Wang & Kareer

Betul ke Kedai 1Malaysia murah? Ini 8 tempat nak cari barang lagi jimat

Akhir minggu ni kita dikejutkan dengan berita yang Kedai Rakyat 1Malaysia kini telah didutp secara berperingkat. Menurut Malaysiakini, semua cawangan di Kelantan telah ditutup, Menurut Berita Harian, kawasan Lembah Klang pun turut terasa termasuklah Kelana Jaya dan Petaling Jaya yang ternyata tak berJaya operasinya.

Menteri KPDNKK berkata yang ini hanyalah persedian untuk KR1M 2.0 nanti.

KR1M V2.0, sila download update dengan aplikasi Android anda. Iphone takde, sebab iPhone untuk orang kaya je. Gambar dari Berita Harian.

Namun Timbalan Ketua Pemuda AMANAH membidas kenyataan ini, mengatakan yang alasan penambahbaikan tu macam pelik, sebab sepatutnya ia biasanya dibuat secara berperingkat tanpa menjejaskan operasi harian semua premis KR1M.

“Kenyataan Hamzah Zainuddin tersebut bertentangan dengan kenyataan Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd akhir Julai lalu yang menyatakan bahawa mereka mengalami kerugian besar. Seharusnya operasi KR1M diteruskan jika kerajaan mampu membantu meringankan beban Mydin.” – Faiz Fadzil, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, dipetik daripada laman Facebooknya.

Ah tak kisahlah pasal KR1M ke, krimer manis ke, rakyat jugak yang susah. Menurut Malaysian Insight, kebanyakan keluarga bergaji RM3K-RM4K guna 80% gaji mereka untuk barang harian je. Sebab tu ramai yang masih pergi ke pasar basah untuk barang-barang dapur.

Tapi selain pasar basah, kat mana nak lagi cari barang murah?

1. Betul ke kedai Rakyat 1Malaysia murah berbanding kedai runcit yang lain?

YouTube 1Malaysia Official pernah kata yang barang kat KR1M adalah 50% lebih murah daripada pasaraya lain. Tapi bila kami baca komen kat Facebook, lain pulak ceritanya…

Screenshot dari FB Sinar Harian.

Jadi macam mana pulak dengan kedai runcit yang lain? Mula-mula kami nak masukkan 7-eleven sekali, tapi 7-eleven tak banyak pilihan barang-barang dapur, yang ada pun macam mahal berdasarkan dua barang yang kami tangkap:

Sebagai peminat tegar Milo, editor lepas ni singgah Speedmart je la.

 

Jadi kami cuba buat perbandingan ringkas bagi barang-barang asas macam nasi, Maggi, telur dan lampin – kat KK Mart dan Speedmart, dan ini apa yang kami dapat:

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Kami rasa dua-dua beras cap rambutan tu sama jenis. Betulkan kalau salah!

Kami tak jumpa jenama yang sama, jadi ini je yang kami dapat setakat ni.

Lampin pun susah nak bandingkan sebab saiz kat kedua-dua kedai runcit adalah berbeza-beza.

Kawan editor, Jonathan yang memiliki firma pengiklanan sendiri. Tak kisahlah kaya ke miskin, selagi boleh jimat, kita jimat. Chat daripada Facebook.

Yang mudahnya pasal kedai runcit kecil macam ni, dia senang nak carik berbanding pasaraya besar sebab banyak cawawangan. Nak lagi untuk orang bujang atau keluarga kecil yang hanya beli dalam kuantiti yang sedikit.

2. Pasaraya besar mana lagi murah? Giant, TESCO, atau AEON?

Sebelum ni, sedara kami CILISOS pernah buat artikel yang membandingkan harga kat Giant, TESCO, dan AEON. Apa yang boleh disimpulkan daripada artikel tersebut adalah harga bagi barang-barang yang berbeza adalah berbeza (tu tak payah bagitau pun takpe #apelaSOSCILI).

Ini contoh promosi beras 10kg yang ada kat TESCO dan Giant (kat AEON kami tak jumpa).

Kalau korang perasan, harga asal beras cap rambutan kat TESCO, tanpa promosi, KK Mart/Speedmart lagi murah.

Ini pulak harga telur Nutriplus bagi Giant Kelana Jaya dan TESCO Online:

Tapi kalau nak banding dengan Speedmart tadi, Speedmart lagi murah. Tapi model lain la, kalau itu penting buat korang.

Ini antara barang-barang lain yang kami jumpa kat Giant dan Tesco.

Dua-dua pun ada promosi. Korang nak kecik ke besar.

Apa yang bagusnya pasal TESCO adalah dorang buat promosi standard kat semua cawangan. Lagipun, TESCO je yang ada website di mana korang boleh tengok harga, beli secara online, siap ada mobile app lagi.

Kalau korang jenis nak beli bekalan setahun (mana la tau ada serangan zombi), ramai yang cadangkan beli dekat NSK sebab ia adalah tempat pemborong runcit dan jugak pasar segar.

“Kalau beli stok sebulan, NSK memang pilihan yang tepat. Malah barang-barang dia pun penuh. So senang. Jaranglah takde stok kalau barang-barang kering ni, dan barang-barang basah dia pun segar-segar.” – Sarah ketika diinterview oleh SOSCILI.

“Saya akan pergi ke NSK walaupun jauh dari rumah sebab harga dia sangatlah murah. Rasa berbaloi sebab beli sekali banyak.” – Wanie ketika ditemuramah.

Imej dari NSK.

3. Kat kedai dobi pun boleh jimat walaupun seringgit!

Selain takde mesin basuh baju kat rumah, mungkin ada antara korang memilih untuk mencuci baju kat kedai dobi sebab malas, lagipun kat dobi lagi mudah dan cepat kering.

Ada yang memilih untuk basuh baju kat dobi tradisional, sebab siap berlipat lagi. Tapi dobi macam ni susah nak cari, malah ada yang mengadu pasal pengusaha yang campurkan pakaian untuk untung lebih.

Jadi kat sini kami bagi tips sikit pasal kedai dobi 24 jam yang tumbuh merata sekarang ni:

  • Harga kebanyakannya bermula dengan RM 5 berat minimum, dan RM 4 untuk dryer
  • Kalau pandai cari lubang, ada yang lebih murah. Contohnya kat Kelana Jaya ada Wash & Save yang caj RM 4 je untuk basuh 16kg.
  • Kalau nak jimat lagi, basuh baju kat dobi dan bawak balik kat rumah untuk jemur!

Maaflah kalau ada gambar sudut dia pelik. Editor tak cukup tinggi.

Alah mesti ada antara korang yang muatkan selagi boleh dalam tong 10kg tu kan. Tapi kami nak ingatkan, tak semua cawangan ada mesin basuh yang paling ringan, kadang-kadang dia start dengan mesin yang lebih besar. Jadi bagi yang baju sikit tu, kena cari dobi yang sesuai la.

4. Beli daripada pasaraya online macam Lazada, 11Street, Shopee, dan Astro Go

Yang ni memang kami tak payah cakap banyak, korang cari je terus ke laman web Lazada, 11Street, Shopee, dan Go Shop untuk membandingkan harga yang mana lagi murah.

Mi, jenama yang dipercayai. Gambar daripada Lazada.

Tapi kena ingat, sesetengah laman web memang nampak murah dengan diskaun bagai, tapi tiba-tiba ada caj penghantaran! Jadi kenalah berhati-hati.

Aik, caj penghantaran je hampir separuh harga Milo.

5. Pernah dengar pasal Daiso dan Mr DIY yang ada segala-galanya? Mana satu lagi murah?

Ada lagi ke yang tak pernah dengar pasal Daiso dan Mr DIY? Dua-dua kedai ni hampir ada SEGALA-GALANYA barang pepejal yang korang perlukan (kadang-kadang yang korang tak tau pun korang perlukan). Yang takde adalah mesin bancuh simen je.

Jadi, mana lagi murah? Kami buat perbandingan ringkas – beli beberapa perkakasan dapur iaitu pinggan, cawan, sudu, garpu, sudip, senduk, penapis, pisau, berus pinggan.

Oleh kerana jenama kat kedua-dua kedai ni lain-lain, kami cuba cari yang saiz atau kuantiti lebih kurang serupa. Jadi kalau kat Daiso kami beli pisau potong lobak, kat Mr DIY takdela kami cari pisau sembelih kerbau pulak. Dan ini hasilnya:

Tak banyak pun bezanya kalau barang tu lebih kurang sama saiz.

Ok sebenarnya ada perbezaan besar antara Daiso dan Mr DIY:

  • Kat Daiso semua barang adalah RM 5.90. Jadi mungkin pilihan dorang tak banyak macam Mr DIY, sebab semua barang dihadkan sekitar harga tu. Tapi oleh kerana Daiso berasal dari Jepun, korang boleh jumpa barang-barang yang comel dan unik.
  • Mr DIY ada lebih banyak pilihan, dari yang paling murah kepada yang agak mahal. Contohnya kalau korang kedekut sangat, beli je sudu budak kecik untuk hidangkan kepada tetamu korang. Oh kalau korang nak tau, Mr DIY ni adalah syarikat Malaysia.

6. Bagi yang takde water filter tu, korang beli air mineral kat mana?

Korang tahu kan, kita ada mesin air yang murah tu? Harga untuk sebotol besar macam kat bawah ni baru 20 sen je. Jauh betul bezanya dengan harga kedai yang lebih kurang RM 10 tu. Cuma yang penting korang kena ada bekas je, sebab bekas air mineral hanya boleh digunakan beberapa kali je.

Satu lagi benda yang lebih penting, pastikan mesin kat tempat korang diservis selalu.

Editor masukkan 50 sen sebenarnya, tapi 20 sen dah penuh. Korban Raya Haji je la lebih 30 sen tu.

7. Kalau nak claim tol, topup lah setiap kali

Seperti yang korang tau, kebanyakan plaza tol dah memberhentikan bayaran secara tunai untuk mengurangkan kesesakan. Jadi bagi yang kena travel sebab kerja tu, terpaksalah guna Touch N Go sambil menitiskan air mata sebab tak dapat resit.

Tapi jangan resah jangan gelisah, korang masih boleh dapat resit kalau korang topup! Hanya perlu mintak resit kat akak tol tu. Kalau korang ada banyak masa la sebelum meeting tu.

UPDATE: Sorang pembaca kami kata kalau kita daftar kad TnG, boleh dapatkan penyata. Penerangan akan menyusul!

JANGAN LUPA MINTAK RESIT!

8. Guna tren, bas berbayar dan bas free!

Bagi korang yang guna tren ke tempat kerja tu, ada satu lagi alternatif iaitu menggunakan perkhidmatan bas percuma.

“Kalau dari Sogo nak ke KL Central, naik LRT kos RM1.70. Kalau dari Pasar Seni ke Bukit Bintang kos RM2.20. Tapi kalau naik bas goKL, free je dan takyah tukar-tukar LRT.” – Nurul Hanum, diterumarah oleh SOSCILI

“Aku baru habis main cc, nampak banyak bas Go KL, bas ini percuma sahaja, untuk bawa kau keliling KL. Kau boleh ambik bas ini di Pasar Seni. Ada lagi bas free, di PJ (warna hijau), kau boleh ambik bas tu di Stesen Taman Jaya – Asia Jaya, ini bas yang percuma, dan ianya menyeronokkan” – Dipetik dari Benz Ali.

Bas percuma untuk semua orang. Imej dari The Star

Tapi macam mana kalau dari tren yang korang naik tu nak ke tempat kerja dan takde perkhidmatan bas percuma ni?

“Dari station LRT Kelana Jaya ke perhentian bas yang berhampiran pejabat, harganya adalah RM1. Tapi ada sebuah lagi bas yang menurunkan penumpang ke Paradigm Mall yang free, jadi saya cuma naik bas tu dan kena jalan sikit la ke pejabat. Boleh exercise sikit” – Adi, kawan opis kitorang.

Haa tengok tu, walaupun memang takde bas berhenti atau lalu kat depan pejabat korang tu, tak bermakna korang tak boleh berjimat. Cuba korang try cari-cari laluan mana yang ada perkhidmatan bas percuma ni, dan korang kenalah jalan kaki sikit.

Korang boleh rujuk, laluan mana yang ada bas free. Ini adalah untuk KL. Imej dari SPAD.

Laluang bas percuma Selangor. Gambar dari IPR.

Bas percuma ni bukan je ada kat KL je dan Selangor dan Johor Bahru (Bas Muafakat Johor) pun ada jugak tau!

Selain daripada bas free, naik bas biasa pun boleh menjimatkan kos. Tapi tu lah, kena rajin bertanya sebab kalau tengok laluan yang disediakan confirm urat serebrum korang akan berdenyut terlebih pantas.

Jadi kalau tak dapat nak Google atau tak faham nama perhentian (tak kiralah KL atau Selangor), rajin-rajinlah bertegur sapa dengan orang keliling ataupun pakcik kat kaunter tu sendiri #rakyatMuhibbah. Malu bertanya sesat jalan, secara harafiahnya.

Seringgit-seringgit, lama-lama jadi dua ringgit

Seringgit pun jangan buang. Itu amalan syaitonn. Gif dari Imgur.

Sebenarnya manfaat mengetahui tempat-tempat yang murah ni bukanlah sekadar untuk menjimatkan duit korang, terutama untuk masa depan, tapi juga dapat melatih kita supaya sentiasa sedar akan perbelanjaan korang setiap hari. Bukanlah bermaksud korang tak boleh enjoy sekali-sekala, tapi elakkan pembaziran. Nak lagi bagi orang bujang yang baru bekerja ataupun pasangan yang baru dapat anak – hah baru merasa kena bawak bekal ke ofis hari-hari.

Selain berjimat, jangan lupa buat simpanan secara manual. Tengok akak kita ni, simpan RM 20 tiap kali, dan setelah setahun dah dapat kumpul RM 12600 untuk anak dia. Bagi yang merokok sekotak sehari tu, cuba bayangkan dah berapa banyak hutang dah boleh settle…

(Artikel ini ditulis bersama editor MK dan juga penulis Emma.)

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend