Indonesia minta Google tukar nama “Borneo” jadi “Kalimantan”?!

UPDATE 17/12/2019: Setelah dikritik hebat dan ramai netizen Malaysia yang buat bantahan dan feedback kepada Google. Akhirnya laman carian dunia tu menukar balik hasil carian “Borneo” kepada “Borneo” dan bukannya “Kalimantan” seperti yang dibuat sebelum ini.

__________________________________________________

Sekarang ni media sosial tengah kecoh pasal nama Borneo yang dah ditukar ke Kalimantan dalam carian Google. Hal ni mula diperkatakan bila ada pengguna Twitter mengatakan – Indonesia dah buat permohonan dengan Google supaya nama Borneo ditukar kepada Kalimantan.

Apa yang mengejutkan, kalau korang search “Borneo” dekat Google sekarang, yang keluar adalah:

Kalimantan yang keluar, tapi tempat-tempat menarik yang ada tu semuanya di Malaysia. Imej dari Google.

Hal ni dah mengundang banyak reaksi, terutamanya dari kalangan netizen-netizen Malaysia. Diorang rasa tak puas hatilah sebab ia seolah-olah membuatkan Kepulauan Borneo ni Indonesia yang punya, sedangkan dalam kepulauan yang sama adanya – Sabah dan Sarawak (Malaysia) serta Brunei.

Tapi sebelum kita bincang lebih lagi, kita juga kena tahu yang…

Kalimantan akan mainkan peranan cukup besar untuk Indonesia tak lama lagi

73% tanah di Borneo adalah di bawah Indonesia. Imej dari wikivoyage.org

Pada bulan Ogos lalu, Presiden Indonesia, Jokowi ada mengumumkan yang negara itu akan memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur. Sebenarnya, rancangan nak memindahkan ibu negara Indonesia yang sekarang ni di Jakarta dah lama diperkatakan iaitu sejak zaman Presiden Soekarno lagi.

Tapi nampaknya, Jokowi ambil langkah berani untuk merealisasikan rancangan ni dengan memilih Kalimantan Timur sebagai ibu negara baru. Keputusan tu dibuat sebab Jakarta dah tak sesuai lagi jadi ibu negara kerana kepadatan penduduk yang mencecah 10 juta orang di kota itu. Kalimantan Timur juga dipilih kerana wilayah tu kurang terdedah dengan bencana.

Menurut laporan, kerajaan Indonesia akan membangunkan kota itu di atas tanah milik kerajaan seluas kira-kira 180,000 hektar. Dianggarkan pemindahan ibu negara ni nanti akan memakan kos sekurang-kurangnya Rupiah 500 trilion atau RM145 bilion.

Pengkaji sebelum ni ada bagi amaran yang Jakarta bakal tenggelam pada 2050 akibat aktiviti pengambilan rizab air bawah tanah, peningkatan paras air laut dan corak cuaca luar biasa berterusan. Imej dari CNN.

Jokowi dalam kenyataannya ada kata yang pemindahan tu dibuat selain untuk menangani kepadatan Jakarta, ia juga untuk merancak kegiatan ekonomi Indonesia di luar Pulau Jawa. Ini kerana, hampir 60 peratus daripada 260 juta penduduk Indonesia tinggal di Pulau Jawa menyebabkan kegiatan ekonomi hanya tertumpu di pulau itu.

Di samping itu, dengan keputusan Indonesia ni – ia juga dilihat akan memberikan kesan kepada Malaysia, khususnya bagi Sabah dan Sarawak. Menurut penganalisis politik, Prof Madya Dr Hamidin Hamid, pemindahan tu nanti akan membina satu titik baru dari segi ekonomi dan kepentingan strategik.

“Pemindahan ini akan memberikan persaingan antara Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan dari segi aktiviti dan ekonominya. Ia akan menjadi satu magnet yang amat kuat dalam konteks serantau.” – Katanya, dipetik dari Astro Awani.

Lokasi Ibu Kota Baru Indonesia – Wilayah Kabupaten Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur. Imej dari Serambi Indonesia.

Selain tu ada juga yang kata pemilihan Kalimantan Timur sebagai ibu negara Indonesia juga menunjukkan yang negara Islam terbesar di dunia tu semakin serius untuk menjadi kuasa serantau. Perkara tu sebenarnya tak mustahil boleh jadi, sebab Nikkei sebelum ni ada menjangkakan yang negara tu akan menjadi ekonomi ke-4 terbesar di dunia selepas China, Amerika Syarikat dan India.

Dan mungkin kontroversi pasal nama Borneo ditukar ke Kalimantan ni juga ada kaitan dengan pemindahan ibu negara.

Tapi… tuduhan tu masih lagi khabar angin

Ciap yang sedang heboh diperkatakan. Imej dari Twitter (@khaekarem).

Walaupun ada netizen yang mengatakan Indonesialah yang minta Google supaya tukar nama Borneo ke Kalimantan, ia masih lagi khabar angin tanpa bukti. Buat masa sekarang, tak ada sebarang kenyataan rasmi dari negara-negara terlibat – Indonesia, Malaysia dan Brunei.

Tapi dari segi sejarahnya – nama Borneo dikatakan mula dipakai pada abad ke-14 apabila bumi Borneo itu dikuasai oleh Kesultanan Brunei. Jadinya seorang pengembara Itali, Ludovico di Varthema yang datang ke Borneo pada tahun 1550 dah merujuk kepulauan itu sebagai “Bornei”. Perkataan itu kemudiannya dikenali sebagai “Borneo” oleh penjajah Inggeris dan Belanda.

Peta Borneo tahun 1800-an. Imej dari suluonlinelibrary.wordpress

Mengenai Kalimantan pula, ia dikatakan berasal dari perkataan Sanskrit – “Kalamanthana” yang bermaksud pulau berudara panas. Apa yang pasti, masyarakat Malaysia mengenali kepulauan itu dengan panggilan Borneo, manakala masyarakat Indonesia pula dengan panggilan Kalimantan.

Walaupun begitu, nampaknya kontroversi terbaru ini dah pasti akan menimbulkan pertembungan di antara pelayar maya Malaysia – Indonesia. Dan bila dah habis baca ni, cubalah search “Borneo” di Google… dan bagilah pandangan korang tentang isu ni.

 

 

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.