Pesta di KL jadi senjata ahli politik? Kami keluarkan kenyataan mereka satu-persatu

Sebelum ni, bulan Oktober tak pernahnya kecoh.Macam bulan-bulan biasa, kita sibuk menghadap traffic jam dan beratur bayar bil air dan elektrik. Tapi baru-baru ni, tiba-tiba kita terdengar pasal Oktoberfest, iaitu pesta tradisi orang-orang Bavaria di Jerman. Ia bukan sahaja minum arak semata-mata, malah pesta untuk makan sosej, ayam, pretzel dan juga menari.

Di Malaysia jugak, tak terlepas dari sambutan Oktoberfest ni. Malah pada tahun 2014 lagi Isma dah mengkritik Ketua Menteri Melaka, Idris Jusoh kerana membenarkan Oktoberfest secara terbuka kat Jonker Walk.

KL

Dan tahun ini, acara ni menjadi perdebatan besar apabila Oktoberfest di KL atau Better Beer Festival 2017 (BBF17) anjuran Mybeer (M) Sdn. Bhd. telah dibatalkan.

Mari kita mulakan perjalanan cerita Oktoberfest ni yang dulunya kurang kita dengar hingga boleh jadi isu yang terhangat pada ketika ni. Ianya bermula apabila…

DBKL menolak permit penganjuran kerana kumpulan militan?

Pada 6 September 2017, portal NGO ISMA telah menulis satu artikel mengenai Oktoberfest yang akan berlangsung di Publika, KL. Artikel tu memuatkan gambar-gambar pimpinan DAP dan PKR yang pernah menyertai festival tu dulu. Empat hari lepas tu, Dr. Ridhuan Mohammad Nor (AJK PAS Pusat) pula menulis artikel mengenai Oktoberfest setelah merujuk artikel ISMA. Tapi dia tak menghentam mana-mana ahli politik cuma menamakannya sebagai pesta maksiat.

“Kita tidak sanggup jika Kuala Lumpur dikenali oleh dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia.” – Dr. Ridhuan Mohammad Nor, AJK PAS Pusat, petikan dari Harakah Daily.

Dr. Ridhuan Mohammad Nor. Imej dari The Malay Mail Online.

Kenyataan daripada artikel ni juga telah diambil oleh portal berita antarabangsa macam Telegraph dan Reuters.  Lepas tu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi mewakili PAS Kelantan juga turut keluarkan kenyataan yang pesta ni tak menjaga sensitiviti orang Islam. Dia jugak rasa kecewa kepada DAP yang menyokong serta mempertikaikan peranan AMANAH yang senyap sahaja. Bantahan ni menjadi semakin hangat apabila Exco Kerajaan Selangor mengeluarkan kenyataan yang pesta arak tetap diteruskan.

“Negara kita adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, oleh itu Pas dibenarkan terus menyuarakan bantahan mereka, namun pesta arak ini tetap akan diadakan,” – Datuk Teng Chang Kim, juga SU DAP Selangor, petikan dari Sinar Harian.

Datuk Teng Chang Kim. Imej dari MyKuasa.

Pada 18 September 2017, penganjur Oktoberfest telah mengeluarkan kenyataan hasil perbincangannya dengan DBKL bahawa pesta tu dibatalkan kerana isu lesen serta sensitiviti politik. Kenyataan turut dikeluarkan oleh Datuk Bandar KL yang mengatakan sebab ia dibatalkan adalah kerana isu sensitif dan menimbulkan kemarahan rakyat. Bagi Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan ia dibatalkan sebab faktor keselamatan dan bercanggah dengan undang-undang kecil DBKL.

“Bukit Aman mendapat maklumat risikan tentang kumpulan militan merancang untuk mensabotaj acara tersebut.” – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, petikan dari mStar.

Oktoberfest 2014. Imej dari Hype.

Isu ni akhirnya mendapat perhatian ramai termasuk individu dan pimpinan parti-parti politik. Keluar sahaja berita pembatalan ni, maka banyak parti-parti politik mengeluarkan pendapatnya sama ada secara peribadi atau mewakili parti. Jom kita tengok satu persatu.

Pemimpin parti politik terawal yang mengeluarkan respon selepas dibatalkan

Antara yang terawal mengeluarkan respon dengan menyatakan bantahan adalah Dr. Siti Mariah, Ahli Parlimen Kota Raja (Ketua Wanita AMANAH). Sebab dia bantah kerana pesta ni menggalakkan budaya meminum arak. Dia juga merasa semenjak festival ni dipolitikkan, makin ramai yang join.

“Tetapi sejak ia dipolitikkan, ada segelintir yang mahu menghadirinya hanya kerana membantah apa yang mereka rasakan sebagai usaha orang Melayu-Islam untuk menyekat hak, serta memaksakan nilai kepada orang bukan Melayu.” – Dr. Siti Mariah, petikan dari Malaysiakini.

Dr. Siti Mariah. Imej dari The Malay Mail Online.

Esoknya, kenyataan dikeluarkan pula oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar/Naib Presiden AMANAH) dengan artikel bertajuk ‘Pesta Arak dan Hal Berkenaan Dalam Menentukan Hak Bukan Islam dalam Siyasah Syarieyah’. Antara isi artikel tu,

 “Oleh kerana itu pihak penganjur Better Beer Festival perlu memahami bahawa sebarang sekatan bukanlah menghalang hak bukan Islam dari meminum arak tetapi ianya adalah menyekat terjejasnya ketenteraman awam yang lebih besar yang menolak budaya pesta arak.” – Dr. Mujahid Yusuf Rawa, petikan dari websitenya.
Dr. Mujahid Yusuf Rawa. Imej dari The Star Online.

Datuk Seri Liow Tiong Lai (Menteri Pengangkutan/Presiden MCA) telah membawa perkara ni ke mesyuarat kabinet untuk penjelasan sebab tak berpuas hati dengan keputusan DBKL. Lepas dengar penjelasan Tengku Adnan, MCA bersetuju dengan DBKL yang ianya dibatalkan demi faktor keselamatan.

Pesta ini mula menjadi alat untuk serangan politik

Selepas penerimaan tersebut, Datuk Seri Ti Lian Ker (Ketua Biro Keharmonian Agama MCA) muncul mempertikaikan peranan DAP apabila Oktoberfest itu dibantah. Mereka mempertikaikan kenapa DAP senyap waktu ada bantahan dari PAS yang merupakan sekutu diorang dulu. Sedangkan MCA telah mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan DBKL.

Datuk Seri Ti Lian Ker. Imej dari The Star Online.

Walaupun parti-parti politik sudah mula serang-menyerang, pihak penganjur pulak tak bercadang nak tukar tempat penganjuran. Penganjur akan terus membuat perjumpaan dengan DBKL sambil menerangkan bagaimana pengurusan keselamatan yang mereka lakukan sebelum-sebelum ni sangat ketat tanpa sebarang masalah.

Pada 24 September, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menyatakan pendirian negeri bahawa penganjur BBF17 dibenarkan pindahkan lokasi festival di Selangor. Tapi, diorang kena ikut peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Baginya, pendirian ni diambil untuk menghormati budaya kaum yang membentuk rakyat Malaysia.

Pada 26 September, barulah keluar kenyataan dan pendirian dari kerajaan pusat melalui Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi. Dia telah mengarahkan polis untuk menghalang penganjuran pesta tersebut.

TPM Malaysia. Imej dari The Malay Mail Online.

Pada 27 September, PAS yang diketuai Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (Parlimen Kuala Nerus) telah turun berjumpa Datuk Bandar Petaling Jaya untuk menyerahkan bantahan apabila penganjur BBF17 membuat permohonan baru di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Pada 29 September, Exco Selangor Datuk Teng Chang Khim sekali lagi memberi respon kepada PAS supaya tidak mencampuri urusan penganjuran Pesta Arak BBF17 di negeri Selangor.

“Adakah PAS mahu jadi hero? Pemimpin PAS terutama di Kelantan jaga tempat (negeri) sendiri, jaga tempat mereka dahulu…PAS melompat dalam isu pesta arak macam orang mabuk. Saya yang minum (arak), kenapa dia (pemimpin PAS) yang mabuk? Kenapa PAS hendak sibuk?,” – Petikan dari Berita Harian.

Apa yang peliknya, walaupun setelah mengarahkan pembatalan festival ini, TPM Zahid Hamidi kata ia kini hal polis, so kena tanya Ketua Polis Negara (IGP). Tapi IGP sendiri pulak kata dorang takde kuasa meluluskan permit, so kena tanya majlis perbandaran. Pulak…

Ketua Polis Negara, gambar dari Malaysia Kini

Selepas MB Selangor, negeri lain mula meletakkan pendirian dalam penganjuran Oktoberfest ini

Walaupun Better Beer Festival masih menunggu permohonan, festival seperti Centro Mall German Food & Beverage Festival telah dibenarkan untuk dianjurkan Oktober ni oleh Majlis Perbandaran Klang kerana mematuhi syarat. Antaranya berjaya mendapatkan lesen menyediakan minuman keras, pengesahan polis serta tak benarkan orang Islam datang. Jadinya festival yang menyediakan minuman keras dibenarkan di negeri Selangor tapi perlu memenuhi syarat.

Bila tanya pasal Oktoberfest. Bagi negeri lain jawab dulu.

Negeri lain takkan senyap je kan? Lepas je Selangor menyatakan pendirian pasal festival ni, kemudiannya, barulah beberapa pimpinan negeri lain keluarkan macam-macam pendapat sama ada melalui Menteri Besar atau Exco diorang.

  • Negeri Sembilan

MB Negeri Sembilan, Mohamad Hasan mengatakan tiada halangan untuk orang bukan Islam meminum arak. Tapi, dia tak setuju ia diadakan dalam satu festival kerana jadi contoh yang tak baik untuk golongan belia.

“Festival arak telah bermula dengan Oktoberfest di Jerman, dan ianya telah membawa kepada huru-hara. Inikah yang kita mahukan di Malaysia? Saya tak rasa orang Malaysia yang berfikiran waras akan menerimanya.” – MB Negeri Sembilan, petikan dari FMT.

  • Sarawak

Abdul Karim Rahman Hamzah (Exco Sarawak) mengatakan Sarawak terbuka jika Oktoberfest ingin dillakukan kat negeri tu. Sebab ianya merupakan festival budaya dan makanan dan bukannya festival meminum alkohol semata-mata. Di Malaysia, festival ni di salah tafsir sebab diuruskan oleh pub-pub arak yang berlainan dengan konsep yang orang Jerman buat. Di Sarawak, festival ni dipromosikan sebagai Oktoberfest bukan festival arak.

“Orang Islam juga menyambut Oktoberfest sebagai pesta makanan dan kebudayaan, hanya tak perlu minum alkohol. Kita perlu ingat yang Malaysia adalah negara pelbagai agama dan bangsa. Orang Islam tak boleh memaksa orang bukan Islam untuk tak makan atau minum makanan yang dilarang ke atas mereka.” – Petikan dari FMT.

PM kita tiup siapa tu? Sambutan Hari Gawai Sarawak. Imej dari Astro Awani.
  • Pulau Pinang

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengatakan yang Oktoberfest di negeri tu akan diteruskan jika ianya menepati undang-undang dan syarat yang ditetapkan majlis tempatan. Di Pulau Pinang, Oktoberfest ni adalah anjuran Malaysia-German Society yang sudah masuk tahun ke 45. Acara pada Oktober ni dijangkakan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri, Lim Guan Eng.

“Festival yang indah ini sudah menjadi tumpuan budaya dan menyumbang kepada kemajuan hubungan Malaysia-Jerman dan persahabatan yang berterusan.” – Petikan dari Malaysian-German Society.

Namun begitu, baru-baru ini papan tanda telah diletak di Butterworth untuk melarang sesiapa minum arak secara terbuka.

Satu papan tanda yang diletak di Taman Bagan, Butterworth.
  • Sabah

Ada kerisauan dari Chan Foong Hin (ADUN Sri Tanjung/SU DAP Sabah) apabila menyatakan Pesta Menuai tahunan di Sabah satu hari nanti akan diharamkan juga pada masa akan datang.

“Pada kadar radikalisasi agama sedang berlaku, sambutan kebudayaan seperti Pesta Menuai di Sabah yang mana penggunaan arak beras adalah sebahagian dari program, mungkin akan diharamkan satu hari nanti.” – Petikan dari FMT.

Suasan Pesta Menaui di Sabah. Imej dari Utusan.

Kenyataan telah dibalas oleh Donald Peter Mojuntin, SU United Pasok Momogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) mengatakan Sabah ada kerajaannya yang tersendiri. Jadi, Pesta Menuai/Pesta Kaamatan tak perlulah dikaitkan dengan isu Oktoberfest.

“Kaamatan sudah diumumkan sebagai sambutan rasmi di negeri itu serta dua hari cuti umum. Persoalan mengenai pengharaman alohol ketika sambutan tak pernah dibangkitkan” – Petikan dari FMT.

  • Johor

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengatakan yang Pesta Makanan dan Minuman Jerman (Oktoberfest) setiap tahun diadakan di Johor secara tertutup tanpa jemputan terbuka kepada umum.

“Jadi kita tidak perlu membesar-besarkan perkara itu” – Petikan dari Sinar Harian.

Jangan dibesar-besarkan k!

Orang-orang berpengaruh mula mengeluarkan respon yang menjadi bentuk pergaduhan

Sepanjang isu ni diperdebatkan, memang ada ahli politik atau orang berpengaruh yang saling menuding jari. NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sejak awal lagi dah mengkritik DAP. Macam tu jugak PAS Kelantan yang mempertikaikan DAP yang dianggap tak sensiitif terhadap orang Islam dan mengkritik AMANAH yang tidak mengeluarkan pendirian.

DAP juga tidak terlepas dari mengkritik PAS sebab cuba masuk campur urusan isu ni di negeri Selangor. MCA yang bersetuju dengan DBKL pula, mempertikaikan pendirian DAP apabila senyap sahaja bila PAS membantah.

Kita sebagai rakyat awam pun boleh jadi pening. Sepanjang isu ni juga, berlaku kritikan antara mufti dan ahli politik. Benda ni terjadi bila bekas Menteri Undang-Undang yang juga ahli DAP, Zaid Ibrahim keluarkan satu kenyataan terhadap kumpulan yang buat bantahan pasal isu ni.

“Yang bantah pesta ini kumpulan yang sama. Mereka tak mahu pesta, hiburan, tak mahu nyayian. Isteri dua tiga boleh, lagi muda lagi baik” – Petikan dari Malaysiakini.

Beza Poligami dan Origami. Imej dari Wikihow.

Dr. Maza (Mufti Perlis) mempertikaikan kenyataan tu sebab baginya, arak itu menjerumus kepada penzinaan manakala poligami itu berkaitan tanggungjawab suami dan isteri. Berbeza pula bagi Dr. Zulkifli (Mufti Wilayah Persekutuan) yang mana dia telah mengeluarkan satu artikel mengenai ‘Hindari Bahaya Arak’. Mufti Wilayah turut mengucapkan terima kasih kepada TPM sebab keluarkan pendirian kerajaan untuk membantah sebarang pesta arak. Dalam artikelnya tu, dia ada bagi sikit cadangan.

“Kami berpandangan, alangkah baiknya masyarakat Malaysia lebih meraikan pesta yang menyemarakkan semangat perpaduan sesama kita seperti pesta makanan dan minuman bangsa-bangsa di Malaysia.” – Petikan dari Website Mufti WP.

Jadi apa yang kita boleh buat? Suarakan pendapat kita melalui petisyen ni!

Kalau korang nak tahu, Change.org adalah satu platform untuk sesiapa sahaja memulakan petisyen bagi sesuatu isu. Platform ni jugaklah yang pernah digunakan oleh aktivis-aktivis Indonesia yang diketuai Emerson Yuntho untuk mengumpulkan sokongan supaya Hadiah Nobel Keamanan milik Aung San Suu Kyi ditarik balik. Disebabkan isu Oktoberfest ni jugaklah nampaknya ada pihak yang guna platform ni untuk kumpul sokongan.

Petisyen untuk Aung paling dapat perhatian dunia. Imej dari Change.org.

Petisyen telah mula dikumpul oleh:

  1. Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA Selangor) membantah Oktoberfest.  Setakat ni jumlah yang berjaya dikumpul sudah melebihi 35 ribu tanda tangan. Menurut laporan, petisyen ni akan dihantar kepada MB Selangor dan majlis tempatan.
  2. Petisyen yang dimulakan oleh Boo Su Lyn (Pembantu Editor Malay Mail Online) bersama gerakan BEBAS. Petisyen ni pulak bagi menyatakan sokongan terhadap Oktoberfest yang sekarang sudah ada lebih 3 ribu tanda tangan.

Tak kiralah apa tujuan ahli politik (mungkin sebab PRU dah dekat kot), kita harap perkara ini tak menjejaskan keharmonian sesama bangsa. Apa yang kita boleh lakukan adalah menyatakan pendirian melalui petisyen yang telah dibuat. Korang tau la nak sain yang mana satu kan.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT