- 1.0KShare sekarang!
- Email24
- Facebook1.0K
- Share
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 22 September 2018. *
Selain Indonesia dan Filipina, Malaysia antara negara yang sangat mengambil serius tentang jenayah dadah. Sebab selain hukuman tembak sampai mati yang diperkenalkan di Indonesia dan Polisi ‘Drug War’ pemimpin Filipina, Duterte, Malaysia juga antara negara yang menjatuhkan hukuman gantung terhadap pengedar dadah di negara ni.
“Sekiranya anda ditembak dan saya dapat tahu anda seorang tauke dadah, saya akan langgar kamu lima kali,” kata Duterte, yang memenangi jawatan presiden pada 2016 pada platform untuk memerangi rasuah, jenayah dan dadah.
Tapi korang tahu tak yang hukuman gantung sampai mati kepada pengedar dadah pernah jadi isu di Malaysia. Malah, dapat liputan antarabangsa seawal tahun 80-an, sampaikan ada sebuah filem Barat yang menggambarkan ‘kekejaman’ Malaysia. Filem ni juga dilakonkan oleh salah seorang pelakon dari filem Captain America.
Hugo Weaving, antagonis filem Captain America yang membawa watak pengedar dadah di Malaysia pada tahun 80-an
Kitorang agak yang korang mesti pernah tengok filem Captain America, dan ingat karakter Red Skull, yang dilakonkan oleh Hugo Weaving.
Watak Johan Schmidt, atau Red Skull yang dibawanya merupakan seorang pegawai besar Nazi yang juga orang kepercayaan Adolf Hitler (dalam cerita ni je). Malah, dia juga berkait rapat dengan Hydra dan merupakan musuh S.H.I.E.L.D.
Bukan tu je, selain Captain America, Weaving juga pernah berlakon beberapa filem lain seperti The Matrix,
Lord of the Rings,
dan pelbagai lagi filem hebat yang lain.
Tapi sebelum dia popular macam sekarang, Hugo Weaving pernah melakonkan watak Geoffrey Chamber dalam filem Dadah Is Death pada tahun 1986, berdasarkan kisah benar yang berlaku di Malaysia. Malah, latar belakang filem ni sendiri memang di Malaysia sebab pada awal episod ni siri ni, diorang tunjuk…
Malah, korang juga boleh nampak imej Malaysia pada tahun 80-an. Bangunan tak banyak berubah, tapi kita dah takde dah bas jenis macam dalam gambar ni.
Tapi filem ni bukanlah nak mengisahkan Malaysia semata-mata, tapi lebih kepada imej undang-undang Malaysia pada pandangan Australia yang digambarkan sebagai ‘keras’.
Kitorang tak pasti la yang kerajaan Malaysia pada masa tu tahu ke tak pasal penggambaran filem tentang Barlow dan Chamber ni sebab ia melibatkan kisah kedua-dua pengedar dadah Australia di negara kita sendiri. Tak pasti pula macam mana boleh lepas untuk penggambaran pada masa tu.
Dadah Is Death, filem Barat berdasarkan kisah benar di Malaysia
Melalui penggambaran di Malaysia, filem Dadah Is Death (A Long Way From Home) ni diadaptasi dari kisah dua rakyat Australia, Kevin Barlow dan Geoffrey Chambers. Mereka ditangkap pada 9 November 1983 di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang, atas kesalahan menyeludup 179 gram heroin.
Mengedar dadah sememangnya satu jenayah berat di Malaysia. Bagi yang kurang tahu, menurut Undang-Undang Dadah Malaysia Akta Dadah Berbahaya 1952, Malaysia menjatuhkan hukuman mati mandatori bagi mana-mana pihak yang memiliki sekurang-kurangnya 15g dadah terlarang heroin.
Dan malang menimpa kedua-dua mereka sebab akta dadah baru je dipinda pada tahun yang sama pada masa tu, di mana ia mungkin membawa hukuman gantung sampai mati. Pindaan yang dibuat adalah selari dengan pengisytiharan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memerangi dadah yang menjadi musuh dan ancaman kepada negara.
Masa kena tangkap tu, mereka berdua ni gelabah juga la. Tapi, mereka berjanji dan berpakat untuk tak melibatkan keluarga sebab mereka sangkakan yang mereka boleh bayar denda atau rasuah pegawai untuk keluar dari penjara. Itulah plan sebenar pada mulanya.
Lagipun sebagai rakyat Australia, mereka tak ambik serius dengan hukuman gantung sampai mati sebab mereka dah terdidik oleh undang-undang Australia yang tiada siapa pun ada hak untuk mengambil nyawa manusia yang lain.
Hukuman gantung di Malaysia membawa kepada protes di Australia
Tapi, nasib tak menyebelahi diorang sebab undang-undang sesebuah negara tu tertakluk kepada negara tersebut. Dan bagi Malaysia, hukuman gantung bakal dijalankan tak mengira bangsa dan asal-usul tertuduh, selagi diorang berjaya dibuktikan bersalah.
Bagi kes ni, korang jangan tak tahu pula yang antara salah seorang peguam Malaysia yang terlibat dalam kes ni adalah mendiang Karpal Singh, yang mewakili Kevin Barlow. Manakala peguam Chambers pula adalah Rasiah Rajasingham.
Dua tahun turun naik mahkamah Malaysia, pada tahun 1985, mahkamah Malaysia menjatuhkan hukuman mati kepada Kevin Barlow dan Geoffrey Chambers. Tapi, keluarga Barlow tak putus asa. Mereka tetap berusaha sedaya upaya untuk cuba melepaskan anak diorang daripada hukuman mati yang bakal dijalankan.
Perbicaraan Kes Kevin John Barlow dan Brian Geoffrey Chambers yang berjalan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ni juga dapat liputan meluas di seluruh dunia, dan membawa kepada protes di Australia di mana mereka tak bersetuju dengan hukuman gantung yang bagi mereka satu kekejaman dan melanggar hak asasi manusia.
Walaupun ramai yang mengecam, tapi tak kurang juga rakyat Australia yang menyokong hukuman gantung terhadap mereka, di mana terdapat ugutan bunuh melalui panggilan telefon dan juga surat layang yang menuduhnya sebagai pembiak kepada pembunuh.
Malah dalam satu kes, seorang wanita pernah menggenggam lengan Barbara Barlow dan mengatakan,
“Anak perempuan saya mati sebab overdose heroin tahun lepas. Kenapa anak saya yang mati dan anak kamu perlu hidup? Kalau boleh, aku bunuh anak kau sendiri!” – kata Barbara, melalui pengalamannya, dipetik dari Chicago Tribune
Walaupun begitu, pelbagai percubaan yang dilakukan kedua-dua keluarga Barlow dan Chambers, antaranya merayu kepada kerajaan Malaysia untuk mengampuni anaknya. Bukan tu je, mak Kevin Marlow, iaitu Barbara Marlow juga kemudiannya menghantar telegram kepada Paus Katolik, Perdana Menteri Britain pada masa tu iaitu Margaret Thatcher, Ratu England, Menteri Luar Australia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, meminta bantuan untuk menyelamatkan kedua-dua tertuduh.
Antara banyak-banyak surat yang dihantar tu, hanya Ratu England yang respond dan mengatakan yang dia akan meluluskan surat Barbara (ibu Kevin Barlow) kepada menteri yang sepatutnya.
Hukuman gantung pertama yang dijatuhkan kepada warganegara Barat, atas kesalahan dadah
Tapi selepas berhempas-pulas hantar telegram dan meminta bantuan pihak berkuasa di seluruh dunia, segala perjuangan keluarga Chambers dan Barlow akhirnya berakhir dengan kematian anak mereka di tali gantung.
Malah, ia adalah hukuman gantung pertama yang dijatuhkan kepada warganegara dari Barat direkodkan atas kesalahan mengedar dadah.
Pada Julai 1986, Chambers dan Barlow akhirnya digantung sampai mati di Penjara Pudu, Kuala Lumpur. Tapi semasa hari kejadian, keluarga mereka tak berada di sana sebab tak dapat terima hakikat yang selama ni mereka percaya, hukuman atas mana-mana kesalahan pun tak sepatutnya berakhir dengan kematian. Lebih-lebih lagi di negara asing yang jauhnya beratus kilometer dari negara mereka.
Selesai penggantungan Chambers dan Barlow, peguam mereka yang menghantar perkhabaran tu,
“Mayat mereka berada di belakang trak.” – Karpal Singh, peguam Kevin Barlow kepada keluarga tertuduh selepas hukuman gantung dijalankan.
Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri pada masa tu sangat tegas untuk membasmi ancaman dadah yang berleluasa pada zaman tu, bertegas dengan hukuman gantung yang didepani mana-mana pengedar dadah, tanpa mengira asal-usul dan warna kulit mereka. Malah, dia bertekad untuk menjadikan mereka sebagai contoh ‘penjenayah Barat’ pun tak terkecuali.
Bukan Australia je yang kecam, malah mendiang Karpal Singh yang juga seorang ahli parlimen pada masa tu menganggap hukuman yang dikenakan kepada kedua penjenayah tu dah menjejaskan imej Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.
Ketegasan Malaysia membasmi dadah walaupun harus menggadai hubungan dengan Australia
Australia adalah negara yang bukan sahaja tak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undang mereka, malah mengkritik keras negara lain yang menguatkuasakan hukuman tu. Sebab tu juga la dalam kes Sirul Azhar yang melarikan diri ke Australia, dia mungkin akan terlepas tali gantung. Sebabnya, mereka takkan menghantar, atau mengekstradisi Sirul balik ke Malaysia, melainkan kerajaan Malaysia berjanji yang dia takkan dijatuhkan hukuman mati.
Berbalik kepada kes Barlow dan Chambers, perkara ni la yang mengakibatkan hubungan Malaysia dengan Australia pernah terjejas teruk. Malah Bob Hawke selaku Perdana Menteri Australia pada masa tu mengutuk keras Malaysia, sampaikan tindakan kita tu disamakan dengan kerja orang gasar, dan mengatakan yang tiada manusia pun layak untuk ambil nyawa orang lain.
Tapi Tun Mahathir kemudiannya menolak hujah Bob Hawke dan terus membalas,
“Itu apa yang sepatutnya anda katakan kepada pengedar dadah!” – Tun Mahathir kepada Bob Hawke
Mungkinkah ada keringanan untuk ganja, dan kajian mengenainya bagi tujuan perubatan?
Walaupun Tun Mahathir antara yang paling lantang tentang hukuman bagi pengedar dadah lebih 30 tahun yang lalu, dia mempunyai pendapat yang berbeza bagi kes Lukman. Baru-baru ni, Tun Dr Mahathir Mohamad bersuara dan meminta supaya kes Lukman dikaji balik memandangkan ia digunakan dalam bentuk minyak, dan untuk tujuan perubatan.
Malah, dia berjaya merawat lebih daripada 800 pesakit, sampaikan orang yang pernah terima rawatannya tampil untuk bagi keterangan untuk membelanya di mahkamah.
Bukan dalam Malaysia je, malah perkara ni turut mendapat perhatian bekas Menteri Kesihatan United Kingdom, Norman Lamb yang terkenal sebagai salah seorang ahli parlimen yang menyokong usaha untuk menghalalkan penggunaan dadah jenis cannabis/ganja di UK, seperti yang dilakukan di beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Pendapat ni juga disokong MP Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang mengatakan dia akan menulis rayuan kepada Peguam Negara, Thommy Thomas untuk mendapat pengampunan. Dia juga bersetuju yang ganja sepatutnya dikaji dan definisi penggunaannya patut disemak. Lebih-lebih lagi banyak negara-negara lain yang dah terima penggunaan ganja ni untuk tujuan perubatan.
Lagipun, dadah jenis heroin dan ganja adalah dua jenis dadah berbeza (refer artikel sebelum ni), lebih-lebih lagi ia digunakan untuk tujuan perubatan, dan bukannya dadah rekreasi dengan tujuan memabukkan.
Jadi dengan segala sokongan daripada pihak kerajaan baru, mungkinkah kita dapat tengok penjualan ganja secara terbuka tak lama lagi?
- 1.0KShare sekarang!
- Email24
- Facebook1.0K
- Share