Ramai bantah haiwan dijadikan bahan uji kaji, tapi ada menteri galakan gunakannya?

Baru-baru ni, ada berita tergempar mengenai ada perusahaan luar negara kat Vietnam dengan China yang tengah rancak mengembangkan industri perniagaan fesyen berasaskan bulu kucing. Iaitu dengan perniagaan kostum fesyen menggunakan bulu dan kulit kucing.

Bulu kucing tu kemudiannya dijadikan pakaian, kasut, sarung tangan dan macam-macam aksesori fesyen yang lain. Sebelum ni, kita semua maklum yang China merupakan negara yang selalu ada kontroversi mengenai aktiviti kekejaman haiwan yang diaorang selalu buat. Sebelum tercetusnya industri bulu kucing tu, ada satu daerah kat China yang anjurkan pesta makan anjing dan kucing pada setiap bulan Jun setiap tahun. Jadi, bagi diaorang perkara macam ni dah biasa.

Dan disebabkan hal ini, Persatuan Haiwan Malaysia buat bantahan secara besar-besaran terhadap industri tu melalui media sosial. Tapi, bila sebut pasal kekejaman haiwan ni pun, Malaysia tak terlepas daripada aktiviti tu jugak.

Hmm ada ke orang sanggup beli? Imej dari Sirap Limau

Ajinomoto gunakan kaedah renjatan elektrik kat haiwan untuk ujikaji

Rasanya, kita semua tahu mengenai kes kucing bunting yang dimasukkan dalam mesin pengering kat satu dobi dulu. Dan, ekoran daripada tu, tertuduh, K.Ganesh dijatuhkan hukuman penjara selama 34 bulan dan denda sebanyak RM40,000.

Daripada kes aktiviti kekejaman binatang ni, sebenarnya ia tak tertumpu pada penderaan secara fizikal yang dijatuhkan hukuman je, banyak lagi aktiviti lain yang boleh terjebak sekali dalam kekejaman binatang ni. Dan baru-baru ni, ada sekumpulan ‘tikus’ dah buat demonstrasi kat depan ibu pejabat (HQ) Ajinomoto Malaysia Bhd. Tapi biar betul tikus hidup???

Ni bukanlah tikus mondok ataupun tikus yang korang selalu jumpa kat kedai makan tu. Imej dari FMT.

Sebenarnya, bukanlah tikus betul tapi tu adalah aktivis daripada Persatuan Hak Asasi Haiwan (PETA) yang buat provokasi supaya Ajinomoto menghentikan ujian ke atas haiwan. PETA dikatakan ada kumpul bukti untuk mengatakan Ajinomoto buat ujian ke atas haiwan dalam pengeluaran produk-produknya.

Kilang Ajinomoto yang berasal daripada Jepun tu memang secara aktifnya selalu buat eksperimen kat haiwan sebagai salah satu cara untuk menguji sama ada MSG yang diaorang hasilkan tu boleh menjejaskan saraf pusat ke atas manusia ataupun tak. Berdasarkan kenyataan PETA, antara eksperimen yang diaorang selalu buat adalah menggunakan renjatan elektrik kat binatang, paksa ia berlawan antara satu sama lain, suntik dadah, mengeluarkan darah, membunuh dan membedah binatang tu untuk tujuan uji kaji produk.

 

Bukan tikus ni. Ada bezanya tikus dan tetikus ye. GIF dari Giphy

Tapi pihak Ajinomoto sendiri ada mengatakan yang diaorang tak buat pun aktiviti ujian kat haiwan ni. Walaubagaimanapun, diaorang ada bagitahu yang setiap aktiviti dan ujian yang diaorang buat adalah mengikut ketetapan dalam Undang-undang Perlindungan dan Pengurusan Haiwan di Jepun termasuklah mematuhi etika dan peraturan saintifik antarabangsa. Jadi, apa yang diaorang buat ni memang tertakluk pada undang-undang yang ditetapkan lah.

Tapi, kitaorang ada jumpa yang … Maksudnya diaorang ada suntik MSG kat haiwan tu secara kejam ke?

Jeng … jeng … jeng…

Selain tu, sebenarnya aktiviti ujian terhadap haiwan ni merupakan ujian wajib kat syarikat-syarikat besar terutamanya dalam industri makanan dan kosmetik. Syarikat Coca Cola, PepsiCo dan Kellogg antara syarikat yang pernah bergiat dalam ujian haiwan ni. Tapi, diaorang dah tak buat lagi jenis ujian yang macam tu dengan mengikuti dasar baru yang dikeluarkan oleh PETA. Masalahnya sekarang ni, pengujian haiwan yang dibuat tak ikut spesifikasi yang dah ditetapkan.

Ada menteri cakap haiwan memang dicipta untuk diuji?

Dalam lebih kurang sedekad yang lepas, ada satu kenyataan daripada pihak menteri yang menyokong aktiviti ujian haiwan dengan mempertahankan rancangan, untuk buat satu makmal pengujian ubat ke atas haiwan kat Melaka pada tahun 2009. Ketua Menteri Melaka waktu tu, Mohamad Ali Rustam ada bagitahu yang makmal untuk ujikaji tu dah diluluskan, dan pengujian haiwan perlu dilakukan untuk membuat bekalan ubat kat situ.

Makmal ujikaji haiwan kat Jerman. Imej dari ladbible.com

Kilang ubat yang dicadangkan untuk dibina kat Melaka tu berasal daripada syarikat India, iaitu Vivo BioTech dan bersama rakan kongsi yang merupakan hak milik kerajaan negeri Melaka, iaitu Melaka Biotech Holdings serta syarikat teknologi tempatan Vanguard Creative Technologies. Memandangkan Vivo BioTech dah tandatangan perjanjian usaha sama yang melibatkan kos bernilai RM450 juta, Ali Rustam ni seboleh-bolehnya nak cadangan projek tu diteruskan jugak. Dia jugak ada kata yang:

“Dalam Islam, Allah menjadikan haiwan sebagai makanan dan juga untuk digunakan oleh manusia. Mana boleh dihalang kita jalankan ujian ke atas haiwan? Anda mahu ujian dijalankan ke atas manusia?

“Itu takdir (binatang),” – Mohamad Ali Rustam, bekas Ketua Menteri Melaka, sumber dari MalaysiaKini. 

Penubuhan pusat bioteknologi yang mempunyai makmal pengujian ubat ke atas haiwan tu dikatakan tak masuk akal sebab takde lagi kajian saintifik mengatakan pengujian haiwan diperlukan untuk membuat ubat. Pihak Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) pun tak puas hati mengenai hal ni dan mengatakan penubuhan pusat bioteknologi tu takde kepentingan pun untuk buat pengujian haiwan untuk produk ubat-ubatan diaorang tu.

Betul lah tu kilang ubat. Imej dari tangkapan skrin Vivo BioTech

Selain tu, penubuhan makmal tersebut jugak boleh disalahgunakan dengan mengeksploit haiwan sebab waktu tu Malaysia takde lagi peraturan penyelidikan haiwan yang selaras dengan undang-undang Malaysia. Bukan takde, akta tu dah ada iaitu Akta Binatang 1953 tapi taklah secara terperinci macam akta yang baru dipinda. Dan Akta Kebajikan Haiwan kat Malaysia yang lebih terperinci pun baru je diluluskan kat parlimen pada tahun 2015 dan dikuatkuasakan pada tahun 2017.

Walaupun Ali Rustam ada bagitahu yang keselamatan haiwan akan terjamin dengan pemantauan daripada jabatan hidupan liar untuk pastikan haiwan tak disalahgunakan dan ikut prosedur yang betul, tapi rancangan tu tak diteruskan atas desakan ramai. Sebab dah banyak berita mengenai kekejaman yang berlaku kat makmal ujikaji haiwan ni. Mungkin sebab tak boleh terima dengan desakan orang ramai, dia ada bagitahu yang makan haiwan pun dikira kejam, tapi perkara tu dapat jugak diterima secara meluas.

Saintis cipta tikus klon untuk tujuan pengujian haiwan

Walaupun ada aktivis yang kata takde penemuan saintifik mengenai pengujian haiwan ke atas penghasilan produk ubat-ubatan, tapi berdasarkan Foundation for Biomedical Research pada tahun 2015, 95% haiwan yang digunakan untuk ujikaji ubat tu adalah tikus. Berdasarkan kajian tu, haiwan tersebut digunakan untuk ujikaji ubat penawar kanser hinggalah kepada ujian makanan tambahan.

Cara penghasilan tikus transgenik. Imej dari Creative Biolabs

Kebanyakannya memang akan bergantung dan gunakan haiwan yang jenis mamalia kecik macam tu sebab diaorang mudah nak dikendalikan. Selain faktor murah dan cepat membiak.

Sebenarnya pengujian haiwan ni memang digunakan secara konsisten oleh saintis untuk tujuan ujikaji. Berdasarkan kajian kat National Human Genome Research Institute, haiwan mamalia yang selalu dijadikan pengujian haiwan contohnya macam tikus, dia sebenarnya ada genetik dan sifat biologinya lebih kurang macam manusia. Jadi, sebab tu lah ujikaji produk kat haiwan yang macam tu selalu dibuat sebab ia sesuai. Sebab nama dia pun tikus makmal mungkin???

Dan untuk kurangkan pengeksploitan ke atas haiwan yang tak bersalah ni, saintis ada buat kajian untuk hasilkan tikus ‘transgenik’ dengan tikus SCID (Severe Combined Immune Deficiency). Tikus-tikus yang ala-ala klon ni dihasilkan mempunyai genetik yang lebih kurang sama macam manusia. Dan antibodi diaorang memang dicipta khas untuk jadi lebih kurang sama macam punca jangkitan penyakit kat manusia.

Kesan kat binatang daripada pengujian haiwan. Imej dari change.org

Untuk tikus SCID, ia diklonkan secara semulajadinya dicipta takde sistem ketahanan badan daripada serangan penyakit (immune system). Tikus ni dicipta bertujuan untuk mengkaji penawar penyakit kronik manusia contohnya macam Parkinson, kanser, HIV dan masalah saraf spinal yang dijadikan model penyelidikan untuk keberkesanan sesuatu ubat yang dicipta tu.

Betul ke boleh buat pengujian haiwan ni?

Kalau kita perhatikan, pengujian haiwan ni memang kerap dilakukan lagi-lagi kat makmal-makmal perubatan. Kalau korang masih ingat lagi, dulu waktu sekolah dengan zaman belajar, mesti korang ada pengalaman bedah tikus kan? Tapi kenapa pulak dalam bidang yang macam tu tak kena apa-apa hukuman ataupun tindakan daripada undang-undang mahupun PETA?

Ni mungkin tikus tu sendiri buat ujian kecergasan. GIF dari Giphy

Sebenarnya, haiwan yang nak digunakan dalam penyelidikan, latihan, pengajaran, pembelajaran dan pengujian untuk aktiviti biologi, mestilah dijalankan dengan mengikuti etika yang ditetapkan. Iaitu dengan secara lebih terperinci mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam undang-undang Akta Kebajikan Haiwan 2015 dalam Seksyen 26. 

Dan syarat utamanya kat sini, semua kajian yang melibatkan kegunaan haiwan ni mestilah mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib dulu dan perlulah berlesen. Selain tu, pengujian ke atas haiwan bukanlah dengan cara yang kejam dan kasar. Dia mengikuti etika yang dah ditetapkan dalam akta tu. Kalau korang nak tahu lebih lanjut mengenai apa yang diperuntukkan dalam akta tu, saudara kitaorang kat AskLegal ada buat artikel pasal tu. Klik sini untuk baca.

Tapi, berbalik semula dalam kes Ajinomoto ni, pengujian haiwan yang dia buat sangatlah kejam. Walaupun ada banyak syarikat pengeluar makanan yang ‘pernah’ buat ujikaji yang sama, tapi nampaknya Ajinomoto ni menggunakan pendekatan yang agak ekstrem kat haiwan-haiwan tu. Antara prosedur yang diaorang selalu buat sejak daripada tahun 1950-an lagi adalah dengan membedah perut haiwan tu dengan menyuntik dia dengan MSG dan asid amino, paksa dia berenang dan suntik dengan ubat-ubat kanser yang bertoksid. 

Hmm nak buat apa lah tu kat kucing tu. Imej dari PETA.org

Dalam kajian, asid amino yang haiwan perlukan hanyalah daripada sumber semula jadi yang diperlukan dalam habitat diaorang. Tapi asid amino yang disuntik dalam sektor pemakanan ni sebenarnya bahaya untuk binatang. Dan secara tak langsung ia menyebabkan kebanyakan pengujian haiwan ni tak berjaya dan hanya menyebabkan kematian kat haiwan-haiwan tu. 

Kebajikan haiwan perlu dilindungi, ada alternatif moden disediakan

Kebanyakan syarikat makanan yang menggunakan pengujian haiwan ni dilakukan dengan cara yang kejam dan tak mengikuti undang-undang yang dah ditetapkan. Jadi, itu menjadi salah satu punca PETA menggesa banyak syarikat makanan untuk menghentikan kaedah eksperimen yang macam tu.

Korang pernah jumpa arnab besar macam tu? Imej dari Harian Metro

Sebenarnya, berikutan dengan perkembangan teknologi moden sekarang ni, kaedah penyelidikan yang tak menggunakan haiwan dah diperkenalkan. Iaitu diinovasi dengan menggunakan tisu manusia, iaitu secara In Vitro Testing. Dan daripada kajian mengenai inovasi ni, ianya adalah lebih senang, berkesan dan murah berbanding daripada pengujian haiwan biasa yang lain.

Menjadi lumrah manusia untuk sentiasa memperbaiki sebarang kaedah kerja dan teknologi. Kalau kita boleh berinovasi untuk melawan perubahan iklim dan pemanasan global. Takkan untuk ujikaji sesuatu bahan kita tak boleh pilih alternatif yang lebih baik dan tidak menzalimi haiwan kan?

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)