- 710Share sekarang!
- Email14
- Facebook696
- Share
Dah semakin dekat dengan Pilihan Raya Umum ke-14 ni, maka semakin banyaklah berita-berita dan karenah-karenah politik yang kita boleh nampak. Tak kiralah dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), PAS dan sebagainya. Antara isu yang hangat diperkatakan adalah pasal pembahagian kerusi atau pertindihan kerusi sesama parti dalam kerjasama politik.
Dekat Malaysia ni, kita ada 222 kerusi parlimen di Dewan Rakyat dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk semua negeri. Dengan jumlah kerusi inilah (parlimen & DUN) yang akan dibahagikan kepada setiap parti-parti politik untuk letakkan calon masing-masing. Seperti mana yang kita tahu, dalam BN sendiri ada banyak parti politik macam: UMNO, MCA, MIC, MyPPP, SUPP, PBB, PBS, UPKO dan sebagainya.
Kat pihak pembangkang pulak, kita ada PH – hasil kerjasama oleh PKR, DAP, AMANAH dan PPBM. PAS dulu yang bersama dengan Pakatan Rakyat (PR) nampaknya ambil keputusan untuk hentikan kerjasama dan kembali bergerak sendiri.
Tapi apa yang SOSCILI nak cerita kali ni adalah pasal perebutan kerusi di antara parti-parti komponen sesama sendiri. Sebabnya, baru-baru ini kita dengar yang MyPPP dan MIC (kedua-duanya bawah BN) masing-masing kata kerusi parlimen Cameron Highlands diorang punya.
1. Kerusi Cameron Highlands yang jadi rebutan dua parti komponen BN
Baru-baru ni, Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), M. Kayveas kata yang dia dah tunggu selama 17 tahun untuk dapatkan kerusi Cameron Highlands. Tapi nampaknya, kerusi parlimen tu tetap diberikan kepada MIC dalam beberapa PRU sebelum ini.
“Pada tahun 2000, Presiden UMNO ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah berjanji untuk memberikan kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada saya…Tun M pada masa itu meminta saya bekerja di Cameron Highlands pada tahun 2000, jadi saya pun berkhidmat di kawasan itu sejak itu.
Saya kini perlu untuk kembali ke Cameron Highlands. Ia kerusi milik MyPPP, 17 tahun saya tunggu dan ia telah diambil selain dimanipulasi MIC.” – Tan Sri M. Kayveas, Presiden MyPPP. Dipetik dari Astro Awani.
Kayveas juga kata yang dia dah minta izin dari Perdana Menteri (Najib Razak) untuk bertanding kat Cameron Highlands. Tapi nampaknya, MIC pandang serius pasal benda ni, dengan kata kerusi Cameron Highlands tu milik tradisi diorang sejak dulu lagi dan parti tu takde niat nak tukar tradisi tu.
Sebenarnya, sejak PRU 2004 sampai PRU 2008 kerusi itu disandang oleh Dato’ Seri Devamany dari MIC. Sekarang pula, kerusi parlimen Cameron Highlands disandang oleh G. Palanivel yang juga adalah bekas Presiden MIC. Tapi bagi Kayveas, kerusi Cameron Highlands bukan milik MIC lagi sebab ia dah jadi kerusi ‘bebas’.
“Menurut Kayveas, kerusi Cameron Highlands bukan hak milik MIC lagi selepas Subramaniam (Presiden MIC) mengisytiharkan bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel bukan lagi ahli selepas menyingkirkanya daripada parti itu. Malah kepimpinan Subramaniam juga telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menyatakan bahawa Palanivel bukan lagi ahli MIC dan kerusi Cameron Highlands bertaraf ‘bebas’.” – Dipetik dari The Malaysian Times.
Menurut Penganalisis Politik, Dr Azmi Hassan, masa PRU-13 dulu, G. Palanivel hanya menang kerusi tu dengan majoriti tipis dan juga ada dakwaan yang kata Palanivel sendiri tak berapa aktif kat Cameron Highlands. Sebab itu, Kayveas rasa ini adalah peluang terbaik untuk dapatkan balik kerusi yang jadi milik MIC sejak tahun 2004 itu.
“Memang benar jarang kedengaran secara nyata perebutan kerusi dalam BN tetapi sebenarnya ini adalah perkara lazim tapi dapat diselesaikan secara dalaman. Cuma kali ini Kayveas ambil pendekatan hebohkan isu ini dengan harapan tekanan dikenakan bukan sahaja kepada MIC tetapi juga BN.” – Dr Azmi Hassan, Penganalisis Politik. Katanya kepada SOSCILI.
Tapi nampaknya, kes perebutan/pertindihan kerusi ni bukan je berlaku dalam BN, tapi juga dalam PH. Sebabnya, baru-baru kita boleh nampak yang pemimpin tertinggi DAP sendiri kena tegur dengan PKR.
2. Lim Kit Siang kena tegur sebab idamkan beberapa kerusi PKR
Sebelum ni, Penasihat DAP, Lim Kit Siang ada kata yang Pakatan Harapan (PH) kena letak parti yang berpotensi boleh menang kalau nak tawan balik Kedah. Sebab katanya, kat Kedah ada beberapa kerusi yang jadi kubu kuat BN macam DUN Ayer Hangat dan Kuah di Langkawi serta DUN Bukit Kayu Hitam dan Jitra.
Disebabkan itu, DAP kena dibagi peluang untuk bertanding kat beberapa kerusi di Kedah macam DUN Gurun dan Kulim.
“Di bahagian tengah, DAP minta untuk meletakkan calon di N22 Gurun – kerusi campuran pelbagai kaum (56% Melayu, 27% Cina dan 17% India) yang mana dimenangi oleh MCA pada tahun 2013.
…Bagi selatan Kedah, DAP meminta supaya dapat meletakkan calon di kerusi N35 Kulim yang juga kerusi campuran (60% Melayu, 23% Cina dan 17 India) yang kini disandang MCA menewaskan calon PKR dalam PRU13 dengan 643 majoriti.” – Lim Kit Siang, Penasihat DAP. Dipetik dari Roketkini.
Tapi nampaknya cadangan Lim Kit Siang tu tak diterima dengan baik oleh kawannya sendiri. Sebabnya, tak lama lepas tu, PKR kata yang diorang akan tetap pertahankan kerusi yang diorang menang kat Kedah, termasuk jugalah yang kalah tipis masa PRU-13 (macam Gurun & Kulim).
“Kita dah diperingkat perundingan, bersetuju supaya pertamanya kerusi yang kita menangi, kita kekalkan di parti masing-masing…Kedua, di kerusi kita kalah tipis, yang mana di Kulim dan Gurun kita kalah tipis. Di Kulim kita pernah ada wakil di situ, Lim Soo Nee. Kita akan kekalkan kerana kita kalah tipis.” – Datuk Johari Abdul, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR. Dipetik dari Antarapos.
Tapi tak lama lepas tu, Lim Kit Siang sekali lagi cakap DAP nak letakkan calon kat tempat yang sebelum ni PKR bertanding, tapi kali kat negeri Johor pulak. Lim Kit Siang kata, DAP berminat nak bertanding kat salah satu dari tiga kerusi parlimen di Johor (yang sebelum ni PKR bertanding) iaitu sama ada kat Tebrau, Pasir Gudang atau Johor Bahru.
“DAP berminat untuk bertanding di salah satu kerusi di kawasan ini – meskipun ianya kerusi paling sukar dimenangi di Johor Bahru. Keputusan sama ada DAP akan bertanding di salah satu kerusi daripada tiga kerusi tersebut, bagaimana pun akan diputuskan oleh kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN).” – Lim Kit Siang, Penasihat DAP. Dipetik dari Roketkini.
PKR Johor yang dengar benda ni, terus bertindak menegur Lim Kit Siang dan teguran ni dah jadi yang kali kedua selepas Lim Kit Siang kena tegur dengan PKR Kedah.
“Kami ingin mengulang sekali lagi bahawa ada disediakan mekanisme pengagihan kerusi sesama anggota Pakatan Harapan (HARAPAN) dan diharap semua pemimpin parti komponen mematuhinya, bukan menyatakan secara terbuka di blog atau media.” – Hassan Karim, Pengerusi PKR Johor. Dipetik dari Malaysiakini.
Tapi sebenarnya, kes perebutan kerusi ni memang dah lama berlaku, iaitu sejak PRU-13 lagi. Apabila PAS dan PKR letakkan calon masing-masing dalam kerusi yang sama.
3. PAS tak setuju dengan calon PKR, sebab kata calon PKR tu jual pil kuda
Perkara inilah yang pernah berlaku masa PRU-13 dulu. Masa tu, PAS masih lagi berkerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR). Jadinya, berlakulah sedikit sebanyak pertindihan kerusi di antara PAS dan PKR. Sampaikan hampir lima kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen berlaku pertandingan tiga penjuru di antara calon: UMNO, PAS dan PKR, seperti di:
- DUN Bukit Besi (Terengganu)
- DUN Seberang Takir (Terengganu)
- DUN Kota Putera (Terengganu)
- DUN Sungai Acheh (Pulau Pinang)
- DUN Panti (Johor)
- Parlimen Labuan (Sabah)
Dalam kes tiga DUN di Terengganu, nampaknya PAS negeri itu menolak calon-calon yang dikemukakan oleh PKR dan minta supaya PAS hantar wakil diorang untuk bertanding. Antara alasan yang mengejutkan adalah apabila Presiden PAS, Hadi Awang kata: ada calon PKR ni jual pil kuda dan menyokong komunis! Disebabkan itulah PAS akan letak calon mereka walaupun akan berlaku pertindihan kerusi.
“Di Johor (DUN Panti) berlaku pertindihan, sebabnya kita tunggu rakan kita (PKR) bagi nama calon, tapi sikit lagi masa nak tamat, masih tak ada. Kita pun siap sedia, sebab takut jadi menang tanpa bertanding. Tapi bila PAS masuk bertanding, dia pun masuk. Inilah ceritanya.
Ada calon yang kita khuatir, ada calon yang kita dapat maklumat (jadi) tukang edar pil kuda. Nak jadi calon macam mana? Orang PAS tak boleh berkerja dengan calon macam ni…Ada (juga) calon yang menjulang gambar Lenin dan Stalin. Macam mana PAS nak sokong? Gambar Karl Marx duduk dalam markas, nak orang PAS kerja dengan mereka? Ideologi komunis diharamkan di Malaysia, macam mana PAS nak kerja. Inilah sebabnya bertindih bertanding tu.” – Tuan Guru Hj Hadi Awang, Presiden PAS. Dipetik dari Terengganu Kini.
Disebabkan perkara ini, maka berlakulah bertembungan tiga penjuru di antara calon PAS, PKR dan UMNO. Tapi nampaknya, UMNO menang kat semua kerusi ni. Tak lama lepas tu, bekas calon PKR kat DUN Bukit Besi ambil tindakan undang-undang dengan saman fitnah RM2 juta terhadap Hadi Awang. Tapi akhirnya mahkamah buat keputusan untuk bebaskan Hadi Awang dari saman tersebut.
4. Ada cakap-cakap yang kata: UMNO nak beberapa kerusi MCA
Menurut laporan dari Sinar Harian pada Jun tahun ni, dikatakan UMNO nak merampas beberapa kerusi yang sebelum ini dipertandingkan oleh MCA. Kerusi itu adalah Parlimen Lumut (Perak) dan Padang Serai (Kedah). Masa PRU-13, dua-dua kerusi ni MCA kalah dengan calon Pakatan Rakyat. Antara calon yang kalah tu termasuklah bekas Setiausaha Agung MCA dan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Kong Cho Ha.
Sebagai gantian, kemungkinan MCA akan dapat balik kerusi Parlimen Gelang Patah yang pernah dipinjamkan kepada UMNO dulu. Masa PRU-13, DAP dengan calonnya Lim Kit Siang dah menang besar kat Gelang Patah mengalahkan bekas MB Johor, Tan Sri Ghani Othman dengan majoriti lebih 14 ribu undi. Dalam kes Parlimen Lumut, dikatakan UMNO sangat minat dengan kerusi tu lepas berlakunya persempadanan semula.
“Umno cukup berminat dengan kerusi Parlimen Lumut. Di bawah persempadanan baharu, peratusan undi Melayu telah meningkat kepada 71 peratus. Akibat persempadanan kawasan baharu, pengundi Cina yang menjadi majoriti di DUN Sitiawan dalam Parlimen Lumut telah dipindahkan ke Parlimen Bruas, menyebabkan peratusan undi Melayu di Parlimen Lumut meningkat 71 peratus.” – Laporan Oriental Daily, yang dipetik Sinar Harian.
Bercakap pasal persempadanan semula ni, pada bulan Julai lepas Mahkamah Tinggi ada membenarkan negeri Selangor menghalang SPR mengubah sempadan undi. Tapi kat negeri Perak pulak, nampaknya rayuan dua ahli Parlimen DAP untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang tak benarkan semakan persempadanan semula ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
Belum habis kat Perak, kat Selangor jugak tak ketinggalan dengan spekulasi pasal kerusi MCA yang mungkin akan dibagi kepada UMNO. Kerusi itu adalah DUN Sekinchan yang sejak PRU-11 sampai PRU-13 calon MCA kalah berturut-turut. Spekulasi ni muncul sebab tindakan pemimpin UMNO yang cukup popular sekarang, siapa lagi kalau bukan Datuk Seri Jamal Md Yunos.
“…langkah luar biasa beliau mengumumkan calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Sekinchan baru-baru ini, telah menghangatkan lagi spekulasi itu, memandangkan kerusi tersebut secara tradisinya ditandingi oleh MCA.
Menariknya, Jamal mengumumkan bahawa Ketua Pemuda MCA Sungai Besar, Ng Boon Keong dan juga ahli jawatankuasa Umno Sungai Besar, Samad Wahab sebagai bakal calon bagi kerusi itu.” – Dipetik dari Malaysiakini.
Sehari lepas kenyataan Jamal tu, MCA Bahagian Sungai Besar kata yang diorang sedia bagi kerusi DUN Sekinchan kepada UMNO. Apa yang lebih menarik, pada bulan Julai lepas Jamal mengaku yang dia dah berjaya bawa masuk 7,000 pengundi luar ke Sekinchan. Jadinya, spekulasi UMNO akan bertanding kat Sekinchan mungkin betul-betul boleh jadi. Kita tunggu dan lihat masa PRU-14 nanti.
“Justifikasinya adalah serupa dalam kes MIC dan PPP iaitu sokongan pengundi Cina terhadap MCA merosot pada PRU-13. Telah terbukti kemenangan beberapa calon MCA dalam PRU-13 adalah kerana sokongan penyokong UMNO dan sebab ini juga menyebabkan permintaan kerusi MCA oleh UMNO. Jika ditinjau statistik keputusan PRU-13 sokongan terhadap UMNO adalah padu dan dari segi logiknya permintaan UMNO ada kebenarannya.” – Dr Azmi Hassan, Penganalisis Politik. Katanya kepada SOSCILI.
5. Bila PAS dah bergerak sendiri, pertandingan tiga penjuru berkemungkinan besar boleh berlaku
Kalau bercakap pasal PRU-14, tak terlepas kita dari melihat Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan PAS. Sebabnya, gabungan pembangkang hari ini dah lain dari apa yang ada masa PRU-13 dulu. Kalau dulu kita ada PKR, DAP dan PAS dalam PR. Tapi sekarang kita ada pula PKR, DAP, AMANAH dan PPBM dalam PH.
Jadinya, bila PAS dah bergerak sendiri ia menjadikan kemungkinan besar akan ada pertembungan tiga penjuru (atau lebih) masa PRU-14 nanti. Antara yang jadi tumpuan adalah pertandingan tiga penjuru antara calon PAS, UMNO dan AMANAH/PPBM. Kita boleh nampak perkara ni jadi masa Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang lepas. Hasilnya, UMNO menang kat dua-dua kerusi ni.
Dalam hal ini juga, PAS ada bagitau yang diorang yakin boleh menang walaupun bertanding tiga penjuru masa PRU-14 nanti. PAS jugak yakin boleh dapat 40 kerusi parlimen dalam PRU akan datang walaupun tanpa sokongan parti pembangkang lain.
“PAS kini mempunyai keahlian lebih satu juta orang di seluruh negara dan kita yakin boleh menewaskan lawan dalam PH.” – Datuk Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS. Dipetik dari BH Online.
Tapi betul ke dakwaan PAS ni? Sebabnya kita kena juga ambil kira pengaruh UMNO, AMANAH dan PPBM. Jadinya siapa yang akan untung bila berlakunya pertandingan tiga penjuru?
“Setiap pertandingan 3 penjuru akan beri kelebihan kepada UMNO. Ini adalah kerana penyokong PAS dan PAN (AMANAH) adalah dari kumpulan yang serupa maka di sinilah pecahan undi untungkan UMNO kerana pecahannya babitkan penyokong PAS dan PAN.
Jika pertandingan melibatkan PPBM pula, maka penyokong PH akan undi PPBM dan disini pula yang rugi adalah PAS. Bergantung kepada kekuatan PPBM untuk meraih undi penyokong UMNO maka kehadiran PPBM juga akan beri kesan kepada UMNO.” – Dr Azmi Hassan, Penganalisis Politik. Katanya kepada SOSCILI.
Dr Mahathir boleh bagi kekuatan pada Pakatan Harapan, tapi kedudukan AMANAH masih lagi diragui
Pada masa yang sama, menurut Dr Azmi Hassan, pengaruh Dr Mahathir dari PPBM sedikit sebanyak boleh bagi kekuatan kepada PH. Sebabnya parti tu boleh tarik pengundi Melayu, khusunya dari UMNO. Tapi kalau cakap pasal kedudukan AMANAH, ia masih lagi boleh diragui.
“Kehadiran Tun Mahathir melalui PPBM sedikit sebanyak memberi kekuatan kepada PH kerana asasnya PPBM mampu tarik pengundi UMNO. Tetapi oleh kerana ketiadaan PAS dalam PH maka kesan positif PPBM sebenarnya tidak cukup utk menampung ketiadaan PAS. Manakala, PAN pula setelah tewas dua kali dalam Pilihan Raya Kecil Sg. Besar dan Kuala Kangsar, status parti ini amat diragui dlm PH.” – Dr Azmi Hassan, Penganalisis Politik. Katanya kepada SOSCILI.
Oleh itu, mungkin kita akan nampak situasi politik yang sangat menarik masa PRU-14 nanti. Tak dinafikan kehadiran Dr Mahathir yang menentang PM Najib Razak akan mengulang kembali sejarah tentang apa yang pernah berlaku kepada Pak Lah suatu masa dulu. Cumanya, kali ni Dr Mahathir dah buat parti sendiri dan berkerjasama dengan bekas timbalannya dulu. Kita juga boleh nampak hubungan yang berubah di antara musuh politik lama dan kawan pada hari ini.
“Majoriti rakyat masih boleh menerima Tun Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri bagi kali kedua kerana walaupun usianya lebih tua dari Najib tetapi fikirannya lebih segar, dinamik dan sezaman dengan harapan generasi baru yang menyebabkan rakyat melihat Najib lebih tua dan tidak relevan.
Tidak juga mustahil jika Mahathir menjadi Perdana Menteri Kedua atas tiket Pakatan Harapan, dalam masa yang singkat Anwar Irahim akan menggantikannya sebagai Perdana Menteri.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari Zamkata.
- 710Share sekarang!
- Email14
- Facebook696
- Share