat dinafikan yang ramai je orang Islam masih terlibat dalam aktiviti tikam nombor ni. Buktinya, baru-baru ni kita dapat berita – ada orang Malaysia kena tipu dengan bomoh nombor ekor yang dikenali sebagai ‘Haji Ando’ dan didakwa berasal dari Indonesia.
Macam biasa, caranya kita kena bagi duit dulu pada dia dulu, pastu semua dah tahu sendiri apa yang jadi… Haji Ando pun lesapkan diri dengan deposit tu sekali.
“Saya hubungi nombor itu dan bercakap dengan seorang lelaki yang kata dia boleh tawarkan servis tersebut. Saya rasa curiga bila dia minta deposit dan ambil keputusan untuk tarik diri. Saya juga nampak di media sosial ada yang telah ditipu dengan lelaki ni. Ada yang kata Haji Ando ni boleh ramalkan nombor sampai menang RM1 juta. Tapi bila dah bagi duit, dia pun lesap.” – Yunos Md Alif, hampir kena tipu. Dipetik dari New Straits Times.
Dari sudut lain pulak, boleh ke nombor ekor ni diramal? Tapi sebelum tu…
Ini dia apa yang dimaksudkan dengan nombor 4D
Kitorang ni bukan nak mengajar korang cara nak beli nombor, tapi hanya nak bagitau macam mana caranya sistem ni berjalan. Pertama, ‘4D’ tu sebenarnya bermaksud ’empat digit’. Caranya, korang kena teka empat digit nombor dan taruhkannya dengan duit. Kalau nombor korang tu naik, kayalah korang nanti.
Antara syarikat yang terkenal di Malaysia ni tentulah Da Ma Cai, Magnum 4D dan Sport Toto yang kita selalu nampak, tapi tak pernah masuk (ye la tu). Format diorang ni sama je sebenarnya.
Secara mudahnya, korang teka satu set nombor, taruhkan duit dan beli tiket nombor. Lepas tu, 23 set nombor akan diumumkan dan kalau nombor yang korang taruhkan tu ada dalam senarai, korang akan menang duit berdasarkan jumlah duit yang korang pertaruhkan (kalau korang main yang ‘big’). Tapi kalau korang main yang ‘small’, nombor korang mesti sama dengan yang top 3 je. Kelebihannya, nilai kemenangan ‘small’ lagi tinggi dari yang ‘big’.
Bila dengan hanya RM1 korang boleh menang sampai RM3,500, jadi macam mana pulak kalau korang taruhkan RM1,000? Tak kaya korang? Sebab itulah ramai yang sanggup buat kerja-kerja khurafat semata-mata nak menang nombor ekor ni.
Jin bomoh nombor ekor berlawan dengan jin syarikat judi
Dalam hal ni, ada satu jurnal dari UKM yang menceritakan macam mana dunia mistik dikaitkan dengan amalan nombor ekor. Dalam jurnal tu, ada seorang bomoh di Kelantan yang dakwa dia dapat bantuan makhluk ghaib atau khadam dengan menggunakan keris.
“…bomoh Seman Janggut menerangkan nombor ekor ialah suatu nombor (angka) yang boleh diramalkan oleh bomoh ekor sebagai nombor pembawa tuah mahu pun nombor sial. Manakala, ekor pula merujuk angka pada bahagian hujung (akhir) nombor.” – Dipetik dari jurnal tulisan Azlina Musa & Yusmilayati Yunos.
Untuk dapatkan nombor tu, bomoh kena jalankan ritual tertentu – antaranya dengan guna keris yang dilumurkan darah – sama ada darah binatang, orang mati dibunuh atau orang kemalangan. Keris tu juga diasapkan dengan kemenyan. Tujuannya untuk ‘memanggil atau menarik’ duit.
Lepas tu, bomoh ni tadi akan pilih wang kertas yang ada nombor siri ganjil. Kemudian, wang kertas tadi akan dilalukan kat garisan berlubang pada bahagian tengah keris. Dengan cara ni, keris tadi dipercayai akan panggil semangat duit dan korang boleh guna duit tu untuk beli nombor ekor.
Tapi ada juga cara lain, macam apa yang seorang bomoh (dikenali sebagai Tok Mudo) ni buat. Caranya, kad yang ada nombor 0 sampai 9 akan diletakkan di depan keris. Pada masa sama, keris tu akan digantung dengan besi pemberat atau dililit dengan benang dan diasapkan kemenyan.
“Keris yang telah digantungkan dengan benang mentah akan bergerak atau pun musing dalam loghat Kelantan dan akan membantu bomoh dalam memilih suatu nombor yang bakal menang dalam loteri tikam nombor ekor.” – Dipetik dari jurnal tulisan Azlina Musa & Yusmilayati Yunos.
Menurut bomoh-bomoh ni, diorang akan hantar makhluk ghaib diorang ke syarikat judi untuk dapatkan nombor mana yang akan menang. Disebabkan ramai yang buat macam ni, dikatakan syarikat judi pun ada makhluk ghaib diorang sendiri untuk jaga nombor-nombor ni supaya jangan bocor.
Jadinya, berlakulah perlawanan antara makhluk ghaib syarikat loteri dengan makhluk ghaib bomoh. Bila pihak bomoh ni menang, barulah nombor tu akan muncul di besi keris yang dijampi tadi.
“Lazimnya, nombor tersebut akan dihantar oleh makhluk ghaib pada besi keris kepada bomoh hanya tiga kali sahaja. Di sini, bomoh harus peka dengan alamat nombor yang diberikan oleh makhluk ghaib dengan melakukannya dengan penuh teliti.” – Dipetik dari jurnal tulisan Azlina Musa & Yusmilayati Yunos.
Tapi, semua ritual ni masih ada pelbagai syarat dan pantang larangnya. Termasuklah bila nombor ni boleh dibeli, berapa duit pengeras dan sebagainya. Di samping tu, ada juga yang gunakan cara lain – macam guna burung Bayan yang akan pilih nombor yang disediakan.
Malah, ada turut yang anggap anak babi hutan boleh bawa tuah macam apa yang jadi di Teluk Intan, Perak. Bila anak babi ni merayau di kampung, ada kaki loteri akan belai dulu anak babi tu, sebelum beli nombor ekor. Selain ada yang akan gosok duit pada belakang babi hutan dan gunakan duit tu untuk beli tiket loteri. Upacara mengangkung nombor di kubur atau makam tertentu pun banyak terjadi.
Dah bosan dengan cara tradisional, ada yang guna cara moden macam ada website yang kata diorang gunakan konsep algorithm atau buat ramalan nombor dengan guna tarikh lahir. Tapi, tak tahulah cara ni betul ke tidak.
Ada juga yang kena tipu dengan bomoh Siam
Sebelum korang berhenti kerja atau pergi jumpa mana-mana bomoh, korang ingatlah yang tak ada jalan pintas di dunia ni. Seperti mana yang jadi dalam kes Hj Ando yang kita baca tadi, sebenarnya sebelum kes penipuan Haji Ando ni, banyak je kes scam yang ada. Malah, ada yang siap promote servis diorang dengan guna pamplet bagai.
Salah satunya apa yang jadi pada seorang suri rumah berumur 26 tahun ni. Pada tahun 2015, Wong dah dapat satu pamplet dengan paparkan seorang sami Siam yang boleh tolong menang nombor. Lepas simpan pamplet tu selama 2 tahun, akhirnya Wong pun tergoda dan call sami tu.
“Seorang lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Seng Shu beritahu yang saya ada tuah untuk menang RM960,000 tunai dengan beli loteri. Bagaimanapun, saya kena bank-in RM20 ke dalam akaun bank di bawah nama ‘Suvitta Agarbathi Dharma’ kalau nak dapatkan nombor tu.” – Dipetik dari The Sun Daily.
Dengan RM20, beberapa hari lepas tu Wong dapat empat digit nombor dan tangkal, tapi dia diminta untuk bakar benda tu. Kemudian, dia kena hubungi pula pembantu sami tu, Ah Dong. Ah Dong lepas tu datang dan bagi empat lagi digit nombor yang sama dengan nombor plat motor dia. Tapi bila Wong beli nombor tu, dia tak menang pun.
“Saya hubungi Ah Dong lagi dan dia minta saya bank-in RM360 dalam akaunnya, kalau saya nak menang.” – Katanya pada The Sun Daily.
Tapi macam biasa, dia tetap tak menang. Lepas tu, dia call balik orang tadi sampai 32 kali! Akhirnya, dia dah guna RM240,000 untuk benda ni je!
Dalam kes lain pula, sorang ahli perniagaan dah bayar RM60,000 pada seorang sami Siam sebab nak menang jackpot RM100 juta. Beberapa hari lepas dia bagi deposit RM4,000, sami tu call dia dan bagitau yang dia dah menang dan minta supaya ahli perniagaan ni hantar duit lagi supaya duit tu boleh dibawa masuk ke Malaysia secara diam-diam (tak kena cukai dan sebagainya). Tapi lepas bank-in duit, korang tahulah apa yang jadi kan…
Ada sorang ni, sanggup duduk bawah jambatan semata-mata nak kaji nombor ekor
Nombor 4D ni boleh diramal atau tak sebenarnya? Kalau kita tanya pada bomoh mesti diorang kata boleh. Kalau tanya pala syarikat loteri pula, diorang mesti kata tak boleh. Jadi, boleh ramal atau tak? Untuk jawab soalan tu, ada seorang lelaki dari China, Wang Chengzhou yang duduk di bawah jambatan. Aik kenapa pulaksampai duduk bawah jambatan?
Sebenarnya, Wang ni ada cita-cita besar nak buat kajian pasal loteri. Bila dia takde kerja part-time atau apa-apa, dia akan buat research formula matematik untuk cari rahsia nombor loteri yang boleh menang. Untuk buat semua tu, dia kena bersendirian, jadi pilihannya di bawah jambatan.
Walaupun mak dia ada merayu kepadanya dia supaya balik bila Tahun Baru Cina, Wang tetap tak nak balik selagi di masih belum berjaya. Tapi, ada satu professor matematik pernah kata yang usaha Wang tu hampir ‘mustahil’, sebab nombor loteri ni diambil secara rambang.
Tapi kita pun tak tahulah sama ada usaha Wang tu akan berhasil ke tak. Macam yang kita dengar tadi, jin bomoh dengan jin syarikat loteri siap bergaduh sebab nombor ekor ni.
Elakkan diri dari perbuatan khurafat
Sebagai umat Islam, rujukan kita mestilah al-Quran dan sunnah. Menurut dua sumber ni, dah disahkan yang judi tu haram, tanpa ada sedikit pun khilaf ulama.
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…” – al-Baqarah: ayat 219.
Tapi macam mana pula dengan peraduan atau pertandingan yang janjikan hadiah. Contohnya macam pertandingan memancing. Dalam hal ni, ulama menyebut – kita kena tengok sumber hadiah tu datang dari mana. Adakah ia datang dari yuran penyertaan pertandingan atau hadiah sumbangan dari individu atau agensi tertentu.
“Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Tapi kalau hadiah tu ditaja oleh orang atau agensi tertentu dan tak libatkan yuran peserta, ia tak dikira judi.
“…hadiah hendaklah datang dari pihak tidak terlibat dengan pertandingan, sementara yuran yang diambil hanyalah untuk urusan kemudahan dan kebajikan perserta sahaja.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.
Kesimpulannya, tak ada jalan mudah di dunia ni sebenarnya. Kita juga boleh nampak lebih banyak kesan buruk dari baiknya judi ni semua. Kerana judi jugalah rumah tangga bergolak, diri tak terurus dan ada juga yang sanggup bunuh diri. Itu belum masuk jumpa bomoh bagai. Dahlah nak buat benda haram, kita terjerumus pula dalam kekhurafatan.
- 496Share sekarang!
- Email96
- Facebook400
- Share