P. Ramlee: Pernah dibenci ketika era kejatuhannya, disanjungi selepas kematiannya

P. Ramlee dibenci orang ramai

Tan Sri P. Ramlee memang satu fenomena. Seorang seniman serba boleh, dia la pelakon, penyanyi, pengarah, penulis, penyunting dan komposer, memang multi-talented orang putih cakap.

Malangnya, di sebalik sumbangannya dalam industri hiburan Malaysia, dia telah dibenci oleh orang ramai sehingga akhir hayatnya dan sesudah pemergiannya, barulah semua orang mengenangkan dia.

P. Ramlee semasa muda
Penghujung era P. Ramlee sangat sadis sampai tiada duit. Imej dari Wikipedia.

Satu fakta yang mungkin ramai tak tahu, sejarah cuba untuk cuci otak kita bahawa dia disanjungi sehingga akhir hayatnya. Namun, dia dianggap sebagai ketinggalan zaman, dimusnahkan oleh media dan dikatakan lapuk dalam industri seni hiburan. Kejatuhan era dia sangat teruk sehingga…

Pernah diejek & dihalau daripada pentas oleh penonton

Ramai orang dikatakan nak jatuhkan P. Ramlee atas dasar cemburu. Pada mulanya, ramai cuba nak memfitnah dia, tapi gagal kerana popularitinya yang hebat. Namun, Shaw Brothers antara pihak yang berjaya menjatuhkan kariernya. Semua hanya disebabkan P. Ramlee ialah penyokong hak kesatuan untuk pekerja industri filem.

Pentas besar bukan definisi bagi P. Ramlee lagi, label rekodnya diberhentikan. Dia hanya mampu bermain di persembahan kecil saja seperti menyanyi di majlis perkahwinan dengan isterinya Saloma, dan mengadili pertandingan lakonan. Ada juga yang kata dia buka kedai mahjong untuk cari wang.

Percaya atau tak, semasa acara “Malam Tiga Ramli” (ia dipanggil Tiga Ramli kerana artis jemputan terdiri dari P. Ramlee, A. Ramlie dan L. Ramli) di Stadium Chin Woo, KL, dia terima sambutan teruk dari penonton (mereka ‘boo’ dekat P. Ramlee tau!).

Menurut Jamal Abdilah (semasa dia remaja):

“Ketika P.Ramlee muncul, dia kena ‘boo’. Peminat sudah tidak boleh terima muzik dia lagi pada waktu itu sedangkan dia adalah satu nama besar dalam industri seni. Ia membuatkan saya rasa takut.”

Jamal Abdillah, dipetik dari mStar.
Auditorium di Chin Woo Stadium, KL. Imej dari Wikimedia Commons.

Lebih memburukkan keadaan, pihak akhbar menceritakan perkara buruk tentang P. Ramlee dalam berita, serta menjatuhkan imejnya.

“P. Ramlee kecewa dengan wartawan. Walaupun bagi saya, sukar untuk melihatnya. Apabila beberapa wartawan tiba, dia berjalan keluar dari studio.”

Mustafa A.R., dipetik dari History Channel.

Impiannya mengarah filem warna Melayu yang pertama musnah!

Sepanjang hidupnya, matlamat terbesar P. Ramlee dalam pembikinan filem ialah menghasilkan filem warna Melayu yang pertama. Bagi merealisasikan matlamat ini, beliau mengasaskan PERFIMA pada 1970 untuk menerajui industri perfileman tempatan ke arah matlamatnya.

Remuk hatinya, apabila tiba masanya untuk memilih ketua filem warna Melayu yang pertama, PERFIMA sepatutnya melantik Ramlee, sebaliknya memilih pengasas bersamanya Jins Shamsuddin, yang mereka percaya lebih dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan.

Jins Shamsuddin masa tu baru balik dari sekolah filem di London. Imej dari MUBI.

P. Ramlee jatuh ke dalam kemurungan yang teruk, Mariani (kakak iparnya) pernah dengar dia cakap:

“Yam, orang dah tak peduli saya. Saya punya karier pun orang dah tak suka, saya dah tua la, saya dah tua la. Saya nak filem Melayu ni, cantik lagi, maju lagi, macam luar negeri, tapi saya tak sampai, cita-cita saya tak sampai, saya kecewa.”

P. Ramlee, pernah disebut oleh kakak iparnya Mariani dalam dokumentari History Channel.

Pengalaman P. Ramlee paling teruk ialah…

P. Ramlee lebih disanjungi di luar negara berbanding negara sendiri

Pelik tapi benar, P. Ramlee banyak memenangi anugerah, lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa. Banyak saja dia menang anugerah di festival filem yang dianjurkan di Tokyo, Manila, Hong Kong, dan Berlin. Kehebatan yang tiada tandingan kerana dia pernah menerima anugerah pertama yang diciptakan khas untuknya di Festival Filem Asia ke-10 Tokyo, iaitu “Bakat Paling Pelbagai“. Oh ye, dia juga memenangi anugerah “Fotografi Hitam dan Putih Terbaik” masa tu.

P. Ramlee & Saloma di Festival Filem Tokyo 1963. Imej dari MUBI.

Semasa filem Laksamana Do Re Mi dicalonkan pada Festival Filem Asia Pasifik 1973 di Singapura, Ramlee telah menerima sambutan hambar dari artis Malaysia lain yang hadir. Tapi… dia disambut meriah oleh bintang-bintang luar negara (sampai beratur mereka nak jumpa dia).

“Bila P. Ramlee masuk, takde seorang pun bangun mempelawa atau membawa P. Ramlee duduk di delegate Malaysia. Kemudian dia nampak saya dan terus duduk belakang saya kat Singapore delegate… Pelakon-pelakon luar negeri (negara) ni, takde jumpa pelakon-pelakon kita la, tapi semua orang cari P. Ramlee. Hong Kong, Indonesia, Bing Slamet pun cari P. Ramlee.”

Aziz Sattar, dipetik dari temubual dalam dokumentari P. Ramlee History Channel

Malangnya, ini adalah festival filem terakhirnya, dan dia meninggal pada tahun yang sama akibat serangan jantung.

Pengakhiran tragis P. Ramlee sebagai peringatan untuk artis kini

Kita mungkin meraikan P. Ramlee sekarang, tetapi sangat mengejutkan apabila satu ketika dulu. Tiada siapa yang mahukan P. Ramlee. Selepas kematiannya, Saloma dikatakan tidak mampu nak bayar pengebumiannya. Kehidupan keluarganya miskin sehinggakan anaknya Nasir terpaksa membuka gerai nasi lemak dan buah-buahan tanpa lesen untuk menampung kehidupan (kadang-kadang diganggu oleh DBKL).

Situasi buruk keluarga P. Ramlee pada masa tu mungkin boleh dikaitkan dengan kata Saloma kepada Nasir:

“Nasir, ini sahaja yang saya ada (RM40), saya ambil RM20 dan awak ambil RM20, jangan marah, saya memang tak ada duit.”

Saloma kepada Nasir, dipetik dari buku Nasir, iaitu Bapaku P. Ramlee
Buku Bapaku P. Ramlee. Yang budak Cilisos ada buku ni.

Akhir kata, hargailah mereka seperti evergreen bukan mengikut perederan zaman. Walaupun mereka terlampau popular tapi mereka bekerja keras untuk beri rezeki kepada ahli keluarga.

Setiap era ada legenda tersendiri, seperti Butterfingers pada zaman 90-an

Kita juga pernah ada konsert rock sendiri ala Woodstock