Piala AFF Suzuki 2020 sudah bermula, ini antara pemain tumpuan bagi setiap negara

Musim bola sepak Asia Tenggara sudah pun kembali, iaitu Piala AFF Suzuki 2020 yang berlangsung di Singapura. Sebenarnya kejohanan dwi-tahunan itu akan dilangsungkan pada tahun lepas, ye lah kan dah nama pun 2020 punya edisi. Ia ditangguhkan disebabkan pandemik COVID-19. Sebab tu ia dibuat pada tahun ini!

Tak nak cakap banyak, kitorang nak senaraikan pemain-pemain yang harus diberikan tumpuan dari setiap pasukan. Ini kerana kebanyakan pemain dalam senarai ini mungkin akan menggegarkan kejohanan AFF Suzuki edisi kali ini! Oh ye, untuk pengetahuan korang, Piala AFF Suzuki ni mempunyai total 10 pasukan yang bertanding dan ia dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu A dan juga B.

1. Malaysia, bintang naturalisasi dari Brazil yang berbisa

Betul, De Paula ye guys. Imej dari Sumberkini

Kita mulakan dengan Harimau Malaya dahulu, mungkin ada yang kurang bersetuju dengan dia ni. Tapi kita semua tak boleh deny yang Guilherme De Paula adalah salah seorang penyerang yang sangat berbisa, kita boleh lihat benda tu apabila dia menjulang Piala Malaysia yang ke 33 untuk Selangor dan juga memenanginya bersama Perak pada 2018.

Yang buatkan orang tidak berapa gemarkan De Paula ni mungkin disebabkan permainannya yang ‘malas’, dia tak kejar bola sangat, dia hanya jogging atas padang. Tapi kalau nak diikutkan, dia memang bukan penyerang yang bermain seperti itu. Dia adalah targetman yang memerlukan hantaran daripada rakan sepasukannya. Kita tunggu dan lihat apa yang dia boleh offer dalam kejohanan kali ini.

2. Singapura, adik-beradik Fandi yang boleh jadi duri dalam daging

Ni macam Zaquan Adha dengan Aidil Zafuan versi Singapura lah. Imej dari 90min

Kepada yang tak kenal mereka, dua beradik ini merupakan anak kepada legenda bola sepak Singapura iaitu Fandi Ahmad. Fandi Ahmad ni merupakan antara segelintir pemain ASEAN yang berjaya meloloskan diri ke kancah bola sepak Eropah bersama dengan FC Groningen. itu lain kali cerita lah. Yang nak diceritakan adalah anak-anak dia.

Dua beradik yang diberi nama Ikhsan dan juga Irfan ni merupakan regular player yang sudah bersama dengan skuad kebangsaan Singapura sejak peringkat remaja lagi. Ikhsan merupakan seorang penyerang muda berbisa kerana dia pun sedang bermain di Liga Division Pertama Norway, manakala Irfan pula seorang pertahanan kental yang sedang berkelana di Liga Thailand.

Setiap pasukan harus berwaspada dengan adik-beradik Fandi ni, dorang belajar daripada yang terbaik iaitu ayah mereka sendiri yang juga merupakan penjaring gol terbanyak Singapura (55 gol).

3. Thailand, pemain yang mungkin jadi penjaring terbanyak AFF Suzuki

Antara mimpi ngeri pertahanan tengah. Imej dari Vocket FC

Kitorang sedang bercakap tentang Teerasil Dangda, antara penyerang terbaik di ASEAN! Masih terngiang-ngiang jaringannya semasa Thailand berdepan Harimau Malaya di separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012 dekat Stadium Bukit Jalil. Masa tu Malaysia juara bertahan kot.

Setakat ni Teerasil Dangda berada di ranking yang kedua dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala AFF Suzuki, dengan 15 gol sudah dijaringkannya sepanjang dia bermain dalam kejohanan itu. Hanya dua jaringan je yang membezakan dia dengan Noh Alam Shah (17 gol).

Senang cerita, kalau dia jaringkan lagi 3 gol, Teerasil Dangda akan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala AFF Suzuki yang baharu!

4. Vietnam, bakat muda yang pernah menjadi naib juara Asia

Messi Asia? Imej dari AFF Suzuki Cup

Nguyen Quang Hai, pemain muda yang baru berusia 24 tahun tapi boleh dikatakan agak berjaya dalam pentas Asia. Mana taknya, dia pernah membawa skuad muda Vietnam ke pentas akhir Piala Asia bawah 23. Cuma sayangnya, Vietnam kalah dengan Uzbekistan dalam perlawanan akhir tu sekaligus menjadikan mereka sebagai naib juara sahaja.

Tapi dah kalau boleh sampai final kira gempak gila lah tu! Quang Hai juga antara watak penting yang membawa Vietnam mara ke pusingan kedua dalam kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan juga melayakkan diri ke Piala Asia 2023 di China nanti. Malaysia pun belum layak Piala Asia lagi tau.

Pemain yang digelar sebagai Messi Vietnam ini pasti akan menjadi senjata utama buat skuad Naga Emas.

5. Myanmar, wonderkid yang menyinar di bumi Selangor

Kecil-kecil cili padi. Imej dari MakanBola

Kepada peminat-peminat Selangor pasti agak gentar jika Malaysia berhadapan dengan Myanmar, ini kerana mereka mendapat sentuhan wonderkid iaitu Hein Htet Aung yang menunjukkan prestasi sangat cemerlang apabila bersama dengan Selangor. Umur pun baru 20 tahun kot.

Walaupun dengan tubuhnya yang kecil dan juga faktor umurnya yang muda, Htet Aung selalu menunjukkan permainan yang matang ketika bersama Selangor. Tidak mengejutkan jika dia boleh menyerlah ketika bersama dengan skuad kebangsaannya sekaligus membawa Myanmar ke peringkat seterusnya dalam Piala AFF Suzuki 2020.

6. Filipina, dinding yang sukar untuk ditembusi

Hero bagi orang KL. Imej dari Beautiful Nara

Nama yang tidak asing lagi dalam kancah Liga Malaysia iaitu Kevin Ray Mendoza, seorang penjaga gol kelahiran Denmark tetapi memilih untuk bersama dengan pasukan kebangsaan Filipina. Bersama dengan KL City FC, Kevin Ray Mendoza merupakan nadi utama dalam pasukan itu apabila banyak kali menyelamatkan tiang gol mereka daripada dibolosi.

Lagi-lagi semasa berdepan dengan JDT pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 yang juga sedang menyambut anniversary mereka yang ke 100 tahun! Dalam perlawanan itu, Kevin Ray Mendoza bermain dengan sangat cemerlang dengan menidakkan semua percubaan JDT sekaligus membantu KL City FC memenangi Piala Malaysia buat pertama kalinya selepas 32 tahun.

7. Indonesia, jeneral tengah yang digelar sebagai Iniesta di seberang

Bukan biasa-biasa. Imej dari Kompas Bola

Jiran kita juga agak serius dalam kejohanan kali ni apabila sudah membuat persiapan yang agak rapi, sampai pergi ke Turki kot! Yang mungkin menjadi duri dalam daging kepada pasukan lain adalah Evan Dimas, peminat Selangor pasti mengingatinya sebab dia pernah menyarung jersi Selangor dahulu.

Dia juga sekarang merupakan kapten pasukan Indonesia, ini adalah disebabkan sifat kepimpinan yang tinggi dan juga kemahirannya mengawal bahagian tengah dengan sangat cemerlang. Gaya permainan Evan Dimas ni dikatakan sedikit mirip dengan Andreas Iniesta (legenda Sepanyol), ini mungkin disebabkan aspek teknikalnya yang sangat bagus.

Berdasarkan persiapan skuad Indonesia ni, tak mustahil mereka boleh pergi jauh dalam Piala AFF Suzuki 2020 ni.

8. Kemboja, bekas tonggak Tok Gajah

Ada macam Neymar sikit muka dia ni. Imej dari Goal.com

Negara kecil seperti Kemboja pun kita tak boleh pandang sebelah mata guys, mereka mendapat sentuhan Keisuke Honda yang menjadi jurulatih mereka selepas sahaja dia bersara dari bola sepak. Jadi tak mustahil permainan Kemboja akan bermain ala-ala pasukan Jepun nanti. Namun, pemain paling berbahaya dalam pasukan adalah Chan Vathanaka, seorang penyerang yang sangat lincah!

Chan Vathanaka pernah beraksi bersama dengan Pahang pada musim 2018, dia menunjukkan persembahan yang sangat baik ketika itu walaupun dengan usianya yang agak muda ketika itu. Dia terkenal dengan kepantasannya yang buatkan semua pemain ‘penat’ untuk kejar, siapa je nak kejar kalau orang lari laju-laju ni kan. Yang pasti, semua pasukan harus berjaga-jaga dengan Kemboja.

9. Laos, penggempur yang berkelana di Liga Perancis

Ada muka Jepun sikit ni. Imej dari Alchetron

Betul, Laos mempunyai seorang pemain yang sedang bermain di liga division 2 Perancis. Pemain yang diberi nama Billy Ketkeophomphone merupakan pemain berdarah campuran Perancis-Laos, dia dilahirkan di Perancis dan juga mulakan kariernya di bandar Paris bersama dengan Racing Paris. Dia pernah juga bermain di liga division 1 Perancis bersama dengan pasukan SCO Angers.

Pemain yang berumur 31 tahun ini tidak boleh disangkal lagi kehebatannya apabila sudah mendapat pengalaman luas di Eropah, jadi tidak mustahil Laos boleh memberikan kejutan kepada mana-mana pasukan gergasi ASEAN dalam Piala AFF Suzuki ni. Lebih-lebih lagi Malaysia, sebab kita satu group dengan Laos. Good Luck lah kepada pertahanan Harimau Malaya.

10. Timor Leste, pemain yang dituduh menipu umurnya

Rasa-rasa dia memang tipu umur dia ke erk? Imej dari Goal.com

Timor Leste pernah dipalit kontroversi apabila dikatakan mereka telah menyenaraikan seorang pemain lebihan umur dalam kejohanan remaja Piala AFF B-15 di Thailand pada 2019. Pemain yang dimaksudkan adalah Gali Freitas, seorang penyerang bertubuh kecil yang dikatakan mempunyai skill yang menakjubkan.

Untuk negara bola sepak yang agak kerdil, Timor Leste bukanlah satu pasukan yang harus dipandang enteng. Ini disebabkan pasukan underdog seperti mereka lah yang kadang-kadang akan melakukan kejutan. Malaysia pun pernah kalah dengan Timor Leste kot, sedangkan kita ni antara gergasi bola sepak di Asia Tenggara. So, jangan main-main ah…