Perasan tak lampu jalan dah bertukar jadi putih? Ini sebab yang korang tak tahu

Sinaran lampu cerah di waktu malam adalah nikmat yang ramai buat tak endah, dan kadang tu kita tak perasan melainkan ia tak berfungsi langsung. Tapi bila mata korang terkebil-kebil dalam gelap, barulah korang sedar betapa pentingnya cahaya oren suram tu.

Tapi baru-baru ni, korang mungkin perasan ada perubahan pada lampu jalan di kawasan perumahan korang, yang kini lebih terang, dan lebih putih. Ini adalah hasil usaha kerajaan untuk menggantikan lampu oren lama yang digunakan berdekad-dekad, dengan penggunaan LED baru.

Cerah perjalanan hidup kitorang lepas ni. Imej dari NI-CO-LE/Pixabay.

Secara lebih spesifik, kementerian yang menerajui inisiatif ini adalah MESTECC– iaitu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim. Kementerian ni secara ringkasnya menggunakan sains dan teknologi untuk memelihara alam sekitar, contohnya seperti menangani pembakaran hutan dan jerebu rentas sempadan – serta menginovasi cara baru bagi pembangunan ekonomi yang mapan secara mesra alam.

Contohnya, hanya dengan menukar satu mentol lampu, satu rantaian panjang memberi kesan kepada alam sekitar boleh dimulakan – kitorang akan cerita lebih lanjut dalam artikel ni. Tapi jangan risau kalau lampu jalan kat kawasan korang masih warna oren, sebab…

Lebih banyak lampu jalan di Malaysia akan menjadi LED menjelang 2020

Masih dalam ‘work in progress’…

Agaknya korang pun dah tahu, lampu jalan berfungsi untuk menerangi sesuatu kawasan pada waktu malam atas tujuan keselamatan, sama ada nak mengesan bahaya atas jalan atau ancaman yang tersembunyi di sebalik kegelapan. Memang dah ada satu undang-undang yang mewajibkan pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan lampu jalan di semua kawasan awam seperti yang tertakluk dalam Seksyen 4(1)(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974:

(1) Pihak berkuasa tempatan hendaklah, setakat mana kumpulan wangnya akan membenarkan,
mengarahkan supaya semua jalan awam bersama dengan siar kakinya, sama ada ditutupi dengan aked atau tidak, disenggara dan dibaiki dan boleh —

(d) mengadakan lampu jalan.

Sebenarnya, ada banyak lagi undang-undang dan peraturan berkaitan lampu jalan. Tapi, cukuplah untuk disimpulkan, pihak kerajaan (sama ada persekutuan atau negeri) bertanggungjawab untuk menyediakan, menyelenggara dan membayar bil elektrik (seperti yang dibayar menggunakan duit cukai korang).

Baru-baru ni, pihak MESTECC dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah bekerjasama dalam satu projek untuk membekalkan 10,000 lampu jalan (yang mana MESTECC bagitau kami sekarang dah lebih 25,000) untuk jalan-jalan kampung di Semenanjung Malaysia. Dan ya… kesemuanya lampu LED.

Sementara tu, pada Jun 2019, hampir 60% daripada 367,000 lampu selenggaraan TNB di Semenanjung dah digantikan dengan LED (sebab tu korang dah mula nampak makin lama jalan dah makin cerah), dengan perancangan untuk menggantikan 40% yang selebihnya dengan LED dalam tahun 2020.

Perubahan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tapi juga di beberapa negara lain yang dah mula menggunakan lampu jalan LED.

Pemandangan Bandar Berlin dari angkasa. Baca artikel penuh kat sini

MESTECC mengatakan bahawa penggunaan lampu jalan LED mampu mengurangkan kos bil elektrik sehingga 30% – 40%. Bayangkan kalau Pulau Pinang sahaja membayar RM13 juta bil elektrik bagi lampu jalan pada tahun 2017, penjimatan kos bagi seluruh negara pastinya cukup besar!

Namun, terdapat banyak lagi kelebihan macam mana LED berfungsi berbanding pendarfluor konvensional atau mentol pijar.

Pernah korang terfikir kenapa lampu jalan warna oren?

Ada yang teka supaya dapat menarik perhatian serangga? Imej dari Home & Decor Singapore.

Melainkan korang ni memang pakar lampu, mungkin korang masih sangka yang mentol lampu berfungsi sama macam bila korang belajar dalam kelas Kemahiran Hidup – lampu pijar ciptaan “Thomas Edison” dengan filamen berpintal yang mengeluarkan haba dan menghasilkan cahaya. Tapi sebenarnya, kebanyakan rumah (dan lampu jalan) sekarang menggunakan jenis mentol yang berbeza yang dikenali sebagai Lampu Nyahcas-Gas (Gas-Discharge Lamps). Ini lah cara ia berfungsi:

  • Mentol pijar – Lampu dihasilkan dengan memanaskan filamen di dalam gelas.
  • Lampu Nyahcas-Gas – Gas di dalam gelas akan dipanaskan sehingga cukup panas untuk pengewapan (bertukar gas) bagi bahan yang lain – biasanya merkuri ataupun sodium – juga terkepung di dalam gelas untuk menghasilkan cahaya. Ia digunakan bagi mentol jimat-tenaga, mentol pijar/lampu pendarfluor, dan…betul: lampu jalan!

 

Dari Kiri: Lampu jalan | lampu pendarfluor | Jimat-tenaga

Mentol yang digunakan pada lampu jalan dipanggil sebagai Lampu Sodium-Vapor yang mengandungi sodium metalik sebagai bahan tambahan. Sodium Vapor ni lah yang menghasilkan cahaya oren yang kita biasa tengok tu. Selama beberapa tahun, Lampu Sodium Vapor dipilih untuk menerangi jalan-jalan oleh kerajaan di serata dunia kerana ia adalah Lampu Nyahcas-Gas paling jimat kos.

Sampailah wujudnya LED.

Cahaya LED tak melibatkan penggunaan gas atau wap. Sebaliknya, ia menggunakan semikonduktor untuk mempengaruhi pergerakan elektron dari cas positif kepada cas negatif (baca kat sini penerangan penuh). “Cahaya LED” secara asasnya datang dari sekumpulan LED yang disusun bersama untuk menjana cahaya.

Penukaran kepada LED memang munasabah apabila kita mengambil kira faktor-faktor berikut:

Pembaziran tenaga

Oleh kerana Lampu Nyahcas-Gas berfungsi dengan memanaskan gas, banyak tenaga elektrik diperlukan untuk menghasilkan haba berbanding cahaya yang kita sebenarnya mahukan. Ini bermakna hampir 80% tenaga elektrik digunakan sebenarnya terbazir sebagai haba, bukan cahaya yang kita perlu.

Sebaliknya, LED hanya menghasilkan seciput haba (sekitar 5% dari penggunaan elektrik), bermakna kurang tenaga elektrik diperlukan untuk menghasilkan cahaya.

Pembaziran cahaya

Satu perkara yang mungkin korang perasan pasal mentol lama ni adalah ia menghasilkan cahaya hampir 360-darjah. Oleh kerana lampu jalan tak perlu pun keluarkan cahaya ke arah langit, cahaya ni perlulah ‘diarahkan’ terus ke tanah menggunakan pemantul – inilah sebab kenapa korang nampak plat pemantul atau salutan dalam pemasangan lampu jalan oren. Walau bagaimanapun, maksudnya hampir 50% cahaya yang terhasil sebenarnya tak terkeluar pun dari lampu. Membazir je kan?

LED boleh disusun atur untuk menumpukan cahaya ke mana-mana arah, jadi tak perlu guna pemantul cahaya. Hasilnya, hanya ada sedikit sahaja tenaga yang terbazir. Ini bermakna korang boleh guna cahaya LED dengan watt yang rendah (atau kurang mentol) untuk menerangi ruang yang sama, berbanding dengan lampu oren tadi.

Jangka hayat

Semua mentol akan berhenti berfungsi selepas tamat hayatnya.

Lampu Sodium-Vapor dianggarkan jangka hayatnya 24,000 jam, tapi jangka hayatnya boleh jadi lebih pendek di kawasan getaran-tinggi (seperti berdekatan jalan utama). Ini bermakna bukan sahaja pihak berkuasa tempatan perlu membelanjakan lebih banyak wang untuk menggantikan mentol, tetapi juga kos tenaga manusia untuk menyelenggaranya pun meningkat.

Ini dibandingkan dengan LED gred industri yang dianggarkan boleh bertahan lebih dari 100,000 jam.

Kesan alam sekitar

Ada dua faktor yang kita perlu ambil kira – pelepasan karbon dan pencemaran merkuri.

Sekalipun kita sedang berubah ke arah sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, MESTECC bagitahu kami yang Malaysia masih menjana kebanyakan tenaganya melalui pembakaran bahan api fosil macam arang batu, atau gas semulajadi; yang akan meningkatkan lagi kesan negatif terhadap alam sekitar dari segi pelepasan karbon dan menyumbang kepada perubahan iklim.

Maknanya, sehinggalah kita ada teknologi dan kemahiran untuk beralih sepenuhnya kepada tenaga boleh diperbaharui, apa yang kita boleh buat setakat ini adalah mengurangkan sisa karbon dengan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik – seperti bertukar kepada LED.

Kandungan merkuri di dalam lampu jimat tenaga

Mungkin kita tak perasan, tapi kesemua Lampu Nyahcas-Gas yang digunakan setiap hari mengandungi merkuri, satu bahan toksik. Tapi jangan panik, merkuri ini tersimpan dalam gelas, yang hanya menjadi isu kalau ia pecah. Walaupun jumlah merkuri tu sedikit dan tak merbahaya kalau pecah, ia menjadi masalah apabila kita buang mentol tadi bersama sampah biasa; di mana ia akan pecah sewaktu proses pelupusan sampah. Kalau kita ambil kira semua betapa banyak mentol yang tidak dilupuskan dengan betul, baru kita sedar jumlah toksik yang terkumpul dari sedikit lama-lama dah jadi bukit.

Satu perkara lagi…pembakaran bahan fosil juga melepaskan merkuri dan, sebelum teknologi LED wujud secara meluas, Lampu Nyahcas-Gas yang dahulunya agak jimat tenaga dilihat sebagai alternatif yang baik walaupun ia sendiri mengandungi merkuri.

Jadi setakat ni sudah terang lagi bersuluh, LED tidak mengandungi merkuri.

Ini cara korang boleh tolong alam sekitar di rumah sendiri… bukan setakat pakai LED je

MESTECC memang sangat komited demi menjaga alam sekitar, dan kami nampak dengan mata kepala kami sendiri waktu melawat mereka di ibu pejabat, Putrajaya, di mana kami diberi air minuman di dalam cawan berbanding botol plastik. Mereka mengatakan ini adalah sebagai  tabiat harian untuk menghapuskan penggunaan plastik di semua pejabat kerajaan.

Tak boleh ikat tepi…

Walaupun artikel ni nampak macam nak sekolahkan korang untuk suruh korang tukar lampu rumah kepada LED, ada suatu benda yang korang kena tahu – LED sekarang ni lebih mahal dari mentol jimat-tenaga. Walau bagaimanpun, penjimatan ke atas bil elektrik korang dan manfaat jangka panjang terhadap alam sekitar akan menguntungkan di kemudian hari. Lagipun, ada juga lampu jenis lain yang perlu cahaya 360 darjah, contohnya lampu lantai (pelik la kalau cahaya lampu lantai tu menghadap satu tempat je).

Selain daripada LED, MESTECC juga ada jalankan beberapa inisiatif yang korang boleh nikmati:

  • RM40 rebat bil elektrik untuk warga Malaysia dalam kumpulan pendapatan B40 (klik sini untuk semak kelayakan)
  • Tukar rumah korang kepada penjana solar – Skim Meter Tenaga Bersih (NEM) membenarkan pemilik rumah untuk menandatangani kontrak dengan TNB untuk memasang panel solar di kediaman mereka. Kalau ada lebihan tenaga solar yang tak digunakan, ianya akan dijual balik kepada TNB, jadi mungkin korang boleh buat duit sikit. Maklumat lanjut kat sini.
  • Diskaun 20% bil elektrik untuk taska yang berkelayakan (maklumat lanjut kat sini)

Dan semestinya, cuba kitar semula sebanyak yang korang boleh (pastikan ikut cara yang betul tau, jangan main hentam je). Ingat, pasal mentol ni, kena cari tempat pengumpulan khas untuk kitar semula mentol dengan selamat, seperti di outlet IKEA.

Kami harap artikel ni dapat menyuluh korang ke jalan yang benar.